SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

24 Mei 2014

Langkah kerajaan perkukuh kewangan beri kesan positif

Oleh : Mohd Ayob Abd Razid

Ekonomi sering menjadi topik hangat yang dibahas oleh ahli politik, ahli ekonomi serta mereka dalam sektor korporat, perniagaan dan perdagangan. Malah, isu berkaitan ekonomi hari ini turut dibincangkan dalam kalangan rakyat biasa. Justeru, tidak hairanlah isu berkaitan kenaikan kos sara hidup, subsidi dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mendapat perhatian.

Namun, isunya ialah kebanyakan daripada kritikan dan tentangan yang disuarakan lebih bersifat emosi dan politik tanpa melihat kepada realiti. Perkara utama yang perlu difahami ialah mengurus ekonomi sesebuah negara tidak semudah mengurus sebuah organisasi. Ia merangkumi pengurusan ekonomi makro dan mikro membabitkan hubungan negara dengan kerencaman ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Justeru, ia menuntut kepekaan kerajaan untuk melakukan perubahan sesuai dengan tuntutan semasa supaya ekonomi boleh bergerak dan berkembang secara dinamik dan positif.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak acap kali menjelaskan cabaran yang dihadapi negara dan mengapa kerajaan perlu bertindak. Pada masa yang sama kerajaan tetap memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

15 peratus ke atas subsidi

Pada tahun 2010, kerajaan membelanjakan 15 peratus daripada bajet ke atas subsidi dan insentif. Ia terus meningkat pada 2012 menjadi 21.4 peratus (RM44 bilion). Punca peningkatan subsidi itu adalah kenaikan harga pasaran dunia.

Kos subsidi ditanggung kerajaan membawa kepada peningkatan defisit bajet dan negara berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an.
Apabila hutang dan defisit meningkat maka ia boleh menimbulkan situasi bahaya kepada ekonomi negara. Pelabur, bank, dan agensi penarafan memberi fokus terhadap hutang, defisit dan perbelanjaan subsidi negara kita.

Situasi itu sudah pun berlaku dalam kalangan negara Eropah yang mengalami krisis kewangan beberapa tahun lalu sehingga menakutkan pelabur asing dan membuat mata wang negara terbabit tertekan.

Mengambil iktibar daripada perkembangan ekonomi dunia, kerajaan perlu bertindak mengawal kewangan negara supaya rakyat dilindungi, kemajuan dapat diteruskan, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara akan terjamin. Usaha pembaharuan fiskal dilaksanakan dengan melakukan rasionalisasi subsidi secara berperingkat. Dasar subsidi kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

Ia dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang bukan saja dapat mengurangkan defisit tetapi meningkatkan perbelanjaan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Pembaharuan subsidi dilaksana kerajaan disambut baik oleh pelabur dan agensi penarafan antarabangsa.

Perkenal GST mulai 2015

Selain merasionalisasikan subsidi, kerajaan akan memperkenalkan GST mulai April 2015 bertujuan mengukuhkan kewangan negara. Dalam melaksanakan langkah terbabit, kerajaan bertindak cermat. Kajian dilakukan dan langkah terbabit dilaksanakan hasil cadangan kukuh daripada Perbendaharaan, Bank Negara, dan Unit Perancang Ekonomi.

Setakat ini rasionalisasi subsidi telah membuahkan hasil. Ekonomi negara terus berkembang. Defisit bajet kita kini pada 3.9 peratus dan pada tahun 2020 kerajaan menjangkakan akan mencapai bajet seimbang.

Ekonomi kita berkembang pada kadar purata lima peratus setiap tahun, dan pendapatan isi rumah 24 peratus lebih tinggi. Kehidupan isi rumah juga bertambah baik.

Pada tahun lalu, gaji meningkat secara purata sebanyak enam peratus. Tahun lalu juga menyaksikan dagangan mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.

Begitu juga peningkatan dalam pelaburan asing yang mendorong kepada pengembangan perniagaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Kerajaan juga terus komited untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kesimpulannya, langkah kerajaan mengawal kewangan negara dengan menstruktur semula pemberian subsidi dan memperkenalkan GST pada tahun depan bertujuan menjamin kedaulatan, keselamatan, kebebasan dan pertumbuhan negara.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dipetik Daripada : BH Online - 23/5/2013

23 Mei 2014

Pesta buku galak minat membaca masyarakat

 Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, kita melihat semangat kecintaan terhadap buku yang luar biasa. Mungkin yang kita lihat itu gambaran luaran semata-mata. Tetapi sekurang-kurangnya kita dapat melihat manusia pada semua peringkat, datang berbondong-bondong ke tempat pesta buku itu diadakan.

Hari cuti umum dan hujung minggu menyebabkan ruang pesta sesak. Pengunjung datang dengan bas sekolah, bas institusi, kenderaan sendiri dan pengangkutan awam. Dianggarkan lebih sejuta pengunjung membanjiri premis pesta berkenaan.
Laporan pasca pesta menyebut bahawa sejumlah penerbit buku sudah mencapai sasaran jualan mereka. Malah ada melebihi daripada sasaran atau jangkaan awal mereka. Ini memberikan gambaran betapa minat membeli dan membaca sedang berkembang dalam masyarakat kita.


Untuk mengekalkan momentum perkembangan minat beli dan baca masyarakat kita, suatu program harus dirangka dan dilaksanakan agar semangat pesta buku akan terus berlangsung dalam masyarakat kita, iaitu semangat yang merentas umur, gender, kaum dan geografi.

Berpeluang pilih buku

Dalam pesta buku, pengunjung berpeluang memilih pelbagai judul buku dalam pelbagai jenis bidang dan sub bidang ilmu. Akan tetapi sebaik sahaja pesta buku berakhir, peluang tersebut tidak muncul lagi, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Bagi mereka yang tinggal di bandar besar, peluang tersebut masih membuka ruangnya di kedai buku mega di gedung beli-belah yang besar.

Justeru, wajar sekali pesta buku dalam skala tertentu, terus diadakan dari semasa ke semasa, bergerak dari sebuah bandar kecil ke sebuah bandar kecil yang lain. Tempoh pusingan setahun, sehingga munculnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan datang, meneruskan momentum minat beli dan baca buku dalam kalangan masyarakat kita.
Pesta buku juga menawarkan potongan harga yang menarik. Selepas pesta, tiada lagi diskaun, atau hanya sedikit diskaun diberikan kepada pembeli. Ini bukan suatu fenomena perniagaan penerbitan yang baik. Para penerbit harus secara kreatif menawarkan potongan harga dari masa ke masa, agar masyarakat kita terus berminat membeli buku dan membacanya.

Dalam pesta buku, pelbagai acara dianjurkan bagi memperkenalkan penulis, penerbit, pengkritik dan sebagainya. Acara ini mendekatkan dunia industri perbukuan, kepengarangan dan apresiasi karya kepada khalayak. Malangnya selepas pesta, jarang-jarang kita mendengar adanya acara seperti itu.

Jika kita ingin menyuburkan dunia perbukuan dan yang lebih penting daya intelektual masyarakat kita, acara di atas harus diadakan dari semasa ke semasa, di pelbagai tempat yang strategik.

Industri penerbitan bukanlah semata-mata fokus kepada keuntungan material, tetapi bagaimana ilmu pengetahuan dapat disebarkan, dihidupkan dan dimanfaatkan oleh anggota masuarakat.

Tingkat keberkesanan acara

Ketika orang ramai mungkin berpuas hati dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, ada beberapa perkara yang harus difikirkan oleh penganjur bagi meningkatkan keberkesanan dan prestij acara ini. Satu daripadanya adalah dengan menambah penyertaan penerbit atau pempamer dari luar negara. Dengan bertambahnya penyertaan penerbit serta pempamer luar negara, khalayak akan terdedah kepada lebih banyak pilihan. Ia juga benar-benar memberi natijah kepada taraf antarabangsanya.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur juga sepatutnya mengetengahkan pempamer Negara Tamu (Guest Country) pada setiap tahun, seperti pesta buku antarabangsa bertaraf dunia. Jika ini belum dilakukan, tahap ‘antarabangsanya’ masih boleh dipersoalkan, kerana mungkin hanya bersifat serantau sahaja.

Penyertaan Negara Tamu bukan semata-mata bertujuan untuk mengangkat prestij Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia sejajar dengan usaha kita membentuk masyarakat yang berpengetahuan. Ia seiring dengan semangat Kota Buku Malaysia. Ia akan menjadikan Kuala Lumpur tumpuan penerbit antarabangsa.

Akhir sekali, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada anggota masyarakat kita untuk mendapatkan bahan bacaan yang terkini dan bermutu bagi mempersiapkan keupayaan intektual bersaingan pada peringkat rantau dan global.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Dipetik Daripada : BH Online 21/5/2014

Perlembagaan prasyarat tingkat semangat patriotik

Oleh : Shamrahayu A Aziz

Pemahaman inti pati akta penting elak tafsiran bercanggah

Perlembagaan diketahui umum sebagai undang-undang tertinggi. Sebagai undang-undang tertinggi negara, sehingga kini rakyat Malaysia mengetahui dan mempunyai kesedaran bahawa Perlembagaan hendaklah dijadikan rujukan utama dalam menentukan keesahan apa juga tindakan.
Umum juga mengetahui bahawa Perlembagaan juga adalah penentu kepada keesahan polisi dan undang-undang. Sekiranya sesuatu tindakan, polisi dan undang-undang itu tidak selari dengan Perlembagaan, maka ia adalah tidak sah.


Walaupun khalayak mengetahui kepentingan dan kedudukan Perlembagaan yang begitu tinggi, namun pengalaman saya menunjukkan bahawa tidak ramai ahli masyarakat yang pernah memegang dokumen Perlembagaan.

Jika ada sekali pun, hanya sedikit sahaja yang membaca Perlembagaan. Pengalaman saya menyampaikan syarahan mengenai Perlembagaan dan undang-undang berkaitannya juga menunjukkan jarak antara dokumen Perlembagaan dan masyarakat kita agak jauh.

Pada pengamatan saya juga, ramai khalayak yang bercakap dan berhujah menggunakan Perlembagaan, tetapi tidak begitu ramai yang membacanya sendiri atau menilai peruntukan Perlembagaan dengan semangat Perlembagaan dan dengan sejarah Perlembagaan itu.

Wajib fahami pengisian
Natijah daripada pengamatan saya itu bagi mengelakkan pengucapan dan tafsiran bercanggah dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan, maka adalah menjadi satu kewajipan bagi kita untuk mengetahui inti pati pengisian Perlembagaan, sejarah dan juga semangat peruntukan Perlembagaan dengan sewajarnya.

Ini amat penting terutamanya bagi ahli politik, pegawai tinggi pentadbiran kerajaan, pasukan keselamatan, serta mereka aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan untuk membaca, mengenali, mempelajari dan memahami Perlembagaan dengan mendalam.

Begitu juga dengan peguam, terutamanya mereka yang tidak pernah membuat kursus Perlembagaan Malaysia secara formal, termasuk graduan perundangan di luar negara. Bagi graduan perundangan luar negara, walaupun mereka lulus kursus undang-undang Perlembagaan secara umum, atas sifat dan keunikan Perlembagaan bagi setiap negara, termasuk Perlembagaan Malaysia, penting untuk mereka memahami secara mendalam Perlembagaan Malaysia sendiri sebelum beramal sebagai peguam.

Ini penting kerana profesion peguam berkait rapat dengan Perlembagaan,
terutama mereka yang terbabit secara langsung memberikan kenyataan tertentu berkaitan Perlembagaan. Walaupun mereka memahami prinsip umum perlembagaan secara sejagat, atas dasar setiap Perlembagaan itu mempunyai sejarah, falsafah dan semangat yang berbeza, maka penelitian khusus kepada setiap peruntukan Perlembagaan Malaysia itu adalah satu kemestian.

Isu kompleks Perlembagaan

Dalam perkembangan mutakhir, kita lihat pelbagai isu kompleks berkaitan Perlembagaan, terutama perkara yang membabitkan peruntukan warisan dalam Perlembagaan, seperti keistimewaan Melayu, kedudukan Islam dan raja, malah sistem demokrasi.

Bukan mudah memahami pengisian Perkara 153. Rata-rata orang menyatakan bahawa 153 hanya berkisar mengenai keistimewaan Melayu. Jarang sekali disebut mengenai hak munasabah kaum lain dalam Perkara 153 itu.

Setiap peruntukan Perlembagaan itu mempunyai nadinya dalam sejarah dan negara ini dan di sebalik peruntukan harfiah Perlembagaan itu terdapat prinsip tidak bertulis. Ini apa yang sering saya sebut sebagai peraturan tidak bertulis dalam Perlembagaan bertulis (unwritten rules in written constitution).

Walaupun ayat dalam Perlembagaan sukar difahami khalayak, tetapi kita hendaklah menerima hakikat bahawa Perlembagaan bukan dokumen eksklusif. Perlembagaan adalah milik setiap individu warganegara. Sudah seharusnya ia perlu difahami dan dihayati oleh setiap warga negara dengan mata hati mereka.

Bagi peguam yang beramal, saya mencadangkan supaya Perlembagaan Malaysia dijadikan kursus khas dalam program Certificate in Legal Practice iaitu kursus wajib yang mengandungi lima mata pelajaran untuk memberikan kelayakan kepada graduan luar negara untuk beramal sebagai peguam di negara ini.

Bagi ahli politik dan pentadbir pada peringkat tertinggi pendekatan tertentu sewajarnya diambil bagi membolehkan mereka memahami dan menghayati Perlembagaan.

Bagi semua warga negara, menghayati Perlembagaan adalah prasyarat meningkatkan semangat patriotisme. Mengenali Perlembagaan juga adalah perkara utama dalam kita mengendalikan permasalahan berkaitan falsafah dan hala tuju negara.

Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
 
Dipetik Daripada : BH Online - 21/5/2014 

10 Mei 2014

Cabaran urus alam sekitar

  Oleh : Prof Emeritus Ibrahim Komo

Paradigma baharu kekal kelestarian

Daripada perspektif guna tahan, kita biasa mendengar konsep pembangunan bandar, industri atau pertanian. Apa itu pembangunan alam sekitar? Bukankah kita sudah memperkenalkan pelbagai konsep mengenai pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh Hutan Simpanan Kekal, Kawasan Sensitif Alam Sekitar, Taman Negeri atau Negara dan Tapak Warisan Dunia.
Pemikiran kita mengenai alam sekitar adalah berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan. Konsep begini menimbulkan konflik berterusan antara pembangunan dan alam sekitar.


Di satu pihak, masyarakat melihat alam sekitar merupakan sumber asli yang boleh diterokai untuk menjana ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Di pihak lain, alam sekitar khususnya hutan adalah warisan sejagat yang perlu dikekalkan atau dipulihara. Akhirnya, sedikit demi sedikit hutan diterokai untuk faedah ekonomi atau atas nama pembangunan.

Saya melihat gagasan pembangunan dan alam sekitar pada masa ini tidak menguntungkan golongan yang beriltizam memulihara hutan sebagai warisan alam. Pemikiran manusia dan pemimpin masih memberikan tahap kepentingan yang jelas kepada sumber untuk menjana ekonomi, keperluan kesejahteraan manusia dan akhirnya untuk pemuliharaan warisan.

Selagi manusia taksub menjana wang dan memerlukan sumber asas mengurus peningkatan penduduk, alam sekitar adalah mangsanya.

Imbangi pembangunan, alam
Walaupun, masyarakat dunia mulai sedar pentingnya perkhidmatan alam sekitar bagi kelangsungan kehidupan, pendekatan pembangunan semasa masih belum berupaya mengimbangi keperluan pembangunan wilayah dan fungsi memulihara alam sekitar.

Kemerosotan kualiti air dan udara, peningkatan bencana alam (banjir kilat dan tanah runtuh) dan wabak penyakit disebabkan pencemaran adalah petanda fungsi dan khidmat alam sekitar telah dilampaui.

Saya perkenalkan konsep pembangunan alam sekitar atas dua alasan. Pertama, meletakkan kedudukan atau kepentingan alam sekitar seiring dengan pembangunan lain, seperti pembangunan bandar (penempatan), pembangunan industri (ekonomi) dan pembangunan pertanian (sumber makanan).

Kedua, pembangunan alam sekitar perlu diperkenalkan dalam konteks perkhidmatan ekosistem untuk kelestarian atau sumber kehidupan. Oleh itu, prinsip pembangunan alam sekitar adalah untuk memberikan ‘perkhidmatan ekosistem’ dan bukannya semata-mata untuk pemuliharaan sumber asli.

Perancang bandar dan desa boleh menyediakan garis panduan pembangunan berasaskan kepada beberapa fungsi penting alam sekitar.

Dari perspektif kesejahteraan masyarakat, fungsi terpenting alam sekitar adalah menyediakan perkhidmatan alam sekitar, khususnya sumber air dan udara bersih serta simpanan benih pelbagai tumbuhan (kepelbagaian biologi) untuk sumber makanan dan ubatan.

Beri perhatian kepada ekosistem

Dalam konteks ini, pelan pembangunan perlu memberi perhatian kepada konsep ‘keupayaan tampungan atau had perubahan’ yang tidak memudaratkan perkhidmatan suatu ekosistem tersebut.

Selain itu, alam sekitar juga warisan tabii manusia yang menjadi lambang ketamadunan dan nilai sepunya masyarakat. Seperti peninggalan sejarah dan arkeologi, landskap ekologi atau geologi juga mempunyai nilai saintifik dan estatik yang perlu dipulihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Kita perlu mengenali apakah landskap tabii itu hanya bersifat warisan tempatan, kebangsaan atau dunia dari perspektif keunggulannya. Jika kita perlu membuat pilihan antara pembangunan atau pemuliharaan, keunggulan nilai warisan bakal menjadi penentu kepentingannya.

Pelbagai bentuk pembangunan masih boleh dilakukan di kawasan alam sekitar. Antaranya, untuk mengekalkan penempatan dan kegiatan ekonomi komuniti asli yang sudah lama menetap di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, kita boleh melaksanakan pelbagai pembangunan berimpak rendah seperti kemudahan penggunaan hasil hutan secara terkawal, rekreasi, pendidikan awam dan ekopelancongan bagi membolehkan alam sekitar dimanfaatkan sepenuhnya.

Merancang dan mengurus alam sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak faedah secara jangka panjang. Konsep pembangunan untuk kepentingan kesejahteraan manusia, memberikan status yang tinggi kepada alam sekitar.

Ia menjadi sebahagian daripada prasarana penting dalam kesatuan pembangunan yang holistik. Warga dan kerajaan perlu menyediakan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi untuk mengurus, memantau dan menyelenggara alam sekitar demi kepentingan kelestarian.

Meletakkan pengurusan alam sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak kelebihan. Ia boleh ditempatkan sejajar dengan pembangunan bandar, industri dan pertanian.

Masyarakat perlu mengiktiraf pembangunan alam sekitar kritikal untuk menyediakan perkhidmatan ekologi, memulihara warisan dan penggunaan sumber asli secara lestari. Bagaimanapun, jika ada dalam kalangan kita, masih berfikiran ‘tamak dan hanya mengaut kekayaan,’ alam sekitar bakal menjadi mangsa utamanya.

Penulis ialah Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar
 
Dipetik Daripada : BH Online - 7/5/2014