Oleh : FAUZIAH AROF dan NURUL ANUAR KARI
SELARI dengan 46 tahun penubuhan ASEAN, Mesyuarat
Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Ke-35 diadakan di
Kuala Lumpur, antara lain membincangkan isu keselamatan makanan rantau
ini.
Selain AMAF, mesyuarat sama turut diadakan dengan rakan-rakan ASEAN
seperti India (AMAF-India) serta China, Jepun dan Korea (AMAF+3) yang
bekerjasama memastikan rantau ini lebih bersedia menghadapi krisis
makanan dan memenuhi permintaan global.
Mungkin ramai tidak sedar betapa pentingnya kerjasama ini kerana
terlalu fokus kepada perindustrian untuk mencapai status negara maju dan
terlupa pertanian itu kunci kepada penyediaan bekalan makanan yang
menjadi antara asas utama kehidupan, untuk yang miskin ataupun kaya.
Pertanian juga sebenarnya memberi pulangan lumayan dan antara sumber
utama kekayaan negara anggota, menyumbang AS$2.3 trilion (RM7.41
trilion) kepada pendapatan kasar ASEAN.
Oleh itu, fokus bagi mengukuh serta meningkatkan pengeluaran produk
pertanian perlu menjadi antara agenda utama peringkat global, bukan
sahaja penting untuk bekalan makanan penduduk seluruh dunia malahan
menjamin sumber pendapatan besar kepada sesebuah negara.
Dalam ucapan perasmian AMAF kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin menekankan beberapa isu utama pertanian dunia agar
rantau ini bersedia jika krisis makanan dan petroleum berulang seperti
ketika beliau menjadi Menteri Pertanian antara tahun 2004 hingga 2008.
Beliau menegaskan perlunya fokus kepada teknologi, inovasi serta
penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi semua itu turut bergantung
kepada kerjasama erat negara-negara anggota dalam berkongsi sumber
antara mereka, demi manfaat bersama.
"Cabarannya bukan sahaja menghasilkan makanan secukupnya tetapi untuk
memenuhi permintaan. Malangnya, dunia kini berdepan masalah perubahan
iklim, kehilangan tanah pertanian kepada pembangunan komersial dan
lain-lain.
"Oleh itu, saya mencadangkan menteri-menteri pertanian ASEAN
pertimbang untuk mewujudkan dana bersama ke arah pembangunan inovasi
serta R&D untuk manfaat bersama negara-negara anggota," kata
Timbalan Perdana Menteri.
Beliau juga berharap kekangan dan masalah teknologi dapat
diselesaikan bersama dengan mengumpulkan sumber bersama semua negara
anggota daripada mereka 'bekerja sendirian'.
Dengan gabungan dana pelaburan lebih besar, pilihan output R&D
lebih besar dan lebih baik, serta kos teknologi yang lebih berkesan,
Muhyiddin berharap negara-negara anggota mampu meningkatkan produktiviti
dan daya saing. ke arah sebuah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Saranan itu turut didukung Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melihat perkongsian sumber akan
memberi manfaat bersama kepada seluruh rantau ini dalam menghadapi
cabaran isu keselamatan makanan.
"AMAF sudah sejak sekian lama menggerakkan asas-asas binaan ke arah AEC untuk makanan, pertanian dan perhutanan.
"Saya percaya peranan kita sebagai pemegang amanah dalam pertanian
dan perhutanan kini lebih penting daripada sebelumnya kerana
kelangsungan dunia kelak bergantung kepada pertanian," katanya ketika
ditemui Utusan Malaysia semalam.
Beliau menjelaskan, negara perindustrian juga tetap memerlukan produk
pertanian sementara negara maju masih terlibat dalam industri tersebut
tetapi dipermudahkan kaedah pertaniannya.
Tegasnya, Malaysia dan ASEAN juga perlu ke depan dengan pemodenan
industri pertanian dan bukannya mengabaikan atau meninggalkan industri
tersebut semata-mata kerana mahu menjadi negara pengkomersialan.
"Kita kena ingat, krisis makanan dahulu berpunca daripada pembelian
banyak sumber makanan dari luar. Semasa Thailand banjir, beras tidak
dapat dibawa keluar.
"Untuk itu, kita berkongsi sumber, semua jenis sumber seperti dana
untuk Rizab Beras Kecemasan bagi membantu mereka yang hadapi bencana.
Kita juga bertukar teknologi, negara dengan teknologi canggih bantu
negara yang banyak tanah tapi kurang teknologi," katanya.
Beliau memaklumkan Malaysia juga mempunyai kemampuan tertentu dalam
pertanian dan akan membantu negara anggota yang memerlukannya tetapi
industri pertanian negara turut belajar dari negara lain melalui
pertukaran para pegawai.
Selaku tuan rumah AMAF Ke-35, beliau menjelaskan Malaysia juga
menjadi pengerusi menteri-menteri pertanian ASEAN selama satu tahun
sehingga 2014, untuk menyelaras dan mengepalai semua inisiatif yang
telah dipersetujui, termasuk bersama AMAF-India dan AMAF+3.
"Yang paling utama, negara-negara ASEAN memberi kepercayaan kepada
Malaysia selaku pengerusi dan kita berjaya suarakan pandangan serta
bincangkan isu berbangkit dengan negara-negara terlibat.
"Kita juga mengadakan perbincangan dua hala untuk melihat peluang
kerjasama lain dengan negara-negara anggota serta menyelesaikan masalah
agar tiada pertelingkahan, cari situasi menang-memang," ujarnya.
Tambahnya, beberapa perkara turut dilihat kembali seperti perjanjian
persefahaman (MoU) lama, sama ada sudah dibuat susulan, serta
jawatankuasa bersama, sama ada sudah lama tidak bermesyuarat sehingga
gagal menyelesaikan masalah yang membabitkan kepentingan dalam bidang
pertanian di rantau itu.
Ismail Sabri turut mengakui AMAF memberi peluang baik untuk beliau
berjumpa dan berkenalan dengan rakan-rakan sejawat ASEAN dan memahami
masalah-masalah berbangkit yang dihadapi mereka, seterusnya cuba
diselesaikan secara bersama.
"Bermacam jenis bencana alam berlaku di negara-negara ASEAN dan
bantuan segera diperlukan seperti makanan dan lain-lain. Kita setuju
tubuhkan rizab beras dan bantuan-bantuan lain juga akan diberikan
Malaysia serta negara-negara anggota.
"Isu keselamatan makanan dan perubahan iklim juga kita beri
perhatian. Tidak pernah ada jaringan kerjasama seperti ini, ia terbaik
untuk lihat apa yang berlaku di rantau ini dan usahakan dengan segera
bantuan yang diperlukan negara-negara ASEAN terbabit," jelasnya.
Sumber : Utusan Online - 28-9-2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan