SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

6 Julai 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan pastikan sistem kita setaraf negara maju


Sistem pendidikan negara wajar menyediakan murid untuk bersaing secara kompetetif bukan hanya di peringkat dalam negara malah berkemampuan menyahut cabaran dalam skop global.
Pegawai Bahagian Pengurusan Projek Kementerian Pendidikan, Dr. Hayati Ismail berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang bakal dilancarkan Ogos ini adalah pendekatan terbaik dan mampu mengubah senario pendidikan negara ke tahap antarabangsa setanding dengan negara-negara maju.
"Walau bagaimanapun, pelaksanaan PPPM hanya mencapai matlamat jika dilakukan dengan penglibatan aktif daripada pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti demi membentuk satu ekosistem pembelajaran yang terbaik.
"Kita tidak boleh lagi melihat sekolah sebagai satu institusi tunggal untuk kita membentuk anak-anak kita kerana sistem pendidikan sekarang memerlukan satu ekosistem
''Hal ini demikian kerana, anak-anak kita hanya berada di sekolah 14 peratus daripada masa mereka setahun manakala baki 86 peratus masa mereka digunakan bersama keluarga serta masyarakat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Konvensyen Pendidikan Melayu dan Bumiputera: Di mana Anak Kita? dalam sesi forum mengenai topik Meritokrasi Dalam Pengambilan Pelajar Melayu dan Bumiputera di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Kesannya Kepada Pembangunan Sumber Manusia, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konvensyen sehari anjuran Yayasan Pelajaran Mara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta terdiri murid sekolah dan penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
PPPM yang dirangka secara strategik meliputi 11 Anjakan termasuklah penyediaan akses, penguasaan kemahiran berbahasa dan penghayatan nilai.
Pelan komprehensif itu diiktiraf badan dunia Unesco kerana melakukan 'public engagement' di samping mengandungi pelan strategik perlaksanaannya.
Kementerian Pendidikan telah menjalankan sesi dialog terbuka di setiap negeri, mengadakan persidangan meja bulat, menerima 7,000 syor daripada umum mengenai keperluan dan kesesuaian yang perlu dimuatkan pada pelaksanaan pelan tersebut.
Pelaksanaan PPPM berlangsung mengikut tiga gelombang perubahan bermula gelombang pertama tahun ini sehingga tahun 2015 diikuti lima tahun seterusnya dan gelombang ketiga bermula tahun 2020 hingga 2025.
Menurut Hayati, impak pelaksanaan pelan itu mengambil masa panjang dan memerlukan masa untuk melihat hasil perubahan ke atas senario pendidikan negara yang memerlukan pelbagai pengubahsuaian.
Beliau menambah, PPPM juga dihasratkan untuk memberi impak besar kepada masyarakat Melayu sejajar dengan senario di sekolah kebangsaan ketika ini.
"Perkara ini adalah wajar sejajar dengan senario semasa di sekolah kebangsaan yang menunjukkan majoriti muridnya dan 85 peratus gurunya ialah Melayu," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia,  01/07/2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan