SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

27 Julai 2013

GPMS Kedah Mahu Kerajaan Kekalkan STPM


ALOR SETAR, 22 Julai (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mahu kerajaan bertegas mengekalkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan menolak cadangan DAP supaya STPM digantikan dengan matrikulasi.

Pengerusinya Shamsul Bakar Abd Rani berkata cadangan Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran supaya STPM digantikan dengan matrikulasi akan menjejaskan usaha menambah jumlah profesional Bumiputera.

"Tujuan matrikulasi adalah untuk menjamin tempat pelajar Bumiputera di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) agar komposisi kaum dapat diimbangi.

"GPMS bimbang kerana cadangan DAP ini hanya menyebabkan bilangan profesional Bumiputera yang masih lagi kurang berbanding kaum lain akan terus tertinggal," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau mengulas cadangan Kulasegaran dalam satu forum supaya menggantikan STPM dengan matrikulasi seperti dilaporkan dalam akhbar hari ini.

"GPMS mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik menolak budaya menuntut perkara-perkara yang membelakangkan semangat Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui secara kolektif seperti pendidikan.

"GPMS Kedah akan terus mempertahankan matrikulasi sebagai medium untuk pelajar Bumiputera melanjut pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau mencadangkan sistem pendidikan diseragamkan di peringkat sekolah rendah dan bukan di peringkat universiti sebagai langkah untuk memupuk perpaduan serta mendaulatkan sistem pendidikan kebangsaan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan