SEMUA pihak harus sedar bahawa kemerdekaan Tanah Melayu lahir atas
kesepakatan, persefahaman dan sikap tolak ansur yang diberikan oleh
semua pihak.
Walaupun asalnya negara ini milik Melayu, namun bangsa-bangsa lain
seperti Cina, India dan lain-lain bangsa tetap mendapat tempat di dalam
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Namun terdapat segelintir daripada masyarakat Tanah Melayu ketika itu
yang mahukan hak sama rata sehingga menimbulkan kemarahan orang Melayu.
Ini memaksa Tunku Abdul Rahman menggunakan kebijaksanaannya
melaksanakan tugas dalam memberikan keseimbangan di dalam perlembagaan
yang digubal.
Perkara itu masih lagi terjadi kini walaupun telah lebih 50 tahun
merdeka, lebih-lebih lagi dalam kalangan pihak pembangkang yang sentiasa
menunggu peluang mewujudkan ketegangan di antara kaum.
Ahli akademik dan tokoh budaya, Profesor Dr. Zainal Kling
berkata, jika mereka mengambil semangat perlembagaan itu, sudah pasti
mereka tidak akan mengambil kesempatan dengan apa yang telah dikecapi
hari ini.
Semangat yang ada ketika Perlembagaan Malaysia digubal telah semakin
terhapus, apatah lagi dengan pelbagai anasir-anasir luar yang cuba
menggugat keamanan yang telah dikecapi hari ini.
Semasa menggubal perlembagaan, ia pada dasarnya melibatkan pihak luar
bagi menjaga kebebasan pendapat dan tidak berlaku sebarang isu berat
sebelah.
"Jika perkara seperti itu dapat diterima pakai dan menerima persetujuan semua pihak pada ketika itu, mengapa tidak kini?
"Perkara yang dibincangkan dahulu memberikan keuntungan kepada semua pihak tidak mengira bangsa dan agama," jelasnya.
Zainal berkata, terdapat beberapa perkara yang dianggap sensitif di
dalam perlembagaan negara yang harus dikekalkan kerana persetujuan telah
dicapai untuk membolehkan negara merdeka.
Namun, ada sesetengah pihak masih lagi mahu mengganggu gugat kerana
kumpulan ini tidak berjaya mengganggu gugat semasa kesepakatan dicapai
56 tahun lalu.
Ini menunjukkan, isu yang sama dimainkan sekali lagi yang satu ketika
dahulu telah mencapai kesepakatan antara semua pihak bagi membolehkan
mereka mencapai hasrat tersebut.
"Dengan semangat yang kukuh dalam menegakkan perlembagaan, masalah
ini sebenarnya boleh diatasi dengan baik apabila mereka kembali kepada
perlembagaan sebenar," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan