SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

11 Mac 2012

Nafas baru bagi tingkatan enam


KUALA TERENGGANU 8 Mac – Pentaksiran baharu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan pendekatan sistem modular yang bakal dilaksanakan tahun ini mampu menarik lebih ramai pelajar memasuki tingkatan enam.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, selama ini, ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk ke kolej matrikulasi serta kolej-kolej swasta untuk menyambung pengajian mereka.
Beliau memberitahu selama ini ramai yang terus memasuki kolej-kolej seumpama itu yang lazimnya menawarkan pelbagai bentuk pinjaman selain biasiswa serta kemudahan pembelajaran seperti komputer riba.
Jelasnya, sistem modular yang akan dilaksanakan menyediakan peperiksaan pada setiap penggal berbanding hanya satu peperiksaan pada penggal akhir sekarang. Ini akan membantu meringankan beban pelajar.
“Ia memberi lebih banyak kelebihan kepada pelajar tingkatan enam termasuk membantu mereka mengulang semula subjek yang diambil pada peperiksaan sebelumnya.
“Kita harap lebih ramai pelajar memasuki tingkatan enam mulai tahun ini berikutan pelaksanaan sistem pentaksiran baharu STPM ini.
“Bagi tujuan itu, kita akan jemput wakil CA (Cambridge Assessment) bagi memantau pelaksanaan sistem baharu ini untuk mengekalkan standard antarabangsa,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-6 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring dan majlis Anugerah Kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 di sekolah itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Din dan Pengetua SMKA Tok Jiring, Engku Mariah Syed Ahmad Al-Idrus.

Sumber : Utusan Malaysia, 09/03/2012

10 Mac 2012

Sistem modular untuk pelajar tingkatan enam mulai 2012

KUALA TERENGGANU 8 Mac – Kerajaan berharap kemasukan pelajar ke tingkatan enam akan bertambah apabila sistem modular yang dilihat tidak membebankan pelajar diperkenalkan mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pelajar peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai tahun ini akan menggunakan kaedah baru menggantikan sistem terminal di mana pelajar tidak lagi mengambil peperiksaan di akhir tahun, sebaliknya akan mengguna pakai sistem mengikut penggal.
"Di bawah sistem modular, pelajar akan mengambil peperiksaan mengikut penggal dan keputusan tersebut akan digabungkan di penggal ketiga untuk menentukan indeks pencapaian mereka nanti.
"Mereka juga boleh mengulangi mana-mana mata pelajaran yang dirasa keputusannya tidak memuaskannya sehingga peperiksaan penggal ketiga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Tok Jiring di sini hari ini.
Puad berkata, dengan adanya pendekatan sistem modular tersebut, pelajar diharap akan lebih berminat memasuki tingkatan enam kerana ia tidak membebankan pelajar dari segi pembelajaran dan juga kewangan. – BERNAMA