PELAN Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 mengenal pasti 11
anjakan strategik dan operasi untuk mencapai wawasan dalam meningkatkan
taraf pendidikan kanak-kanak ke arah abad ke-21. Anjakan strategik
pertama menyebut tentang memberi pendidikan berkualiti yang setanding
dengan taraf pendidikan antarabangsa.
Dalam anjakan ini, keperluan untuk penambahbaikan tahap pembelajaran
Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik selaras dengan piawaian
antarabangsa. Untuk mencapai matlamat ini, kita memerlukan guru yang
mempunyai keupayaan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik
kepada pelajar terutamanya mata pelajaran Matematik dan Sains yang bukan
subjek kegemaran.
Anjakan kedua pula menyentuh tentang keperluan untuk memastikan
setiap kanan-kanak mahir dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Untuk ini, kita perlu mempunyai guru yang berkebolehan untuk berkhidmat
di sekolah luar bandar dan bandar. Dalam anjakan keempat pula adalah
menjadikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan utama seperti
yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan di mana pelantikan guru adalah
daripada antara 30% graduan yang terbaik. Walaupun ini adalah langkah
yang baik untuk meningkatkan kualiti profesion perguruan namun terdapat
juga keperluan untuk memahami bahawa untuk menjadi seorang guru yang
baik, seseorang itu bukan sahaja perlu mempunyai latar belakang akademik
yang tinggi tetapi perlu juga mempunyai kemahiran komunikasi,
kepimpinan dan kemahiran untuk mendengar serta komited dalam profesion
ini.
Anjakan ketujuh pula merujuk kepada memanfaatkan ICT dalam
meningkatkan pembelajaran yang berkualiti di seluruh Malaysia.
Memandangkan e-pembelajaran menjadi alat yang penting dalam menyampaikan
pendidikan kepada generasi baru kini, kemudahan infrastruktur perlu
dibaiki dan dikemas kini bagi merapatkan jurang digital ini.
Anjakan kesembilan pula merujuk kepada kerjasama ibu bapa, masyarakat
dan sektor swasta. Keutamaan adalah untuk mengubah daripada
"pembelajaran sekolah" kepada "pembelajaran sistem" dengan melibatkan
ibu bapa, masyarakat serta sektor swasta dan sosial sebagai rakan kongsi
bagi menyokong pelajar dalam pembelajaran mereka.
Tidak dapat dipertikaikan Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar
dalam sistem pendidikan untuk melonjakkan pencapaian bagi memenuhi
aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.
Pelan yang meliputi tempoh 2013-2025 ini merangkumi visi sistem
pendidikan dan aspirasi pelajar yang diperlukan negara. Melalui pelan
ini, kita perlu membina sistem pendidikan yang mengasuh kanak-kanak
menghargai keunikan identiti sebagai warganegara Malaysia.
Kementerian Pendidikan bertanggungjawab untuk mencapai kesemua
matlamat yang digariskan. Sementara itu, Ibu bapa, anggota masyarakat
dan sektor swasta berperanan dalam meningkatkan kualiti sistem
pendidikan negara yang akan membantu menyemai benih kejayaan anak- anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan