SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

28 Oktober 2013

GST Sistem Percukaian Yang Adil - Pakar



Oleh Chandravathani Sathasivam

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan satu sistem percukaian adil kerana ia mengagihkan beban percukaian dalam kalangan kelompok penduduk secara lebih meluas berdasarkan jumlah penggunaan serta menetapkan jenis dan kuantum cukai yang perlu dibayar seseorang pengguna bagi barangan dan perkhidmatan yang digunakannya, kata seorang pakar.

Ketika ini, negara terlalu bergantung pada cukai pendapatan individu dan badan korporat. Daripada lebih kurang 28 juta penduduk Malaysia sekarang, tidak sampai dua juta adalah pembayar cukai pendapatan.

Prof Dr Shazali Abu Mansor daripada Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata sistem percukaian yang diperkenalkan ini lebih telus kerana pengguna mengetahui jenis cukai yang mereka bayar serta jumlahnya.

"Orang miskin tidak perlu bimbang kerana mereka hanya membayar jumlah minimum, memandangkan mereka menggunakan barangan dan perkhidmatan perlu sahaja seperti makanan, pengangkutan dan pendidikan, yang mungkin sifar kadarnya dan pengguna tidak perlu membayar cukai tambahan.

"Jadi, cukai dikenakan terhadap mereka yang mampu berbelanja sahaja. Memandangkan golongan lebih berada dan kaya menggunakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan, maka secara automatik, merekalah yang paling banyak dikenakan cukai di bawah GST, bukan golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Bernama.

Sambil menyatakan bahawa GST sepatutnya dilaksanakan sejak lama dahulu, Prof Shazali mengingatkan pihak yang masih mempunyai keraguan supaya melihat kes kejayaan GST di seluruh dunia serta memahami betapa perlunya GST turut dilaksanakan di negara ini.

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi(OECD), kini GST dilaksanakan di lebih 150 negara, termasuk 33 daripada 34 negara anggota OECD.

Penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata melalui pelaksanaan GST, kerajaan akan memperoleh hasil mencukupi bagi menjana pertumbuhan dan membiayai lebih banyak projek pembangunan.

"Untuk membolehkan Malaysia mencapai stautus negara maju menjelang 2020, kerajaan perlu melakukan reformasi terhadap sistem percukaian sedia ada bagi memacu perniagaan dan pembangunan.

"Reformasi percukaian seperti memperkenalkan GST, mungkin mengundang banyak kritikan pada peringkat awalnya, namun dari segi ekonomi, ia merupakan suatu keputusan tepat," kata dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia ini.

Bagaimanapun, kata Dr Mohd Azizuddin, kerajaan perlu menghalang kenaikan harga barangan bagi memastikan ia tidak membebankan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

Sementara itu, Prof Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak pula berkata pelaksanaan GST tepat pada masanya, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"GST merupakan satu sistem percukaian yang menyeluruh, cekap dan komprehensif, yang mana ia dapat menjana pendapatan yang baik kepada negara, tapi pada masa yang sama, tidak membebankan rakyat," katanya.

Barjoyai, yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang percukaian dan Sarjana dalam bidang Pentabiran Industri, berkata Malaysia, yang dianggap sebuah negara maju di rantau ini, akan ketinggalan jika masih mengguna pakai sistem cukai sedia ada memandangkan Indonesia, Singapura, Kemboja dan Vietnam telah lama melaksanakan GST.

Katanya pengguna harus sedar bahawa melalui pelaksanaan GST, harga sesuatu barangan dan perkhidmatan adalah rendah berbanding di bawah pelaksanaann sistem percukaian cukai sedia ada kerana ia mengelakkan cukai berganda.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abd Rahman pula mencadangkan agar kerajaan melaksanakan lebih banyak aktiviti penerangan seperti forum mengenai GST di bandar dan luar bandar bagi menggelak wujudnya salah tanggapan dan kekeliruan orang ramai serta menangkis dakwaan sesetengah pihak kononnya GST akan membebankan pengguna.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan buku panduan harga yang menunjukkan perbezaan harga barangan dan perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan GST.

-- BERNAMA

26 Oktober 2013

INTI PATI BAJET 2014




KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Berikut ialah inti pati Bajet 2014 bertema 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji' yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini.

* Ekonomi domestik diunjur berkembang lebih kukuh antara 5 peratus dan 5.5 peratus.

* Kadar pengangguran dianggarkan pada 3.1 peratus manakala kadar inflasi kekal rendah antara 2 peratus dan 3 peratus.

* Eksport barangan diunjur berkembang 2.5 peratus berdasarkan permintaan luar yang semakin meningkat manakala bagi bekalan, sektor permintaan dijangka berkembang 9.6 peratus.

* Pendapatan per kapita pada 2014 dijangka mencecah RM34,126 berbanding RM24,879 pada 2009, peningkatan 37 peratus dalam tempoh enam tahun.

* Tidak mustahil Malaysia akan merealisasikan status negara maju lebih awal daripada 2020.

* Bajet 2014 akan memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek

* Daripada jumlah ini, RM217.7 bilion diperuntukkan untuk Peruntukan Operasi manakala RM46.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

* Pada 2014, kutipan perolehan Kerajaan Persekutuan dianggarkan RM224.1 bilion, peningkatan sebanyak RM4 bilion berbanding 2013.

* Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan akan susut seterusnya daripada 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

* Pelaburan swasta dijangkakan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus kepada KDNK, terutama dalam industri minyak dan gas, industri tekstil, peralatan pengangkutan dan pembangunan hartanah.

* Pelaburan awam dianggar mencecah RM106 bilion.

* Projek-projek yang akan dilaksanakan termasuk Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316-kilometer.

* Projek pembinaan landasan kereta api berkembar dari Ipoh ke Padang Besar, Gemas ke Johor Bahru.

* Projek-projek yang dilaksanakan oleh Petronas termasuk Projek Ammonia Urea Sabah di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; projek loji regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID, Pengerang.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi pembangunan di lima wilayah koridor ekonomi.

* Projek Agropolitan dan industri berasaskan kelapa sawit akan dilaksanakan di Koridor Pembangunan Sabah, Taman Perindustrian Samalaju dan hab Halal di Koridor Wilayah Sarawak.

* Pelan Induk Sektor Perkhidmatan akan dilancarkan tahun depan.

* Pelan Induk Sektor Logistik dan Dasar Penerbangan Nasional akan digubalkan.

* Memperuntukkan pinjaman mudah RM3 bilion di bawah Dana Pembangunan Maritim menerusi Bank Pembangunan Malaysia.

* Menggantikan sistem pengurusan trafik udara sedia ada di Subang, pusat pengurusan trafik udara baharu dengan kos RM700 juta akan dibina di KLIA.

* Menaik taraf lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah dengan peruntukan RM312 juta.

* Terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Kuantan akan dinaik taraf.

* Melaksanakan fasa kedua projek HSBB dengan kerjasama sektor swasta melibatkan pelaburan RM1.8 bilion.

* Kelajuan Internet akan dinaikkan kepada 10 Mbps.

* Meningkatkan liputan Internet di kawasan luar bandar, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan RM1.5 bilion.

* Bagi meningkatkan akses Internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut akan dipasang dalam tempoh tiga tahun, melibatkan kos RM850 juta.

* Bank Negara Malaysia akan mengetuai usaha merangka Akta Penyelesaian bagi melindungi hak penguat kuasa 'close-out netting' menerusi kontrak kewangan.

* Memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Indeks Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

* Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Tanggungjawab Sosial Instrumen Sukuk.

* Mewujudkan Dana SRI yang dilabur dalam syarikat senaraian.

* Valuecap akan memperuntukkan RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat yang menunjukkan prestasi tinggi dalam indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.

* Pejabat Pembangunan Usahawan Nasional akan ditubuhkan untuk merancang serta menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan.

* Menyediakan peruntukan RM50 juta kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

* Usahawan 1Malaysia (1MeT) yang komited akan diberi bimbingan lanjut di MaGIC.

* Kerajaan menyasar 5,000 usahawan muda di latih setiap tahun.

* Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global Ke-5 dari 7-9 Nov, 2013.

* Bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah yang akan diuruskan oleh SME Bank.

* Dana itu akan menyediakan pinjaman mudah sehingga RM500,000 pada kadar faedah empat peratus.

* Peruntukan RM120 juta bagi pakej bersepadu untuk meningkatkan inovasi dan produktiviti PKS.

* Melanjutkan beberapa insentif di bawah program Green Lane Policy sehingga 31 Dis, 2017.

* Perbezaan gaji minimum yang ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Jan, 2014 hingga 31 Dis, 2014, akan diberikan potongan cukai tambahan.

* Mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

* Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Kewangan akan menjalani proses penilaian prestasi berdasarkan Outcome-Based Budgeting (OBB).

* Membuat pengauditan ke atas projek bernilai melebihi RM100 juta.

* Potongan Cukai Bulanan sebagai Cukai Muktamad, akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

* Mewujudkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM akan menerajui inisiatif ini untuk mengelakkan pertindihan dan keciciran dalam pemberian bantuan kepada golongan sasar.

* Cukai jualan dan perkhidmatan akan dimansuhkan dan digantikan dengan dengan satu cukai sahaja yang dikenali sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

* Kadar GST ditetapkan pada 6 peratus dan akan berkuat kuasa mulai 1 April, 2015.

* GST tidak akan dikenakan bagi bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

* Perkhidmatan pengangkutan seperti bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan daripada GST.

* Kadar cukai pendapatan korporat akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan daripada 25 peratus kepada 24 peratus.

* Kadar cukai pendapatan bagi PKS akan dikurangkan sebanyak 1 mata peratusan daripada 20 peratus kepada 19 peratus daripada tahun taksiran 2016.

* Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan sebanyak 1 hingga 2 mata peratusan daripada tahun taksiran 2015.

* Yuran kesetiausahaan dan yuran pemfailan cukai dibenarkan sebagai potongan cukai daripada tahun taksiran 2015.

* Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberikan Elaun Modal Dipercepat sehingga tahun taksiran 2016.

*Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan sebanyak satu hingga tiga mata peratusan bagi semua pembayar cukai.

*Pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000.

*Kadar cukai maksimum semasa pada 26 peratus akan dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus.

*Langkah-langkah ini akan berkuat kuasa mulai tahun 2015.

*Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST akan diberi potongan cukai tambahan bagi tahun taksiran 2014 dan 2015.

*Geran latihan RM100 juta akan disediakan kepada perniagaan yang menghantar kakitangan menjalani latihan GST pada 2013 dan 2014.

*RM150 juta bantuan kewangan bagi PKS untuk membeli perisian perakaunan pada 2014 dan 2015.

*Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST.

*RM2.9 bilion diperuntukkan bagi projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan kemudiannya dilanjutkan ke Johor Baharu serta menaik taraf landasan kereta api seluruh negara.

* RM62 juta bagi kemudahan 'park and ride’ di stesen LRT, KTM Komuter dan ERL.

* RM15.3 juta bagi Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat bagi memastikan pengagihan teksi kepada penumpang dengan lebih cekap.

*RM28 juta bagi membina hentian akhir bandar dan menaik taraf perhentian bas serta kemudahan ‘drop-and-ride’.

*RM28 juta bagi membaik pulih tren Electric Multiple Unit bagi memastikan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan.

*RM20 juta bagi program Cabaran Perniagaan Luar Bandar.

*Pegangan ekuiti dan pemilikan hartanah Bumiputera akan ditingkatkan melalui Skim Jejak Jaya Bumiputera, Skim Amanah Saham Bumiputera 2 dan pengukuhan institusi hartanah Bumiputera.

*SME Bank akan menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera atau EquiBumi dengan peruntukan RM300 juta untuk menyediakan kemudahan pinjaman kepada syarikat Bumiputera yang berwibawa bagi mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

*Kemudahan pinjaman RM200 disediakan oleh SME Bank bagi program pembangunan semula Tanah Rezab Melayu di kawasan strategik.

*Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) akan diwujudkan dengan dana permulaan RM30 juta.

*Perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat utama, terutamanya GLC, akan diberi potongan cukai dua kali bagi meningkatkan pengukuhan program pembangunan vendor.

* Kemudahan pembiayaan pinjaman mudah bagi PKS daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (dana RM300 juta) dan TEKUN (dana RM700 juta).

* RM50 juta disediakan menerusi Skim Pembiayaan Muda India (SPUMI) di bawah TEKUN.

* Pinjaman juga disediakan bagi usahawan India Malaysia menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia.

* Cukai Keuntungan Hartanah dinaikkan kepada 30 peratus bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun.

* Harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

*223,000 unit rumah mampu milik akan dibina oleh kerajaan dan sektor swasta pada 2014.

*Kerajaan peruntuk RM578 juta bagi Jabatan Perumahan Negara (JPN) untuk membina 16,473 unit rumah Program Perumahan Rakyat.

*RM146 juta bagi JPN untuk membina 600 unit Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu.

*RM1 bilion bagi PR1MA untuk menyediakan 80,000 unit rumah pada harga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

*SPNB akan membina 15,122 unit rumah mampu milik, 3,000 unit Rumah Idaman Rakyat dan 8,000 unit Rumah Mesra Rakyat.

*Kategori baharu Rumah Mesra Rakyat diperkenalkan dengan harga jualan daripada RM45,000 hingga RM65,000 dan subsidi sebanyak RM15,000 hingga RM20,000 seunit.

*Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) diperkenalkan dengan subsidi RM30,000 kepada pemaju swasta untuk setiap rumah yang dibina.

*RM1 bilion untuk Dana Mudahcara Perumahan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

*Majlis Perumahan Negara ditubuhkan untuk mengukuhkan pasaran hartanah dan meningkatkan peluang bagi rakyat memiliki rumah.

*Peruntukan RM331 juta untuk meneruskan program penyeragaman harga dan pemberian subsidi termasuk kos pengangkutan di Sabah dan Sarawak.

*RM30 juta untuk membuka 60 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi membantu mengurangkan harga keperluan harian.

*Pelepasan cukai khas RM2,000 untuk pembayar cukai dengan pendapatan bulanan sehingga RM8,000 ke atas pendapatan 2013.

-- BERNAMA

11 Oktober 2013

Memartabatkan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi

MENTERI Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan menarik di Kangar, Perlis baru-baru ini dengan menyarankan kursus-kursus yang diajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menggunakan bahasa Melayu secara lebih meluas.
Ia selari dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPT belum berhasil sejak dilancarkan tiga tahun lalu.
Pelan lima tahun itu dirancang untuk memartabat dan mengukuhkan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta penerbitan di IPT.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu juga membayangkan suatu tekad politik (political will) yang tinggi supaya ia diberi respons oleh kepimpinan utama IPTA yang semuanya adalah orang Melayu.
Ia selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang memberikan tumpuan kepada menguasai dwibahasa - memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Ramai dalam kalangan kelompok menengah dan elit Melayu memandang remeh dan menghadapi masalah psikologi mengenai keupayaan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu, bahasa pengucapan dan penyelidikan dan beranggapan bahasa Inggeris adalah bahasa kemajuan dan perubahan.
Dasar yang ada tidak menafikan kepentingan memperkasa bahasa Inggeris tetapi meremehkan penggunaan bahasa Melayu di IPTA adalah suatu "dosa besar".
Negara-negara maju seperti Jerman, China, Jepun dan Korea menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk maju dalam bidang ilmu sains dan teknologi. Mereka mempunyai psiki tinggi dan memanfaatkan faedah berbanding dengan tamadun orang lain.
Saranan Muhyiddin supaya salah satu syarat kenaikan pangkat pensyarah ialah menulis buku ilmiah dan makalah dalam bahasa Melayu adalah tepat dan wajar. Ia bakal memberikan keberhasilan berimpak tinggi yang harus digerakkan oleh IPTA.
Pengalaman Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pertanian dan banyak lagi adalah bukti nyata bagaimana proses pemartabatan bahasa Melayu terjadi.
Graduan mereka di peringkat pasca-sarjana mampu pula melanjutkan pelajaran ke luar negara walaupun ada cabaran yang perlu ditempuhi.
Hari ini ramai yang kurang yakin bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu, pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan pengkaryaan. Banyak kursus cenderung diajar dalam bahasa Inggeris.
Seruan Muhyiddin itu adalah perkara dasar. Kepimpinan IPTA harus respons secara positif kerana langkah Kementerian Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris adalah baik untuk generasi hari depan.
Inilah sebenarnya cabaran transformatif yang perlu diambil selari dengan peruntukan Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan 1996 yang ingin memartabatkan bahasa Melayu.
Salah satu cabaran transformatif itu ialah binaan jati diri Malaysia. Bahasa Melayu tidak saja dijadikan bahasa ilmu tetapi ia adalah bahasa perpaduan. Pemartabatan bahasa Melayu di IPTA membolehkan generasi muda menguasai ilmu dari jendela berfikir bahasa Melayu yang mendukung etos Malaysia.
Hatta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia umumnya harus serius memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi supaya ada manfaat berbanding yang diperolehi di Malaysia terutama dalam memahami cara berfikir dan budaya orang Malaysia.
Datuk Seri Idris Jusof yang terkenal dengan daya inovatifnya mampu melakukan ini di peringkat IPTA. Datuk Seri Prof. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian boleh membantu kerana semasa beliau menjadi Naib Canselor UTM, kursus-kursus, tesis desertasi dan penerbitan buku-buku banyak diajar dan ditulis dalam bahasa Melayu.
Tulisan ini bukan bermakna ia menghalang proses pemerkasaan bahasa Inggeris. Faktor globalisasi yang berlaku memerlukan bahasa Inggeris dikuasai dengan baik.
Tetapi apa yang terjadi di IPTA adalah pemerkasaan bahasa Inggeris menyebabkan bahasa Melayu terpinggir. Ia menuntut tekad tinggi yang bijaksana supaya yang dikejar dapat, yang dikendung tidak cicir.

Sumber : Utusan Online - 11/10/2013

6 Oktober 2013

Ekonomi AS runcing, kadar hutang tinggi

KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) kini dalam keadaan setengah lumpuh. Beberapa jabatan kerajaan persekutuan terpaksa dihentikan operasi kerana ketiadaan peruntukkan selepas Parti Demokrat dan Republikan tidak mencapai kata sepakat di Kongres untuk untuk menaikkan kadar siling hutang negara.
Mulai 1 Oktober lalu, kira-kira 800,000 daripada 1.2 juta kakitangan kerajaan persekutuan dipaksa mengambil cuti tanpa gaji sehingga kerajaan mendapat peruntukkan tambahan tersebut. Ini mengakibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan, (400,000 kakitangan), Jabatan Perdagangan (30,000 kakitangan), Jabatan Pengangkutan (18,000 kakitangan) dan Jabatan Tenaga (12,000 kakitangan) tidak dapat beroperasi. Penutupan itu juga membuatkan kerajaan kerugian AS$1 bilion (RM3.23 bilion) seminggu.
Ini adalah kali kedua selepas era Bill Clinton pada 1995 mengalami keadaan yang sama dan operasi kerajaan tergantung selama 21 hari. Kali ini Presiden Barack Obama menerima tamparan hebat apabila AS perlu menyelesaikan kadar siling hutang sebelum 17 Oktober ini. Sekiranya Republikan masih tetap tidak meluluskan kadar siling yang baharu, AS akan terjerumus dalam kancah krisis ekonomi yang serius.
Hutang AS sehingga Mei lalu telah melepasi kadar siling sebanyak AS$16.7 trilion. Sejak itu Jabatan Perbendaharaan terpaksa menggunakan peruntukkan kecemasan untuk menggerakkan operasi kerajaan persekutuan hingga 17 Oktober ini. Sekiranya isu kadar siling hutang ini tidak diselesaikan selepas 17 Oktober, kerajaan hanya mempunyai AS$30 bilion dalam tangan yang diperoleh daripada kutipan cukai. Maka sangat mustahil untuk kerajaan bergantung kepada kutipan cukai bagi membayar dua pertiga daripada lebihan hutang.
Kadar hutang yang tinggi dalam keadaan ekonomi AS yang merudum selepas lima tahun dilanda krisis paling teruk sejak 1930-an pasti memberi kesan yang besar terhadap ekonomi dunia.
Kesannya bukan sekadar kepada 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan diberi cuti tanpa gaji tetapi turut menjejaskan negara-negara yang mengadakan hubungan dagang dengan AS. Sehingga semalam, Republikan tidak memperlihatkan akan berlembut dengan tuntutan supaya Obama menunda penguatkuasaan undang-undang terhadap akta pelan kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare.
Republikan hanya akan meluluskan kadar siling baharu hutang negara dengan syarat Obama menunda pelan kesihatan yang merupakan sebahagian daripada janji semasa kempen pilihan raya Presiden yang lalu. Sekiranya Obama tunduk kepada ketegasan Republikan, dia menghadapi kekalahan moral politik yang memalukan. Dalam politik AS, Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan sementara Demokrat menguasai Dewan Senat di Kongres AS.
Tebusan
Sesetengah penganalisis politik menganggap kerajaan AS menjadi separuh lumpuh disebabkan Obamacare. Malah ada yang menyalahkan Republikan yang tidak mahu bertolak demi kepentingan rakyat kerana secara luarannya pelan kesihatan itu untuk kepentingan warga AS seluruhnya. Di sini kelihatan Republikan menjadikan Obamacare sebagai ‘tebusan’ untuk melihat sama ada Obama sanggup menghadapi kekalahan moral demi menyelamatkan negara yang separuh lumpuh.
Obamacare adalah janji pilihan raya Obama semasa berkempen merupakan pelan kesihatan yang bertujuan memberikan peluang kepada setiap warga mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Caranya setiap warga perlu memiliki insurans kesihatan untuk mendapatkan kualiti rawatan yang terbaik. Dengan mengerakkan Obamacare di bawah undang-undang, beban belanja oleh kerajaan akan berkurangan.
Obamacare sebenarnya telah diluluskan oleh Kongres pada 23 Mac 2010 di bawah Patient Protection and the Affordable Care Act (ACA). Kerana itu secara logiknya Republikan tidak boleh menjadikan Obamacare sebagai ‘tebusan’ untuk meluluskan belanjawan tambahan. Tetapi tindakan Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan itu adalah rentetan daripada Tea Party, sebuah gerakan oleh Republikan untuk melumpuhkan kerajaan sejak 2010 lagi. Kini sebahagian daripada matlamat mereka sudah tercapai. Republikan sengaja menggunakan kuasa Dewan Perwakilan untuk membalas dendam politik terhadap Obama.
Maka tindakan Republikan bertegas supaya Obama tidak menguatkuasakan undang-undang terhadap perlaksanaan Obamacare tidak lebih helah untuk memerangkap Obama dan Demokrat.
Kerana itu Obamacare bukanlah faktor utama yang membuatkan kerajaan separuh lumpuh, 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan diberi cuti tanpa gaji dan sekali gus mencetuskan keadaan gelisah dan bimbang dalam kalangan ahli ekonomi dan warga seluruhnya. Faktornya adalah permainan politik dalam Kongres AS di mana pihak pembangkang mempunyai peluang untuk mengugut Obama yang boros berbelanja termasuk ura-ura melancarkan perang ke atas Syria baru-baru ini.
Apabila AS melancarkan perang ke atas negara lain, belanjanya terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai. Misalnya semasa AS melancarkan perang ke atas Iraq pada 2003 hingga 2010 yang menelan belanja sebanyak AS$750.8 bilion. Ini bermakna pada setiap satu jam sebanyak AS$60.71 juta daripada pembayar cukai digunakan oleh Jabatan Pertahanan AS untuk membayar belanja perang itu.
Sementara itu dalam laporan Kennedy School of Goverment, Universiti Harvard 2013, belanja yang ditanggung oleh AS dalam perang di Afghanistan dan Iraq dianggap paling tinggi dalam sejarah perang AS iaitu lebih AS$4 trilion. Ini termasuk bayaran perubatan jangka panjang dan pampasan kepada anggota tentera yang terlibat dalam kedua-dua perang itu.
Pada Ogos lalu, akhbar The Washington Post telah menyiarkan satu dokumen sulit yang belum pernah didedahkan sebelum ini mengenai peruntukkan AS$52.6 bilion untuk operasi perisikan sejak 2007.
Ini menunjukkan isu penting yang membuatkan kerajaan AS hampir lumpuh adalah kadar hutang negara yang tinggi. Republikan menggunakan kesempatan daripada Obamacare untuk mengawal belanjawan Obama yang dilihat semakin galak walaupun dalam keadaan kedudukan ekonomi AS yang tenat.
Belanjawan kerajaan persekutuan yang dibentangkan pada 13 Februari tahun lalu mencatatkan pendapatan negara sebanyak AS$2.902 trillion sementara perbelanjaan sebanyak AS$3.803 trillion, defisit AS$901 billion atau 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sekarang ini kalau kadar baharu siling hutang diluluskan oleh Kongres sekalipun, ekomoni AS berada dalam keadaan genting.

Sumber : Utusan Online

4 Oktober 2013

Membentuk jati diri kebangsaan dalam PPPM

Oleh : Teo Kok Seong 

Dasar mampu rangsang perasaan kebersamaan, kesetiaan kepada negara

Pertanyaan tentang mengapa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 perlu digemblengkan untuk memupuk jati diri kebangsaan dalam generasi muda kita, daripada kaum Melayu sendiri, bukan saja amat memeranjatkan. Ia sebetulnya menimbulkan beberapa persoalan, khususnya tentang nasionalisme Melayu.
Jati diri kebangsaan adalah satu daripada ciri yang ingin dibentuk pada pelajar kita, melalui sistem pendidikan negara. Ia bertujuan untuk merangsang perasaan kebersamaan dan kesetiaan kepada negara. Selain ini, ia juga bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan golongan muda, bagi membentuk satu kesatuan sebagai bangsa Malaysia, yang memiliki sifat kebersamaan kebangsaan yang serupa.


Semua ini didapati boleh didukung oleh penggunaan satu bahasa yang dikongsi bersama, yang bukan saja merupakan lambang negara dan indeks jati diri bangsa Malaysia. Malah, bahasa ini adalah pengikat untuk kita semua berkongsi nilai bersama tentang sistem negara. Antaranya termasuklah politik, ekonomi dan pendidikan.

Bahasa yang dimaksudkan sudah tentu adalah bahasa negara kita, iaitu bahasa Melayu yang juga adalah bahasa ibunda, etnik dan leluhur kaum Melayu. Justeru, pertanyaan daripada penutur jati bahasa Melayu sendiri tentang peranan bahasa Melayu yang penting ini, adalah tindakan yang amat tidak wajar.

Sepatutnya sebagai kaum Melayu, mereka hendaklah menerajui pendukungan nilai untuk dikongsi bersama oleh semua, khususnya oleh yang bukan Melayu. Sehubungan ini, mereka perlu selalu memperlihat kecenderungan dan minat yang tinggi, selain perasaan bangga, sayang dan setia yang tidak berbelah bahagi, terhadap bahasa Melayu.

Pupuk semangat kebangsaan
Akan tetapi melalui tindakan negatif itu, bahasa Melayu yang sebenarnya amat cocok untuk pemupukan semangat kebangsaan, lebih-lebih lagi tentang jati diri kebangsaan yang dikongsi bersama, akan dianggap sebagai tidak sesuai lagi oleh rakyat Malaysia.

Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan bahawa tindakan pihak tertentu dalam kalangan kaum Melayu yang mempertikai peranan penyatuan, yang dapat dimainkan oleh bahasa Melayu dalam membentuk jati diri kebangsaan yang dikongsi bersama, bukan saja memperlihat betapa jahilnya mereka ini terhadap nilai bahasa Melayu kepada bangsa Melayu. Ia juga memperlihat mereka ini langsung tidak mempunyai nasionalisme Melayu.

Mereka ini sudah tentu tidak akan sama sekali berasa sedih, apatah berang, terhadap sesiapa yang memperlekeh bahasa Melayu. Mereka sendiri ikut memperkecilkannya.

Selain kepentingan bahasa Melayu, jati diri kebangsaan yang ingin dibentuk dalam PPPM juga dikaitkan dengan Rukun Negara. Sebagai ideologi negara, ia terdiri daripada satu set prinsip tentang cara negara kita diurus tadbir.

Semua menyarankan keperluan sikap keterbukaan rakyat Malaysia sebagai masyarakat majmuk, agar berhati-hati dalam tindakan kita. Ini penting agar kita tidak menyentuh sensitiviti kaum lain, khususnya dalam hal budaya. Oleh itu, tindakan kita perlu logikal, yakni dilakukan secara wajar dan sederhana pula.

Keadilan untuk semua kaum

Ia juga menganjurkan keadilan dan kesamaan untuk semua kaum. Ini bermakna semua kaum mempunyai hak yang sama, untuk ikut memastikan negara ini diperintah dengan cara yang boleh memberi kebaikan kepada semua.

Ia ikut menganjurkan unsur progresif dalam apa-apa jua bidang yang kita ceburi. Ini penting untuk rakyat ikut membantu membawa perubahan dalam membangunkan negara.

Sesungguhnya jati diri kebangsaan yang ingin dipupuk dalam PPPM melalui penggunaan bahasa negara dan Rukun Negara, adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk membina Malaysia yang bersatu padu. Justeru ia bersifat murni sekali.

Oleh itu, pertikaian mengenainya, daripada kaum Melayu pula, bukan saja bersifat antinasional, malah amat antinasional. Mereka bukan saja mengkhianati bahasa mereka sendiri. Yang lebih malang ialah mereka memperlihat sikap bahawa mereka tidak pun merupakan penduduk asal negara ini.

Sebagai kaum asal, mereka sepatutnya berbesar hati bahawa bahasa mereka dijadikan penanda jati diri negara. Begitu juga halnya dengan lima prinsip Rukun Negara yang mempunyai kaitan dengan upaya mereka sebagai kaum dominan.

Sebaliknya, pertikaian yang diungkitkan itu bukan saja tidak baik untuk pembentukan jati diri kebangsaan. Ia ikut mempersoal etos Melayu, yang merangkumi jati diri, maruah dan citra kaum Melayu sendiri.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
 
Sumber : Berita Harian Online -3-10-2013 

3 Oktober 2013

Keselamatan negara atasi hak individu

Oleh : Shamrahayu A Aziz 

Tambah baik akta cegah jenayah ikut Perlembagaan

Penularan masalah jenayah dalam masyarakat bukan sesuatu yang boleh kita diamkan. Jenayah bukan lagi api dalam sekam, tetapi api yang semakin marak. Polis menyuarakan keperluan kepada undang-undang yang mantap bukan saja untuk mengurangkan jenayah, tetapi dengan cita-cita menghapuskan jenayah.
Sudah tentu kita bangga atas kejayaan Ops Cantas yang dilaksanakan. Dalam menyaksikan kejayaan itu, kita juga perlu mengambil peduli kekangan yang dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perundangan.

Sudah banyak diperkatakan mengenai perkara ini. Pengenalan rang undang-undang untuk meminda serta memperluas Akta Pencegahan Jenayah adalah tindakan proaktif Kementerian Dalam Negeri bagi mendepani masalah jenayah, terutama jenayah terancang dan berat. Walaupun punca dan penyelesaian jenayah adalah pelbagai, perundangan menjadi mekanisme utama memerangi jenayah. Bagi mewujudkan undang-undang yang mantap, rujukan kepada Perlembagaan Persekutuan begitu penting.



Perlembagaan, di samping menjaga hak individu terhadap kebebasan asasi dan juga perbicaraan yang adil, adalah undang-undang tertinggi yang digubal bagi menangani sebarang permasalahan dan dalam apa juga keadaan.


Perlembagaan jamin keselamatan

Peruntukan Perlembagaan memberikan kekuatan perundangan bagi menggubal undang-undang berkaitan keselamatan. Jika keselamatan negara terancam, tindakan sewajarnya perlu dilakukan. Bagi melakukan tindakan sewajarnya itu, kita memerlukan undang-undang yang jelas. Kita perlu sedar Perlembagaan bukan saja menjamin kebebasan atau hak asasi sebagai undang-undang yang disediakan bagi menangani pelbagai keadaan, tetapi juga mengutamakan keselamatan tanah air dan ketenteraman negara.
Saya sering menyebut bahawa apabila berlaku pertembungan pada kedua-duanya, maka keseimbangan antara keselamatan dan kebebasan perlu diraikan.

Bagi meraikan kebebasan manusia, Perlembagaan meletakkan mekanisme tertentu bagi mengawal setiap kuasa yang diberikan undang-undang kepada penguat kuasa seperti PDRM.

Sekiranya kebebasan itu adalah bebanan kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam, ia perlu dikorbankan demi kepentingan keselamatan. Ini jelas dalam konteks meletakkan kepentingan umum lebih tinggi daripada kepentingan individu.

Perkara yang sering menjadi buah mulut dalam menjaga keselamatan negara ialah undang-undang pencegahan. Pencegahan, secara mudah membawa maksud tindakan proaktif diambil sebelum jenayah benar-benar berlaku atau benar-benar dilakukan.

Tindakan itu mungkin dalam bentuk tangkapan, tahanan atau apa juga yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa. Maka dengan itu, wujudlah istilah tahanan pencegahan. Bentuk tahanan ini mendapat tentangan hebat kerana ia menafikan hak orang ditahan dan tiadanya tindakan mahkamah.

Berkaitan perkara ini, Perlembagaan membenarkan tahanan pencegahan menerusi undang-undang yang diluluskan di bawah Perkara 149 dan 150. Kedua-dua perkara ini boleh digunakan dalam keadaan tertentu saja dan pemakaiannya bukan sepanjang zaman.


Perkara 149

Sebagai contoh, undang-undang dibuat Parlimen menerusi Perkara 149 boleh digunakan dalam keadaan seperti keganasan terancang, membangkitkan rasa tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong, menggalakkan niat jahat dan permusuhan antara kaum. Perkara 150 pula apabila wujud darurat. Berbanding Perkara 150, Perkara 149 tidak semestinya hanya dalam keadaan darurat, undang-undang berkaitan tahanan pencegahan boleh dilakukan.

Apabila membenarkan tahanan pencegahan ini, Perlembagaan meletakkan syarat supaya satu lembaga penasihat melihat tujuan dan alasan penahanan itu. Perkara ini jelas disebut Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara yang menjadi hujah sesetengah pihak ialah fungsi lembaga penasihat tidak berkesan dan ia tidak menjamin hak orang yang ditahan. Jika benar alasan ini, perkara yang perlu diperjelas ialah skop bidang kuasa dan fungsi lembaga penasihat, bukan menafikan terus peruntukan Perlembagaan yang membenarkan undang-undang pencegahan itu atas alasan bimbang pencabulan kebebasan.

Akta Pencegahan Jenayah 1959 ialah satu-satunya undang-undang yang mempunyai ‘genre’ pencegahan dimaksudkan. Oleh itu, pada pemerhatian saya, tindakan menambah baik akta ini adalah langkah terbaik demi menjaga keselamatan negara dan juga ketenteraman awam.

Penulis ialah profesor madya di Kuliyyah Undang-Undang UIAM
 
Sumber : Berita Harian Online -2-10-2013 

Kesederhanaan langkah keamanan sejagat

Oleh : Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
Muafakat, dialog harus dipupuk demi kesejahteraan nasional, global

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menyeru kepada dunia meninggalkan amalan ekstremisme dan menerima pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai langkah membawa keamanan sejagat.

Saranan Najib itu tepat pada masanya kerana kini kita semakin cenderung melihat perbalahan dan konflik di serata dunia khususnya di negara Islam. Justeru, saranan pemimpin nombor satu negara melalui gagasan Pergerakan Global untuk Kesederhanaan itu haruslah disambut baik dan menjadi panduan setiap warga yang cintakan keamanan dan sayangkan keharmonian.
Ekstremisme muktakhir ini bukanlah suatu yang baru, malah ia pernah muncul dalam setiap tempoh penting sejarah dunia. Kita pernah menyaksikan ketaksuban global yang bercirikan ideologi yang melahirkan Perang Dingin sebaik saja tamatnya Perang Dunia Kedua sehingga runtuhnya tembok Berlin pada 1989 dan berakhirnya Kesatuan Soviet pada 1990.


Ciri ekstremisme kepada ideologi juga menyebabkan Parti Komunis Malaya menentang kerajaan, meskipun Malaya (kemudian Malaysia) sudah merdeka pada 1957. Apa yang jelas, ekstremisme ideologi ini gagal dan membawa kehancuran.

Cetus konflik, pembunuhan

Selepas Perang Dingin, muncul pula negara baru yang mencetuskan ekstremisme yang berasaskan perkauman sayap kanan. Permusuhan kaum ini mencetuskan konflik dan pembunuhan kaum terburuk dalam sejarah manusia sejak Perang Dunia Kedua, khususnya di Bosnia Herzegovina dan Rwanda.

Pada 1993, Majlis Keselamatan PBB menubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk negara bekas Yugoslavia berasaskan Resolusi 808 Majlis Keselamatan PBB untuk mengadili individu yang dikenal pasti melakukan jenayah perang dan pembunuhan kaum. Dianggarkan 200,000 orang terbunuh dalam Perang Balkan itu.
Di Rwanda juga berlaku pembunuhan kaum yang meluas membabitkan dua puak yang bermusuhan iaitu Hutu dan Tutsi. Ekstremisme amat jelas apabila kaum Hutu menggelar kaum Tutsi sebagai lipas yang harus dihapuskan. Krisis kedua-dua kaum itu mengorbankan 500,000 nyawa.

Bermulanya alaf baru, kita dapat melihat munculnya ekstremisme baru yang berasaskan agama. Walaupun perbalahan agama ini sudah muncul sebelum ini seperti antara penganut Kristian Protestan dan Katolik di Ireland Utara serta Hindu dan Islam di India, kali ini dasar luar Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan melahirkan golongan ekstremisme baru yang menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Ekstremisme bentuk baru

Dasar campur tangan AS di Iraq dan Afghanistan serta keganasan Israel di Palestin melahirkan ekstremisme bentuk baru melalui gerakan al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden. Ini menyebabkan AS mengisytiharkan Perang Menentang Keganasan selepas peristiwa serangan 9 September 2001 di New York. Malah, agenda AS itu didukung pemimpin neo-konservatif ketika itu seperti Naib Presiden, Dick Cheney dan Timbalan Setiausaha Pertahanan, Paul Wolfowitz. Mereka menggunakan pendekatan menakut-nakutkan rakyat Amerika dan masyarakat antarabangsa akan ancaman keganasan bagi menghalalkan campur tangan mereka di Iraq dan mendominasi pasaran senjata dan minyak dunia di Asia Barat.

Ketika dunia belum reda dengan isu keganasan global, dasar luar AS menggalakkan pula permusuhan antara mazhab Syiah dan Sunni di negara Islam seperti Iraq, Iran, Syria, Bahrain dan Pakistan. Ekstremisme agama yang berasaskan mazhab ini agak membimbangkan kerana boleh menjurus kepada kemusnahan lebih dahsyat.

Tempias kepada kebimbangan ini juga sudah menular ke Malaysia apabila golongan Syiah kini semakin dilihat sebagai ancaman kepada kesepaduan umat Islam di Malaysia yang bermazhab Sunni.

Seruan kesederhanaan Najib juga harus dihayati oleh pemimpin dan rakyat di negara ini. Pemilihan dan Perhimpunan Agung UMNO seharusnya menjadi wadah orang Melayu menjuarai agenda kesederhanaan ini selain tidak mengetepikan agenda pembelaan terhadap Melayu Bumiputera demi kebaikan umum.

Di Malaysia, Najib melihat sifat kesederhanaan diamalkan melalui pendekatan hormat menghormati dan inklusif serta mengukuhkan hubungan di kalangan masyarakat pelbagai kepercayaan.

Di peringkat global, Najib menyeru setiap negara mengukuhkan komitmen kepada prinsip kesederhanaan, bukan saja dalam agama, tetapi untuk pembangunan mapan dan pertumbuhan ekonomi yang stabil. Pembunuhan harus dihentikan, manakala langkah muafakat dan dialog harus dipupuk bagi membina agenda bersama demi keamanan dan kesejahteraan nasional dan global.


Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia
 
Sumber : Berita Harian Online -  2-10-2013