Oleh ANGELINA SINYANG
SEJARAH kongsi gelap di Malaysia bermula di Perak
berikutan penemuan bijih timah di Larut, Taiping yang mencetuskan
Perang Larut pada 1861 membabitkan kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan
Hai San iaitu golongan penghijrah dari China kerana berebut kawasan
perlombongan.
Malah pembinaan Penjara Taiping di Perak pada 1879 juga mempunyai
kaitan dengan kongsi gelap iaitu dibina semasa pentadbiran Residen
ketiga Perak, Sir Hugh Low bertujuan memenjarakan ahli kumpulan kongsi
gelap Ghee Hin dan Hai San, di samping memenjarakan pembesar Melayu yang
menentang penjajahan Inggeris dan penjenayah yang lain seperti
perompak, pencuri dan pembunuh.
Sejak itu, kumpulan kongsi gelap dianggotai pelbagai kaum terus
bercambah dan kerajaan baru-baru ini mendedahkan terdapat 49 nama kongsi
gelap yang diharamkan di negara ini.
Kehadiran kongsi gelap mengancam keselamatan negara kerana mereka
terlibat melakukan kegiatan haram seperti pemerasan, penculikan, ugutan,
perniagaan dadah, rompakan, perjudian haram, pelacuran, penjualan
cakera padat cetak rompak, pemerasan wang perlindungan terhadap
perempuan sundal, penari, rumah urut, peniaga kecil dan juga kegiatan ah
long.
Bagi menangani jenayah dilakukan oleh kongsi gelap, kerajaan telah
mewujudkan Ordinan Darurat (EO) 1969 iaitu undang-undang yang
membenarkan polis menahan seseorang individu yang disyaki terlibat dalam
jenayah tanpa pertuduhan dan perbicaraan dengan kuasa mutlak Menteri
Dalam Negeri.
Selepas EO 1969 dilaksanakan, kegiatan gangster terutamanya yang
melibatkan kaum Cina semakin berkurangan dan pengaruhnya semakin hilang.
Namun tuntutan dan asakan tanpa henti pihak pembangkang telah memaksa
kerajaan memansuhkan EO pada 2011 yang akhirnya membawa kepada
berlakunya peningkatan jenayah kekerasan terutama insiden tembakan
dipercayai berikutan pembebasan 2,473 orang tahanan EO yang dibebaskan
pada Julai tahun lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu
Bakar meminta agar undang-undang baharu yang akan dibentangkan oleh
Kementerian Dalam Negeri nanti menyamai EO bagi membendung jenayah
tembak-menembak yang kerap berlaku.
Dalam kenyataan disiarkan dalam akhbar pada 16 Julai lalu, Khalid
menjelaskan betapa pentingnya undang-undang seumpama EO diperkenalkan
kerana untuk mensabitkan seorang penjenayah bersalah, polis memerlukan
saksi untuk hadir memberi keterangan di mahkamah ketika pendakwaan
dilakukan.
Menurut beliau, masalah utama kes tembak tidak dapat diselesaikan
adalah kerana saksi takut untuk tampil bekerjasama sehingga gagal
membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Saksi takut kerana bimbang akan menerima ancaman atau balas dendam
oleh ahli kumpulan yang terlibat. Apabila saksi tidak mahu tampil ke
depan, bagaimana mahu bawa kes ke mahkamah.
"Undang-undang yang ada sekarang memerlukan saksi memberi keterangan
di mahkamah dan itu tentu sekali membuka peluang kepada penjenayah
mengenal mereka.
"Oleh sebab itu kita memerlukan undang-undang yang menyamai EO yang
boleh memberi kuasa untuk merakam keterangan saksi dan mereka tidak
perlu hadir ke mahkamah," ujar Khalid.
Bukan sahaja diperlukan untuk menyelesaikan siasatan dan pendakwaan
kes di mahkamah, sebenarnya EO yang pernah digunakan oleh Polis Diraja
Malaysia (PDRM) suatu ketika dahulu memang berkesan untuk mencegah
kegiatan jenayah dilakukan oleh kongsi gelap.
Penulis baru-baru berkesempatan bertemu dan berbual dengan seorang
bekas anggota kumpulan kongsi gelap yang pernah ditahan di bawah EO dan
bertanya tentang pengalamannya selepas menjalani hukuman.
Dalam perbualan dengan lelaki berketurunan Cina berusia 50-an yang
kini mengusahakan sebuah kedai makan di utara tanah air itu, dia
mengakui betapa EO amat digeruni oleh ahli-ahli kumpulan kongsi gelap
menyebabkan mereka berfikir banyak kali sebelum melakukan jenayah.
Senang cerita, EO berjaya mengubahnya menjadi manusia baik.
Menurut lelaki yang penulis panggil dengan gelaran 'A' itu, EO
berjaya bawa dia ke pangkal jalan dan sekarang selepas hampir 20 tahun
dibebaskan dari tahanan, dia mampu hidup normal seperti insan lain.
"Dulu ada EO, gangster macam kami kalau nak buat hal kena fikir dua
tiga kali sebab tak mahu ditangkap dan masuk pusat tahanan. Dalam pusat
(tahanan) kita boleh gila kalau tak tahan mental sebab bosan. Ini kerana
dalam sel (bilik tahanan) cuma ada beberapa lorong.
"Pagi petugas sel akan buka sel bagi keluar sekejap buat kopi dan
minum, kemudian kawat, masuk balik sel, dibawa keluar makan dan masuk
sel balik. Kalau nasib baik ada juga tahanan dibawa bekerja di bengkel
pertukangan di pusat.
"Bayangkan rutin sama dibuat begitu bertahun-tahun dan paling teruk
jika tempoh tahanan yang tamat dilanjutkan setahun dua lagi. Keluar
pusat, kami akan dibuang daerah yang hanya membenarkan kami bergerak
bebas dalam kawasan itu saja," kata 'A ' menceritakan semula
pengalamannya.
Kata 'A', dia pernah dibuang daerah di Pantai Remis, Perak dan tidak mengenali sesiapa pun di pekan kecil itu.
"Saya tak ada tempat tinggal dan kenal sesiapa. Bagi meneruskan
hidup, saya buat apa sahaja kerja untuk bayar sewa rumah dan makan. Bila
malam tak boleh keluar rumah dan setiap minggu kena pergi ke balai
polis untuk lapor diri," katanya sambil memberitahu memang seksa hidup
sebagai tahanan EO sebab itu gangster takut dan berfikir banyak kali
sebelum membuat jenayah.
Tambah 'A', sekarang EO sudah tiada menyebabkan gengster bebas
melakukan jenayah kerana polis setakat boleh menangkap mereka tetapi
jika suspek tidak mengaku salah dan tiada bukti kukuh mahu mensabitkan
mereka maka mereka akan dibebaskan semula.
Sambil bergurau 'A' berkata, sungguh tidak adil apabila EO
dimansuhkan kerana zaman dia dahulu ketika masih ada EO, gengster
ditangkap akan ditahan di pusat tahanan tetapi samseng sekarang boleh
lepas bebas.
Sehubungan itu amat wajar sekali pengalaman diceritakan oleh 'A'
menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia agar menyokong undang-undang
baharu menyamai EO seperti Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah
(Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang dibacakan pertama kali di Dewan
Rakyat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada
Khamis lalu.
Mengikut Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan
Pemerluasan) 2013, Lembaga Pencegahan Jenayah mempunyai kuasa
mengarahkan seseorang yang ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah
1959 (Akta 297) ditahan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.
Menurut Ahmad Zahid, rang undang-undang itu antaranya bertujuan
membenarkan kemasukan penahanan tanpa pertuduhan jenayah atau tanpa
perbicaraan sebagaimana yang pernah diperuntukkan di bawah EO
(Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) 1960.
Sekiranya diluluskan oleh Kabinet nanti, kita berharap rang
undang-undang baharu diperkenalkan itu dapat menjadi 'perisai' dan
memberi 'taring' semula kepada PDRM untuk berhadapan dengan penjenayah
khususnya kumpulan kongsi gelap yang sekarang semakin berani mencabar
polis dan menggugat ketenteraman negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan