SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

30 Julai 2013

Adakah Masanya Sudah Tiba Bagi Peperiksaan Tunggal Untuk Ke Universiti?

Fokus Berita Oleh Alan Ting 
 

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Adakah masanya sudah tiba bagi Kementerian Pendidikan menimbang dengan serius untuk mengadakan peperiksaan tunggal bagi kemasukan ke universiti sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah pelajar terbaik yang tidak memperoleh tempat di universiti tempatan?

Pengerusi Biro Pendidikan Gerakan Lau Chin Hoon sememangnya berpendapat begitu atas dasar dwi-sistem bagi kemasukan ke universiti sekarang, iaitu STPM dan matrikulasi, menjadi punca ketidakpuasan hati sesetengah mereka meskipun terdapat lebih banyak pengambilan berdasarkan merit.

"Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam matrikulasi dan CGPA 4.0 dalam STPM bukanlah setara. Dari segi prosedur parameter kedua-duanya adalah peperiksaan yang sama sekali berbeza. Sebab itulah, kita perlu menyeragamkannya menjadi peperiksaan tunggal untuk ke universiti," jelas beliau.

Ini berikutan hakikat bahawa STPM digabungkan dengan Cambridge Local Examinations Syndicate manakala matrikulasi pula berasaskan kombinasi kerja kursus, peperiksaan dan penilaian pensyarah.

Beliau berkata tanpa peperiksaan kemasukan yang seragam, masyarakat akan sentiasa beranggapan terdapat kurang ketelusan dalam proses pemilihan memandangkan tiada peratusan kemasukan yang boleh diperoleh segera daripada setiap sistem.

"Jika ada peperiksaan kemasukan seragam, masyarakat boleh menerima hakikat apabila permohonan mereka ditolak. Tidak dinafikan bahawa tempat tertentu perlu dikhaskan kepada mereka yang kurang berkemampuan namun peperiksaan seperti ini akan memastikan ketelusan yang lebih hebat," kata Lau.

Peperiksaan tunggal untuk ke universiti adalah perkara lazim di dunia. Di Amerika Syarikat, ia dikenali sebagai 'Standard Assessment Test' (SAT), di China, 'The National Higher Education Entrance Examination' atau 'Gaokao' manakala Korea Selatan pula mempunyai 'College Scholastic Ability Test' atau dikenali sebagai 'Suneung'.

Beliau berkata sungguhpun usaha dilakukan untuk menambah baik format STPM tahun ini tetapi langkah itu masih tidak menyelesaikan isu pelajar terbaik tidak mendapat tempat di universiti awam.

Kali terakhir STPM dijalankan berdasarkan format lama adalah pada 2012, memandangkan tiga tahun lepas Kementerian Pendidikan memutuskan untuk merombak format peperiksaan iaitu daripada mengadakan satu peperiksaan akhir kepada format yang memasukkan penilaian berasaskan sekolah dan penilaian pada setiap akhir semester bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar mengambil STPM.

Sejumlah 51,673 pelajar menduduki peperiksaan itu tahun lepas dengan 442 orang daripadanya memperoleh 4.0 CGPA.

"Di Malaysia, seperti juga di kebanyakan negara Asia, kita cenderung belajar untuk lulus peperiksaan berbanding dengan menumpukan perhatian ke arah memburu cita-cita atau kerjaya," katanya.

Pandangan beliau disokong Felo Penyelidikan Utama di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Denison Jayasooria yang bersetuju bahawa Malaysia perlu memperkenalkan peperiksaan tunggal ke universiti sambil memastikan pelajar kurang berkemampuan juga diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam.

"Ia seharusnya sama ada matrikulasi atau STPM, bukan kedua-duanya. Satu cara lagi ialah mungkin membiayai mereka mengikuti kursus yang diinginkan sama ada di universiti awam atau swasta atau malah di luar negara, sama seperti sistem baucar di UK," katanya.

Timbalan Naib Canselor Inti_UC Laureate International University, Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid berpendapat kelihatan seperti wujud salah tanggapan, malah mungkin mitos bahawa setiap pelajar terbaik seharusnya memasuki universiti awam tempatan.

Beliau menarik perhatian bahawa pendemokrasian pendidikan tinggi pada 1990-an mewujudkan tambahan kira-kira 500,000 tempat bagi program ijazah sarjana muda.

Pada masa ini, kira-kira 900,000 pelajar mengikuti pengajian peringkat tinggi di 20 universiti awam, 33 universiti swasta dan kolej universiti, empat kampus cawangan universiti asing, 22 politeknik, 37 kolej komuniti dan kira-kira 500 kolej swasta.

"Kerajaan telahpun meminda peraturan untuk memberi layanan yang sama kepada universiti awam dan swasta.

"Sebenarnya, tiada isu berhubung pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti, sebaik saja mereka memasuki universiti swasta. Kita ada ruang yang mencukupi. Saya rasa ini bukanlah satu isu," katanya.

Sambil menegaskan bahawa universiti terulung di United Kingdom sebenarnya adalah universiti swasta, beliau berkata satu-satunya isu adalah bantuan kewangan bagi pelajar cemerlang.

"Pelajar yang memperoleh keputusan yang baik sepatutnya diberi bantuan kewangan untuk meneruskan pelajar ke institusi pengajian tinggi," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa pendemokrasian pendidikan tinggi pada 1990-an mewujudkan tambahan kira-kira 500,000 tempat bagi program ijazah sarjana muda.

Pada masa ini, kira-kira 900,000 pelajar mengikuti pengajian peringkat tinggi di 20 universiti awam, 33 universiti swasta dan kolej universiti, empat kampus cawangan universiti asing, 22 politeknik, 37 kolej komuniti dan kira-kira 500 kolej swasta.

"Kerajaan telahpun meminda peraturan untuk memberi layanan yang sama kepada universiti awam dan swasta.

"Sebenarnya, tiada isu berhubung pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti, sebaik saja mereka memasuki universiti swasta. Kita ada ruang yang mencukupi. Saya rasa ini bukanlah satu isu," katanya.

Sambil menegaskan bahawa universiti terulung di United Kingdom sebenarnya adalah universiti swasta, beliau berkata satu-satunya isu adalah bantuan kewangan bagi pelajar cemerlang.

"Pelajar yang memperoleh keputusan yang baik sepatutnya diberi bantuan kewangan untuk meneruskan pelajar ke institusi pengajian tinggi," katanya.

-- BERNAMA

29 Julai 2013

Parlimen: Tiada Cadangan Ganti Sistem Meritokrasi Dengan Sistem Kuota - P.Kamalanathan

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan belum bercadang menggantikan sistem meritokrasi dengan sistem kuota, kata Timbalan Menteri Pendidikan II P.Kamalanathan.

Beliau berkata berdasarkan prinsip meritokrasi, semua pelajar yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama dan taraf hidup tidak akan dinafikan peluang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Selaras dengan keputusan kerajaan pada 2002, dasar pengambilan pelajar ke IPTA dilaksanakan berasaskan prinsip meritokrasi bagi menggantikan Dasar Pengambilan Mengikut Kuota Kaum yang diguna pakai sebelumnya.

"Dasar Meritokrasi ini dilaksanakan dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menjana markah merit pelajar," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Firdaus Abdullah pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

-- BERNAMA

27 Julai 2013

GPMS Kedah Mahu Kerajaan Kekalkan STPM


ALOR SETAR, 22 Julai (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mahu kerajaan bertegas mengekalkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan menolak cadangan DAP supaya STPM digantikan dengan matrikulasi.

Pengerusinya Shamsul Bakar Abd Rani berkata cadangan Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran supaya STPM digantikan dengan matrikulasi akan menjejaskan usaha menambah jumlah profesional Bumiputera.

"Tujuan matrikulasi adalah untuk menjamin tempat pelajar Bumiputera di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) agar komposisi kaum dapat diimbangi.

"GPMS bimbang kerana cadangan DAP ini hanya menyebabkan bilangan profesional Bumiputera yang masih lagi kurang berbanding kaum lain akan terus tertinggal," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau mengulas cadangan Kulasegaran dalam satu forum supaya menggantikan STPM dengan matrikulasi seperti dilaporkan dalam akhbar hari ini.

"GPMS mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik menolak budaya menuntut perkara-perkara yang membelakangkan semangat Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui secara kolektif seperti pendidikan.

"GPMS Kedah akan terus mempertahankan matrikulasi sebagai medium untuk pelajar Bumiputera melanjut pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau mencadangkan sistem pendidikan diseragamkan di peringkat sekolah rendah dan bukan di peringkat universiti sebagai langkah untuk memupuk perpaduan serta mendaulatkan sistem pendidikan kebangsaan.

-- BERNAMA

20 Julai 2013

Pelajar kita masih tumpul kemahiran insaniah

Oleh : Dr Anwar Ridhwan 

Generasi muda gagal berfikir secara kritis

Bagi mereka yang bertugas sebagai tenaga akademik di institusi pengajian tinggi, pada setiap awal semester pengajian mereka selalu mengharapkan kemasukan pelajar baru yang memiliki kemahiran insaniah tinggi. Bagaimanapun, tenaga akademik ini sedar bahawa pelajar yang mereka terima adalah produk daripada sistem pendidikan sedia ada.
Kemahiran insaniah atau soft skill adalah istilah sosiologi berhubung EQ (Emotional Intelligence Quotient) seseorang individu, berkaitan ciri atau sifat personalitinya, kemahirannya bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis atau bertutur, kebiasaan atau tabiat yang positif, suka bergaul dan optimis dalam kehidupan serta lingkungan sosialnya.

Adakah sistem persekolahan kita amat menjurus kepada peperiksaan? Adakah pelajar kita terlalu ‘disuap’ dan ‘disusui’? Adakah pelajar kita terlalu terikat dengan skema hingga tidak dibenarkan berfikir secara kreatif di luar kebiasaan?

Berikut, dapatan umum yang saya peroleh daripada teman di beberapa buah institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Daripada sejumlah pelajar baru, pada umumnya hanya segelintir kecil memiliki kemahiran insaniah yang boleh berkembang. Majoriti yang lain kurang kemahiran bersosial, hanya bergaul dalam kelompok kecil. Mereka juga tidak dapat berkomunikasi dengan baik, termasuk tidak dapat menuturkan atau menulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang gramatis, jelas dan berkesan.

Peringkat sekolah rendah

Kebiasaan atau tabiat yang positif seperti gemar membaca buku di perpustakaan serta mengadakan diskusi berkumpulan juga jarang-jarang dapat dilihat, kecuali dalam minggu menjelang peperiksaan. Kurang terpancar optimisme dalam diri pelajar, seolah-olah membiarkan masa menghanyutkan mereka dan menyerahkan segala kepada nasib.
Dalam dunia penuh persaingan dan persaingan semakin sengit, hanya pelajar memiliki kemahiran insaniah tinggi yang akan berjaya. Jika majoriti pelajar kita kurang memiliki kemahiran insaniah tinggi, bagaimana generasi muda kita akan bersaing pada peringkat domestik dan antarabangsa? Begitu pentingnya kemahiran insaniah, sehingga wajar ia diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah lagi.

Atas sebab seperti itulah, sekolah antarabangsa biasanya sejak peringkat rendah lagi, mendedahkan pelajar mereka kepada kemahiran insaniah. Ini termasuklah kaedah berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama secara membina, menempuh proses pembelajaran penuh semangat, dan menjalani kehidupan beretika.

Kita dapat melihat produk pelajar yang dilahirkan oleh sekolah antarabangsa ini – sama ada anak kita sendiri, anak saudara kita atau anak kenalan kita. Bagaimanapun pernyataan ini tidaklah menafikan adanya segelintir pelajar produk sistem pendidikan kebangsaan kita yang mempunyai kualiti lebih kurang sama.

Sistem persekolahan kebangsaan

Kita percaya sistem pendidikan kebangsaan turut berhasrat membentuk dan melahirkan pelajar yang dapat berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama secara membina menerusi proses pembelajaran penuh semangat dan menjalani kehidupan beretika. Bagaimanapun, apabila kita meneliti pencapaian pelajar baru di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), hanya sebahagian kecil yang berkualiti demikian.

Lalu kita bertanya, di mana bahagian-bahagian longgar dalam sistem pendidikan kebangsaan kita yang perlu kita perbaiki dan perkasakan? Adakah sistem persekolahan kita amat menjurus kepada peperiksaan? Adakah pelajar kita terlalu ‘disuap’ dan ‘disusui’? Adakah pelajar kita terlalu terikat dengan skema hingga tidak dibenarkan berfikir secara kreatif di luar kebiasaan? Adakah kaedah pengajaran dan pembelajaran kita masih sangat konservatif? Adakah suasana pembelajaran belum dapat membentuk pelajar kita kemahiran bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis atau bertutur, bertabiat yang positif, bergaul dan optimis dalam lingkungan sosialnya?

Kualiti akademia

Pendedahan kemahiran insaniah pelajar kita seharusnya sudah meningkat ketika mereka berada di sekolah menengah. Apabila mereka menyambung pengajian di kolej atau universiti, mereka akan berhadapan dengan suasana, kaedah serta budaya pembelajaran yang agak berbeza.

Mereka harus berdikari, banyak membuat rujukan sendiri bagi menambah nota kuliah, bijak bergaul, mahir berkomunikasi baik di dalam bilik kuliah atau di luar serta dapat menyiapkan tugasan dipersembahkan dengan baik, termasuk aspek bahasanya. Jika lebih ramai pelajar baru IPTA memiliki kemahiran insaniah, maka kualiti akademia di pusat pengajian tinggi kita akan meningkat dengan lebih pantas.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : Berita Harian Online -16/7/2013

13 Julai 2013

Hidupkan kembali status kolej


Cadangan mewujudkan Kolej Tingkatan Enam (KTE) saban tahun dilontarkan oleh pelbagai pihak yang menujukkan betapa satu tranformasi pendidikan di peringkat pra-universiti wajar diberi perhatian. Namun belum ada kesudahan sehingga saat ini.
Tidak ramai mengetahui bahawa KTE telah pun wujud dan berusia 22 tahun pada 30 Jun 2013 lalu. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada ketika itu telah menubuhkan KTE dengan memilih calon-calon mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1990.
Tujuan utama penubuhan kolej ini untuk membolehkan pelajar bumiputera yang mencapai kelulusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM mengikuti program STPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan di dalam bidang Perakaunan, Ekonomi, Pengurusan Perniagaan dan Undang-Undang.
Kumpulan pertama memulakan pengajian bermula 30 Jun 1991 bertempat di dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Muar, Muar (SMS Muar) (aliran ekonomi dan undang-undang) dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Air Keroh, Melaka (aliran perakaunan dan pengurusan perniagaan).
Pemilihan mereka diselaraskan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) dengan menggunakan kriteria sama seperti pengambilan calon ke program lain bagi lepasan SPM. Pengambilan kumpulan kedua dan ketiga telah diteruskan selepas itu sehinggalah ia dihentikan pada tahun 1994.
Kajian Pengesanan lepasan kolej ini pada 2012, khasnya kepada kumpulan pertama dan kedua, menunjukkan rata-rata mereka kini telah berjaya cemerlang dalam bidang masing-masing termasuk menjadi Penolong Peguamcara Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Pengarah di Jabatan Ketua Menteri Melaka, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, peguam, pensyarah, guru dan pegawai kerajaan.
Dua nama besar dalam industri hiburan tanah air iaitu Julia Juhasu dan Hazil Izham Ismail merupakan bekas pelajar kolej ini. Julia Juhasu merupakan Penerbit Eksekutif, Suhan Movie and Trading. Nama beliau amat terkenal dalam penerbitan drama seperti Ku Milikmu, Nigina mahupun rancangan Pilih Kasih keluaran Suhan Movie yang ditunjangi oleh penerbit, Rosyam Noor. Manakala Hazil Izham Ismail merupakan Penyelaras Penerbit Filem dan merupakan suami kepada pelakon Nadia Mustafa.
Bekas pelajar kumpulan pertama, Nor Azrina Jaafar yang kini merupakan Pegawai di MIMOS adalah balu kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd. Noor, wartawan Bernama TV yang meninggal di Somalia pada 3 September 2011.
Kebanyakan bekas pelajar kolej ini telah memiliki pendidikan tertinggi termasuk mempunyai ijazah kedoktoran dan sarjana serta memiliki tauliah peguambela dan peguamcara. Kajian juga mendapati lebih 26 orang daripada kumpulan pertama dan kedua terlibat dalam profesion guru dan pensyarah berbanding kerjaya lain.
Tegasnya di sini, jasa dan sumbangan KTE dalam melahirkan modal insan yang berjaya sudah terserlah melalui testimoni kerjaya bekas pelajar kolej ini.
Dengan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Kementerian Pendidikan dilihat kena pada masanya terutama dalam memperkasakan pendidikan pra-universiti khususnya pengajian tingkatan enam.
Kita perlu membuat tranformasi dengan memastikan pengajian tingkatan enam tidak lagi berada dalam lingkungan sekolah, sebaliknya perlu berdiri sebagai feeder kepada institusi pengajian tinggi seperti juga program matrikulasi.
Dalam mengambil langkah luar kotak, KTE boleh dijalankan di universiti awam. Iniasitif ini juga boleh diambil oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pernah menjadi Maktab Perguruan sebelum dinaik taraf kepada universiti bagi bergabung dengan institusi perguruan seluruh negara untuk meningkatkan taraf pendidikan peringkat ini.
Sudah tiba masanya KTE dihidupkan semula dengan pendekatan yang menguntungkan pendidikan negara. 

Sumber: Utusan Malaysia,  11/07/2013

6 Julai 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan pastikan sistem kita setaraf negara maju


Sistem pendidikan negara wajar menyediakan murid untuk bersaing secara kompetetif bukan hanya di peringkat dalam negara malah berkemampuan menyahut cabaran dalam skop global.
Pegawai Bahagian Pengurusan Projek Kementerian Pendidikan, Dr. Hayati Ismail berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang bakal dilancarkan Ogos ini adalah pendekatan terbaik dan mampu mengubah senario pendidikan negara ke tahap antarabangsa setanding dengan negara-negara maju.
"Walau bagaimanapun, pelaksanaan PPPM hanya mencapai matlamat jika dilakukan dengan penglibatan aktif daripada pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti demi membentuk satu ekosistem pembelajaran yang terbaik.
"Kita tidak boleh lagi melihat sekolah sebagai satu institusi tunggal untuk kita membentuk anak-anak kita kerana sistem pendidikan sekarang memerlukan satu ekosistem
''Hal ini demikian kerana, anak-anak kita hanya berada di sekolah 14 peratus daripada masa mereka setahun manakala baki 86 peratus masa mereka digunakan bersama keluarga serta masyarakat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Konvensyen Pendidikan Melayu dan Bumiputera: Di mana Anak Kita? dalam sesi forum mengenai topik Meritokrasi Dalam Pengambilan Pelajar Melayu dan Bumiputera di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Kesannya Kepada Pembangunan Sumber Manusia, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konvensyen sehari anjuran Yayasan Pelajaran Mara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta terdiri murid sekolah dan penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
PPPM yang dirangka secara strategik meliputi 11 Anjakan termasuklah penyediaan akses, penguasaan kemahiran berbahasa dan penghayatan nilai.
Pelan komprehensif itu diiktiraf badan dunia Unesco kerana melakukan 'public engagement' di samping mengandungi pelan strategik perlaksanaannya.
Kementerian Pendidikan telah menjalankan sesi dialog terbuka di setiap negeri, mengadakan persidangan meja bulat, menerima 7,000 syor daripada umum mengenai keperluan dan kesesuaian yang perlu dimuatkan pada pelaksanaan pelan tersebut.
Pelaksanaan PPPM berlangsung mengikut tiga gelombang perubahan bermula gelombang pertama tahun ini sehingga tahun 2015 diikuti lima tahun seterusnya dan gelombang ketiga bermula tahun 2020 hingga 2025.
Menurut Hayati, impak pelaksanaan pelan itu mengambil masa panjang dan memerlukan masa untuk melihat hasil perubahan ke atas senario pendidikan negara yang memerlukan pelbagai pengubahsuaian.
Beliau menambah, PPPM juga dihasratkan untuk memberi impak besar kepada masyarakat Melayu sejajar dengan senario di sekolah kebangsaan ketika ini.
"Perkara ini adalah wajar sejajar dengan senario semasa di sekolah kebangsaan yang menunjukkan majoriti muridnya dan 85 peratus gurunya ialah Melayu," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia,  01/07/2013