11 September 2012, iaitu hampir setahun yang lalu
dan di dewan ini juga, kita telah sama-sama menyaksikan Pelancaran
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang
disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Setahun adalah satu
jangkamasa yang agak lama. Jika kita bertanam padi tentu sudah kita
nikmati hasilnya, jika dahulu anak-anak pandai bertatih, kini sudah
boleh melangkah gagah.
Begitu juga halnya dalam kita merangka satu pelan pembangunan
pendidikan yang komprehensif, kementerian tidak bertindak tergesa-gesa
malah kita mengambil pendekatan terbuka mendengar pelbagai pandangan
daripada segenap lapisan masyarakat. Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) telah mendengar suara rakyat, baik di bandar, mahu pun di desa,
hatta hingga nun jauh ke kawasan pedalaman, pandangan tulus daripada
pelbagai persatuan, agensi kerajaan, pertubuhan kerajaan dan bukan
kerajaan, serta pakar-pakar pendidikan dalam dan luar negara. Tidak
lengkap dengan itu, PPPM ini kita bentangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah
Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih
kepada Perdana Menteri serta ahli Jemaah Menteri yang memberi sokongan
yang cukup padu kepada pembangunan pelan ini. Pelan ini juga telah saya
sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
Dalam tempoh setahun setelah pelancaran laporan awal, KPM telah
mengambil pertimbangan sewajarnya bagi setiap maklum balas yang
diterima. Kami dengar, kami angkat suara hati rakyat dalam bentuk
dokumen rasmi. Akhirnya pada hari ini, dengan segala data dan maklumat
yang kami cerna sejak 2011 lahirlah PPPM 2013-2025. Pelan ini menjadi
suatu dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara kerana
ia merupakan suatu rangka pelan pendidikan yang terhasil dengan begitu
teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.
Maka hari ini, KPM dengan rasa rendah hati "memulangkan" Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada rakyat dengan pelbagai
rangka tindakan yang telah digalurkan sebagaimana yang diingini oleh
rakyat untuk kepentingan rakyat seluruhnya. Pelan ini dilancarkan dengan
harapan yang begitu tinggi daripada pihak kerajaan agar pendidikan
menjadi tunjang kepada transformasi negara yang sedang diusahakan.
Penghasilan pelan ini memulakan lembaran transformasi pendidikan tetapi
juga menerajui transformasi perkhidmatan awam. Maka, tidak sempurna jika
saya tidak mengungkapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang
terlibat dalam penghasilan pelan pendidikan ini.
Kelainan dalam penghasilan PPPM
Bagi mencapai cita-cita besar untuk maju dalam pendidikan, KPM telah
mencipta kelainan dan melangkaui semua kemungkinan dalam penghasilan
PPPM. Suka saya nyatakan di sini, suatu kelainan dalam menyediakan PPPM
2013-2025 ini adalah dari segi penggunaan data dan dapatan kajian yang
dilaksanakan oleh Kementerian, universiti tempatan, UNESCO dan juga Bank
Negara. Kementerian telah menganalisis semula laporan awal sebelum ini
seperti Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembanguan
Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk
menilai pencapaian negara dalam pendidikan.
Kita tidak nafikan dalam usaha mengangkat kecemerlangan sistem
pendidikan negara sejak merdeka, telah banyak perkara yang telah
dicapai. Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen
pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan
pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada
belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan,
merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi
yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.
Kejayaan ini memperlihatkan bahawa wujud amalan-amalan baik yang
pernah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan
Daerah dan sekolah yang membawa kepada keberhasilan dan peningkatan
prestasi dalam sistem pendidikan kita. Contoh amalan baik ini juga
adalah antara elemen yang diambil dalam merangka strategi pelaksanaan
inisiatif-inisiatif PPPM. Sebagai tambahan, kementerian juga meneliti
amalan terbaik daripada negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan
bertaraf dunia seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.
Dari sinilah kita memulakan perancangan untuk mengorak langkah bagi
kembara yang panjang sehingga 2025. Ini bermakna, setiap perancangan
pendidikan yang terkandung dalam PPPM ini, tidak dibuat secara
sewenang-wenangnya malah berdasarkan kepada fakta dan data selain
daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh
masyarakat keseluruhannya.
Tumpuan kepada keberhasilan murid
PPPM 2013-2025 memberi tumpuan kepada keberhasilan murid. Pelan ini
direncanakan sebegitu komprehensif yang melibatkan semua laluan
pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan
inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan di sekolah-sekolah
kerajaan. Ia juga merangkumi semua peringkat persekolahan; daripada
peringkat prasekolah hingga kepada peringkat lepasan menengah.
Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar
sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan
yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara
diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang
pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik,
hampir 100 peratus sudah pun tercapai.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Dialog Nasional
Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin yang
mengambil inisiatif turun ke seluruh negara dan berjumpa dengan sejumlah
17,000 rakyat yang mengemukakan pandangan yang pelbagai dan hasil
itulah yang kita cerna dan masukkan dalam pelan ini.
Dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tinggi bagi tempoh 13
tahun lagi, PPPM 2013-2025 telah memberi tumpuan utama kepada
pembelajaran dan keberhasilan murid. Sebagai contoh, Kementerian telah
memperkukuhkan dasar bahasa dengan memberi tumpuan kepada dua bahasa
utama iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Malahan dalam siri
dialog yang kita adakan di seluruh negara sebahagian besar mengutarakan
kepentingan tentang bahasa Inggeris diperkukuhkan dan ini kita ambil
kira dalam pelan ini. Kita juga, memantapkan kemahiran berfikir aras
tinggi (KBAT), ini penting untuk menentukan anak-anak kita bukan sahaja
belajar dalam menghafal tapi faham dan tahu apa yang mereka belajar dan
menggunakan akal fikiran pada tahap tinggi. Selain itu, kita memantapkan
elemen etika dan kerohanian kerana elemen pembelajaran kita tidak hanya
mahu menekankan aspek pembelajaran semata-mata, tetapi pembentukan
sahsiah, menjadikan insan kamil dan roh pendidikan itu mesti disemai,
ditanam dan diperkukuh dalam jiwa setiap anak-anak Malaysia dalam sistem
persekolahan kita.
Dasar bahasa
Untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada semua murid tanpa
mengira peringkat dan jenis sekolah, saya berani mengatakan semua aspek
untuk meningkatkan kualiti pendidikan telah dikaji dengan teliti dan
dibincangkan secara mendalam. Dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan
kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam pelan ini.
Kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran
persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan setiap
murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan mendapat akses,
ekuiti dan kualiti pendidikan. Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan juga
dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan
di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar
di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.
Kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia demi
menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam
kalangan masyarakat. Pada masa sama untuk melahirkan generasi global,
mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diberikan perhatian utama dan
seperti yang telah diumumkan awal tahun ini akan dijadikan mata
pelajaran SPM wajib lulus menjelang tahun 2016. Dalam memastikan
pelaksanaan hasrat ini, Kementerian sedang dalam usaha menambah masa
ataupun 'contact hours' di dalam kelas agar pendedahan/immersion
murid-murid yang lebih dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan.
Saya sedang meneliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah satu sesi
dan masih ada 1,600 sekolah dua sesi yang akan dijadikan sekolah satu
sesi, maka tempoh waktu persekolahan dilanjutkan umpamanya menambah
waktu persekolah sejam atau dua jam dan itu boleh kita gunakan untuk
menambah contact hours untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa
lain di seluruh sekolah.
Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa ini, PPPM menggariskan beberapa
inisiatif. Antaranya ialah menambah baik Kurikulum Bahasa Malaysia di
Sekolah Jenis Kebangsaan. Bagi murid yang lemah, kelas pemulihan akan
diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan menjejaskan waktu
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain.
Dalam usaha meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa Inggeris pula,
guru-guru Bahasa Inggeris telah diuji kemahiran mereka melalui
Cambridge Placement Test (CPT). Ekoran itu, kohort pertama seramai 5,000
orang telah mengikut latihan lanjutan oleh British Council, manakala
seramai 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan pada Oktober
nanti.
Suka saya nyatakan di sini, walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa
Inggeris menjadi agenda utama kementerian, murid juga digalakkan untuk
menguasai bahasa tambahan. Kementerian tidak menghalang pengajaran
pembelajaran bahasa ibunda malah membuka ruang dan peluang kepada murid
untuk mendapatkan pendidikan bahasa tambahan seperti bahasa Arab dan
Kadazan Dusun.
Selain berusaha untuk meningkatkan penguasaan dwibahasa, kemahiran
berfikir aras tinggi, atau Higher Order Thinking Skills, juga menjadi
fokus dalam usaha Kementerian untuk melonjakkan sistem pendidikan negara
dalam kelompok negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik
di dunia. Oleh itu, dalam pelan ini, dasar 60:40 yang mula diperkenalkan
pada 1967 akan diperkukuhkan dengan meningkatkan kesedaran tentang
Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Kurikulum bersepadu berasaskan standard antarabangsa akan dihasilkan dan
penambahbaikan kerangka pentaksiran dengan memasukkan elemen kemahiran
berfikir akan dilakukan.
Pendidikan Islam
Kementerian juga beriltizam untuk melahirkan murid yang memiliki
sahsiah terpuji serta mempunyai identiti nasional. Dengan itu kurikulum
bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral akan
dimantapkan. Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama akan ditingkatkan
dengan pengukuhan kurikulum Dini dan Tahfiz agar murid dapat dilengkapi
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran kerja
berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Soal ini sebenarnya
banyak juga dibangkitkan oleh ibu bapa Islam yang mahu pendidikan Islam
diperkukuh dan diperluas agar menjadi asas kukuh dalam sahsiah dan
peribadi moral dan akhlak anak-anak kita.
Sistem pendidikan juga akan menyediakan laluan pendidikan yang
bersesuai dengan dengan bakat, minat dan gaya pendidikan di samping akan
disepadukan dengan keperluan pasaran buruh yang terarah kepada kerjaya
pilihan mereka. Maka, kementerian turut mengambil kira pendidikan teknik
dan vokasional, seni, dan sukan
Malahan saya telah melancarkan tahun lalu Program Transformasi
Vokasional yang mana kita tahu dalam sistem di negara kita setakat ini,
tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional iaitu kurang 10
peratus. Sasaran kita meningkatkan sehingga 20 peratus.
Di negara maju sudah sampai 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan
pelajar dalam sistem persekolahan yang mengambil bidang vokasional dan
teknikal. Bermakna, Malaysia masih jauh. Apabila kita melancarkan dasar
ini dan menyediakan tempat sebanyak 10,000, tahun ini sahaja terdapat
126,000 ibu bapa yang mendaftar anak-anak mereka untuk mengambil aliran
vokasional. Alhamdulillah, sudah meningkat dengan begitu mendadak
sekali. Sementara itu, kita juga tidak lupakan pendidikan khas yang
lebih inklusif. Dalam blue print awal kita, mungkin kita tidak nyatakan
dengan jelas tentang soal pendidikan khas. Jadi mereka yang terdiri
daripada kepimpinan persatuan yang mewakili orang istimewa bertanya
kenapa tidak ada makmal khas untuk mereka. Jadi, segala cadangan mereka
kita masukkan sebagai inti pati penting dalam pelan pendidikan ini
khusus untuk anak-anak kita yang kelainan dan keistimewaan ini.
Mengupaya pemimpin sekolah dan guru
Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan
perancangan rapi di peringkat pelaksana. Guru adalah tunggak utama dalam
meningkatkan prestasi murid di sekolah. Menyedari perkara ini, PPPM
telah memperkukuhkan Pejabat Pendidikan Daerah dengan menempatkan
pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan program yang
dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+. Mereka bukan sahaja dapat
membimbing dari segi pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aspek
penilaian seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Harapan saya
melalui bimbingan ini, guru-guru dan semua pengetua/guru besar dapat
melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Kementerian terus berusaha untuk memartabatkan profesionan keguruan
dengan inisiatif meningkatkan syarat kemasukan guru iaitu 30 peratus
daripada graduan terbaik memasuki profesion perguruan. Mereka ini
digalakkan menjadi guru kerana kita mahu guru bukan sahaja dalam
kalangan terdidik tetapi terpelajar, banyak ilmu dan ada kecemerlangan
dalam pembelajaran mereka.
Selain itu laluan kerjaya guru, cadangan untuk mengurangkan beban
tugas guru, dan pelaksanaan program profesionalisme berterusan turut
dilaksanakan. Bagi pengetua/guru besar, kriteria perlantikan iaitu yang
tidak berdasarkan kepada jangka masa perkhidmatan akan dilaksanakan.
Tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau memegang
jawatan yang lebih penting. Berdasarkan merit dan keupayaan mereka, ini
yang kita akan ambil kira dalam kenaikan pangkat mereka. Dalam masa lima
tahun akan datang, 4,000 pengetua/guru besar akan menamatkan
perkhidmatan dan ini membuka peluang kepada calon-calon pengetua/guru
besar yang berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi kekosongan. Sudah
ada peraturan ketika ini sesiapa yang ingin jadi pengetua dan guru
besar mesti melalui satu proses dan latihan khusus dan jika mereka lulus
baru kita meletakkan sebagai pengetua atau guru besar di sekolah
berkenaan.
Kelainan dalam Pelaksanaan PPPM
Semua aspek perancangan digalurkan didalam pelan ini. Apa yang harus
kita tumpukan sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan. Saya akui PPPM
yang dicadangkan ini luas dan kompleks. Bagi memastikan kejayaan pelan
ini, strategi pelaksanaan secara berhemah mengikut fasa atau disebut
sebagai gelombang, dirangka dengan memberi tumpuan kepada sokongan
terhadap guru dalam gelombang pertama, sebelum memacu peningkatan sistem
dalam gelombang kedua dan beranjak ke arah kecemerlangan pendidikan
dalam gelombang ketiga. Penyusunan sebegini adalah penting kerana bagi
memastikan pelan ini berjaya keutamaan perlu diberikan terhadap
inisiatif yang penting khususnya yang membawa keberhasilan murid.
Penubuhan PADU
Untuk mengupayakan pelaksanaan Pelan ini juga, kementerian telah
mewujudkan entiti khas yang dinamakan PADU iaitu Unit Pelaksanaan dan
Prestasi Pendidikan untuk memantau dan memastikan kejayaan inisiatif.
PADU ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang berbakat
dari dalam dan luar Kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut
kesungguhan yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap lagi
berwibawa. Jelasnya, penubuhan entiti khas ini tidak pernah dilakukan
oleh Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan mana-mana perancangan
sebelum ini. Malah melalui PADU yang akan mengaplikasikan
prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat, kementerian berhasrat
untuk menyediakan laporan tahunan dan status pencapaian inisiatif
sebagai maklumat kepada semua pihak.
Penglibatan pihak berkepentingan
Suatu lagi keunikan dalam pelaksanaan pelan ini ialah dengan
pelibatan pihak berkepentingan. Kementerian tidak mahu Pelan ini menjadi
satu dasar yang hanya difahami dan berlegar sekitar warga Kementerian
sahaja.
Memandangkan pelan ini terhasil daripada aspirasi rakyat, maka
kementerian berhasrat untuk merakyatkan pelaksanaannya.
Inisiatif-inisiatif yang direncanakan dalam 11 anjakan yang telah
diuar-uarkan, perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana
daripada rakyatlah tercetusnya ilham untuk merangka inistiatif tersebut.
Di samping itu kita turut menekankan betapa pentingnya jaringan yang
utuh antara PIBG, ibu bapa dan sekolah. Kita juga memberikan perhatian
tentang sumbangan swasta dalam kita mahu meningkatkan PPPM ini.
Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak swasta.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Amir dan Khazanah
Malaysia. Secara kebetulan saya baru mengadakan lawatan ke sebuah
Sekolah Amanah di Gelang Patah semalam dan menunjukkan hasil yang luar
biasa.
Dengan pendekatan baharu yang digunakan sekolah ini saya melihat
lonjakan yang berganda. Kalaulah kita ada peruntukan sebanyak itu,
dibantu dan diberikan kepada kementerian, alangkah moleknya, semua
sekolah kita laksanakan dalam bentuk sama, lonjakan berganda akan kita
lihat dalam tempoh yang amat singkat.
Pelancaran ini memberi seribu makna kepada kita dalam meningkatkan
kualiti pendidikan. Sempena majlis pelancaran ini kementerian
menyediakan dokumen lengkap setebal 300 muka surat dan ringkasan
eksekutif dalam bahasa Malaysia dan Inggeris selain brosur dalam empat
bahasa. Mana yang rajin bacalah dokumen setebal 300 muka surat itu
supaya tahu apa yang mahu kita laksanakan. Mana yang kurang rajin,
mungkin baca brosur atau yang malas langsung kita akan sediakan video.
Pendekknya tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak tahu mengenai pelan
ini. Tidak ada sebab semua pihak tidak boleh terlibat sama mendokong dan
menyokong pelan ini. Kalau ada suara-suara yang sumbang itu
mungkinkerana bahasanya sumbing, sebab itu mereka tidak faham apa tujuan
kita.
Sebab itu saya sebut, walaupun ada halilintar, ribut dan taufan, kita
akan terus melaksanakan pelan ini, insya-Allah. Kita mengharapkan
dengan sokongan semua pihak, maka akan tercerna satu sistem yang lebih
baik dan berkualiti.
Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja
bertungkus-lumus selama lebih dua tahun untuk menyediakan satu dokumen
yang menjadi sejarah pada hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan