JIKA diibaratkan sebagai seorang manusia, usia lebih separuh abad
lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan kebijaksanaan. Hal ini
disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan banyak
menimbulkan keinsafan dan pengajaran.
Demikianlah juga dengan Malaysia. Kemerdekaan yang dicapai lebih 50
tahun seharusnya menjadikan negara dan rakyatnya dewasa, matang, dan
berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang dilalui. Sudah banyak pula
onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain, kita telah mengenal
dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah, lebih lama kenal
dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.
Resam kehidupan, ujian yang datang tidak mungkin ada noktahnya.
Seperti diungkap al-Imam al-Syafi r.h.,: Ujian zaman datang begitu
banyak, silih berganti tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita
melihat semakin berusia negara ini semakin banyak dan hebat ujian yang
melanda.
Antaranya termasuklah bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu
daripada Timur dan Barat yang tibanya bersilih ganti. Sekadar menyebut
sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme, liberalisme, dan yang
sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau doktrin Syiah.
Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan sebenar dan
menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup
punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang
telah sedia terjalin.
Hal ini mengambil kira hakikat dunia kini telah tiada sempadan atau
batasannya. Manusia bebas berkomunikasi, menyampaikan pandangan dan
menyebarkan pemikiran serta doktrin yang dianuti melalui pelbagai wadah
seperti portal berita, blog, e-mel, web, dan media sosial.
Dengan yang demikian, matlamat memelihara masyarakat daripada musibah
yang dibawa pemikiran-pemikiran seumpama itu harus terlaksana melalui
tindakan yang tepat, berhikmah, dan berkesan. Dengan kata-kata lain,
segala aspek dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum langkah
menangani atau membendung penularan sesuatu pemikiran diambil. Dalam
hubungan ini, pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,
pemurnian kefahaman, pemantapan akhlak di samping pembudayaan sepenuhnya
prinsip menyeru kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran dilihat
sebagai lebih utama dan berkesan.
Tindakan ini tidak lain selain bertujuan membina perisai atau benteng
diri yang teguh dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang melanda
pada masa kini. Jika dikiaskan pada tubuh, daya ketahanan tinggi yang
dimiliki seseorang akan melindungi dirinya daripada dilanda sesuatu
penyakit dengan mudah. Begitulah pula sebaliknya.
Perhatian utama terhadap aspek pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman dan sebagainya itu perlu disusuli
penilaian terhadap keberkesanan pendekatan yang digunakan selama ini.
Adakah misalnya kaedah penyampaian pengajaran dan pendidikan bersesuaian
dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang telah dilanda perubahan
pesat dalam segenap sudut? Atau sebaliknya kaedah tersebut gagal menarik
minat anggota masyarakat untuk menerima pengajaran yang disampaikan?
Apatah lagi untuk menghayatinya.
Malang sekali jika sedemikian banyak ruang dan masa diperuntukkan
bagi menyampaikan ajaran agama; daripada pendidikan pada setiap
peringkat pengajian sehingga khutbah di masjid dan program keilmuan di
corong-corong radio serta kaca televisyen, namun akhirnya ajaran
tersebut gagal sampai kepada kelompok sasarannya. Malah sebaliknya
sebahagian kelompok berkenaan, khususnya golongan muda lebih mudah
beralih kepada ideologi dan pemikiran asing yang ditemui mereka dalam
media baharu.
Sungguh menyedihkan jika kebenaran tidak berupaya disampaikan dengan
sebaik-baiknya kepada anggota masyarakat hanya kerana kelemahan pada
kaedah atau pendekatannya. Sedangkan kebatilan pula dengan mudah
menerobos dan menakluki pemikiran mereka hanyalah disebabkan kehebatan
kaedah yang digunakan. Tepat sekali apa yang diingatkan oleh Khalifah
Ali k.w. bahawa kebenaran yang diperjuangkan secara tidak tersusun akan
dapat ditewaskan oleh kebatilan yang disusun secara sistematik.
Dengan yang demikian, seluruh institusi yang terlibat seperti
pendidikan, pemikir dan penyelidikan, dakwah, termasuk media perlu
menggembleng tenaga secara bersama. Tujuannya bagi memastikan kaedah
penyampaian pengajaran, pendidikan, serta dakwah diberikan nafas baharu
dan ditampilkan dengan wajah serta format lebih kreatif dan segar,
seiring dengan perubahan masa dan persekitaran. Walau bagaimanapun,
pendekatan baharu yang digunakan haruslah tidak sama sekali semata-mata
menurut selera masyarakat dengan mengabaikan kepentingan kandungan
pengajaran, iaitu bagi meningkatkan kefahaman tentang ajaran agama serta
tahap keilmuan dan memperluas ufuk pemikiran mereka.
Golongan ilmuwan dan agamawan secara khususnya harus menyedari bahawa
mahu tidak mahu, mereka telah pun berada dalam medan persaingan untuk
mendapatkan perhatian besar masyarakat awam. Jika perkara ini tidak
diberikan tumpuan sewajarnya maka sudah tentu ruang yang ditinggalkan
mereka dengan pantas diisi oleh pihak lain yang menanti untuk merebut
peluang tersebut. Justeru, para ilmuwan dan agamawan harus memiliki daya
tarikan yang kuat bagi memastikan bahawa mereka sentiasa dijadikan
rujukan dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul dalam
kehidupan. Sememangnya pada dasarnya, masyarakat awam memikul
tanggungjawab untuk merujuk kepada mereka, iaitu sebagaimana
diperintahkan al-Quran.
Kecenderungan untuk menjadikan mereka sebagai rujukan sudah tentu
pula didorong oleh keyakinan terhadap kewibawaan yang dibentuk oleh
sifat-sifat dan nilai-nilai terpuji. Namun sekiranya, kewibawaan yang
dimiliki telah pun lenyap sehingga meluputkan kepercayaan masyarakat
untuk bergantung pada mereka, maka selayaknya merekalah yang
bertanggungjawab atas kekhilafan yang berlaku itu.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan