KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) kini dalam keadaan setengah lumpuh.
Beberapa jabatan kerajaan persekutuan terpaksa dihentikan operasi kerana
ketiadaan peruntukkan selepas Parti Demokrat dan Republikan tidak
mencapai kata sepakat di Kongres untuk untuk menaikkan kadar siling
hutang negara.
Mulai 1 Oktober lalu, kira-kira 800,000 daripada 1.2 juta kakitangan
kerajaan persekutuan dipaksa mengambil cuti tanpa gaji sehingga kerajaan
mendapat peruntukkan tambahan tersebut. Ini mengakibatkan beberapa
agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan, (400,000 kakitangan),
Jabatan Perdagangan (30,000 kakitangan), Jabatan Pengangkutan (18,000
kakitangan) dan Jabatan Tenaga (12,000 kakitangan) tidak dapat
beroperasi. Penutupan itu juga membuatkan kerajaan kerugian AS$1 bilion
(RM3.23 bilion) seminggu.
Ini adalah kali kedua selepas era Bill Clinton pada 1995 mengalami
keadaan yang sama dan operasi kerajaan tergantung selama 21 hari. Kali
ini Presiden Barack Obama menerima tamparan hebat apabila AS perlu
menyelesaikan kadar siling hutang sebelum 17 Oktober ini. Sekiranya
Republikan masih tetap tidak meluluskan kadar siling yang baharu, AS
akan terjerumus dalam kancah krisis ekonomi yang serius.
Hutang AS sehingga Mei lalu telah melepasi kadar siling sebanyak
AS$16.7 trilion. Sejak itu Jabatan Perbendaharaan terpaksa menggunakan
peruntukkan kecemasan untuk menggerakkan operasi kerajaan persekutuan
hingga 17 Oktober ini. Sekiranya isu kadar siling hutang ini tidak
diselesaikan selepas 17 Oktober, kerajaan hanya mempunyai AS$30 bilion
dalam tangan yang diperoleh daripada kutipan cukai. Maka sangat mustahil
untuk kerajaan bergantung kepada kutipan cukai bagi membayar dua
pertiga daripada lebihan hutang.
Kadar hutang yang tinggi dalam keadaan ekonomi AS yang merudum
selepas lima tahun dilanda krisis paling teruk sejak 1930-an pasti
memberi kesan yang besar terhadap ekonomi dunia.
Kesannya bukan sekadar kepada 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan
diberi cuti tanpa gaji tetapi turut menjejaskan negara-negara yang
mengadakan hubungan dagang dengan AS. Sehingga semalam, Republikan tidak
memperlihatkan akan berlembut dengan tuntutan supaya Obama menunda
penguatkuasaan undang-undang terhadap akta pelan kesihatan yang dikenali
sebagai Obamacare.
Republikan hanya akan meluluskan kadar siling baharu hutang negara
dengan syarat Obama menunda pelan kesihatan yang merupakan sebahagian
daripada janji semasa kempen pilihan raya Presiden yang lalu. Sekiranya
Obama tunduk kepada ketegasan Republikan, dia menghadapi kekalahan moral
politik yang memalukan. Dalam politik AS, Parti Republikan menguasai
Dewan Perwakilan sementara Demokrat menguasai Dewan Senat di Kongres AS.
Tebusan
Sesetengah penganalisis politik menganggap kerajaan AS menjadi
separuh lumpuh disebabkan Obamacare. Malah ada yang menyalahkan
Republikan yang tidak mahu bertolak demi kepentingan rakyat kerana
secara luarannya pelan kesihatan itu untuk kepentingan warga AS
seluruhnya. Di sini kelihatan Republikan menjadikan Obamacare sebagai
tebusan untuk melihat sama ada Obama sanggup menghadapi kekalahan
moral demi menyelamatkan negara yang separuh lumpuh.
Obamacare adalah janji pilihan raya Obama semasa berkempen merupakan
pelan kesihatan yang bertujuan memberikan peluang kepada setiap warga
mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Caranya setiap warga perlu
memiliki insurans kesihatan untuk mendapatkan kualiti rawatan yang
terbaik. Dengan mengerakkan Obamacare di bawah undang-undang, beban
belanja oleh kerajaan akan berkurangan.
Obamacare sebenarnya telah diluluskan oleh Kongres pada 23 Mac 2010
di bawah Patient Protection and the Affordable Care Act (ACA). Kerana
itu secara logiknya Republikan tidak boleh menjadikan Obamacare sebagai
tebusan untuk meluluskan belanjawan tambahan. Tetapi tindakan
Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan itu adalah rentetan daripada
Tea Party, sebuah gerakan oleh Republikan untuk melumpuhkan kerajaan
sejak 2010 lagi. Kini sebahagian daripada matlamat mereka sudah
tercapai. Republikan sengaja menggunakan kuasa Dewan Perwakilan untuk
membalas dendam politik terhadap Obama.
Maka tindakan Republikan bertegas supaya Obama tidak menguatkuasakan
undang-undang terhadap perlaksanaan Obamacare tidak lebih helah untuk
memerangkap Obama dan Demokrat.
Kerana itu Obamacare bukanlah faktor utama yang membuatkan kerajaan
separuh lumpuh, 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan diberi cuti
tanpa gaji dan sekali gus mencetuskan keadaan gelisah dan bimbang dalam
kalangan ahli ekonomi dan warga seluruhnya. Faktornya adalah permainan
politik dalam Kongres AS di mana pihak pembangkang mempunyai peluang
untuk mengugut Obama yang boros berbelanja termasuk ura-ura melancarkan
perang ke atas Syria baru-baru ini.
Apabila AS melancarkan perang ke atas negara lain, belanjanya
terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai. Misalnya semasa AS melancarkan
perang ke atas Iraq pada 2003 hingga 2010 yang menelan belanja sebanyak
AS$750.8 bilion. Ini bermakna pada setiap satu jam sebanyak AS$60.71
juta daripada pembayar cukai digunakan oleh Jabatan Pertahanan AS untuk
membayar belanja perang itu.
Sementara itu dalam laporan Kennedy School of Goverment, Universiti
Harvard 2013, belanja yang ditanggung oleh AS dalam perang di
Afghanistan dan Iraq dianggap paling tinggi dalam sejarah perang AS
iaitu lebih AS$4 trilion. Ini termasuk bayaran perubatan jangka panjang
dan pampasan kepada anggota tentera yang terlibat dalam kedua-dua perang
itu.
Pada Ogos lalu, akhbar The Washington Post telah menyiarkan satu
dokumen sulit yang belum pernah didedahkan sebelum ini mengenai
peruntukkan AS$52.6 bilion untuk operasi perisikan sejak 2007.
Ini menunjukkan isu penting yang membuatkan kerajaan AS hampir lumpuh
adalah kadar hutang negara yang tinggi. Republikan menggunakan
kesempatan daripada Obamacare untuk mengawal belanjawan Obama yang
dilihat semakin galak walaupun dalam keadaan kedudukan ekonomi AS yang
tenat.
Belanjawan kerajaan persekutuan yang dibentangkan pada 13 Februari
tahun lalu mencatatkan pendapatan negara sebanyak AS$2.902 trillion
sementara perbelanjaan sebanyak AS$3.803 trillion, defisit AS$901
billion atau 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sekarang ini kalau kadar baharu siling hutang diluluskan oleh Kongres
sekalipun, ekomoni AS berada dalam keadaan genting.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan