SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

27 September 2013

Bantu IPTS bumiputera melalui kerjasama pintar

BEBERAPA orang rakan yang menjadi pengusaha institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) bumiputera bertanya kepada penulis apakah mereka ada peluang untuk turut terlibat dalam anjakan besar Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Penulis memberi jawapan ringkas iaitu : “Jangan bimbang sudah tentu ada!" Strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diilhamkan oleh Perdana Menteri itu sememangnya bertujuan mengangkat dan memperkasa apa sahaja inisiatif ekonomi bumiputera.
Sebagai contoh sebanyak RM1 bilion diperuntukkan melalui Dana Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membiayai program latihan, pendidikan, keusahawanan dan inovasi.
Selain itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) diberikan tanggungjawab menetapkan pengambilan pelajar seramai 250,000 menjelang tahun 2020 yang kini bilangan pelajarnya berjumlah 180,000 orang.
Selain itu, Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) diwujudkan dalam semua kementerian bertujuan merangka cadangan, melaksana, memantau dan menilai segala agenda dan aktiviti ekonomi bumiputera.
Tambah penulis apa yang perlu dilakukan oleh pengusaha IPTS bumiputera adalah menyokong, mengambil bahagian dan menjadikan agenda besar ini sebagai cabaran untuk memperkasakan institusi pendidikan mereka.
Sampai masanya mereka perlu berkumpul, berbincang dan mengambil kata sepakat bagi mencari jalan bagaimana kerjasama pintar atau smart partnership melalui kaedah menang-menang dapat diwujudkan dan mengemukakannya kepada pembuat dasar di Kementerian Pendidikan, Mara dan UiTM.
Dalam hal ini Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Bumiputera Malaysia (PKIBM) yang menaungi kolej, kolej universiti dan universiti swasta milik bumiputera perlu mengorak langkah secara proaktif dan bertindak segera.
Satu kertas cadangan yang komprehensif perlu disediakan untuk dibincangkan secara telus dengan pihak yang berkuasa.
Antara perkara yang boleh diberi tumpuan adalah Fokus Pemerkasaan Pertama iaitu Mendaya Modal Insan Bumiputera. Pada hakikatnya hingga kini kerajaan telah berjaya menempatkan secara signifikan pelajar bumiputera di institusi tinggi awam dalam dan luar negara.
Namun demikian isu yang kerap ditimbulkan adalah ketidakserasian kelayakan dan kemahiran tenaga kerja yang dihasilkan dengan keperluan pasaran pekerjaan. Bagi mengatasinya beberapa cadangan telah dikemukakan iaitu:
Pertama - Bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran akan diberikan peluang kedua dengan memperbanyakkan program peningkatan kemahiran melalui aktiviti reskilling untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan.
Kedua - Penekanan diberikan kepada golongan graduan yang masih menganggur melalui program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran agar bersesuaian dengan keperluan industri.
Ketiga - Memperbanyakkan program yang memberi peluang kepada graduan mengikuti latihan pasca ijazah di peringkat sarjana dan Ph.D terutama dalam bidang kritikal.
Keempat - Berusaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan bertauliah dalam bidang perakaunan, undang-undang, perubatan, arkitek, kejuruteraan dan ahli sains aktuari.
Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh IPTS bumiputera iaitu dengan turut sama berkongsi kemahiran dan keupayaan yang mereka miliki bagi melahirkan modal insan seperti yang dicadangkan itu.
Sudah tentu penambahbaikan perlu dilakukan terlebih dahulu di institusi mereka melalui peningkatan kualiti kurikulum dan program pengajian agar selaras dengan matlamat dan usaha pemerkasaan modal insan itu.
Kertas cadangan yang akan dimajukan itu perlu meyakinkan pihak pembuat dasar bahawa program pengajian yang ditawarkan dapat mengangkat kebolehupayaan pelajar dalam memasuki pasaran pekerjaan. Sasaran bilangan pelajar yang akan dihasilkan secara berperingkat-peringkat juga perlu dinyatakan dengan jelas hingga menjelang tahun 2020.
Pada hemat penulis sekiranya ada kerjasama pintar melalui kaedah menang-menang antara IPTS bumiputera dan agensi seperti GiatMara, Institut Kemahiran Belia Negara, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Jabatan Perkhidmatan Awam, Mara dan lain-lain maka matlamat menjayakan misi pemerkasaan modal insan bumiputera itu akan dapat direalisasikan.
Satu lagi peluang yang boleh diterokai oleh IPTS bumiputera ialah apabila Perdana Menteri melontarkan slogan popular ‘UiTM Di Hatiku.’
Beliau memberikan tanggungjawab kepada UiTM untuk menambah bilangan pelajar hingga 250,000 orang menjelang tahun 2020. Kini bilangan pelajar berjumlah 180,000 orang, ini bermakna UiTM perlu menambah bilangan pelajarnya seramai 70,000 orang lagi dalam tempoh enam tahun yang akan datang.
Bagi tujuan tersebut IPTS bumiputera perlu menyediakan satu lagi kertas cadangan untuk dinilai oleh Kementerian Pendidikan dan UiTM dengan menjelaskan bagaimana suatu kerjasama pintar membantu melatih pelajar tersebut. Sebagai contoh boleh diadakan program kolaborasi iaitu sejumlah pelajar akan dilatih dan di tempatkan di IPTS bumiputera itu.
Dengan cara ini sasaran tambahan 70,000 pelajar itu dapat dicapai dengan mudah. Kaedah ini juga menjimatkan perbelanjaan kerana IPTS bumiputera telah sedia memiliki infrastruktur yang lengkap, mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi dan sejarah kejayaan melahirkan pelajar berketerampilan yang boleh dibanggakan.
Bagaimanapun sebelum kerjasama ini dilaksanakan Kementerian Pendidikan dan UiTM perlu memberikan syarat yang ketat agar pelajar yang dilahirkan nanti mempunyai kualiti yang tinggi selaras dengan matlamat untuk pemerkasaan modal insan bumiputera.
Sesungguhnya kerjasama pintar ini akan memberi peluang kepada banyak IPTS bumiputera turut terlibat dalam agenda besar yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.
Mengakhiri perbualan dengan pengusaha-pengusaha itu penulis memberi keyakinan bahawa institusi pendidikan yang mereka miliki adalah termasuk dalam Fokus Pemerkasaan Keempat iaitu Memperhebat Keusahawanan dan Perniagaan Bumiputera seperti yang terkandung dalam strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
Pada teorinya perkembangan pesat bilangan pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) akan menguncupkan pula bilangan pelajar IPTS. Jika tidak ditangani dengan betul mungkin ada IPTS bumiputera yang ‘gulung tikar’ nanti.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru
Malaysia Berhad dan Pengerusi Kolej
Teknologi Antarabangsa Cybernatics.

Sumber : Utusan Online - 27-9-2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan