Oleh : Tan Sri Rozali Ismail ialah Presiden Majlis Perunding Ekonomi Melayu (MAPEM).
TAHUN ini adalah tahun ke-50 penubuhan Malaysia.
Kerajaan sentiasa mengharapkan rakyat bersatu padu, mengerat hubungan
pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Namun jelas sekali tahap keharmonian yang diidamkan itu tidak
kesampaian. Negara dilanda fitnah, demonstrasi, peningkatan jenayah
samseng dan kongsi gelap. Semuanya berlaku gara-gara sentimen perkauman
yang melampau. Tambahan pula semangat patriotik semakin luntur dan
rakyat tidak lagi segan silu mengecam Malaysia di dalam dan luar Negara.
Bagi memupuk semangat patriotik, sambutan kemerdekaan 31 Ogos lalu telah membawa tema 'Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku'.
Sesungguhnya kerajaan Malaysia mengajak 30 juta rakyatnya yang
berbilang kaum bersama-sama berganding bahu mempertahankan maruah dan
kedaulatan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran. Di samping itu,
rakyat juga diminta memperkasa semangat cintakan negara kerana ia adalah
tunjang perpaduan bagi mengekal kestabilan dan meneruskan kelestarian
pembangunan negara.
Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna yang berlaku pada awal
tahun ini memberi pengajaran bahawa tanggungjawab mempertahan maruah dan
kedaulatan negara bukan saja terletak di bahu pasukan keselamatan.
Rakyat Malaysia telah bersama-sama mengutuk pencerobohan pengganas Sulu
yang mendakwa Sabah milik mereka, tetapi telah digadaikan oleh kerajaan
British menerusi Perjanjian Brooke 1888. Usaha mempertahan bumi
berdaulat itu perlu diteruskan dengan menentang kuasa asing yang sedang
menghasut segelintir rakyat supaya melakukan pelbagai demonstrasi
jalanan agar tercetusnya 'Arab Spring' di negara ini, lantas memudahkan
mereka masuk serta menjajah Malaysia.
Ketika pasukan keselamatan menyabung nyawa membenteng sempadan negara
daripada dibolosi anasir subversif, masyarakat perlu memperkukuhkan
perpaduan dengan memupuk semangat cintakan negara.
Semangat itu perlu diterjemah dan dizahirkan dalam urusan seharian
agar perpaduan yang terjalin selama ini terus berkekalan kerana ia
menjadi kunci yang membebaskan kita dari belenggu penjajahan mental dan
fizikal. Mengeratkan perpaduan antara kaum bukan sekadar mengunjungi
sahabat dan taulan di musim perayaan, menziarahi kematian atau
bersama-sama mengikuti program percutian dan riadah. Ia boleh dijalin
dengan lebih akrab menerusi kerjasama dan perkongsian ekonomi.
Kaum yang menguasai 80 peratus kekayaan negara sepatutnya lebih mesra
mengajak kaum lain bersama-sama 'menyemai dan menuai' kegiatan ekonomi.
Realiti yang berlaku hari ini ialah mereka yang memonopoli dagangan
bank, industri pembuatan dan perkhidmatan tidak mahu berkongsi kekayaan
itu dengan bangsa lain, kecuali memenuhi kuota 30 peratus peluang
pekerjaan bagi memenuhi syarat pemerintah. Sebaliknya mereka terus
menerus mendesak kerajaan agar melupuskan semua dasar ekonomi yang
diberi kepada bangsa majoriti yang masih terkial-kial menapak dalam
bidang perniagaan walaupun sudah bebas penjajahan selama 56 tahun.
Perbezaan jurang ekonomi yang jauh itu mengakibatkan perpaduan antara
masyarakat semakin melebar. Kesannya, apa jua usaha yang dilakukan
untuk mengeratkan semangat perpaduan menemui jalan buntu.
Lebih parah lagi sekelumit rakyat yang remuk hati telah menggadai
maruah peribadi dan negara untuk bersekongkol dengan kuasa asing,
berusaha meranapkan Malaysia menerusi pelbagai tindakan yang bercanggah
dengan prinsip perpaduan nasional.
Malaysia sebenarnya negara bertuah kerana dikurniakan hasil bumi dan
tanah yang subur bagi menampung kehidupan penduduk berbilang bangsa dan
agama. Apa yang merisaukan adalah negara menghadapi sedikit gangguan
daripada pihak tertentu yang mahu mengancam kestabilan sosial dan
politik. Masyarakat terutama generasi muda cuba diserapkan dengan dakyah
yang boleh melunturkan semangat kesetiaan kepada negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan telah membawa keamanan kepada
negara sejak merdeka. Dalam tempoh itu Malaysia hanya diuji dengan
tragedi berdarah 13 Mei 1969 sahaja. Kehidupan harmoni di Malaysia
dikagumi dunia. Ketika keganasan etnik sedang merebak di seluruh dunia,
Malaysia dinobatkan sebagai negara 'multi racial' paling selamat di
rantau Asia Tenggara. Lebih dari itu, suara Malaysia juga didengar di
persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha
menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Bagi mewakili PBB, Malaysia
membawa misi keamanan di negara-negara seperti Congo (1960-1963),
Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola
(1991) dan Timor Leste (2006).
Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan
aspirasi rakyat yang digembleng bersama untuk menjadi Malaysia
benar-benar cemerlang. Sepanjang usia merdeka, pertumbuhan ekonomi
negara juga didapati berkembang pesat. Dengan memiliki asas ekonomi dan
pelaburan yang kukuh, negara tidak terlalu bergantung kepada
persekitaran global.
Buktinya, ekonomi negara mampu bertahan dengan baik ketika beberapa
negara di dunia kini dilanda muflis akibat serangan krisis kewangan.
Perkembangan ekonomi Malaysia yang cukup konsisten juga telah
merancakkan banyak sektor termasuk pelancongan. Pencapaian itu pasti
berterusan jika rakyat Malaysia terus mendokong konsep perpaduan dan
integrasi nasional yang menghasilkan keamanan. Justeru, rakyat Malaysia
perlu bersama-sama memperkasa semangat cintakan negara dan mempertahan
kedaulatan Malaysia.
Sumber : Utusan Online - 16-09-2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan