SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

23 Disember 2013

Mencapai matlamat masyarakat maju

KOS sara hidup yang tinggi adalah ‘bayaran’ yang mahal kepada pembangunan sesebuah negara yang tidak seimbang. Ketidakseimbangan dalam pembangunan berlaku apabila kemajuan sesebuah negara yang direncana hanya memberi manfaat kepada segelintir ahli masyarakat yang berkepentingan manakala masyarakat lain selebihnya terpaksa hidup dalam satu sistem yang menyokong segelintir masyarakat yang berkepentingan ini.
Pembangunan yang tidak seimbang memecah-belahkan masyarakat kepada dua kumpulan utama yang ketara perbezaaan sosioekonominya iaitu golongan yang berpendapatan tinggi dan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Golongan berpendapatan sederhana lazimnya tersepit di antara kumpulan yang kaya dan kumpulan yang miskin apabila kedudukan sosioekonomi mereka lebih menghampiri kumpulan miskin tetapi jauh daripada kumpulan kaya. Bahkan kumpulan ini cenderung untuk menjadi golongan yang mudah miskin.
Sistem yang memperhambakan manusia untuk berhutang seumur hidup menjadi pegangan utama negara-negara seluruh dunia. Ini termasuklah negara-negara maju yang sering dijadikan contoh tauladan untuk memajukan negara. Selain itu peningkatan harga barangan keperluan asas termasuklah makanan, tempat tinggal, rawatan dan lain-lain semakin meningkat. Ditambah dengan pelbagai jenis bayaran yang perlu dilunaskan mencengkam hidup sebahagian besar masyarakat demi mencapai matlamat sebagai sebuah negara maju.
Sebuah negara maju bukanlah semata-mata berdasarkan kepada teknologi atau infrastruktur yang maju, akan tetapi yang lebih penting adalah terdiri daripada sebuah masyarakat yang maju. Di antara ciri-ciri utama masyarakat maju ialah masyarakat yang kurang bebanan kewangan. Bebanan kewangan yang kurang membawa maksud akses kepada keperluan asasi hidup dengan lebih mudah, tidak berhutang dengan jumlah yang terlalu besar ataupun mempunyai jadual ansuran dalam jangka masa yang lama, mengalami pertumbuhan pendapatan yang berpatutan serta mempunyai kuasa membeli yang munasabah.
Ciri kedua masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mempunyai nilai moral yang tinggi. Tahap pendidikan bukanlah prasyarat kepada seseorang individu untuk mempunyai nilai moral yang tinggi. Hakikatnya individu yang berpendidikan tinggi juga cenderung untuk mempunyai nilai moral yang rendah apabila mengambil kesempatan di atas ‘kebijaksanaan’ yang dimiliki. Nilai moral yang dimaksudkan termasuklah menghormati sesama manusia, mematuhi undang-undang agama dan negara, bersopan santun termasuklah di jalan raya dan lain-lain.
Ketiga, masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mempunyai sistem jaringan sosial yang kukuh. Sistem ini bermula daripada unit yang paling kecil iaitu institusi keluarga. Keluarga menjadi pusat pertama pendidikan generasi akan datang. Kekukuhan institusi keluarga merupakan jaminan hak asasi seorang manusia. Dalam konteks keluarga, ibu bapa memainkan peranan besar untuk membimbing anak-anak mengatur kehidupan mereka.
Panduan yang dibekalkan kepada anak-anak tidak semestinya bersifat perintah-akur. Pendekatan sebab-akibat perlu diterapkan dalam proses membentuk jatidiri anak-anak agar merasa lebih disayangi dan dihargai sebagai seorang manusia yang mempunyai kemahuan dan pendapat. Hal demikian kerana anak-anak adalah golongan yang mudah rapuh dan cenderung melakukan kesilapan berdasarkan tahap kematangan mereka. Justeru, usah mudah untuk menghukum apatah lagi membiarkan anak-anak terumbang-ambing kerana kesilapan mereka kerana hakikatnya kesalahan tersebut juga datang daripada ibu bapa.
Sistem jaringan sosial yang kukuh seterusnya memperlihatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat seperti saudara-mara dan jiran tetangga. Jalinan sosial yang erat memperlihatkan masyarakat saling mengambil berat di antara satu sama lain termasuklah hal-hal berkaitan pencegahan jenayah, kemiskinan yang tidak dilapor, gotong royong dan saling tegur-menegur demi kebaikan.
Keempat, masyarakat yang maju terdiri daripada masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan tidak semestinya beroleh di dalam bilik darjah, bahkan ilmu juga boleh dipelajari daripada kemahiran dalam bidang tertentu dan juga alam sekeliling. Dengan keazaman yang tinggi kemahiran juga boleh menjadi jalan kepada mencapai kejayaan dalam hidup termasuklah kejayaan dalam ekonomi sebagaimana golongan profesional yang lain.
Akhirnya, masyarakat yang maju ialah masyarakat yang bersedia untuk melakukan inovasi termasuklah mengambil kira pandangan orang lain. Di dalam sesebuah organisasi misalnya, majikan perlu bersedia membuka peluang generasi baru memberikan pandangan dan mencuba kaedah yang berbeza dalam produktiviti. Begitu juga halnya dengan pemerintahan sesebuah negara perlu melihat dalam konteks masyarakat umum yang lazimnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Proses mengasimilasasikan ciri-ciri ini ke dalam masyarakat sudah pastinya memakan masa akan tetapi boleh dilakukan dengan kerjasama semua pihak. Membentuk masyarakat maju seharusnya diutamakan kerana apabila tercapainya hasrat ini maka dengan sendirinya matlamat sebagai sebuah negara maju itu dapat dicapai.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat
Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : Utusan Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan