SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

24 Mei 2014

Langkah kerajaan perkukuh kewangan beri kesan positif

Oleh : Mohd Ayob Abd Razid

Ekonomi sering menjadi topik hangat yang dibahas oleh ahli politik, ahli ekonomi serta mereka dalam sektor korporat, perniagaan dan perdagangan. Malah, isu berkaitan ekonomi hari ini turut dibincangkan dalam kalangan rakyat biasa. Justeru, tidak hairanlah isu berkaitan kenaikan kos sara hidup, subsidi dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mendapat perhatian.

Namun, isunya ialah kebanyakan daripada kritikan dan tentangan yang disuarakan lebih bersifat emosi dan politik tanpa melihat kepada realiti. Perkara utama yang perlu difahami ialah mengurus ekonomi sesebuah negara tidak semudah mengurus sebuah organisasi. Ia merangkumi pengurusan ekonomi makro dan mikro membabitkan hubungan negara dengan kerencaman ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Justeru, ia menuntut kepekaan kerajaan untuk melakukan perubahan sesuai dengan tuntutan semasa supaya ekonomi boleh bergerak dan berkembang secara dinamik dan positif.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak acap kali menjelaskan cabaran yang dihadapi negara dan mengapa kerajaan perlu bertindak. Pada masa yang sama kerajaan tetap memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

15 peratus ke atas subsidi

Pada tahun 2010, kerajaan membelanjakan 15 peratus daripada bajet ke atas subsidi dan insentif. Ia terus meningkat pada 2012 menjadi 21.4 peratus (RM44 bilion). Punca peningkatan subsidi itu adalah kenaikan harga pasaran dunia.

Kos subsidi ditanggung kerajaan membawa kepada peningkatan defisit bajet dan negara berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an.
Apabila hutang dan defisit meningkat maka ia boleh menimbulkan situasi bahaya kepada ekonomi negara. Pelabur, bank, dan agensi penarafan memberi fokus terhadap hutang, defisit dan perbelanjaan subsidi negara kita.

Situasi itu sudah pun berlaku dalam kalangan negara Eropah yang mengalami krisis kewangan beberapa tahun lalu sehingga menakutkan pelabur asing dan membuat mata wang negara terbabit tertekan.

Mengambil iktibar daripada perkembangan ekonomi dunia, kerajaan perlu bertindak mengawal kewangan negara supaya rakyat dilindungi, kemajuan dapat diteruskan, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara akan terjamin. Usaha pembaharuan fiskal dilaksanakan dengan melakukan rasionalisasi subsidi secara berperingkat. Dasar subsidi kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

Ia dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang bukan saja dapat mengurangkan defisit tetapi meningkatkan perbelanjaan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Pembaharuan subsidi dilaksana kerajaan disambut baik oleh pelabur dan agensi penarafan antarabangsa.

Perkenal GST mulai 2015

Selain merasionalisasikan subsidi, kerajaan akan memperkenalkan GST mulai April 2015 bertujuan mengukuhkan kewangan negara. Dalam melaksanakan langkah terbabit, kerajaan bertindak cermat. Kajian dilakukan dan langkah terbabit dilaksanakan hasil cadangan kukuh daripada Perbendaharaan, Bank Negara, dan Unit Perancang Ekonomi.

Setakat ini rasionalisasi subsidi telah membuahkan hasil. Ekonomi negara terus berkembang. Defisit bajet kita kini pada 3.9 peratus dan pada tahun 2020 kerajaan menjangkakan akan mencapai bajet seimbang.

Ekonomi kita berkembang pada kadar purata lima peratus setiap tahun, dan pendapatan isi rumah 24 peratus lebih tinggi. Kehidupan isi rumah juga bertambah baik.

Pada tahun lalu, gaji meningkat secara purata sebanyak enam peratus. Tahun lalu juga menyaksikan dagangan mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.

Begitu juga peningkatan dalam pelaburan asing yang mendorong kepada pengembangan perniagaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Kerajaan juga terus komited untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kesimpulannya, langkah kerajaan mengawal kewangan negara dengan menstruktur semula pemberian subsidi dan memperkenalkan GST pada tahun depan bertujuan menjamin kedaulatan, keselamatan, kebebasan dan pertumbuhan negara.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dipetik Daripada : BH Online - 23/5/2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan