SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

1 Mei 2013

Tingkatan 6 distruktur semula


Pelajar dipisah dari sekolah, ditempat di pusat pengajian khas

SISTEM pendidikan tingkatan enam dicadang distruktur semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan pendidikan pra-universiti seperti kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Antara langkah yang akan diambil ialah memisahkan pelajar tingkatan enam daripada sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat pengajian khas.

Mereka juga akan menggunakan pakaian berbeza, jadual waktu yang tidak sama dan guru berlainan berbanding sekolah sekolah biasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemisahan pelajar tingkatan enam dengan sekolah biasa ialah untuk meningkatkan imej sistem dan kualiti pendidikan tingkatan enam.

Faktor lain ialah jumlahnya yang ketika ini bertaburan di seluruh negara, selain ada sekolah tertentu hanya mempunyai satu atau dua kelas.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ia masih di peringkat kajian dan perbincangan sebelum dilaksanakan.
"Kerajaan juga bersedia mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran dipendekkan enam bulan lebih awal seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran," katanya di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asia Timur dan Sidang Kemuncak Menteri Pelajaran Asia Timur Pertama.

Muhyiddin berkata, untuk menjayakan penstrukturan tingkatan enam, sistem sokongan yang lebih kukuh diperlukan, termasuk faktor logistik yang diperluaskan.

“Ketika ini tingkatan enam dilihat kesinambungan daripada tingkatan lima, sedangkan sebenarnya mereka sudah dewasa dan matang. Walaupun pelajar tingkatan enam bersekolah di premis sama dengan pelajar sekolah menengah, namun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setaraf kolej matrikulasi,” katanya.

Beliau berkata, persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi lebih baik berbanding tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing ke universiti awam adalah sama.

Justeru, masyarakat tidak harus melihat pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya pencapaian pelajar tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.

“Jadi, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra-universiti,” katanya.
Sumber : Berita Harian, 29-04-13

2 Mac 2013

Tiada guru: Pelajar tingkatan 6 terabai


ISU penempatan guru yang mengajar di tingkatan enam terus menjadi polemik.
Isu ini tiada kesudahannya. Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa pembelajaran pelajar di tingkatan enam sama dengan pelajar di arus perdana.
Tanggapan ini salah sama sekali. Sukatan dan masa pengajaran dan pembelajaran tingkatan enam sekarang telah mengguna pakai sistem penggal.
Pelajar perlu menyiapkan PBS dan dalam masa yang sama mereka perlu mengikuti proses P&P di kelas dengan bimbingan guru.
Masalah akan timbul jika guru yang mengajar kelas tingkatan enam bertukar, berhenti atau pencen.
Yang menjadi mangsa ialah pelajar yang terpaksa menghabiskan sukatan pelajaran mengikut penggal yang diperuntukkan kepada mereka.
Isu perpindahan dan penggantian guru akademik kelas tingkatan enam yang bertukar dan berhenti seperti dipandang remeh oleh pihak Kementerian Pelajaran.
Tempat guru yang bertukar memerlukan masa yang lama untuk diganti sedangkan pelajar terpaksa menyiapkan PBS dan tugasan yang wajib sebelum penggal berakhir.
Bayangkan untuk penggal kedua, masa yang diperuntukkan adalah dari Januari hingga Mei.
Guru yang bertukar pada awal penggal belum berganti sedangkan penggal dua hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi.
Masa yang ada belum lagi ditolak untuk PBS yang akan berakhir awal Mei dan peperiksaan bertulis STPM untuk penggal dua adalah pada 20 hingga 23 Mei 2013.
Saya ingin mengajukan soalan kepada pihak berkenaan sama ada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Kementerian Pelajaran:
i) Adakah guru yang mengajar arus perdana tidak dibenarkan mengajar tingkatan enam kerana tiada surat pelantikan guru akademik tingkatan enam?
ii) Berapa lamakah masa yang perlu diambil untuk menggantikan seorang guru tingkatan enam yang bertukar dan pihak manakah yang wajib menguruskan penempatan guru baharu tersebut, pihak JPN atau kementerian?
iii) Bilakah sistem berpusat untuk menempatkan pelajar tingkatan enam di sesebuah sekolah akan bermula sedangkan hal ini telah dicanangkan sejak beberapa tahun lepas oleh kementerian?
Saya sebagai seorang pendidik dan seorang ibu kepada pelajar, berasa terpanggil untuk menyuarakan hal ini.
Situasi ini akan berlarutan jika tiada tindakan diambil dan yang teraniaya ialah pelajar dan yang dipersalahkan pula nanti pastinya para guru. Masalah ini juga sedikit sebanyak akan menghakis minat pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam.
Saya amat berharap agar isu ini dapat ditangani segera kerana ketiadaan guru akan menyebabkan kesulitan kepada semua pihak, sama ada di pihak pelajar, sekolah, JPN dan seterusnya nama baik kementerian.

Sumber : Utusan Malaysia,
28/02/2013

16 Februari 2013

BB1M ringankan beban ibu bapa, pelajar


BERDASARKAN konsep gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan meneruskan janji kepada rakyat dengan mengerakkan sekali lagi bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) buat kali kedua tahun ini yang bertujuan membantu perbelanjaan awal persekolahan kira-kira 1.3 juta pelajar tingkatan enam atas, institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk kolej matrikulasi di seluruh negara.
Bantuan itu yang melibatkan dana RM540 juta berdasarkan peruntukan Bajet 2013 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bermatlamat meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga pelajar.
Kenyataan Kementerian Pelajaran memaklumkan pelajar yang layak terdiri daripada mereka yang aktif dalam pengajian dan tempoh pelaksanaan BB1M dari 1 Januari hingga 31 Mei ini.
Mereka terdiri daripada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Tingkatan Enam (Atas), pelajar dalam peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat dan sekolah swasta atau persendirian serta Kolej Matrikulasi.
''Kadar bantuan RM250 disediakan setiap pelajar berupa baucar RM50 dibahagi kepada lima keping baucar dan sah diguna pakai selama lima bulan sehinga 31 Mei 2013," kata kenyataan itu, baru-baru ini.
Setiap JPN perlu menyelaras pengagihan BB1M untuk semua jenis sekolah di negeri masing-masing meliputi sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama negeri (SAN), sekolah agama rakyat (SAR) serta sekolah swasta dan persendirian dan menyediakan laporan rumusan akaun pengaigihan BB1M kepada kementerian pada 30 April ini.
Antara prosedur awal pelaksanaan BB1M termasuklah IPG, kolej matrikulasi atau sekolah menengah harus mengedarkan BB1M bersama-sama satu sampul surat BB1M kepada pelajar yang layak dalam tempoh empat belas hari bekerja daripada tarikh baucar buku diterima oleh pihak berkenaan.
Pelajar perlu memastikan baucar dalam keadaan elok sebelum membeli buku kerana kementerian tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kehilangan baucar dan pelajar sendiri perlu menanggung kerosakan atau kehilangan yang berlaku.
Jika berlaku kekurangan baucar buku, pihak IPG, kolej matrikulasi atau sekolah perlu mengemukakan permohonan tambahan kepada Bahagian Kewangan kementerian melalui IPGM, BM atau JPN bersama rumusan laporan namun jika ada lebihan baucar buku, pengurusan institusi terlibat perlu mengembalikannya kepada Bahagian Kewangan KPM selewat-lewatnya pada 1 April ini.
Pihak terbabit perlu memastikan pelajar menggunakan baucar BB1M mengikut tempoh yang ditetapkan dan di kedai buku terpilih yang menyertai perlaksanaan inisiatif itu dengan mengemukakan baucar serta kad pengenalan pelajar.
Sekiranya nilai pembelian kurang daripada RM250, pelajar dibenarkan membeli peralatan pembelajaran yang lain seperti buku catatan dan alat tulis manakala baki baucar buku yang tidak dihabiskan dianggap telah digunakan dan tidak boleh dituntut manakala nilai buku melebihi RM250 pula, pelajar perlu membayar sendiri lebihan tersebut dan tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada kerajaan.
Kementerian juga mengingatkan bahawa baucar buku yang diterima tidak boleh dipindah milik, ditukarkan dalambentuk wang tunai atau dijualkan kepada pihak ketiga malah pelajar yang telah berpindah instusi pembelajaran hendaklah menuntut baucar BB1M tersebut di institusi pengajian yang baru.
Bagi memastikan pelaksanaan BB1M mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan, kementerian menyedia Garis Panduan Pelaksanaan Pemberian Baucar Buku kepada IPG, kolej matrikulasi dan JPN atau merujuk laman sesawang KPM www.moe.gov.my.
Pemberian bantuan BB1M perlu diagihkan selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.

Sumber : Utusan Malaysia, 11/02/2013

19 Januari 2013

Jangan dianaktirikan pengurusan tingkatan enam


TINGKATAN enam telah melalui fasa pembaharuan dalam perjalanan pengurusan pada tahun lalu. Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baharu telah diperkenalkan menggantikan STPM lama yang bersifat terminal.
Langkah yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran ini adalah langkah yang baik dan disokong penuh. Namun malangnya, keadaan dan situasi pengurusan tingkatan enam masih pada tahap lama.
Pengurusan tingkatan enam ketika ini seperti mengharapkan belas ihsan arus perdana untuk terus hidup. Masalah ini bertambah apabila pengurusan tingkatan enam tidak difahami oleh sesetengah pengetua yang menganggap tingkatan enam hanya seperti melukut di tepi gantang.
Pelajar tingkatan enam dilayan setaraf pelajar tingkatan lima. Pelbagai peraturan dilaksanakan umpamanya tidak boleh membawa komputer riba, melayari internet, jadual waktu mengikut arus perdana dan pelbagai lagi peraturan yang tidak menyokong pengurusan tingkatan enam itu sendiri.
Selain itu, pelajar tingkatan enam dipaksa mengikuti program kokurikulum.
Persoalannya, dengan pentaksiran baru mengikut kerja kursus sepatutnya pelajar tingkatan enam diberi kebebasan untuk bergerak bebas dalam ruang lingkup pelajaran dan pembelajaran, jadual waktu dan kokurikulum berasingan seperti yang termaktub dalam pekeliling pengurusan tingkatan enam.
Sekiranya ini tidak dilaksanakan, bagaimana pelajar hendak menghadapi STPM baharu ini dengan jayanya? Program Pemusatan Tingkatan Enam seperti yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran seperti sudah tenggelam dan tidak dibicarakan lagi.
Sewajarnya, pihak kementerian proaktif dalam hal ini dan jangan biarkan perkara ini berlaku.
Jangan biarkan pengurusan tingkatan enam seperti entiti yang tidak dikehendaki di sekolah. Sudahlah diberi kelas yang paling buruk, para guru kami pula dipaksa mengajar tingkatan 1 sehingga 5.
Jadi persoalannya, bila kami dapat menyiapkan kerja kursus bagi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) untuk tingkatan enam yang perlu disiapkan pada April ini yang juga memerlukan kami membentangkan hasilan kerja kursus tersebut sedangkan guru kami juga dibebankan dengan tugasan arus perdana?
Kenapa pekeliling pengurusan tingkatan enam yang dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Pelajaran diabaikan di peringkat sekolah?
Pegawai di kementerian sepatutnya memantau sekolah-sekolah yang mempunyai tingkatan enam. Pastikan sama ada pengetua di sekolah berkenaan mematuhi pekeliling tersebut atau melayan pekeliling pengurusan berkenaan sekadar "melepaskan betuk di tangga".
Kenapa tidak diasingkan terus tingkatan enam dari arus perdana? Kenapa dibiarkan masalah ini berlaku?
Harapan kami sebagai pelajar tingkatan enam agar Bahagian Pengurusan Tingkatan 6, Kementerian Pelajaran selalulah meninjau dan melawat sekolah-sekolah yang mempunyai tingkatan enam, lihatlah bagaimana pengurusan kami diabaikan dan dianaktirikan oleh pengurusan sekolah khasnya pengetua yang lebih mementingkan arus perdana.
Jangan biarkan perkara ini berpanjangan demi kecemerlangan kami sebagai anak bangsa dan negara yang perlu layanan sama adil seperti pelajar lain.
Semoga ada sinar untuk kami terus mendokong aspirasi kerajaan dalam menjenamakan semula tingkatan enam.
Jangan biarkan hasrat tersebut dikhianati oleh pengurusan sekolah khasnya pihak pengetua sekolah yang enggan mematuhi pekeliling yang dikeluarkan sendiri oleh kementarian.
Kasihanilah kami. Berilah kami pembelajaran yang kondusif dan tenteram sebelum kami menghadapi peperiksaan ini kerana STPM inilah peluang akhir kami dalam peperiksaan sebelum dapat melangkah ke universiti. Semoga sistem pendidikan kita terus cemerlang pada masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia, 17/01/2013