SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

3 Oktober 2013

Kesederhanaan langkah keamanan sejagat

Oleh : Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
Muafakat, dialog harus dipupuk demi kesejahteraan nasional, global

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menyeru kepada dunia meninggalkan amalan ekstremisme dan menerima pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai langkah membawa keamanan sejagat.

Saranan Najib itu tepat pada masanya kerana kini kita semakin cenderung melihat perbalahan dan konflik di serata dunia khususnya di negara Islam. Justeru, saranan pemimpin nombor satu negara melalui gagasan Pergerakan Global untuk Kesederhanaan itu haruslah disambut baik dan menjadi panduan setiap warga yang cintakan keamanan dan sayangkan keharmonian.
Ekstremisme muktakhir ini bukanlah suatu yang baru, malah ia pernah muncul dalam setiap tempoh penting sejarah dunia. Kita pernah menyaksikan ketaksuban global yang bercirikan ideologi yang melahirkan Perang Dingin sebaik saja tamatnya Perang Dunia Kedua sehingga runtuhnya tembok Berlin pada 1989 dan berakhirnya Kesatuan Soviet pada 1990.


Ciri ekstremisme kepada ideologi juga menyebabkan Parti Komunis Malaya menentang kerajaan, meskipun Malaya (kemudian Malaysia) sudah merdeka pada 1957. Apa yang jelas, ekstremisme ideologi ini gagal dan membawa kehancuran.

Cetus konflik, pembunuhan

Selepas Perang Dingin, muncul pula negara baru yang mencetuskan ekstremisme yang berasaskan perkauman sayap kanan. Permusuhan kaum ini mencetuskan konflik dan pembunuhan kaum terburuk dalam sejarah manusia sejak Perang Dunia Kedua, khususnya di Bosnia Herzegovina dan Rwanda.

Pada 1993, Majlis Keselamatan PBB menubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk negara bekas Yugoslavia berasaskan Resolusi 808 Majlis Keselamatan PBB untuk mengadili individu yang dikenal pasti melakukan jenayah perang dan pembunuhan kaum. Dianggarkan 200,000 orang terbunuh dalam Perang Balkan itu.
Di Rwanda juga berlaku pembunuhan kaum yang meluas membabitkan dua puak yang bermusuhan iaitu Hutu dan Tutsi. Ekstremisme amat jelas apabila kaum Hutu menggelar kaum Tutsi sebagai lipas yang harus dihapuskan. Krisis kedua-dua kaum itu mengorbankan 500,000 nyawa.

Bermulanya alaf baru, kita dapat melihat munculnya ekstremisme baru yang berasaskan agama. Walaupun perbalahan agama ini sudah muncul sebelum ini seperti antara penganut Kristian Protestan dan Katolik di Ireland Utara serta Hindu dan Islam di India, kali ini dasar luar Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan melahirkan golongan ekstremisme baru yang menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Ekstremisme bentuk baru

Dasar campur tangan AS di Iraq dan Afghanistan serta keganasan Israel di Palestin melahirkan ekstremisme bentuk baru melalui gerakan al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden. Ini menyebabkan AS mengisytiharkan Perang Menentang Keganasan selepas peristiwa serangan 9 September 2001 di New York. Malah, agenda AS itu didukung pemimpin neo-konservatif ketika itu seperti Naib Presiden, Dick Cheney dan Timbalan Setiausaha Pertahanan, Paul Wolfowitz. Mereka menggunakan pendekatan menakut-nakutkan rakyat Amerika dan masyarakat antarabangsa akan ancaman keganasan bagi menghalalkan campur tangan mereka di Iraq dan mendominasi pasaran senjata dan minyak dunia di Asia Barat.

Ketika dunia belum reda dengan isu keganasan global, dasar luar AS menggalakkan pula permusuhan antara mazhab Syiah dan Sunni di negara Islam seperti Iraq, Iran, Syria, Bahrain dan Pakistan. Ekstremisme agama yang berasaskan mazhab ini agak membimbangkan kerana boleh menjurus kepada kemusnahan lebih dahsyat.

Tempias kepada kebimbangan ini juga sudah menular ke Malaysia apabila golongan Syiah kini semakin dilihat sebagai ancaman kepada kesepaduan umat Islam di Malaysia yang bermazhab Sunni.

Seruan kesederhanaan Najib juga harus dihayati oleh pemimpin dan rakyat di negara ini. Pemilihan dan Perhimpunan Agung UMNO seharusnya menjadi wadah orang Melayu menjuarai agenda kesederhanaan ini selain tidak mengetepikan agenda pembelaan terhadap Melayu Bumiputera demi kebaikan umum.

Di Malaysia, Najib melihat sifat kesederhanaan diamalkan melalui pendekatan hormat menghormati dan inklusif serta mengukuhkan hubungan di kalangan masyarakat pelbagai kepercayaan.

Di peringkat global, Najib menyeru setiap negara mengukuhkan komitmen kepada prinsip kesederhanaan, bukan saja dalam agama, tetapi untuk pembangunan mapan dan pertumbuhan ekonomi yang stabil. Pembunuhan harus dihentikan, manakala langkah muafakat dan dialog harus dipupuk bagi membina agenda bersama demi keamanan dan kesejahteraan nasional dan global.


Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia
 
Sumber : Berita Harian Online -  2-10-2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan