SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

3 Oktober 2013

Keselamatan negara atasi hak individu

Oleh : Shamrahayu A Aziz 

Tambah baik akta cegah jenayah ikut Perlembagaan

Penularan masalah jenayah dalam masyarakat bukan sesuatu yang boleh kita diamkan. Jenayah bukan lagi api dalam sekam, tetapi api yang semakin marak. Polis menyuarakan keperluan kepada undang-undang yang mantap bukan saja untuk mengurangkan jenayah, tetapi dengan cita-cita menghapuskan jenayah.
Sudah tentu kita bangga atas kejayaan Ops Cantas yang dilaksanakan. Dalam menyaksikan kejayaan itu, kita juga perlu mengambil peduli kekangan yang dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perundangan.

Sudah banyak diperkatakan mengenai perkara ini. Pengenalan rang undang-undang untuk meminda serta memperluas Akta Pencegahan Jenayah adalah tindakan proaktif Kementerian Dalam Negeri bagi mendepani masalah jenayah, terutama jenayah terancang dan berat. Walaupun punca dan penyelesaian jenayah adalah pelbagai, perundangan menjadi mekanisme utama memerangi jenayah. Bagi mewujudkan undang-undang yang mantap, rujukan kepada Perlembagaan Persekutuan begitu penting.



Perlembagaan, di samping menjaga hak individu terhadap kebebasan asasi dan juga perbicaraan yang adil, adalah undang-undang tertinggi yang digubal bagi menangani sebarang permasalahan dan dalam apa juga keadaan.


Perlembagaan jamin keselamatan

Peruntukan Perlembagaan memberikan kekuatan perundangan bagi menggubal undang-undang berkaitan keselamatan. Jika keselamatan negara terancam, tindakan sewajarnya perlu dilakukan. Bagi melakukan tindakan sewajarnya itu, kita memerlukan undang-undang yang jelas. Kita perlu sedar Perlembagaan bukan saja menjamin kebebasan atau hak asasi sebagai undang-undang yang disediakan bagi menangani pelbagai keadaan, tetapi juga mengutamakan keselamatan tanah air dan ketenteraman negara.
Saya sering menyebut bahawa apabila berlaku pertembungan pada kedua-duanya, maka keseimbangan antara keselamatan dan kebebasan perlu diraikan.

Bagi meraikan kebebasan manusia, Perlembagaan meletakkan mekanisme tertentu bagi mengawal setiap kuasa yang diberikan undang-undang kepada penguat kuasa seperti PDRM.

Sekiranya kebebasan itu adalah bebanan kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam, ia perlu dikorbankan demi kepentingan keselamatan. Ini jelas dalam konteks meletakkan kepentingan umum lebih tinggi daripada kepentingan individu.

Perkara yang sering menjadi buah mulut dalam menjaga keselamatan negara ialah undang-undang pencegahan. Pencegahan, secara mudah membawa maksud tindakan proaktif diambil sebelum jenayah benar-benar berlaku atau benar-benar dilakukan.

Tindakan itu mungkin dalam bentuk tangkapan, tahanan atau apa juga yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa. Maka dengan itu, wujudlah istilah tahanan pencegahan. Bentuk tahanan ini mendapat tentangan hebat kerana ia menafikan hak orang ditahan dan tiadanya tindakan mahkamah.

Berkaitan perkara ini, Perlembagaan membenarkan tahanan pencegahan menerusi undang-undang yang diluluskan di bawah Perkara 149 dan 150. Kedua-dua perkara ini boleh digunakan dalam keadaan tertentu saja dan pemakaiannya bukan sepanjang zaman.


Perkara 149

Sebagai contoh, undang-undang dibuat Parlimen menerusi Perkara 149 boleh digunakan dalam keadaan seperti keganasan terancang, membangkitkan rasa tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong, menggalakkan niat jahat dan permusuhan antara kaum. Perkara 150 pula apabila wujud darurat. Berbanding Perkara 150, Perkara 149 tidak semestinya hanya dalam keadaan darurat, undang-undang berkaitan tahanan pencegahan boleh dilakukan.

Apabila membenarkan tahanan pencegahan ini, Perlembagaan meletakkan syarat supaya satu lembaga penasihat melihat tujuan dan alasan penahanan itu. Perkara ini jelas disebut Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara yang menjadi hujah sesetengah pihak ialah fungsi lembaga penasihat tidak berkesan dan ia tidak menjamin hak orang yang ditahan. Jika benar alasan ini, perkara yang perlu diperjelas ialah skop bidang kuasa dan fungsi lembaga penasihat, bukan menafikan terus peruntukan Perlembagaan yang membenarkan undang-undang pencegahan itu atas alasan bimbang pencabulan kebebasan.

Akta Pencegahan Jenayah 1959 ialah satu-satunya undang-undang yang mempunyai ‘genre’ pencegahan dimaksudkan. Oleh itu, pada pemerhatian saya, tindakan menambah baik akta ini adalah langkah terbaik demi menjaga keselamatan negara dan juga ketenteraman awam.

Penulis ialah profesor madya di Kuliyyah Undang-Undang UIAM
 
Sumber : Berita Harian Online -2-10-2013 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan