SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

19 Januari 2013

Jangan dianaktirikan pengurusan tingkatan enam


TINGKATAN enam telah melalui fasa pembaharuan dalam perjalanan pengurusan pada tahun lalu. Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baharu telah diperkenalkan menggantikan STPM lama yang bersifat terminal.
Langkah yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran ini adalah langkah yang baik dan disokong penuh. Namun malangnya, keadaan dan situasi pengurusan tingkatan enam masih pada tahap lama.
Pengurusan tingkatan enam ketika ini seperti mengharapkan belas ihsan arus perdana untuk terus hidup. Masalah ini bertambah apabila pengurusan tingkatan enam tidak difahami oleh sesetengah pengetua yang menganggap tingkatan enam hanya seperti melukut di tepi gantang.
Pelajar tingkatan enam dilayan setaraf pelajar tingkatan lima. Pelbagai peraturan dilaksanakan umpamanya tidak boleh membawa komputer riba, melayari internet, jadual waktu mengikut arus perdana dan pelbagai lagi peraturan yang tidak menyokong pengurusan tingkatan enam itu sendiri.
Selain itu, pelajar tingkatan enam dipaksa mengikuti program kokurikulum.
Persoalannya, dengan pentaksiran baru mengikut kerja kursus sepatutnya pelajar tingkatan enam diberi kebebasan untuk bergerak bebas dalam ruang lingkup pelajaran dan pembelajaran, jadual waktu dan kokurikulum berasingan seperti yang termaktub dalam pekeliling pengurusan tingkatan enam.
Sekiranya ini tidak dilaksanakan, bagaimana pelajar hendak menghadapi STPM baharu ini dengan jayanya? Program Pemusatan Tingkatan Enam seperti yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran seperti sudah tenggelam dan tidak dibicarakan lagi.
Sewajarnya, pihak kementerian proaktif dalam hal ini dan jangan biarkan perkara ini berlaku.
Jangan biarkan pengurusan tingkatan enam seperti entiti yang tidak dikehendaki di sekolah. Sudahlah diberi kelas yang paling buruk, para guru kami pula dipaksa mengajar tingkatan 1 sehingga 5.
Jadi persoalannya, bila kami dapat menyiapkan kerja kursus bagi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) untuk tingkatan enam yang perlu disiapkan pada April ini yang juga memerlukan kami membentangkan hasilan kerja kursus tersebut sedangkan guru kami juga dibebankan dengan tugasan arus perdana?
Kenapa pekeliling pengurusan tingkatan enam yang dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Pelajaran diabaikan di peringkat sekolah?
Pegawai di kementerian sepatutnya memantau sekolah-sekolah yang mempunyai tingkatan enam. Pastikan sama ada pengetua di sekolah berkenaan mematuhi pekeliling tersebut atau melayan pekeliling pengurusan berkenaan sekadar "melepaskan betuk di tangga".
Kenapa tidak diasingkan terus tingkatan enam dari arus perdana? Kenapa dibiarkan masalah ini berlaku?
Harapan kami sebagai pelajar tingkatan enam agar Bahagian Pengurusan Tingkatan 6, Kementerian Pelajaran selalulah meninjau dan melawat sekolah-sekolah yang mempunyai tingkatan enam, lihatlah bagaimana pengurusan kami diabaikan dan dianaktirikan oleh pengurusan sekolah khasnya pengetua yang lebih mementingkan arus perdana.
Jangan biarkan perkara ini berpanjangan demi kecemerlangan kami sebagai anak bangsa dan negara yang perlu layanan sama adil seperti pelajar lain.
Semoga ada sinar untuk kami terus mendokong aspirasi kerajaan dalam menjenamakan semula tingkatan enam.
Jangan biarkan hasrat tersebut dikhianati oleh pengurusan sekolah khasnya pihak pengetua sekolah yang enggan mematuhi pekeliling yang dikeluarkan sendiri oleh kementarian.
Kasihanilah kami. Berilah kami pembelajaran yang kondusif dan tenteram sebelum kami menghadapi peperiksaan ini kerana STPM inilah peluang akhir kami dalam peperiksaan sebelum dapat melangkah ke universiti. Semoga sistem pendidikan kita terus cemerlang pada masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia, 17/01/2013