SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

23 Mei 2014

Pesta buku galak minat membaca masyarakat

 Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, kita melihat semangat kecintaan terhadap buku yang luar biasa. Mungkin yang kita lihat itu gambaran luaran semata-mata. Tetapi sekurang-kurangnya kita dapat melihat manusia pada semua peringkat, datang berbondong-bondong ke tempat pesta buku itu diadakan.

Hari cuti umum dan hujung minggu menyebabkan ruang pesta sesak. Pengunjung datang dengan bas sekolah, bas institusi, kenderaan sendiri dan pengangkutan awam. Dianggarkan lebih sejuta pengunjung membanjiri premis pesta berkenaan.
Laporan pasca pesta menyebut bahawa sejumlah penerbit buku sudah mencapai sasaran jualan mereka. Malah ada melebihi daripada sasaran atau jangkaan awal mereka. Ini memberikan gambaran betapa minat membeli dan membaca sedang berkembang dalam masyarakat kita.


Untuk mengekalkan momentum perkembangan minat beli dan baca masyarakat kita, suatu program harus dirangka dan dilaksanakan agar semangat pesta buku akan terus berlangsung dalam masyarakat kita, iaitu semangat yang merentas umur, gender, kaum dan geografi.

Berpeluang pilih buku

Dalam pesta buku, pengunjung berpeluang memilih pelbagai judul buku dalam pelbagai jenis bidang dan sub bidang ilmu. Akan tetapi sebaik sahaja pesta buku berakhir, peluang tersebut tidak muncul lagi, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Bagi mereka yang tinggal di bandar besar, peluang tersebut masih membuka ruangnya di kedai buku mega di gedung beli-belah yang besar.

Justeru, wajar sekali pesta buku dalam skala tertentu, terus diadakan dari semasa ke semasa, bergerak dari sebuah bandar kecil ke sebuah bandar kecil yang lain. Tempoh pusingan setahun, sehingga munculnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan datang, meneruskan momentum minat beli dan baca buku dalam kalangan masyarakat kita.
Pesta buku juga menawarkan potongan harga yang menarik. Selepas pesta, tiada lagi diskaun, atau hanya sedikit diskaun diberikan kepada pembeli. Ini bukan suatu fenomena perniagaan penerbitan yang baik. Para penerbit harus secara kreatif menawarkan potongan harga dari masa ke masa, agar masyarakat kita terus berminat membeli buku dan membacanya.

Dalam pesta buku, pelbagai acara dianjurkan bagi memperkenalkan penulis, penerbit, pengkritik dan sebagainya. Acara ini mendekatkan dunia industri perbukuan, kepengarangan dan apresiasi karya kepada khalayak. Malangnya selepas pesta, jarang-jarang kita mendengar adanya acara seperti itu.

Jika kita ingin menyuburkan dunia perbukuan dan yang lebih penting daya intelektual masyarakat kita, acara di atas harus diadakan dari semasa ke semasa, di pelbagai tempat yang strategik.

Industri penerbitan bukanlah semata-mata fokus kepada keuntungan material, tetapi bagaimana ilmu pengetahuan dapat disebarkan, dihidupkan dan dimanfaatkan oleh anggota masuarakat.

Tingkat keberkesanan acara

Ketika orang ramai mungkin berpuas hati dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, ada beberapa perkara yang harus difikirkan oleh penganjur bagi meningkatkan keberkesanan dan prestij acara ini. Satu daripadanya adalah dengan menambah penyertaan penerbit atau pempamer dari luar negara. Dengan bertambahnya penyertaan penerbit serta pempamer luar negara, khalayak akan terdedah kepada lebih banyak pilihan. Ia juga benar-benar memberi natijah kepada taraf antarabangsanya.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur juga sepatutnya mengetengahkan pempamer Negara Tamu (Guest Country) pada setiap tahun, seperti pesta buku antarabangsa bertaraf dunia. Jika ini belum dilakukan, tahap ‘antarabangsanya’ masih boleh dipersoalkan, kerana mungkin hanya bersifat serantau sahaja.

Penyertaan Negara Tamu bukan semata-mata bertujuan untuk mengangkat prestij Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia sejajar dengan usaha kita membentuk masyarakat yang berpengetahuan. Ia seiring dengan semangat Kota Buku Malaysia. Ia akan menjadikan Kuala Lumpur tumpuan penerbit antarabangsa.

Akhir sekali, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada anggota masyarakat kita untuk mendapatkan bahan bacaan yang terkini dan bermutu bagi mempersiapkan keupayaan intektual bersaingan pada peringkat rantau dan global.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Dipetik Daripada : BH Online 21/5/2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan