TINGKATAN enam telah melalui fasa
pembaharuan dalam perjalanan pengurusan pada tahun lalu. Peperiksaan Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baharu telah diperkenalkan menggantikan STPM
lama yang bersifat terminal.
Langkah yang diusahakan oleh
Kementerian Pelajaran ini adalah langkah yang baik dan disokong penuh. Namun
malangnya, keadaan dan situasi pengurusan tingkatan enam masih pada tahap lama.
Pengurusan tingkatan enam ketika ini
seperti mengharapkan belas ihsan arus perdana untuk terus hidup. Masalah ini
bertambah apabila pengurusan tingkatan enam tidak difahami oleh sesetengah
pengetua yang menganggap tingkatan enam hanya seperti melukut di tepi gantang.
Pelajar tingkatan enam dilayan
setaraf pelajar tingkatan lima. Pelbagai peraturan dilaksanakan umpamanya tidak
boleh membawa komputer riba, melayari internet, jadual waktu mengikut arus
perdana dan pelbagai lagi peraturan yang tidak menyokong pengurusan tingkatan
enam itu sendiri.
Selain itu, pelajar tingkatan enam
dipaksa mengikuti program kokurikulum.
Persoalannya, dengan pentaksiran
baru mengikut kerja kursus sepatutnya pelajar tingkatan enam diberi kebebasan
untuk bergerak bebas dalam ruang lingkup pelajaran dan pembelajaran, jadual
waktu dan kokurikulum berasingan seperti yang termaktub dalam pekeliling
pengurusan tingkatan enam.
Sekiranya ini tidak dilaksanakan,
bagaimana pelajar hendak menghadapi STPM baharu ini dengan jayanya? Program
Pemusatan Tingkatan Enam seperti yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran seperti
sudah tenggelam dan tidak dibicarakan lagi.
Sewajarnya, pihak kementerian
proaktif dalam hal ini dan jangan biarkan perkara ini berlaku.
Jangan biarkan pengurusan tingkatan
enam seperti entiti yang tidak dikehendaki di sekolah. Sudahlah diberi kelas
yang paling buruk, para guru kami pula dipaksa mengajar tingkatan 1 sehingga 5.
Jadi persoalannya, bila kami dapat
menyiapkan kerja kursus bagi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) untuk tingkatan
enam yang perlu disiapkan pada April ini yang juga memerlukan kami
membentangkan hasilan kerja kursus tersebut sedangkan guru kami juga dibebankan
dengan tugasan arus perdana?
Kenapa pekeliling pengurusan
tingkatan enam yang dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Pelajaran diabaikan di
peringkat sekolah?
Pegawai di kementerian sepatutnya
memantau sekolah-sekolah yang mempunyai tingkatan enam. Pastikan sama ada
pengetua di sekolah berkenaan mematuhi pekeliling tersebut atau melayan
pekeliling pengurusan berkenaan sekadar "melepaskan betuk di tangga".
Kenapa tidak diasingkan terus
tingkatan enam dari arus perdana? Kenapa dibiarkan masalah ini berlaku?
Harapan kami sebagai pelajar
tingkatan enam agar Bahagian Pengurusan Tingkatan 6, Kementerian Pelajaran
selalulah meninjau dan melawat sekolah-sekolah yang mempunyai tingkatan enam,
lihatlah bagaimana pengurusan kami diabaikan dan dianaktirikan oleh pengurusan
sekolah khasnya pengetua yang lebih mementingkan arus perdana.
Jangan biarkan perkara ini
berpanjangan demi kecemerlangan kami sebagai anak bangsa dan negara yang perlu
layanan sama adil seperti pelajar lain.
Semoga ada sinar untuk kami terus
mendokong aspirasi kerajaan dalam menjenamakan semula tingkatan enam.
Jangan biarkan hasrat tersebut
dikhianati oleh pengurusan sekolah khasnya pihak pengetua sekolah yang enggan
mematuhi pekeliling yang dikeluarkan sendiri oleh kementarian.
Kasihanilah kami. Berilah kami
pembelajaran yang kondusif dan tenteram sebelum kami menghadapi peperiksaan ini
kerana STPM inilah peluang akhir kami dalam peperiksaan sebelum dapat melangkah
ke universiti. Semoga sistem pendidikan kita terus cemerlang pada masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan