BERDASARKAN konsep gagasan Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan meneruskan janji kepada rakyat
dengan mengerakkan sekali lagi bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) buat kali
kedua tahun ini yang bertujuan membantu perbelanjaan awal persekolahan
kira-kira 1.3 juta pelajar tingkatan enam atas, institusi pengajian tinggi awam
dan swasta termasuk kolej matrikulasi di seluruh negara.
Bantuan itu yang melibatkan dana
RM540 juta berdasarkan peruntukan Bajet 2013 dibentangkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak, bermatlamat meringankan beban perbelanjaan
persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga
pelajar.
Kenyataan Kementerian Pelajaran
memaklumkan pelajar yang layak terdiri daripada mereka yang aktif dalam
pengajian dan tempoh pelaksanaan BB1M dari 1 Januari hingga 31 Mei ini.
Mereka terdiri daripada pelajar
Institut Pendidikan Guru (IPG), Tingkatan Enam (Atas), pelajar dalam peringkat
Sijil Tinggi Agama Malaysia di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan,
sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat dan sekolah swasta atau persendirian
serta Kolej Matrikulasi.
''Kadar bantuan RM250 disediakan
setiap pelajar berupa baucar RM50 dibahagi kepada lima keping baucar dan sah
diguna pakai selama lima bulan sehinga 31 Mei 2013," kata kenyataan itu,
baru-baru ini.
Setiap JPN perlu menyelaras
pengagihan BB1M untuk semua jenis sekolah di negeri masing-masing meliputi
sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama negeri (SAN), sekolah
agama rakyat (SAR) serta sekolah swasta dan persendirian dan menyediakan
laporan rumusan akaun pengaigihan BB1M kepada kementerian pada 30 April ini.
Antara prosedur awal pelaksanaan
BB1M termasuklah IPG, kolej matrikulasi atau sekolah menengah harus mengedarkan
BB1M bersama-sama satu sampul surat BB1M kepada pelajar yang layak dalam tempoh
empat belas hari bekerja daripada tarikh baucar buku diterima oleh pihak
berkenaan.
Pelajar perlu memastikan baucar
dalam keadaan elok sebelum membeli buku kerana kementerian tidak
bertanggungjawab atas kerosakan atau kehilangan baucar dan pelajar sendiri
perlu menanggung kerosakan atau kehilangan yang berlaku.
Jika berlaku kekurangan baucar buku,
pihak IPG, kolej matrikulasi atau sekolah perlu mengemukakan permohonan
tambahan kepada Bahagian Kewangan kementerian melalui IPGM, BM atau JPN bersama
rumusan laporan namun jika ada lebihan baucar buku, pengurusan institusi
terlibat perlu mengembalikannya kepada Bahagian Kewangan KPM selewat-lewatnya
pada 1 April ini.
Pihak terbabit perlu memastikan
pelajar menggunakan baucar BB1M mengikut tempoh yang ditetapkan dan di kedai
buku terpilih yang menyertai perlaksanaan inisiatif itu dengan mengemukakan
baucar serta kad pengenalan pelajar.
Sekiranya nilai pembelian kurang
daripada RM250, pelajar dibenarkan membeli peralatan pembelajaran yang lain
seperti buku catatan dan alat tulis manakala baki baucar buku yang tidak
dihabiskan dianggap telah digunakan dan tidak boleh dituntut manakala nilai
buku melebihi RM250 pula, pelajar perlu membayar sendiri lebihan tersebut dan
tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada kerajaan.
Kementerian juga mengingatkan bahawa
baucar buku yang diterima tidak boleh dipindah milik, ditukarkan dalambentuk
wang tunai atau dijualkan kepada pihak ketiga malah pelajar yang telah
berpindah instusi pembelajaran hendaklah menuntut baucar BB1M tersebut di
institusi pengajian yang baru.
Bagi memastikan pelaksanaan BB1M
mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan, kementerian menyedia Garis Panduan
Pelaksanaan Pemberian Baucar Buku kepada IPG, kolej matrikulasi dan JPN atau
merujuk laman sesawang KPM www.moe.gov.my.
Pemberian bantuan BB1M perlu
diagihkan selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.
Sumber : Utusan Malaysia, 11/02/2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan