PROSES penggubalan perlembagaan bukan satu perkara mudah kerana perlu
melibatkan segala aspek bagi memastikan ia adil untuk seluruh penduduk
di Tanah Melayu.
Ia bermula setelah persatuan-persatuan Melayu di Tanah Melayu
bergabung menentang penubuhan Malayan Union selepas Jepun menyerah
kalah.
Persatuan Melayu ini akhirnya bergabung dan menubuhkan UMNO di Istana
Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Jaafar yang akhirnya memaksa pihak
British membubarkan Malayan Union.
Rentetan peristiwa itu bagi mencapai kemerdekaan, UMNO yang diketuai
oleh Tunku Abdul Rahman mendesak British untuk menubuhkan kerajaan
sendiri yang membawa kepada pilihan raya pertama pada tahun 1955.
Penulis buku Sejarah Perlembagaan Malaysia, Datuk Abd. Manaf
Ahmad berkata, melalui pilihan raya ini, UMNO bersama-sama parti kaum
Cina, MCA dan kaum India MIC bergabung di bawah sebuah parti yang
dinamakan Perikatan.
"Pilihan ini memberi tamparan buat British apabila Parti Perikatan
menang besar dengan 51 kerusi berbanding 52 kerusi yang dipertandingkan.
"Ini menunjukkan penduduk di Tanah Melayu pada ketika itu benar-benar
mahu mentadbir negara ini dengan sendiri tanpa campur tangan luar serta
merdeka daripada belenggu penjajah," katanya.
Selepas kemenangan itu, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih
sebagai Ketua Menteri Pertama Persekutuan Tanah Melayu dan menjadi
tulang belakang kepada perundingan kemerdekaan tanah air.
Selepas British bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah
Melayu, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan
langkah pertama ke arah perkara itu.
Bagi sebuah negara merdeka, perlembagaan adalah perkara yang amat
penting bagi memastikan masyarakat mempunyai pegangan dalam hidup
bermasyarakat di sesebuah negara.
Sebuah jawatankuasa kerja telah dibentuk bagi menggubal perlembagaan
yang terdiri daripada wakil kerajaan British, penasihat Majlis Raja-Raja
dan pemimpin-pemimpin parti politik.
Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London
untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan tarikh
kemerdekaan Tanah Melayu.
Rentetan itu, sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan yang diketuai oleh
Lord Reid bagi menilai dan meneliti draf perlembagaan yang telah dibuat
bagi memastikan ia meliputi semua aspek.
Manaf berkata, antara orang terpenting dalam merangka draf itu adalah
Tun Abdul Razak yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Politik Perikatan
yang menyediakan draf Memorandum Perlembagaan Persekutuan untuk
dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid.
Melalui suruhanjaya itu, mereka cuba mendapatkan pandangan
parti-parti politik, persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk
negara dan bangsa bagi negara yang akan ditubuhkan ini.
Menurutnya, proses tersebut bukan satu proses yang mudah kerana
banyak perkara tidak dapat dipersetujui dan menimbulkan kemarahan
beberapa pihak.
Walaubagaimanapun, persetujuan telah dicapai dengan cara bertolak
ansur demi kepentingan bersama serta menghormati hak-hak orang lain.
"Perkara yang dipersetujui itu menyentuh lima perkara utama seperti
kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa
Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
"Akhirnya, Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid diiktiraf
Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai
31 Ogos 1957 yang juga merupakan tarikh kemerdekaan negara," jelasnya.
Sumber : Utusan Online - 7/09/2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan