SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

23 Disember 2013

Penyatuan nasional pulih hubungan kaum

 Oleh : Jeniri Amir

Pada malam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengusulkan penyatupaduan nasional. Konsep itu dikemukakan ekoran kerisauan beliau sesudah melihat pola pengundian yang mengarah kepada polarisasi kaum. Polarisasi kaum tidak baik untuk Malaysia yang sekian lama bangga dengan hubungan etnik yang aman dan harmoni.

Ramuan terbaik perlu dicari bagi mengelakkan polarisasi kaum daripada memburuk dan memastikan perpaduan nasional terus dapat diperkukuhkan. Jawapan kepada semua itu ialah penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) baru-baru ini.

Dengan landskap sosiopolitik yang sudah berubah ekoran peningkatan kadar celik huruf dan politik, pendedahan kepada media baru, pertambahan golongan kelas menengah, serta kadar perbandaran yang meningkat memberi kesan kepada trend pengundian dalam pilihan raya. Perbincangan rakyat mengenai pelbagai isu yang dulu dianggap sensitif tidak lagi dapat dikawal, apatah lagi dengan adanya media baru.

Kenyataan sentuh isu sensitif

Rakyat Malaysia tidak segan memperkatakan sesuatu tanpa mengendahkan sama ada ia menghiris perasan etnik dan agama lain atau tidak. Akta Hasutan seolah-olah tidak memberi rasa gerun kepada golongan ini dengan terus menyentuh isu sensitif, emotif dan provokatif meskipun menyedari implikasi negatif kepada hubungan etnik.
Mereka bertikam lidah terutama di alam maya, tetapi sering bertindak ‘tikam batu sembunyi tangan.’ Keterbukaan dan kebebasan bersuara di alam maya bagai tidak disekat dan perselisihan pendapat ini sering menimbulkan salah tanggapan sesetengah orang, seolah-olah hubungan etnik di negara ini teruk walhal apa yang berlaku di alam maya tidak semestinya mencerminkan realiti sosial dalam hubungan seharian. Masyarakat pelbagai etnik masih lagi duduk semeja di kedai mamak, mengunjungi rakan dan kaum lain waktu perayaan atau majlis perkahwinan.

Isu membabitkan kepentingan kaum, bangsa, agama, budaya, perlembagaan dan ekonomi jika tidak dikawal boleh membakar hati dan negara kita. Perbincangan terbuka, jujur dan profesional dalam MKPN amat dituntut untuk mencari penyelesaian terbaik.

Hubungan etnik di negara ini mengalami keadaan turun naik, kecuali beberapa kejadian seperti 13 Mei 1969 dan dua tiga lagi kejadian lain, hubungan etnik di negara ini padanya aman dan harmoni. Kita sedang menuju kesepaduan dan perpaduan sosial.

Pendekatan pulih hubungan

Pelbagai langkah kerajaan sejak Majlis Gerakan Negara ditubuhkan membuahkan hasil, termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, penggunaan bahasa kebangsaan, dan seumpamanya. Meskipun demikian, ada pihak menganggap hubungan etnik di negara ini rapuh sifatnya bagai api dalam sekam, bila-bila masa saja boleh berlaku ketegangan dan konflik.

Kita sedar bahawa kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati pada hari ini berkat kestabilan sosial dan politik sejak kemerdekaan. Percakaran memang berlaku. Tetapi keharmonian hubungan etnik dan kesepaduan sosial memungkinkan kita mencapai kemajuan dari segi politik, ekonomi, sosial, pelancongan dan seumpamanya.

Kita perlu terus mempertahankan keadaan itu bagi menentukan survival Malaysia. Kita perlu mencari persamaan daripada perbezaan, kerana kita tidak dapat lari daripada realiti hidup dalam kesatuan dan kepelbagaian. Malaysia berada pada tangga ke-19 dalam Global Peace Index 2011 meskipun negara ini terdiri daripada pelbagai etnik. Negara lain yang mengatasi Malaysia pada amnya bersifat homogenus dari segi demografi. Kita perlu berbangga dengan pencapaian itu dan terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kita.

Membina masyarakat yang teguh dari segi kesepaduan sosial dan integrasi nasional memakan masa panjang. Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia tidak mungkin hidup bagai sebuah pulau sebaliknya kita saling bergantung dalam setiap kegiatan dan perkara. Kesepaduan sosial boleh dicapai melalu akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi dalam pergaulan seharian, kebudayaan, makanan dan perkahwinan.

Segala cabaran pada peringkat tempatan, nasional dan global bergantung kepada daya ketahanan kita yang ditentukan kestabilan sosiopolitik hasil kesepaduan sosial dan perpaduan nasional. Kesepaduan sosial prasyarat perpaduan nasional yang menjadi matlamat jangka panjang negara.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Sumber : Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan