HAKIKAT bahawa hampir 80 peratus pekerja di Malaysia berada pada
kategori tidak mahir perlu dipandang serius kerana ini memberikan kesan
yang besar kepada keperluan modal insan, pembangunan ekonomi,
kesejahteraan masyarakat dan corak politik Malaysia pada masa depan.
Menjelang status negara maju tahun 2020, keupayaan Malaysia
menyediakan tenaga mahir pada kadar 50 peratus daripada keseluruhan
pekerja adalah menjadi kayu pengukur sama ada kita benar-benar layak
untuk diiktiraf sebagai negara maju. Berdasarkan situasi sekarang, kadar
pekerja mahir di Malaysia hanyalah sekitar 28 peratus yang belum
melepasi syarat pekerja mahir negara maju.
Dengan berbaki masa yang cuma tinggal 6 tahun dari sekarang, apakah
kita mampu mencapai matlamat negara maju yang rakyat pekerjanya
berkemahiran tinggi? Ini sekali gus menjadi ukuran pula kepada
masyarakat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 seperti yang
disasarkan dalam Transformasi Ekonomi dan janji manifesto kerajaan
Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU-13) lalu.
Sepanjang penulis berkecimpung sebagai penyedia latihan kemahiran
swasta selama 18 tahun, tidak pernah berlaku penyatuan bersama antara
Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran
Swasta (ILKS) untuk duduk semeja berbincang secara serius seperti
sekarang. Ini membuktikan tahap dilema yang sangat serius sedang
dihadapi oleh semua pihak. Malah, kepercayaan antara satu sama lain
untuk mencari titik persamaan dan bergabung untuk bekerjasama
membuktikan keprihatinan yang bersulam kebimbangan terhadap masa depan
tenaga kerja mahir di Malaysia.
Dalam pada semua pihak cemas dengan masa yang semakin singkat, semua
pihak tetap melangkah ke hadapan tetapi dengan suasana tempang dan
teragak-agak umpama berjalan di dalam kegelapan tanpa mengesan sebarang
sinar. Maka wujudlah ketidakseimbangan antara hasrat untuk mengejar
sasaran dengan kekangan perlaksanaan yang sedang dihadapi. Inilah yang
menjadikan dilema ILKA, ILKS, industri dan semua yang terlibat dalam
sektor kemahiran untuk melaksanakan tanggung jawab negara ini.
Terdapat beberapa isu yang menjadi dilema dasar kemahiran di
Malaysia. Antaranya adalah ketiadaan satu penyelarasan yang jelas dalam
sektor latihan kemahiran kerana terlalu banyak agensi yang melaksanakan
perkara yang serupa tetapi mahu menjadi juara dengan jenama
masing-masing. Akibatnya berlaku pertindanan yang akan merugikan
perbelanjaan, sumber tenaga, pengurusan dan kualiti sebenar graduan yang
dihasilkan. Pertindanan bukan sahaja berlaku di kalangan sesama ILKA
tetapi antara ILKA dan ILKS.
Selain itu, wujud juga persepsi yang berbeza antara agensi pelaksana
dengan agensi sokongan lain seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang
Ekonomi (EPU) dan PEMANDU. Adakalanya keperluan agensi pelaksana tidak
difahami secara mendalam oleh agensi sokongan ini. Sebagai contoh,
agensi sokongan masih menganggap banyak ILKA yang tidak diguna pakai
sepenuhnya menyebabkan peruntukan tambahan sukar untuk diperolehi.
Jumlah kemasukan dan kos operasi pula terbantut.
Begitu juga takrif pekerja mahir sebenar seperti digariskan oleh
Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia yang
menetapkan sekurang-kurangnya seseorang pekerja itu perlu memiliki
pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3. Sedangkan pada masa
ini, daripada 1.3 juta pemegang sijil SKM, sebanyak 80 peratus berada di
tahap 1 dan 2 yang masih berada pada kedudukan berkemahiran rendah.
Walau bagaimanapun, apa yang lebih parah lagi adalah kekurangan dana
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber
Manusia yang jauh lebih rendah iaitu tidak sampai RM300 juta berbanding
PTPTN yang berada jumlah RM5 bilion setahun. Ini telah menyekat lebih
ramai pelatih untuk mengikuti latihan kemahiran SKM.
Seperkara yang menjadi kerunsingan juga adalah keupayaan Agensi
Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk memberi
pengiktirafan pemegang sijil SKM bagi memenuhi standard dan permintaan
tertentu seperti keperluan tenaga kerja sektor awam serta penilaian
standard antarabangsa. Ada sesetengah negara yang mahukan jawapan sejauh
manakah JPA mengiktiraf SKM sebelum negara mereka menerima pensijilan
kita!
Inilah antara dilema yang sebahagiannya telah menjadi isu lapuk
berzaman-zaman. Namun, kita tidak boleh lagi membiarkan dilema ini
berpanjangan kerana harga kesannya sangat tinggi terutama generasi baru
kini dan masa akan datang. Kesan dilema dan isu kemahiran pekerja akan
menjadi tekanan kepada masyarakat dan negara jika tidak ditangani
segera.
Sudah tiba masanya pemimpin negara duduk semeja dengan semua pihak
supaya titik pertemuan untuk menangani isu kemahiran dapat dicapai untuk
kebaikan semua.
Forum Pemimpin Kemahiran Malaysia 2013 diharap menjadi medan terbaik
untuk merungkai dilema kemahiran yang menghasilkan kesepakatan semua
pihak menjayakan misi nasional ke arah negara maju berpendapatan tinggi
menjelang tahun 2020.
PENULIS ialah Pengerusi Gabungan ILKS Bumiputera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan