HARI Sabtu ini adalah ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-56.
Tarikh yang mengingatkan kita bagaimana jerihnya perjuangan pemimpin
terdahulu untuk menentukan haluan negara, dari sebuah negara yang
rakyatnya dikatakan tidak mampu membuat sebatang jarum", dalam tekad
dan kesungguhan akhirnya Malaysia menuju ke tahap negara maju.
Kejayaan membina negara bangsa yang berdaulat, yang mempunyai
kestabilan ekonomi dan politik memerlukan pengorbanan dan kesungguhan,
menterjemahkan hasrat rakyat menjadi hasrat negara, adalah satu petunjuk
bahawa penglibatan rakyat yang aktif dan berkesan. Tanpa kerjasama
setiap rakyat, suatu kerangka yang baik akan bertukar menemui kegagalan.
Rakyat Malaysia boleh meneladani apa yang sedang berlaku di Mesir.
Kemerdekaan yang mereka dapatkan dari penjajahan hanyalah kemerdekaan
secara simbolik sahaja kerana hakikatnya rakyat tidak merdeka dari
suasana negara yang damai dan aman. Kuasa-kuasa luar selalu membayangi
perjalanan kerajaan mereka. Tiga presiden Mesir adalah dalam kalangan
tentera (Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak) dan Dr.
Mohamad Mursi merupakan kalangan orang awam yang pertama menduduki
jawatan itu.
Bagaimanapun, hayat pentadbiran Mursi hanyalah kekal selama setahun
lima hari, beliau ditumbangkan oleh tentera, yang mendapat sokongan
Amerika Syarikat.
Sebulan sebelum Mursi digulingkan, Amerika Syarikat menyalurkan
bantuan lebih satu bilion dolar kepada pihak tentera manakala presiden
yang dipilih oleh 61 peratus pengundi pada bulan Jun 2011, masih gagal
membawa pelaburan bernilai dua bilion dolar dari negara-negara Arab.
Mursi terus dikuasai oleh Ikhwanul Muslimin, akibatnya pada bulan
sebulan sebelum disingkirkan, berlaku tunjuk perasaan mendesak beliau
mengundurkan diri.
Semasa berucap menerima jawatan Presiden Mesir, Mursi telah berjanji
akan membantu memulihkan ekonomi dengan membawa masuk pelaburan yang
besar, dan dengan itu rakyat akan memperoleh peluang pekerjaan di
samping menyediakan perumahan untuk rakyat.
Sayangnya, semua janji tersebut tidak berjaya dilaksanakan kerana
Mursi hanya menumpukan seluruh keupayaannya untuk mengukuhkan kedudukan
Ikhwanul Muslimin.
Apa yang dapat kita pelajari bahawa menguruskan sesebuah negara
bukanlah satu perkara yang mudah, tidak sekadar boleh berjanji kepada
rakyat. Rakyat akan menghukum pemimpin yang hanya tahu berjanji, kerana
rakyat memerlukan suasana kehidupan yang lebih baik dan nasib mereka
akan berubah.
Berlainan dengan landasan tindakan yang diambil oleh pemimpin
Malaysia. Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, azam pemimpin ialah
membasmi kemiskinan menerusi potensi sumber manusia dengan menggerakkan
setiap daripada mereka bersekolah, kerana percaya pengetahuan bakal
mengubah nasib seseorang.
Sejak merdeka, kerajaan tidak pernah berhenti untuk membina
infrastruktur, daripada kemudahan kesihatan, pendidikan dan sosial
hinggalah mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat bahkan merupakan
negara yang paling cepat berjaya melepaskan kemelesetan. Ia didorong
oleh pertumbuhan domestik yang mapan dan terus meningkat
Sejak merdeka, Mesir tidak membangunkan pertumbuhan ekonomi domestik
yang tinggi, kerana terus mengharapkan bantuan dan sumbangan dari luar.
Lebih separuh penduduk Mesir hidup dalam kemiskinan, dan sebahagian
besar ekonominya bergantung kepada kemasukan pelancong asing.
Sejak revolusi yang membawa kepada penyingkiran Hosni Mubarak, sektor
pelancongan terjejas teruk menyebabkan sebahagian rakyat mula
mempersoalkan keberkesanan Mursi memulihkan ekonomi.
Ada setengah pemimpin politik merasakan bahawa ideologi yang mereka
bawa itu lebih baik dengan kepentingan politik mereka, didesak agar
sejarah nasionalisme negara ditulis semula agar haluan politik kiri yang
tidak bersendikan ketuanan Melayu" diterima sebagai dominasi nilai
baharu yang bersendikan prinsip kebebasan dan meritokrasi.
Hasrat mereka adalah jelas kerana dengan menghapuskan ketuanan
Melayu", negara ini akan memperlihatkan prinsip pemerintahan yang lebih
adil dan saksama. Bagi mereka, oleh kerana pertubuhan politik masih
berasaskan perkauman, ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang lebih
baik dan berkesan.
Pemimpin politik yang berjuang untuk menghapuskan ketuanan Melayu"
itu sebenarnya merupakan kelompok yang menikmati kedudukan lebih baik
daripada perjuangan pemimpin Melayu sebelumnya, meletakkan dasar dan
kepentingan membangunkan ekonomi Melayu.
Misalnya, berdasarkan latar belakang keluarga, Tan Sri Khalid Ibrahim
banyak memperolehi kekayaan peribadi menerusi dasar tersebut, daripada
seorang sederhana beliau menjadi seorang yang memiliki saham dan aset
jutaan ringgit.
Kegagalan Mursi melaksanakan apa yang pernah dijanjikan membawa padah
yang besar, kerana usaha Amerika Syarikat untuk kembali mencaturkan
politik Mesir dan menjaga kepentingan Israel menerusi dokongan tentera
semakin jelas. Amerika Syarikat tetap memerlukan Mesir walaupun dari
segi sumber ekonomi, Mesir tidak mempunyai produk yang banyak, Mesir
adalah pangkalan strategik menyekat ideologi politik Islam.
Ramai yang percaya ideologi politik yang sedang dikembangkan oleh
pakatan pembangkang tidak mampu meraih sokongan sebahagian besar
masyarakat, ia dikhuatiri dipengaruhi oleh beberapa pertubuhan asing
yang mahu menjadikan Malaysia porak-peranda. Mereka mahukan Malaysia
sebagai negara yang mudah dikuasainya kerana mempunyai sumber bahan
mentah yang banyak, kesuburan tanah dan flora dan fauna yang boleh
menjana sumber ekonomi yang besar.
Usaha yang dilakukan ialah menyalurkan bantuan kepada pertubuhan
politik yang bertentangan dengan parti yang memerintah, menggalakkan
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mengadakan aktiviti pemesongan
persepsi, dan yang paling mereka mahukan ialah melunturkan semangat
patriotisme.
Bagi melunturkan semangat patriotisme ialah dengan memperkuatkan
tindakan menolak ketuanan Melayu" dalam kalangan generasi muda dengan
alasan, ia bersifat perkauman, diskriminasi dan zalim kepada kaum-kaum
lain.
Sebenarnya, ketuanan Melayu" telah memberikan banyak faedah dan
kesejahteraan kepada bukan Melayu, kerana orang Melayu tidak pernah
mempersoalkan penguasaan ekonomi bukan Melayu. Kerajaan yang berteraskan
politik Melayu, tidak pernah merampas peluang ekonomi dari penguasaan
bukan Melayu.
Apa yang kerajaan laksanakan ialah membesar kek ekonomi dan mencipta
peluang pertumbuhan dalam bidang baharu, di mana orang Melayu diberikan
peluang dan digalakkan menceburinya. Ia adalah sesuatu yang adil, kerana
keadilan itu berkait rapat dengan usaha memberikan hak kepada golongan
yang berhak, dan bukannya mendasarkan siapa kuat, dia dapat dan yang
kaya membolot semuanya.
Dalam suasana meraikan ulang tahun kemerdekaan ini, setiap rakyat
tidak sepatutnya terpengaruh dengan pelbagai dakwaan kononnya, kerajaan
yang memerintah mahu menggunakan sejarah dan semangat patriotik bagi
mengekalkan kedudukan politiknya.
Sebenarnya, mereka yang mempersoalkan pengibaran bendera bukan
mencerminkan semangat patriotik itulah yang sebenarnya berjuang untuk
menukarkan Jalur Gemilang, kerana mereka benci dengan sejarah buruk yang
mereka ciptakan sendiri.
Dengan desakan dan perulangan itulah mereka sedang membina
kepercayaan baharu, cuba menukar nilai-nilai buruk kepada positif,
termasuk tidak menghormati lambang negara, pemimpin yang pernah berjasa
dan ikatan nilai kemesraan antara kaum, dan dengan alasan perlu menulis
semula sejarah, mereka sebenarnya sedang bergerak dalam komuniti
imaginasi", sebuah komuniti yang hilang akar budaya dan jati diri.
Sempena ulang tahun kemerdekaan ini, sebagai rakyat yang cintakan
keamanan dan bertanggungjawab, kita sepatutnya melahirkan rasa syukur
yang mendalam. Bahkan, Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya
yang bermaksud:
Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada
kaumnya: Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada
kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan
ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun
dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak
pernah diberikan kepada seseorang pun daripada umat-umat (yang ada pada
masa itu)." - Surah al-Maidah ayat 20
Intipati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya
mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT supaya
kita memperbaiki dan membebaskan diri daripada penjajahan mental dan
moral oleh kolonial dan neokolonialisme. Kita sepatutnya boleh
memperlihatkan kekuatan semangat untuk meyakini bahawa kerajaan sudah,
sedang dan akan melakukan yang terbaik untuk negara, sentiasa menunaikan
janji dan menghormati kehendak rakyat.
PENULIS ialah Pengurus Besar Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia.
Sumber : Utusan Online - 30/08/2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan