SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

28 September 2013

Rang undang-undang baharu menyamai EO wajar disokong

 Oleh ANGELINA SINYANG

SEJARAH kongsi gelap di Malaysia bermula di Perak berikutan penemuan bijih timah di Larut, Taiping yang mencetuskan Perang Larut pada 1861 membabitkan kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San iaitu golongan penghijrah dari China kerana berebut kawasan perlombongan.
Malah pembinaan Penjara Taiping di Perak pada 1879 juga mempunyai kaitan dengan kongsi gelap iaitu dibina semasa pentadbiran Residen ketiga Perak, Sir Hugh Low bertujuan memenjarakan ahli kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San, di samping memenjarakan pembesar Melayu yang menentang penjajahan Inggeris dan penjenayah yang lain seperti perompak, pencuri dan pembunuh.
Sejak itu, kumpulan kongsi gelap dianggotai pelbagai kaum terus bercambah dan kerajaan baru-baru ini mendedahkan terdapat 49 nama kongsi gelap yang diharamkan di negara ini.
Kehadiran kongsi gelap mengancam keselamatan negara kerana mereka terlibat melakukan kegiatan haram seperti pemerasan, penculikan, ugutan, perniagaan dadah, rompakan, perjudian haram, pelacuran, penjualan cakera padat cetak rompak, pemerasan wang perlindungan terhadap perempuan sundal, penari, rumah urut, peniaga kecil dan juga kegiatan ah long.
Bagi menangani jenayah dilakukan oleh kongsi gelap, kerajaan telah mewujudkan Ordinan Darurat (EO) 1969 iaitu undang-undang yang membenarkan polis menahan seseorang individu yang disyaki terlibat dalam jenayah tanpa pertuduhan dan perbicaraan dengan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri.
Selepas EO 1969 dilaksanakan, kegiatan gangster terutamanya yang melibatkan kaum Cina semakin berkurangan dan pengaruhnya semakin hilang.
Namun tuntutan dan asakan tanpa henti pihak pembangkang telah memaksa kerajaan memansuhkan EO pada 2011 yang akhirnya membawa kepada berlakunya peningkatan jenayah kekerasan terutama insiden tembakan dipercayai berikutan pembebasan 2,473 orang tahanan EO yang dibebaskan pada Julai tahun lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta agar undang-undang baharu yang akan dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri nanti menyamai EO bagi membendung jenayah tembak-menembak yang kerap berlaku.
Dalam kenyataan disiarkan dalam akhbar pada 16 Julai lalu, Khalid menjelaskan betapa pentingnya undang-undang seumpama EO diperkenalkan kerana untuk mensabitkan seorang penjenayah bersalah, polis memerlukan saksi untuk hadir memberi keterangan di mahkamah ketika pendakwaan dilakukan.
Menurut beliau, masalah utama kes tembak tidak dapat diselesaikan adalah kerana saksi takut untuk tampil bekerjasama sehingga gagal membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Saksi takut kerana bimbang akan menerima ancaman atau balas dendam oleh ahli kumpulan yang terlibat. Apabila saksi tidak mahu tampil ke depan, bagaimana mahu bawa kes ke mahkamah.
"Undang-undang yang ada sekarang memerlukan saksi memberi keterangan di mahkamah dan itu tentu sekali membuka peluang kepada penjenayah mengenal mereka.
"Oleh sebab itu kita memerlukan undang-undang yang menyamai EO yang boleh memberi kuasa untuk merakam keterangan saksi dan mereka tidak perlu hadir ke mahkamah," ujar Khalid.
Bukan sahaja diperlukan untuk menyelesaikan siasatan dan pendakwaan kes di mahkamah, sebenarnya EO yang pernah digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) suatu ketika dahulu memang berkesan untuk mencegah kegiatan jenayah dilakukan oleh kongsi gelap.
Penulis baru-baru berkesempatan bertemu dan berbual dengan seorang bekas anggota kumpulan kongsi gelap yang pernah ditahan di bawah EO dan bertanya tentang pengalamannya selepas menjalani hukuman.
Dalam perbualan dengan lelaki berketurunan Cina berusia 50-an yang kini mengusahakan sebuah kedai makan di utara tanah air itu, dia mengakui betapa EO amat digeruni oleh ahli-ahli kumpulan kongsi gelap menyebabkan mereka berfikir banyak kali sebelum melakukan jenayah. Senang cerita, EO berjaya mengubahnya menjadi manusia baik.
Menurut lelaki yang penulis panggil dengan gelaran 'A' itu, EO berjaya bawa dia ke pangkal jalan dan sekarang selepas hampir 20 tahun dibebaskan dari tahanan, dia mampu hidup normal seperti insan lain.
"Dulu ada EO, gangster macam kami kalau nak buat hal kena fikir dua tiga kali sebab tak mahu ditangkap dan masuk pusat tahanan. Dalam pusat (tahanan) kita boleh gila kalau tak tahan mental sebab bosan. Ini kerana dalam sel (bilik tahanan) cuma ada beberapa lorong.
"Pagi petugas sel akan buka sel bagi keluar sekejap buat kopi dan minum, kemudian kawat, masuk balik sel, dibawa keluar makan dan masuk sel balik. Kalau nasib baik ada juga tahanan dibawa bekerja di bengkel pertukangan di pusat.
"Bayangkan rutin sama dibuat begitu bertahun-tahun dan paling teruk jika tempoh tahanan yang tamat dilanjutkan setahun dua lagi. Keluar pusat, kami akan dibuang daerah yang hanya membenarkan kami bergerak bebas dalam kawasan itu saja," kata 'A ' menceritakan semula pengalamannya.
Kata 'A', dia pernah dibuang daerah di Pantai Remis, Perak dan tidak mengenali sesiapa pun di pekan kecil itu.
"Saya tak ada tempat tinggal dan kenal sesiapa. Bagi meneruskan hidup, saya buat apa sahaja kerja untuk bayar sewa rumah dan makan. Bila malam tak boleh keluar rumah dan setiap minggu kena pergi ke balai polis untuk lapor diri," katanya sambil memberitahu memang seksa hidup sebagai tahanan EO sebab itu gangster takut dan berfikir banyak kali sebelum membuat jenayah.
Tambah 'A', sekarang EO sudah tiada menyebabkan gengster bebas melakukan jenayah kerana polis setakat boleh menangkap mereka tetapi jika suspek tidak mengaku salah dan tiada bukti kukuh mahu mensabitkan mereka maka mereka akan dibebaskan semula.
Sambil bergurau 'A' berkata, sungguh tidak adil apabila EO dimansuhkan kerana zaman dia dahulu ketika masih ada EO, gengster ditangkap akan ditahan di pusat tahanan tetapi samseng sekarang boleh lepas bebas.
Sehubungan itu amat wajar sekali pengalaman diceritakan oleh 'A' menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia agar menyokong undang-undang baharu menyamai EO seperti Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang dibacakan pertama kali di Dewan Rakyat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu.
Mengikut Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, Lembaga Pencegahan Jenayah mempunyai kuasa mengarahkan seseorang yang ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) ditahan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.
Menurut Ahmad Zahid, rang undang-undang itu antaranya bertujuan membenarkan kemasukan penahanan tanpa pertuduhan jenayah atau tanpa perbicaraan sebagaimana yang pernah diperuntukkan di bawah EO (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Sekiranya diluluskan oleh Kabinet nanti, kita berharap rang undang-undang baharu diperkenalkan itu dapat menjadi 'perisai' dan memberi 'taring' semula kepada PDRM untuk berhadapan dengan penjenayah khususnya kumpulan kongsi gelap yang sekarang semakin berani mencabar polis dan menggugat ketenteraman negara.

Sumber : Utusan Online - 28-9-2013

ASEAN bersatu tangani isu pertanian

Oleh : FAUZIAH AROF dan NURUL ANUAR KARI

SELARI dengan 46 tahun penubuhan ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Ke-35 diadakan di Kuala Lumpur, antara lain membincangkan isu keselamatan makanan rantau ini.
Selain AMAF, mesyuarat sama turut diadakan dengan rakan-rakan ASEAN seperti India (AMAF-India) serta China, Jepun dan Korea (AMAF+3) yang bekerjasama memastikan rantau ini lebih bersedia menghadapi krisis makanan dan memenuhi permintaan global.
Mungkin ramai tidak sedar betapa pentingnya kerjasama ini kerana terlalu fokus kepada perindustrian untuk mencapai status negara maju dan terlupa pertanian itu kunci kepada penyediaan bekalan makanan yang menjadi antara asas utama kehidupan, untuk yang miskin ataupun kaya.
Pertanian juga sebenarnya memberi pulangan lumayan dan antara sumber utama kekayaan negara anggota, menyumbang AS$2.3 trilion (RM7.41 trilion) kepada pendapatan kasar ASEAN.
Oleh itu, fokus bagi mengukuh serta meningkatkan pengeluaran produk pertanian perlu menjadi antara agenda utama peringkat global, bukan sahaja penting untuk bekalan makanan penduduk seluruh dunia malahan menjamin sumber pendapatan besar kepada sesebuah negara.
Dalam ucapan perasmian AMAF kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan beberapa isu utama pertanian dunia agar rantau ini bersedia jika krisis makanan dan petroleum berulang seperti ketika beliau menjadi Menteri Pertanian antara tahun 2004 hingga 2008.
Beliau menegaskan perlunya fokus kepada teknologi, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi semua itu turut bergantung kepada kerjasama erat negara-negara anggota dalam berkongsi sumber antara mereka, demi manfaat bersama.
"Cabarannya bukan sahaja menghasilkan makanan secukupnya tetapi untuk memenuhi permintaan. Malangnya, dunia kini berdepan masalah perubahan iklim, kehilangan tanah pertanian kepada pembangunan komersial dan lain-lain.
"Oleh itu, saya mencadangkan menteri-menteri pertanian ASEAN pertimbang untuk mewujudkan dana bersama ke arah pembangunan inovasi serta R&D untuk manfaat bersama negara-negara anggota," kata Timbalan Perdana Menteri.
Beliau juga berharap kekangan dan masalah teknologi dapat diselesaikan bersama dengan mengumpulkan sumber bersama semua negara anggota daripada mereka 'bekerja sendirian'.
Dengan gabungan dana pelaburan lebih besar, pilihan output R&D lebih besar dan lebih baik, serta kos teknologi yang lebih berkesan, Muhyiddin berharap negara-negara anggota mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing. ke arah sebuah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Saranan itu turut didukung Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melihat perkongsian sumber akan memberi manfaat bersama kepada seluruh rantau ini dalam menghadapi cabaran isu keselamatan makanan.
"AMAF sudah sejak sekian lama menggerakkan asas-asas binaan ke arah AEC untuk makanan, pertanian dan perhutanan.
"Saya percaya peranan kita sebagai pemegang amanah dalam pertanian dan perhutanan kini lebih penting daripada sebelumnya kerana kelangsungan dunia kelak bergantung kepada pertanian," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Beliau menjelaskan, negara perindustrian juga tetap memerlukan produk pertanian sementara negara maju masih terlibat dalam industri tersebut tetapi dipermudahkan kaedah pertaniannya.
Tegasnya, Malaysia dan ASEAN juga perlu ke depan dengan pemodenan industri pertanian dan bukannya mengabaikan atau meninggalkan industri tersebut semata-mata kerana mahu menjadi negara pengkomersialan.
"Kita kena ingat, krisis makanan dahulu berpunca daripada pembelian banyak sumber makanan dari luar. Semasa Thailand banjir, beras tidak dapat dibawa keluar.
"Untuk itu, kita berkongsi sumber, semua jenis sumber seperti dana untuk Rizab Beras Kecemasan bagi membantu mereka yang hadapi bencana. Kita juga bertukar teknologi, negara dengan teknologi canggih bantu negara yang banyak tanah tapi kurang teknologi," katanya.
Beliau memaklumkan Malaysia juga mempunyai kemampuan tertentu dalam pertanian dan akan membantu negara anggota yang memerlukannya tetapi industri pertanian negara turut belajar dari negara lain melalui pertukaran para pegawai.
Selaku tuan rumah AMAF Ke-35, beliau menjelaskan Malaysia juga menjadi pengerusi menteri-menteri pertanian ASEAN selama satu tahun sehingga 2014, untuk menyelaras dan mengepalai semua inisiatif yang telah dipersetujui, termasuk bersama AMAF-India dan AMAF+3.
"Yang paling utama, negara-negara ASEAN memberi kepercayaan kepada Malaysia selaku pengerusi dan kita berjaya suarakan pandangan serta bincangkan isu berbangkit dengan negara-negara terlibat.
"Kita juga mengadakan perbincangan dua hala untuk melihat peluang kerjasama lain dengan negara-negara anggota serta menyelesaikan masalah agar tiada pertelingkahan, cari situasi menang-memang," ujarnya.
Tambahnya, beberapa perkara turut dilihat kembali seperti perjanjian persefahaman (MoU) lama, sama ada sudah dibuat susulan, serta jawatankuasa bersama, sama ada sudah lama tidak bermesyuarat sehingga gagal menyelesaikan masalah yang membabitkan kepentingan dalam bidang pertanian di rantau itu.
Ismail Sabri turut mengakui AMAF memberi peluang baik untuk beliau berjumpa dan berkenalan dengan rakan-rakan sejawat ASEAN dan memahami masalah-masalah berbangkit yang dihadapi mereka, seterusnya cuba diselesaikan secara bersama.
"Bermacam jenis bencana alam berlaku di negara-negara ASEAN dan bantuan segera diperlukan seperti makanan dan lain-lain. Kita setuju tubuhkan rizab beras dan bantuan-bantuan lain juga akan diberikan Malaysia serta negara-negara anggota.
"Isu keselamatan makanan dan perubahan iklim juga kita beri perhatian. Tidak pernah ada jaringan kerjasama seperti ini, ia terbaik untuk lihat apa yang berlaku di rantau ini dan usahakan dengan segera bantuan yang diperlukan negara-negara ASEAN terbabit," jelasnya.

Sumber : Utusan Online - 28-9-2013

27 September 2013

Dilema latihan kemahiran di Malaysia

HAKIKAT bahawa hampir 80 peratus pekerja di Malaysia berada pada kategori tidak mahir perlu dipandang serius kerana ini memberikan kesan yang besar kepada keperluan modal insan, pembangunan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan corak politik Malaysia pada masa depan.
Menjelang status negara maju tahun 2020, keupayaan Malaysia menyediakan tenaga mahir pada kadar 50 peratus daripada keseluruhan pekerja adalah menjadi kayu pengukur sama ada kita benar-benar layak untuk diiktiraf sebagai negara maju. Berdasarkan situasi sekarang, kadar pekerja mahir di Malaysia hanyalah sekitar 28 peratus yang belum melepasi syarat pekerja mahir negara maju.
Dengan berbaki masa yang cuma tinggal 6 tahun dari sekarang, apakah kita mampu mencapai matlamat negara maju yang rakyat pekerjanya berkemahiran tinggi? Ini sekali gus menjadi ukuran pula kepada masyarakat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 seperti yang disasarkan dalam Transformasi Ekonomi dan janji manifesto kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU-13) lalu.
Sepanjang penulis berkecimpung sebagai penyedia latihan kemahiran swasta selama 18 tahun, tidak pernah berlaku penyatuan bersama antara Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) untuk duduk semeja berbincang secara serius seperti sekarang. Ini membuktikan tahap dilema yang sangat serius sedang dihadapi oleh semua pihak. Malah, kepercayaan antara satu sama lain untuk mencari titik persamaan dan bergabung untuk bekerjasama membuktikan keprihatinan yang bersulam kebimbangan terhadap masa depan tenaga kerja mahir di Malaysia.
Dalam pada semua pihak cemas dengan masa yang semakin singkat, semua pihak tetap melangkah ke hadapan tetapi dengan suasana tempang dan teragak-agak umpama berjalan di dalam kegelapan tanpa mengesan sebarang sinar. Maka wujudlah ketidakseimbangan antara hasrat untuk mengejar sasaran dengan kekangan perlaksanaan yang sedang dihadapi. Inilah yang menjadikan dilema ILKA, ILKS, industri dan semua yang terlibat dalam sektor kemahiran untuk melaksanakan tanggung jawab negara ini.
Terdapat beberapa isu yang menjadi dilema dasar kemahiran di Malaysia. Antaranya adalah ketiadaan satu penyelarasan yang jelas dalam sektor latihan kemahiran kerana terlalu banyak agensi yang melaksanakan perkara yang serupa tetapi mahu menjadi juara dengan jenama masing-masing. Akibatnya berlaku pertindanan yang akan merugikan perbelanjaan, sumber tenaga, pengurusan dan kualiti sebenar graduan yang dihasilkan. Pertindanan bukan sahaja berlaku di kalangan sesama ILKA tetapi antara ILKA dan ILKS.
Selain itu, wujud juga persepsi yang berbeza antara agensi pelaksana dengan agensi sokongan lain seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan PEMANDU. Adakalanya keperluan agensi pelaksana tidak difahami secara mendalam oleh agensi sokongan ini. Sebagai contoh, agensi sokongan masih menganggap banyak ILKA yang tidak diguna pakai sepenuhnya menyebabkan peruntukan tambahan sukar untuk diperolehi. Jumlah kemasukan dan kos operasi pula terbantut.
Begitu juga takrif pekerja mahir sebenar seperti digariskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia yang menetapkan sekurang-kurangnya seseorang pekerja itu perlu memiliki pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3. Sedangkan pada masa ini, daripada 1.3 juta pemegang sijil SKM, sebanyak 80 peratus berada di tahap 1 dan 2 yang masih berada pada kedudukan berkemahiran rendah.
Walau bagaimanapun, apa yang lebih parah lagi adalah kekurangan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia yang jauh lebih rendah iaitu tidak sampai RM300 juta berbanding PTPTN yang berada jumlah RM5 bilion setahun. Ini telah menyekat lebih ramai pelatih untuk mengikuti latihan kemahiran SKM.
Seperkara yang menjadi kerunsingan juga adalah keupayaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk memberi pengiktirafan pemegang sijil SKM bagi memenuhi standard dan permintaan tertentu seperti keperluan tenaga kerja sektor awam serta penilaian standard antarabangsa. Ada sesetengah negara yang mahukan jawapan sejauh manakah JPA mengiktiraf SKM sebelum negara mereka menerima pensijilan kita!
Inilah antara dilema yang sebahagiannya telah menjadi isu lapuk berzaman-zaman. Namun, kita tidak boleh lagi membiarkan dilema ini berpanjangan kerana harga kesannya sangat tinggi terutama generasi baru kini dan masa akan datang. Kesan dilema dan isu kemahiran pekerja akan menjadi tekanan kepada masyarakat dan negara jika tidak ditangani segera.
Sudah tiba masanya pemimpin negara duduk semeja dengan semua pihak supaya titik pertemuan untuk menangani isu kemahiran dapat dicapai untuk kebaikan semua.
Forum Pemimpin Kemahiran Malaysia 2013 diharap menjadi medan terbaik untuk merungkai dilema kemahiran yang menghasilkan kesepakatan semua pihak menjayakan misi nasional ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

PENULIS ialah Pengerusi Gabungan ILKS Bumiputera.

Sumber : Utusan Online - 26-9-2013

Bantu IPTS bumiputera melalui kerjasama pintar

BEBERAPA orang rakan yang menjadi pengusaha institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) bumiputera bertanya kepada penulis apakah mereka ada peluang untuk turut terlibat dalam anjakan besar Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Penulis memberi jawapan ringkas iaitu : “Jangan bimbang sudah tentu ada!" Strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diilhamkan oleh Perdana Menteri itu sememangnya bertujuan mengangkat dan memperkasa apa sahaja inisiatif ekonomi bumiputera.
Sebagai contoh sebanyak RM1 bilion diperuntukkan melalui Dana Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membiayai program latihan, pendidikan, keusahawanan dan inovasi.
Selain itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) diberikan tanggungjawab menetapkan pengambilan pelajar seramai 250,000 menjelang tahun 2020 yang kini bilangan pelajarnya berjumlah 180,000 orang.
Selain itu, Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) diwujudkan dalam semua kementerian bertujuan merangka cadangan, melaksana, memantau dan menilai segala agenda dan aktiviti ekonomi bumiputera.
Tambah penulis apa yang perlu dilakukan oleh pengusaha IPTS bumiputera adalah menyokong, mengambil bahagian dan menjadikan agenda besar ini sebagai cabaran untuk memperkasakan institusi pendidikan mereka.
Sampai masanya mereka perlu berkumpul, berbincang dan mengambil kata sepakat bagi mencari jalan bagaimana kerjasama pintar atau smart partnership melalui kaedah menang-menang dapat diwujudkan dan mengemukakannya kepada pembuat dasar di Kementerian Pendidikan, Mara dan UiTM.
Dalam hal ini Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Bumiputera Malaysia (PKIBM) yang menaungi kolej, kolej universiti dan universiti swasta milik bumiputera perlu mengorak langkah secara proaktif dan bertindak segera.
Satu kertas cadangan yang komprehensif perlu disediakan untuk dibincangkan secara telus dengan pihak yang berkuasa.
Antara perkara yang boleh diberi tumpuan adalah Fokus Pemerkasaan Pertama iaitu Mendaya Modal Insan Bumiputera. Pada hakikatnya hingga kini kerajaan telah berjaya menempatkan secara signifikan pelajar bumiputera di institusi tinggi awam dalam dan luar negara.
Namun demikian isu yang kerap ditimbulkan adalah ketidakserasian kelayakan dan kemahiran tenaga kerja yang dihasilkan dengan keperluan pasaran pekerjaan. Bagi mengatasinya beberapa cadangan telah dikemukakan iaitu:
Pertama - Bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran akan diberikan peluang kedua dengan memperbanyakkan program peningkatan kemahiran melalui aktiviti reskilling untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan.
Kedua - Penekanan diberikan kepada golongan graduan yang masih menganggur melalui program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran agar bersesuaian dengan keperluan industri.
Ketiga - Memperbanyakkan program yang memberi peluang kepada graduan mengikuti latihan pasca ijazah di peringkat sarjana dan Ph.D terutama dalam bidang kritikal.
Keempat - Berusaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan bertauliah dalam bidang perakaunan, undang-undang, perubatan, arkitek, kejuruteraan dan ahli sains aktuari.
Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh IPTS bumiputera iaitu dengan turut sama berkongsi kemahiran dan keupayaan yang mereka miliki bagi melahirkan modal insan seperti yang dicadangkan itu.
Sudah tentu penambahbaikan perlu dilakukan terlebih dahulu di institusi mereka melalui peningkatan kualiti kurikulum dan program pengajian agar selaras dengan matlamat dan usaha pemerkasaan modal insan itu.
Kertas cadangan yang akan dimajukan itu perlu meyakinkan pihak pembuat dasar bahawa program pengajian yang ditawarkan dapat mengangkat kebolehupayaan pelajar dalam memasuki pasaran pekerjaan. Sasaran bilangan pelajar yang akan dihasilkan secara berperingkat-peringkat juga perlu dinyatakan dengan jelas hingga menjelang tahun 2020.
Pada hemat penulis sekiranya ada kerjasama pintar melalui kaedah menang-menang antara IPTS bumiputera dan agensi seperti GiatMara, Institut Kemahiran Belia Negara, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Jabatan Perkhidmatan Awam, Mara dan lain-lain maka matlamat menjayakan misi pemerkasaan modal insan bumiputera itu akan dapat direalisasikan.
Satu lagi peluang yang boleh diterokai oleh IPTS bumiputera ialah apabila Perdana Menteri melontarkan slogan popular ‘UiTM Di Hatiku.’
Beliau memberikan tanggungjawab kepada UiTM untuk menambah bilangan pelajar hingga 250,000 orang menjelang tahun 2020. Kini bilangan pelajar berjumlah 180,000 orang, ini bermakna UiTM perlu menambah bilangan pelajarnya seramai 70,000 orang lagi dalam tempoh enam tahun yang akan datang.
Bagi tujuan tersebut IPTS bumiputera perlu menyediakan satu lagi kertas cadangan untuk dinilai oleh Kementerian Pendidikan dan UiTM dengan menjelaskan bagaimana suatu kerjasama pintar membantu melatih pelajar tersebut. Sebagai contoh boleh diadakan program kolaborasi iaitu sejumlah pelajar akan dilatih dan di tempatkan di IPTS bumiputera itu.
Dengan cara ini sasaran tambahan 70,000 pelajar itu dapat dicapai dengan mudah. Kaedah ini juga menjimatkan perbelanjaan kerana IPTS bumiputera telah sedia memiliki infrastruktur yang lengkap, mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi dan sejarah kejayaan melahirkan pelajar berketerampilan yang boleh dibanggakan.
Bagaimanapun sebelum kerjasama ini dilaksanakan Kementerian Pendidikan dan UiTM perlu memberikan syarat yang ketat agar pelajar yang dilahirkan nanti mempunyai kualiti yang tinggi selaras dengan matlamat untuk pemerkasaan modal insan bumiputera.
Sesungguhnya kerjasama pintar ini akan memberi peluang kepada banyak IPTS bumiputera turut terlibat dalam agenda besar yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.
Mengakhiri perbualan dengan pengusaha-pengusaha itu penulis memberi keyakinan bahawa institusi pendidikan yang mereka miliki adalah termasuk dalam Fokus Pemerkasaan Keempat iaitu Memperhebat Keusahawanan dan Perniagaan Bumiputera seperti yang terkandung dalam strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
Pada teorinya perkembangan pesat bilangan pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) akan menguncupkan pula bilangan pelajar IPTS. Jika tidak ditangani dengan betul mungkin ada IPTS bumiputera yang ‘gulung tikar’ nanti.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru
Malaysia Berhad dan Pengerusi Kolej
Teknologi Antarabangsa Cybernatics.

Sumber : Utusan Online - 27-9-2013

Tingkatkan kualiti sistem pendidikan

PELAN Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 mengenal pasti 11 anjakan strategik dan operasi untuk mencapai wawasan dalam meningkatkan taraf pendidikan kanak-kanak ke arah abad ke-21. Anjakan strategik pertama menyebut tentang memberi pendidikan berkualiti yang setanding dengan taraf pendidikan antarabangsa.
Dalam anjakan ini, keperluan untuk penambahbaikan tahap pembelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik selaras dengan piawaian antarabangsa. Untuk mencapai matlamat ini, kita memerlukan guru yang mempunyai keupayaan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar terutamanya mata pelajaran Matematik dan Sains yang bukan subjek kegemaran.
Anjakan kedua pula menyentuh tentang keperluan untuk memastikan setiap kanan-kanak mahir dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Untuk ini, kita perlu mempunyai guru yang berkebolehan untuk berkhidmat di sekolah luar bandar dan bandar. Dalam anjakan keempat pula adalah menjadikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan utama seperti yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan di mana pelantikan guru adalah daripada antara 30% graduan yang terbaik. Walaupun ini adalah langkah yang baik untuk meningkatkan kualiti profesion perguruan namun terdapat juga keperluan untuk memahami bahawa untuk menjadi seorang guru yang baik, seseorang itu bukan sahaja perlu mempunyai latar belakang akademik yang tinggi tetapi perlu juga mempunyai kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kemahiran untuk mendengar serta komited dalam profesion ini.
Anjakan ketujuh pula merujuk kepada memanfaatkan ICT dalam meningkatkan pembelajaran yang berkualiti di seluruh Malaysia. Memandangkan e-pembelajaran menjadi alat yang penting dalam menyampaikan pendidikan kepada generasi baru kini, kemudahan infrastruktur perlu dibaiki dan dikemas kini bagi merapatkan jurang digital ini.
Anjakan kesembilan pula merujuk kepada kerjasama ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta. Keutamaan adalah untuk mengubah daripada "pembelajaran sekolah" kepada "pembelajaran sistem" dengan melibatkan ibu bapa, masyarakat serta sektor swasta dan sosial sebagai rakan kongsi bagi menyokong pelajar dalam pembelajaran mereka.
Tidak dapat dipertikaikan Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar dalam sistem pendidikan untuk melonjakkan pencapaian bagi memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif. Pelan yang meliputi tempoh 2013-2025 ini merangkumi visi sistem pendidikan dan aspirasi pelajar yang diperlukan negara. Melalui pelan ini, kita perlu membina sistem pendidikan yang mengasuh kanak-kanak menghargai keunikan identiti sebagai warganegara Malaysia.
Kementerian Pendidikan bertanggungjawab untuk mencapai kesemua matlamat yang digariskan. Sementara itu, Ibu bapa, anggota masyarakat dan sektor swasta berperanan dalam meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara yang akan membantu menyemai benih kejayaan anak- anak.

Sumber : Utusan Online - 26-9-2013

17 September 2013

Keinsafan, pengajaran sepanjang 50 tahun usia Malaysia

JIKA diibaratkan sebagai seorang manusia, usia lebih separuh abad lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan kebijaksanaan. Hal ini disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan banyak menimbulkan keinsafan dan pengajaran.
Demikianlah juga dengan Malaysia. Kemerdekaan yang dicapai lebih 50 tahun seharusnya menjadikan negara dan rakyatnya dewasa, matang, dan berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang dilalui. Sudah banyak pula onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain, kita telah mengenal dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah, lebih lama kenal dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.
Resam kehidupan, ujian yang datang tidak mungkin ada noktahnya. Seperti diungkap al-Imam al-Syafi’‘ r.h.,: Ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita melihat semakin berusia negara ini semakin banyak dan hebat ujian yang melanda.
Antaranya termasuklah bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu daripada Timur dan Barat yang tibanya bersilih ganti. Sekadar menyebut sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme, liberalisme, dan yang sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau doktrin Syiah. Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan sebenar dan menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang telah sedia terjalin.
Hal ini mengambil kira hakikat dunia kini telah tiada sempadan atau batasannya. Manusia bebas berkomunikasi, menyampaikan pandangan dan menyebarkan pemikiran serta doktrin yang dianuti melalui pelbagai wadah seperti portal berita, blog, e-mel, web, dan media sosial.
Dengan yang demikian, matlamat memelihara masyarakat daripada musibah yang dibawa pemikiran-pemikiran seumpama itu harus terlaksana melalui tindakan yang tepat, berhikmah, dan berkesan. Dengan kata-kata lain, segala aspek dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum langkah menangani atau membendung penularan sesuatu pemikiran diambil. Dalam hubungan ini, pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman, pemantapan akhlak di samping pembudayaan sepenuhnya prinsip menyeru kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran dilihat sebagai lebih utama dan berkesan.
Tindakan ini tidak lain selain bertujuan membina perisai atau benteng diri yang teguh dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang melanda pada masa kini. Jika dikiaskan pada tubuh, daya ketahanan tinggi yang dimiliki seseorang akan melindungi dirinya daripada dilanda sesuatu penyakit dengan mudah. Begitulah pula sebaliknya.
Perhatian utama terhadap aspek pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman dan sebagainya itu perlu disusuli penilaian terhadap keberkesanan pendekatan yang digunakan selama ini. Adakah misalnya kaedah penyampaian pengajaran dan pendidikan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang telah dilanda perubahan pesat dalam segenap sudut? Atau sebaliknya kaedah tersebut gagal menarik minat anggota masyarakat untuk menerima pengajaran yang disampaikan? Apatah lagi untuk menghayatinya.
Malang sekali jika sedemikian banyak ruang dan masa diperuntukkan bagi menyampaikan ajaran agama; daripada pendidikan pada setiap peringkat pengajian sehingga khutbah di masjid dan program keilmuan di corong-corong radio serta kaca televisyen, namun akhirnya ajaran tersebut gagal sampai kepada kelompok sasarannya. Malah sebaliknya sebahagian kelompok berkenaan, khususnya golongan muda lebih mudah beralih kepada ideologi dan pemikiran asing yang ditemui mereka dalam media baharu.
Sungguh menyedihkan jika kebenaran tidak berupaya disampaikan dengan sebaik-baiknya kepada anggota masyarakat hanya kerana kelemahan pada kaedah atau pendekatannya. Sedangkan kebatilan pula dengan mudah menerobos dan menakluki pemikiran mereka hanyalah disebabkan kehebatan kaedah yang digunakan. Tepat sekali apa yang diingatkan oleh Khalifah ‘Ali k.w. bahawa kebenaran yang diperjuangkan secara tidak tersusun akan dapat ditewaskan oleh kebatilan yang disusun secara sistematik.
Dengan yang demikian, seluruh institusi yang terlibat seperti pendidikan, pemikir dan penyelidikan, dakwah, termasuk media perlu menggembleng tenaga secara bersama. Tujuannya bagi memastikan kaedah penyampaian pengajaran, pendidikan, serta dakwah diberikan nafas baharu dan ditampilkan dengan wajah serta format lebih kreatif dan segar, seiring dengan perubahan masa dan persekitaran. Walau bagaimanapun, pendekatan baharu yang digunakan haruslah tidak sama sekali semata-mata menurut selera masyarakat dengan mengabaikan kepentingan kandungan pengajaran, iaitu bagi meningkatkan kefahaman tentang ajaran agama serta tahap keilmuan dan memperluas ufuk pemikiran mereka.
Golongan ilmuwan dan agamawan secara khususnya harus menyedari bahawa mahu tidak mahu, mereka telah pun berada dalam medan persaingan untuk mendapatkan perhatian besar masyarakat awam. Jika perkara ini tidak diberikan tumpuan sewajarnya maka sudah tentu ruang yang ditinggalkan mereka dengan pantas diisi oleh pihak lain yang menanti untuk merebut peluang tersebut. Justeru, para ilmuwan dan agamawan harus memiliki daya tarikan yang kuat bagi memastikan bahawa mereka sentiasa dijadikan rujukan dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul dalam kehidupan. Sememangnya pada dasarnya, masyarakat awam memikul tanggungjawab untuk merujuk kepada mereka, iaitu sebagaimana diperintahkan al-Quran.
Kecenderungan untuk menjadikan mereka sebagai rujukan sudah tentu pula didorong oleh keyakinan terhadap kewibawaan yang dibentuk oleh sifat-sifat dan nilai-nilai terpuji. Namun sekiranya, kewibawaan yang dimiliki telah pun lenyap sehingga meluputkan kepercayaan masyarakat untuk bergantung pada mereka, maka selayaknya merekalah yang bertanggungjawab atas kekhilafan yang berlaku itu.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : Utusan Online - 17/09/2013

16 September 2013

Cintai negara asas perpaduan kaum

 Oleh : Tan Sri Rozali Ismail ialah Presiden Majlis Perunding Ekonomi Melayu (MAPEM).
 
TAHUN ini adalah tahun ke-50 penubuhan Malaysia. Kerajaan sentiasa mengharapkan rakyat bersatu padu, mengerat hubungan pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Namun jelas sekali tahap keharmonian yang diidamkan itu tidak kesampaian. Negara dilanda fitnah, demonstrasi, peningkatan jenayah samseng dan kongsi gelap. Semuanya berlaku gara-gara sentimen perkauman yang melampau. Tambahan pula semangat patriotik semakin luntur dan rakyat tidak lagi segan silu mengecam Malaysia di dalam dan luar Negara.
Bagi memupuk semangat patriotik, sambutan kemerdekaan 31 Ogos lalu telah membawa tema 'Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku'. Sesungguhnya kerajaan Malaysia mengajak 30 juta rakyatnya yang berbilang kaum bersama-sama berganding bahu mempertahankan maruah dan kedaulatan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran. Di samping itu, rakyat juga diminta memperkasa semangat cintakan negara kerana ia adalah tunjang perpaduan bagi mengekal kestabilan dan meneruskan kelestarian pembangunan negara.
Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna yang berlaku pada awal tahun ini memberi pengajaran bahawa tanggungjawab mempertahan maruah dan kedaulatan negara bukan saja terletak di bahu pasukan keselamatan. Rakyat Malaysia telah bersama-sama mengutuk pencerobohan pengganas Sulu yang mendakwa Sabah milik mereka, tetapi telah digadaikan oleh kerajaan British menerusi Perjanjian Brooke 1888. Usaha mempertahan bumi berdaulat itu perlu diteruskan dengan menentang kuasa asing yang sedang menghasut segelintir rakyat supaya melakukan pelbagai demonstrasi jalanan agar tercetusnya 'Arab Spring' di negara ini, lantas memudahkan mereka masuk serta menjajah Malaysia.
Ketika pasukan keselamatan menyabung nyawa membenteng sempadan negara daripada dibolosi anasir subversif, masyarakat perlu memperkukuhkan perpaduan dengan memupuk semangat cintakan negara.
Semangat itu perlu diterjemah dan dizahirkan dalam urusan seharian agar perpaduan yang terjalin selama ini terus berkekalan kerana ia menjadi kunci yang membebaskan kita dari belenggu penjajahan mental dan fizikal. Mengeratkan perpaduan antara kaum bukan sekadar mengunjungi sahabat dan taulan di musim perayaan, menziarahi kematian atau bersama-sama mengikuti program percutian dan riadah. Ia boleh dijalin dengan lebih akrab menerusi kerjasama dan perkongsian ekonomi.
Kaum yang menguasai 80 peratus kekayaan negara sepatutnya lebih mesra mengajak kaum lain bersama-sama 'menyemai dan menuai' kegiatan ekonomi. Realiti yang berlaku hari ini ialah mereka yang memonopoli dagangan bank, industri pembuatan dan perkhidmatan tidak mahu berkongsi kekayaan itu dengan bangsa lain, kecuali memenuhi kuota 30 peratus peluang pekerjaan bagi memenuhi syarat pemerintah. Sebaliknya mereka terus menerus mendesak kerajaan agar melupuskan semua dasar ekonomi yang diberi kepada bangsa majoriti yang masih terkial-kial menapak dalam bidang perniagaan walaupun sudah bebas penjajahan selama 56 tahun.
Perbezaan jurang ekonomi yang jauh itu mengakibatkan perpaduan antara masyarakat semakin melebar. Kesannya, apa jua usaha yang dilakukan untuk mengeratkan semangat perpaduan menemui jalan buntu.
Lebih parah lagi sekelumit rakyat yang remuk hati telah menggadai maruah peribadi dan negara untuk bersekongkol dengan kuasa asing, berusaha meranapkan Malaysia menerusi pelbagai tindakan yang bercanggah dengan prinsip perpaduan nasional.
Malaysia sebenarnya negara bertuah kerana dikurniakan hasil bumi dan tanah yang subur bagi menampung kehidupan penduduk berbilang bangsa dan agama. Apa yang merisaukan adalah negara menghadapi sedikit gangguan daripada pihak tertentu yang mahu mengancam kestabilan sosial dan politik. Masyarakat terutama generasi muda cuba diserapkan dengan dakyah yang boleh melunturkan semangat kesetiaan kepada negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan telah membawa keamanan kepada negara sejak merdeka. Dalam tempoh itu Malaysia hanya diuji dengan tragedi berdarah 13 Mei 1969 sahaja. Kehidupan harmoni di Malaysia dikagumi dunia. Ketika keganasan etnik sedang merebak di seluruh dunia, Malaysia dinobatkan sebagai negara 'multi racial' paling selamat di rantau Asia Tenggara. Lebih dari itu, suara Malaysia juga didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Bagi mewakili PBB, Malaysia membawa misi keamanan di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006).
Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembleng bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang. Sepanjang usia merdeka, pertumbuhan ekonomi negara juga didapati berkembang pesat. Dengan memiliki asas ekonomi dan pelaburan yang kukuh, negara tidak terlalu bergantung kepada persekitaran global.
Buktinya, ekonomi negara mampu bertahan dengan baik ketika beberapa negara di dunia kini dilanda muflis akibat serangan krisis kewangan.
Perkembangan ekonomi Malaysia yang cukup konsisten juga telah merancakkan banyak sektor termasuk pelancongan. Pencapaian itu pasti berterusan jika rakyat Malaysia terus mendokong konsep perpaduan dan integrasi nasional yang menghasilkan keamanan. Justeru, rakyat Malaysia perlu bersama-sama memperkasa semangat cintakan negara dan mempertahan kedaulatan Malaysia.

Sumber : Utusan Online - 16-09-2013
 
 

12 September 2013

PPPM: Persiapan hadapi alaf 21

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA
Prof. Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana Menteri pada 6 September lalu adalah persiapan untuk menyediakan generasi penerus dan negara menghadapi cabaran alaf 21.
Antara cabaran alaf 21 ialah perkembangan ilmu dan proses pendidikan yang dinamik. Perkembangan teknologi terutama teknologi maya dan media baru adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan perancangan yang rapi dan strategik.
Faktor globalisasi adalah faktor paling utama mendepani cabaran perubahan hari depan. Faktor hak asasi manusia mengikut ukuran Barat, budaya popular dan hedonistik yang sedang menular, hegemoni pihak luar terhadap faktor teknologi, ekonomi dan budaya memberikan Malaysia pilihan mencabar untuk terus maju dan berubah.
Oleh itu generasi muda harus dipersiapkan untuk respons kepada cabaran globalisasi di samping mengukuhkan asas-asas fundamental dan relevan dengan iklim Malaysia yang ingin maju dalam acuan kita sendiri.
Perubahan dalam ilmu dan pendidikan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Tradisi penyelidikan dan pengembangan menyebabkan ilmu berkembang dinamik. Ia menuntut kebijaksanaan bagaimana perkembangan ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi dapat disantuni dan dimanfaatkan dengan bijaksana.
PPPM melibatkan kajian terhadap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid dan orang ramai di seluruh negara. Ia telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa.
Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Kualiti kurikulum dan guru, pengurusan sekolah dan masyarakat, kaedah penyampaian dan cara pengukuran mempunyai kaitan rapat membangun pelan ini.
Terdapat enam ciri utama yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing di peringkat global. Ciri-ciri itu ialah ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional.
Ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang amat penting bagi mendepani perubahan. Integrasi ilmu dan nilai adalah sesuatu yang amat penting supaya ilmu tidak hanya dipelajari secara mekanistik tetapi sekali gus membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.
Kemahiran berfikir merupakan faktor penting perubahan berlaku. Ilmu tidak hanya dihafaz semata-mata untuk keperluan peperiksaan. Dalam tradisi umat Islam yang membawa kepada tamadun proses pengajaran dan pembelajaran melalui lima tahap yang sifatnya saling mengukuh. Di samping hafazan, kefahaman adalah perlu.
Selepas faham, berfikir adalah amat utama. Berfikir melahirkan pemikiran (fikrah). Daripada nya proses internalisasi (penyerapan) harus berlaku. Akhirnya manifestasi ilmu itu terlihat pada amal.
Kemahiran memimpin memerlukan latihan. Kokurikulum dan ekstra kurikulum yang harus disusun semula supaya potensi pelajar dapat dingilap secara praktis dan bersifat lapangan. Kepimpinan dan pengikutan adalah asas penting lahirnya sistem dan masyarakat yang baik.
Kemahiran dwi bahasa dan beberapa bahasa dalam konteks Malaysia amat mustahak. Penguasaan bahasa Melayu yang berstatus ilmu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa harus dijadikan fokus. Dalam tradisi tamadun Islam terdahulu penguasaan banyak bahasa menjadi resam amalan dalam kalangan ilmuwannya dan bahasa Arab dijadikan bahasa utama.
Etika dan kerohanian adalah sesuatu yang paling utama dalam mana-mana proses transformasi pendidikan. Agama yang mendukung Nilai Paling Utama (Supreme Values) dan Nilai-nilai Interaktif (sejagat) adalah penting membentuk watak dan sahsiah.
Barat suatu ketika menjadikan agama sebagai latar penting pembinaan etika dan nilai.
Mendepani Barat dan Timur, warga Malaysia harus memanfaatkan faedah berbanding yang sifatnya menyumbang ke arah pembangunan tamadun. Tradisi Islam silam menjadikan ini sebagai resam tradisi yang sifatnya menyumbang terhadap kemajuan tamadun Islam itu sendiri.
Dalam konteks Islam faktor berbanding ini perlu melalui penyesuaian epistemologi (falsafah ilmu) supaya ia terbina dengan kekuatan etika dan nilai. Inilah yang dikatakan integrasi dan islamisasi ilmu yang giat dilaksanakan di Malaysia supaya tasawwur mengenai ilmu sifatnya merangkumi.
Malaysia ada perjalanan sejarah dan budayanya sendiri. Kemajmukan adalah ciri penting masyarakatnya. Amat penting sistem pendidikannya mendidik warga pelajarnya dengan rasa kecintaan yang tinggi terhadap negaranya dan bersikap patriotik terhadapnya.
Patriotisme di Amerika Syarikat umpamanya boleh dipelajari bagaimana konsep melting-pot menghasilkan warga yang patriotik walaupun wujud perbezaan kaum dan kelainan faham politik.
Enam ciri di atas ditunjangi dengan 11 anjakan utama supaya proses transformasi berlaku.
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan memperlajari bahasa tambahan.
3. Melahirkan rakyat yang menghayati nilai.
4. Mentransformasi misi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.
5. Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasakan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.
8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian.
9. Bekerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.
Sekiranya anjakan tersebut dapat dijadikan proses utama dalam menyediakan ejen perubahan dalam pendidikan Wawasan 2020 akan menjadi suatu kenyataan. Malah PPPM melampaui sehingga tahun 2025 supaya kemajuan itu menuju kepada suatu peradaban.
Malaysia memilih pendekatan transformatif yang sifatnya gradual tetapi konsisten. Ia menginsafi proses membentuk manusia tidak boleh berlaku dengan sekelip mata apalagi untuk merubah sistem ke arah etika tinggi dan berasaskan nilai menuntut perancangan yang rapi dalam meraikan agenda yang strategik supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

8 September 2013

Kekalkan semangat perlembagaan

SEMUA pihak harus sedar bahawa kemerdekaan Tanah Melayu lahir atas kesepakatan, persefahaman dan sikap tolak ansur yang diberikan oleh semua pihak.
Walaupun asalnya negara ini milik Melayu, namun bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dan lain-lain bangsa tetap mendapat tempat di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Namun terdapat segelintir daripada masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang mahukan hak sama rata sehingga menimbulkan kemarahan orang Melayu.
Ini memaksa Tunku Abdul Rahman menggunakan kebijaksanaannya melaksanakan tugas dalam memberikan keseimbangan di dalam perlembagaan yang digubal.
Perkara itu masih lagi terjadi kini walaupun telah lebih 50 tahun merdeka, lebih-lebih lagi dalam kalangan pihak pembangkang yang sentiasa menunggu peluang mewujudkan ketegangan di antara kaum.
Ahli akademik dan tokoh budaya, Profesor Dr. Zainal Kling berkata, jika mereka mengambil semangat perlembagaan itu, sudah pasti mereka tidak akan mengambil kesempatan dengan apa yang telah dikecapi hari ini.
Semangat yang ada ketika Perlembagaan Malaysia digubal telah semakin terhapus, apatah lagi dengan pelbagai anasir-anasir luar yang cuba menggugat keamanan yang telah dikecapi hari ini.
Semasa menggubal perlembagaan, ia pada dasarnya melibatkan pihak luar bagi menjaga kebebasan pendapat dan tidak berlaku sebarang isu berat sebelah.
"Jika perkara seperti itu dapat diterima pakai dan menerima persetujuan semua pihak pada ketika itu, mengapa tidak kini?
"Perkara yang dibincangkan dahulu memberikan keuntungan kepada semua pihak tidak mengira bangsa dan agama," jelasnya.
Zainal berkata, terdapat beberapa perkara yang dianggap sensitif di dalam perlembagaan negara yang harus dikekalkan kerana persetujuan telah dicapai untuk membolehkan negara merdeka.
Namun, ada sesetengah pihak masih lagi mahu mengganggu gugat kerana kumpulan ini tidak berjaya mengganggu gugat semasa kesepakatan dicapai 56 tahun lalu.
Ini menunjukkan, isu yang sama dimainkan sekali lagi yang satu ketika dahulu telah mencapai kesepakatan antara semua pihak bagi membolehkan mereka mencapai hasrat tersebut.
"Dengan semangat yang kukuh dalam menegakkan perlembagaan, masalah ini sebenarnya boleh diatasi dengan baik apabila mereka kembali kepada perlembagaan sebenar," jelasnya.

Sumber : Utusan Online - 7/09/2013

Proses gubal perlembagaan bukan mudah

PROSES penggubalan perlembagaan bukan satu perkara mudah kerana perlu melibatkan segala aspek bagi memastikan ia adil untuk seluruh penduduk di Tanah Melayu.
Ia bermula setelah persatuan-persatuan Melayu di Tanah Melayu bergabung menentang penubuhan Malayan Union selepas Jepun menyerah kalah.
Persatuan Melayu ini akhirnya bergabung dan menubuhkan UMNO di Istana Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Jaafar yang akhirnya memaksa pihak British membubarkan Malayan Union.
Rentetan peristiwa itu bagi mencapai kemerdekaan, UMNO yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman mendesak British untuk menubuhkan kerajaan sendiri yang membawa kepada pilihan raya pertama pada tahun 1955.
Penulis buku Sejarah Perlembagaan Malaysia, Datuk Abd. Manaf Ahmad berkata, melalui pilihan raya ini, UMNO bersama-sama parti kaum Cina, MCA dan kaum India MIC bergabung di bawah sebuah parti yang dinamakan Perikatan.
"Pilihan ini memberi tamparan buat British apabila Parti Perikatan menang besar dengan 51 kerusi berbanding 52 kerusi yang dipertandingkan.
"Ini menunjukkan penduduk di Tanah Melayu pada ketika itu benar-benar mahu mentadbir negara ini dengan sendiri tanpa campur tangan luar serta merdeka daripada belenggu penjajah," katanya.
Selepas kemenangan itu, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama Persekutuan Tanah Melayu dan menjadi tulang belakang kepada perundingan kemerdekaan tanah air.
Selepas British bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah perkara itu.
Bagi sebuah negara merdeka, perlembagaan adalah perkara yang amat penting bagi memastikan masyarakat mempunyai pegangan dalam hidup bermasyarakat di sesebuah negara.
Sebuah jawatankuasa kerja telah dibentuk bagi menggubal perlembagaan yang terdiri daripada wakil kerajaan British, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti politik.
Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.
Rentetan itu, sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan yang diketuai oleh Lord Reid bagi menilai dan meneliti draf perlembagaan yang telah dibuat bagi memastikan ia meliputi semua aspek.
Manaf berkata, antara orang terpenting dalam merangka draf itu adalah Tun Abdul Razak yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Politik Perikatan yang menyediakan draf Memorandum Perlembagaan Persekutuan untuk dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid.
Melalui suruhanjaya itu, mereka cuba mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara yang akan ditubuhkan ini.
Menurutnya, proses tersebut bukan satu proses yang mudah kerana banyak perkara tidak dapat dipersetujui dan menimbulkan kemarahan beberapa pihak.
Walaubagaimanapun, persetujuan telah dicapai dengan cara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta menghormati hak-hak orang lain.
"Perkara yang dipersetujui itu menyentuh lima perkara utama seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
"Akhirnya, Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai 31 Ogos 1957 yang juga merupakan tarikh kemerdekaan negara," jelasnya.

Sumber : Utusan Online - 7/09/2013

Gelombang transformasi pendidikan

11 September 2012, iaitu hampir setahun yang lalu dan di dewan ini juga, kita telah sama-sama menyaksikan Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Setahun adalah satu jangkamasa yang agak lama. Jika kita bertanam padi tentu sudah kita nikmati hasilnya, jika dahulu anak-anak pandai bertatih, kini sudah boleh melangkah gagah.
Begitu juga halnya dalam kita merangka satu pelan pembangunan pendidikan yang komprehensif, kementerian tidak bertindak tergesa-gesa malah kita mengambil pendekatan terbuka mendengar pelbagai pandangan daripada segenap lapisan masyarakat. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mendengar suara rakyat, baik di bandar, mahu pun di desa, hatta hingga nun jauh ke kawasan pedalaman, pandangan tulus daripada pelbagai persatuan, agensi kerajaan, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, serta pakar-pakar pendidikan dalam dan luar negara. Tidak lengkap dengan itu, PPPM ini kita bentangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta ahli Jemaah Menteri yang memberi sokongan yang cukup padu kepada pembangunan pelan ini. Pelan ini juga telah saya sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
Dalam tempoh setahun setelah pelancaran laporan awal, KPM telah mengambil pertimbangan sewajarnya bagi setiap maklum balas yang diterima. Kami dengar, kami angkat suara hati rakyat dalam bentuk dokumen rasmi. Akhirnya pada hari ini, dengan segala data dan maklumat yang kami cerna sejak 2011 lahirlah PPPM 2013-2025. Pelan ini menjadi suatu dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara kerana ia merupakan suatu rangka pelan pendidikan yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.
Maka hari ini, KPM dengan rasa rendah hati "memulangkan" Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada rakyat dengan pelbagai rangka tindakan yang telah digalurkan sebagaimana yang diingini oleh rakyat untuk kepentingan rakyat seluruhnya. Pelan ini dilancarkan dengan harapan yang begitu tinggi daripada pihak kerajaan agar pendidikan menjadi tunjang kepada transformasi negara yang sedang diusahakan. Penghasilan pelan ini memulakan lembaran transformasi pendidikan tetapi juga menerajui transformasi perkhidmatan awam. Maka, tidak sempurna jika saya tidak mengungkapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan pelan pendidikan ini.
Kelainan dalam penghasilan PPPM
Bagi mencapai cita-cita besar untuk maju dalam pendidikan, KPM telah mencipta kelainan dan melangkaui semua kemungkinan dalam penghasilan PPPM. Suka saya nyatakan di sini, suatu kelainan dalam menyediakan PPPM 2013-2025 ini adalah dari segi penggunaan data dan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian, universiti tempatan, UNESCO dan juga Bank Negara. Kementerian telah menganalisis semula laporan awal sebelum ini seperti Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembanguan Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.
Kita tidak nafikan dalam usaha mengangkat kecemerlangan sistem pendidikan negara sejak merdeka, telah banyak perkara yang telah dicapai. Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.
Kejayaan ini memperlihatkan bahawa wujud amalan-amalan baik yang pernah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah yang membawa kepada keberhasilan dan peningkatan prestasi dalam sistem pendidikan kita. Contoh amalan baik ini juga adalah antara elemen yang diambil dalam merangka strategi pelaksanaan inisiatif-inisiatif PPPM. Sebagai tambahan, kementerian juga meneliti amalan terbaik daripada negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.
Dari sinilah kita memulakan perancangan untuk mengorak langkah bagi kembara yang panjang sehingga 2025. Ini bermakna, setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM ini, tidak dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarkan kepada fakta dan data selain daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.
Tumpuan kepada keberhasilan murid
PPPM 2013-2025 memberi tumpuan kepada keberhasilan murid. Pelan ini direncanakan sebegitu komprehensif yang melibatkan semua laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan di sekolah-sekolah kerajaan. Ia juga merangkumi semua peringkat persekolahan; daripada peringkat prasekolah hingga kepada peringkat lepasan menengah.
Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin yang mengambil inisiatif turun ke seluruh negara dan berjumpa dengan sejumlah 17,000 rakyat yang mengemukakan pandangan yang pelbagai dan hasil itulah yang kita cerna dan masukkan dalam pelan ini.
Dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tinggi bagi tempoh 13 tahun lagi, PPPM 2013-2025 telah memberi tumpuan utama kepada pembelajaran dan keberhasilan murid. Sebagai contoh, Kementerian telah memperkukuhkan dasar bahasa dengan memberi tumpuan kepada dua bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Malahan dalam siri dialog yang kita adakan di seluruh negara sebahagian besar mengutarakan kepentingan tentang bahasa Inggeris diperkukuhkan dan ini kita ambil kira dalam pelan ini. Kita juga, memantapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), ini penting untuk menentukan anak-anak kita bukan sahaja belajar dalam menghafal tapi faham dan tahu apa yang mereka belajar dan menggunakan akal fikiran pada tahap tinggi. Selain itu, kita memantapkan elemen etika dan kerohanian kerana elemen pembelajaran kita tidak hanya mahu menekankan aspek pembelajaran semata-mata, tetapi pembentukan sahsiah, menjadikan insan kamil dan roh pendidikan itu mesti disemai, ditanam dan diperkukuh dalam jiwa setiap anak-anak Malaysia dalam sistem persekolahan kita.
Dasar bahasa
Untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada semua murid tanpa mengira peringkat dan jenis sekolah, saya berani mengatakan semua aspek untuk meningkatkan kualiti pendidikan telah dikaji dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam. Dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam pelan ini.
Kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.
Kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia demi menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama untuk melahirkan generasi global, mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diberikan perhatian utama dan seperti yang telah diumumkan awal tahun ini akan dijadikan mata pelajaran SPM wajib lulus menjelang tahun 2016. Dalam memastikan pelaksanaan hasrat ini, Kementerian sedang dalam usaha menambah masa ataupun 'contact hours' di dalam kelas agar pendedahan/immersion murid-murid yang lebih dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan.
Saya sedang meneliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah satu sesi dan masih ada 1,600 sekolah dua sesi yang akan dijadikan sekolah satu sesi, maka tempoh waktu persekolahan dilanjutkan umpamanya menambah waktu persekolah sejam atau dua jam dan itu boleh kita gunakan untuk menambah contact hours untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa lain di seluruh sekolah.
Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa ini, PPPM menggariskan beberapa inisiatif. Antaranya ialah menambah baik Kurikulum Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan. Bagi murid yang lemah, kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain.
Dalam usaha meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa Inggeris pula, guru-guru Bahasa Inggeris telah diuji kemahiran mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT). Ekoran itu, kohort pertama seramai 5,000 orang telah mengikut latihan lanjutan oleh British Council, manakala seramai 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan pada Oktober nanti.
Suka saya nyatakan di sini, walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris menjadi agenda utama kementerian, murid juga digalakkan untuk menguasai bahasa tambahan. Kementerian tidak menghalang pengajaran pembelajaran bahasa ibunda malah membuka ruang dan peluang kepada murid untuk mendapatkan pendidikan bahasa tambahan seperti bahasa Arab dan Kadazan Dusun.
Selain berusaha untuk meningkatkan penguasaan dwibahasa, kemahiran berfikir aras tinggi, atau Higher Order Thinking Skills, juga menjadi fokus dalam usaha Kementerian untuk melonjakkan sistem pendidikan negara dalam kelompok negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Oleh itu, dalam pelan ini, dasar 60:40 yang mula diperkenalkan pada 1967 akan diperkukuhkan dengan meningkatkan kesedaran tentang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kurikulum bersepadu berasaskan standard antarabangsa akan dihasilkan dan penambahbaikan kerangka pentaksiran dengan memasukkan elemen kemahiran berfikir akan dilakukan.
Pendidikan Islam
Kementerian juga beriltizam untuk melahirkan murid yang memiliki sahsiah terpuji serta mempunyai identiti nasional. Dengan itu kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral akan dimantapkan. Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama akan ditingkatkan dengan pengukuhan kurikulum Dini dan Tahfiz agar murid dapat dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Soal ini sebenarnya banyak juga dibangkitkan oleh ibu bapa Islam yang mahu pendidikan Islam diperkukuh dan diperluas agar menjadi asas kukuh dalam sahsiah dan peribadi moral dan akhlak anak-anak kita.
Sistem pendidikan juga akan menyediakan laluan pendidikan yang bersesuai dengan dengan bakat, minat dan gaya pendidikan di samping akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh yang terarah kepada kerjaya pilihan mereka. Maka, kementerian turut mengambil kira pendidikan teknik dan vokasional, seni, dan sukan
Malahan saya telah melancarkan tahun lalu Program Transformasi Vokasional yang mana kita tahu dalam sistem di negara kita setakat ini, tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional iaitu kurang 10 peratus. Sasaran kita meningkatkan sehingga 20 peratus.
Di negara maju sudah sampai 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan pelajar dalam sistem persekolahan yang mengambil bidang vokasional dan teknikal. Bermakna, Malaysia masih jauh. Apabila kita melancarkan dasar ini dan menyediakan tempat sebanyak 10,000, tahun ini sahaja terdapat 126,000 ibu bapa yang mendaftar anak-anak mereka untuk mengambil aliran vokasional. Alhamdulillah, sudah meningkat dengan begitu mendadak sekali. Sementara itu, kita juga tidak lupakan pendidikan khas yang lebih inklusif. Dalam blue print awal kita, mungkin kita tidak nyatakan dengan jelas tentang soal pendidikan khas. Jadi mereka yang terdiri daripada kepimpinan persatuan yang mewakili orang istimewa bertanya kenapa tidak ada makmal khas untuk mereka. Jadi, segala cadangan mereka kita masukkan sebagai inti pati penting dalam pelan pendidikan ini khusus untuk anak-anak kita yang kelainan dan keistimewaan ini.
Mengupaya pemimpin sekolah dan guru
Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan perancangan rapi di peringkat pelaksana. Guru adalah tunggak utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah. Menyedari perkara ini, PPPM telah memperkukuhkan Pejabat Pendidikan Daerah dengan menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan program yang dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+. Mereka bukan sahaja dapat membimbing dari segi pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aspek penilaian seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Harapan saya melalui bimbingan ini, guru-guru dan semua pengetua/guru besar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Kementerian terus berusaha untuk memartabatkan profesionan keguruan dengan inisiatif meningkatkan syarat kemasukan guru iaitu 30 peratus daripada graduan terbaik memasuki profesion perguruan. Mereka ini digalakkan menjadi guru kerana kita mahu guru bukan sahaja dalam kalangan terdidik tetapi terpelajar, banyak ilmu dan ada kecemerlangan dalam pembelajaran mereka.
Selain itu laluan kerjaya guru, cadangan untuk mengurangkan beban tugas guru, dan pelaksanaan program profesionalisme berterusan turut dilaksanakan. Bagi pengetua/guru besar, kriteria perlantikan iaitu yang tidak berdasarkan kepada jangka masa perkhidmatan akan dilaksanakan.
Tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau memegang jawatan yang lebih penting. Berdasarkan merit dan keupayaan mereka, ini yang kita akan ambil kira dalam kenaikan pangkat mereka. Dalam masa lima tahun akan datang, 4,000 pengetua/guru besar akan menamatkan perkhidmatan dan ini membuka peluang kepada calon-calon pengetua/guru besar yang berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi kekosongan. Sudah ada peraturan ketika ini sesiapa yang ingin jadi pengetua dan guru besar mesti melalui satu proses dan latihan khusus dan jika mereka lulus baru kita meletakkan sebagai pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan.
Kelainan dalam Pelaksanaan PPPM
Semua aspek perancangan digalurkan didalam pelan ini. Apa yang harus kita tumpukan sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan. Saya akui PPPM yang dicadangkan ini luas dan kompleks. Bagi memastikan kejayaan pelan ini, strategi pelaksanaan secara berhemah mengikut fasa atau disebut sebagai gelombang, dirangka dengan memberi tumpuan kepada sokongan terhadap guru dalam gelombang pertama, sebelum memacu peningkatan sistem dalam gelombang kedua dan beranjak ke arah kecemerlangan pendidikan dalam gelombang ketiga. Penyusunan sebegini adalah penting kerana bagi memastikan pelan ini berjaya keutamaan perlu diberikan terhadap inisiatif yang penting khususnya yang membawa keberhasilan murid.
Penubuhan PADU
Untuk mengupayakan pelaksanaan Pelan ini juga, kementerian telah mewujudkan entiti khas yang dinamakan PADU iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan untuk memantau dan memastikan kejayaan inisiatif. PADU ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang berbakat dari dalam dan luar Kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut kesungguhan yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap lagi berwibawa. Jelasnya, penubuhan entiti khas ini tidak pernah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan mana-mana perancangan sebelum ini. Malah melalui PADU yang akan mengaplikasikan prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat, kementerian berhasrat untuk menyediakan laporan tahunan dan status pencapaian inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.
Penglibatan pihak berkepentingan
Suatu lagi keunikan dalam pelaksanaan pelan ini ialah dengan pelibatan pihak berkepentingan. Kementerian tidak mahu Pelan ini menjadi satu dasar yang hanya difahami dan berlegar sekitar warga Kementerian sahaja.
Memandangkan pelan ini terhasil daripada aspirasi rakyat, maka kementerian berhasrat untuk merakyatkan pelaksanaannya. Inisiatif-inisiatif yang direncanakan dalam 11 anjakan yang telah diuar-uarkan, perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana daripada rakyatlah tercetusnya ilham untuk merangka inistiatif tersebut.
Di samping itu kita turut menekankan betapa pentingnya jaringan yang utuh antara PIBG, ibu bapa dan sekolah. Kita juga memberikan perhatian tentang sumbangan swasta dalam kita mahu meningkatkan PPPM ini.
Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak swasta. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Amir dan Khazanah Malaysia. Secara kebetulan saya baru mengadakan lawatan ke sebuah Sekolah Amanah di Gelang Patah semalam dan menunjukkan hasil yang luar biasa.
Dengan pendekatan baharu yang digunakan sekolah ini saya melihat lonjakan yang berganda. Kalaulah kita ada peruntukan sebanyak itu, dibantu dan diberikan kepada kementerian, alangkah moleknya, semua sekolah kita laksanakan dalam bentuk sama, lonjakan berganda akan kita lihat dalam tempoh yang amat singkat.
Pelancaran ini memberi seribu makna kepada kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Sempena majlis pelancaran ini kementerian menyediakan dokumen lengkap setebal 300 muka surat dan ringkasan eksekutif dalam bahasa Malaysia dan Inggeris selain brosur dalam empat bahasa. Mana yang rajin bacalah dokumen setebal 300 muka surat itu supaya tahu apa yang mahu kita laksanakan. Mana yang kurang rajin, mungkin baca brosur atau yang malas langsung kita akan sediakan video.
Pendekknya tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak tahu mengenai pelan ini. Tidak ada sebab semua pihak tidak boleh terlibat sama mendokong dan menyokong pelan ini. Kalau ada suara-suara yang sumbang itu mungkinkerana bahasanya sumbing, sebab itu mereka tidak faham apa tujuan kita.
Sebab itu saya sebut, walaupun ada halilintar, ribut dan taufan, kita akan terus melaksanakan pelan ini, insya-Allah. Kita mengharapkan dengan sokongan semua pihak, maka akan tercerna satu sistem yang lebih baik dan berkualiti.
Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja bertungkus-lumus selama lebih dua tahun untuk menyediakan satu dokumen yang menjadi sejarah pada hari ini.

Sumber : Utusan Online - 7/09/2013

1 September 2013

Nasionalisme tonggak survival negara bangsa

 
 
Usah jadi musuh dalam selimut

Semalam kita meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-56 dalam suasana negara sudah jauh lebih maju dari semua segi tetapi semangat nasionalisme yang menjadi pendorong utama kemerdekaan semakin luntur. Bahawa nasionalisme Malaysia dalam keadaan yang jauh daripada memuaskan adalah satu realiti berbanding ketika kita berjuang mencapai kemerdekaan. Sesungguhnya, dengan semangat nasionalisme dan patriotisme yang membara, khususnya dalam kalangan pemimpin, kita berjaya meraih kemerdekaan. Malah, sudah terdapat anggapan segelintir pihak bahawa nasionalisme sudah ketinggalan zaman, sedangkan hakikatnya nasionalisme adalah tonggak kewujudan dan survival negara bangsa.
Nasionalisme adalah pemikiran, sikap dan perasaan rakyat yang menyatakan keterikatan hubungan emosional dengan bangsa dan negaranya, disertai usaha dan harapan agar negara ini terus berdaulat dan terhormat martabatnya. Rakyat perlu memiliki rasa cinta dan bangga yang mendalam sebagai rakyat Malaysia. Apakah bukti atau tanda kesetiaan kepada negara? Tandanya bukan sekadar dapat menyanyikan lagu Negaraku dan mengibarkan bendera, tetapi sanggup berkorban untuk mempertahankan negara daripada sebarang ancaman luar dan dalam. Semangat nasionalisme adalah faktor penting yang membangkitkan kesetiaan kepada negara.

Masalah kesetiaan kepada negara sering timbul dalam negara pelbagai etnik seperti Malaysia. Akan timbul prasangka bahawa ada rakyat yang tidak setia kepada negara dengan hanya mengutamakan kepentingan kaum dan kemajuan ekonomi semata-mata. Golongan ini dilihat tidak berusaha untuk menyebatikan diri, mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan, hanya bergaul sesama kaum sendiri dan tidak toleran terhadap agama dan budaya kaum dominan.

Semangat ini dipupuk dan dibentuk oleh kesedaran kesatuan dan perpaduan asal usul, budaya, bahasa dan nasib dan masa depan yang sama. Masalah kesetiaan kepada negara sering timbul dalam negara pelbagai etnik seperti Malaysia. Akan timbul prasangka bahawa ada rakyat yang tidak setia kepada negara dengan hanya mengutamakan kepentingan kaum dan kemajuan ekonomi semata-mata. Golongan ini dilihat tidak berusaha untuk menyebatikan diri, mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan, hanya bergaul sesama kaum sendiri dan tidak toleran terhadap agama dan budaya kaum dominan.

Usah jadi pengkhianat

Rakyat tidak harus menjadi pengkhianat dan bersekongkol dengan musuh untuk meraih kepentingan dan agenda peribadi atau puak. Kesalahan paling besar bagi rakyat adalah apabila menderhaka dan mengkhianati negara dengan menjadi tali-barut pihak tertentu dengan mendedahkan rahsia strategik negara kepada musuh. Mereka adalah musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan. Mereka yang setia dan cinta kepada negara tidak akan menderhaka kepada negara.

Perasaan cinta terhadap negara tidak boleh dipaksa-paksakan. Di dalam dirinya perlu wujud, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’ dan ‘di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.’ Inilah tanah tumpah darah kita, tempat kita bernafas dan akan dikuburkan apabila sudah tiba masanya. Wujud kesedaran di dalam diri bahawa inilah negara bertuah yang menjadi tempat berlindung daripada sebarang ancaman, penjajahan dan kezaliman. Rakyat yang setia kepada negara akan berusaha membantu negara ketika negara bergolak dari segi politik, sosial dan ekonomi, dan bukannya cepat-cepat melarikan diri ke luar negara untuk menyelamatkan diri dan keluarganya. Atau lebih teruk lagi, memohon untuk menukar kerakyatannya.
Kelangsungan bangsa

Nasionalisme Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada Rukun Negara. Nasionalisme dan patriotisme menentukan ketahanan dan kelangsungan bangsa. Kita tidak memerlukan nasionalisme yang sempit berpaksikan etnik dan sikap cauvinis, melainkan nasionalisme yang menjunjung tinggi demokrasi dan kerakyatan. Kita perlu terus memperjuangkan negara yang makmur dan sejahtera dari segi sosio-ekonomi kerana kemerdekaan dituntut untuk bukan saja membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan tetapi mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan, kedaifan dan kejahilan.

Kita ingin memanfaatkan kemerdekaan ini untuk membina bangsa Malaysia moden yang mempunyai kepercayaan diri yang mantap, berkemahiran dan berilmu tinggi dalam pelbagai bidang. Bangsa Malaysia moden adalah dibentuk daripada kepelbagaian unsur sosiobudaya negara ini. Sudah terang lagi bersuluh, bangsa pentakrif bangsa Malaysia moden tentunya bangsa Melayu. Namun kita kelihatannya gagal mengasimilasikan dan mengidentifikasikan sebahagian etnik dalam proses pembentukan bangsa Malaysia yang kita idamkan. Adakah kita perlu mencetuskan gerakan nasionalisme Malaysia baru bagi melaksanakan pembentukan satu bangsa yang beridentitikan Malaysia tulen?

Pembinaan negara bangsa yang memiliki perwatakan dan jati diri yang kukuh semakin penting ketika kita mahu menjadi negara maju pada 2020, apatah lagi dengan seribu satu ancaman globalisasi. Jurang wilayah dan negara, kaum, kota dan desa, serta kaya dan miskin perlu diminimumkan.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak
 
Sumber : Berita Harian Online - 01/09/2013