SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

19 Disember 2013

Waspada konsep demokrasi liberal

Oleh :  Shamrahayu A. Aziz

Hak kebebasan jadi umpan cabar kedaulatan negara

Hanya kemerdekaan dan kedaulatan yang boleh menjadikan sesebuah negara itu dipandang tinggi dan dihormati di mata dunia. Kemerdekaan dan kedaulatan dalam bahasa mudah membawa erti kekuasaan negara dalam mengendali, mentadbir urus negara, menentukan hala tuju negara serta meletakkan kewajipan ke atas setiap rakyatnya.

Bagi negara kita, kemerdekaan dan kedaulatan negara bukan mudah untuk diperoleh. Ia bukan jatuh dari langit atau datang bergolek tanpa tumpahnya darah dan air mata. Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa perkara yang menunjangi kemerdekaan dan kedaulatan negara ialah kesetiaan rakyat kepada negaranya. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi serta semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara menjadi faktor utama dalam mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Berkaitan dengan kedaulatan negara, perkara berkaitan pengintipan sudah beberapa kali disiarkan media. Sudah tentu perkara ini membimbangkan. Mungkin ini adalah antara kesan atau masalah globalisasi yang sedang hebat melanda dunia kita. Ia seolah-olah tidak boleh dielakkan lagi.

Namun, sekiranya benar, atas apa alasan sekalipun, pengintipan itu dilakukan, ia adalah pencerobohan ke atas kedaulatan negara. Oleh itu, isu pengintipan ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Selain daripada isu pengintipan dan kedaulatan negara, kita juga perlukan penghayatan yang jelas mengenai kesetiaan kepada negara oleh warga negara kita sendiri.

Setia kepada negara
Perkara ini begitu penting kerana hanya kecintaan dan kesetiaan kepada negara yang boleh menjamin kekalnya kemerdekaan dan kedaulatan negara. Perkara penting untuk kita perkukuh ialah kesetiaan dan kecintaan kita kepada negara. Setiap individu warga Malaysia menggalas tanggungjawab menjaga kemerdekaan dan kedaulatan negara pada setiap masa.

Oleh yang demikian, ketahanan diri, pendirian yang jelas dan jati diri yang berlandaskan kekuatan mental dan spiritual serta ketinggian akhlak akan memperkasa dan mengekalkan kekuatan negara. Dalam perkembangan semasa terutama dalam era digital dan dunia maklumat, kedaulatan negara menjadi satu perkara besar.

Perkembangan semasa dalam maksud demokrasi juga perlu difahami dengan jelas oleh setiap warga. Demokrasi yang dicanang kepada rakyat menggambarkan mengenai kebebasan. Kebebasan itu pula digambarkan sebagai segala-galanya dalam kehidupan manusia. Demokrasi dijadikan umpan untuk mencabar kedaulatan negara.

Atas dasar demokrasi pelbagai perkara sudah dicanang. Sebagai contoh, atas dasar demokrasi dicanangkan hak kebebasan bersuara dan juga kebebasan untuk mendapatkan maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia negara. Di bawah tiket demokrasi itu kelihatan seolah-olah ada keghairahan dalam kalangan warga untuk mendapatkan atau membongkar rahsia negara. Sekiranya rahsia negara itu telah didapati dan seterusnya didedahkan, ia adalah seolah-olah satu kejayaan besar demokrasi dan kebebasan bersuara.

Fahami konsep demokrasi

Kita hendaklah sedar bahawa hak asasi dijadikan tema mengembangkan demokrasi liberal yang lebih mementingkan kebebasan individu yang begitu luas dan seolah-olah tanpa sempadan yang jelas, sedangkan dalam konsep demokrasi sebenar, masih ada ruang untuk mengawal kebebasan itu. Demokrasi sebenar itu, walaupun menjamin kebebasan, tidak memberikan kebebasan yang sangat luas atau sepenuhnya.

Tidak dapat kita nafikan mengenai keperluan mendedahkan maklumat negara kepada khalayak bagi meletakkan sikap kebertanggungjawaban kerajaan.

Namun, ini tidak bermaksud konsep kebertanggungjawaban itu bertujuan mendedahkan negara kepada campur tangan lain dalam kedaulatan negara. Kita hendaklah berhati-hati dalam menerima konsep seperti demokrasi liberal ini.

Bagi memastikan kita tidak terleka dengan ‘inovasi’ dalam konsep demokrasi serta kebebasan tanpa sempadan, kita hendaklah mempunyai jati diri tinggi dengan meletakkan kecintaan dan kesetiaan kepada negara pada tempat paling tinggi. Setiap warga Malaysia hendaklah sedar bahawa kedaulatan itu hanya dipegang oleh kita yang tidak tunduk kepada kekuasaan orang lain serta tidak diganggu gugat oleh kehendak orang lain.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berpaksikan kepada kecintaan dan kesetiaan kepada negara dengan penuh kesedaran mengenai pentingnya kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim 

Sumber : Berita Harian Online -18/12/2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan