ISU penempatan guru yang mengajar di
tingkatan enam terus menjadi polemik.
Isu ini tiada kesudahannya. Ada
sesetengah pihak beranggapan bahawa pembelajaran pelajar di tingkatan enam sama
dengan pelajar di arus perdana.
Tanggapan ini salah sama sekali.
Sukatan dan masa pengajaran dan pembelajaran tingkatan enam sekarang telah
mengguna pakai sistem penggal.
Pelajar perlu menyiapkan PBS dan
dalam masa yang sama mereka perlu mengikuti proses P&P di kelas dengan
bimbingan guru.
Masalah akan timbul jika guru yang
mengajar kelas tingkatan enam bertukar, berhenti atau pencen.
Yang menjadi mangsa ialah pelajar
yang terpaksa menghabiskan sukatan pelajaran mengikut penggal yang
diperuntukkan kepada mereka.
Isu perpindahan dan penggantian guru
akademik kelas tingkatan enam yang bertukar dan berhenti seperti dipandang
remeh oleh pihak Kementerian Pelajaran.
Tempat guru yang bertukar memerlukan
masa yang lama untuk diganti sedangkan pelajar terpaksa menyiapkan PBS dan
tugasan yang wajib sebelum penggal berakhir.
Bayangkan untuk penggal kedua, masa
yang diperuntukkan adalah dari Januari hingga Mei.
Guru yang bertukar pada awal penggal
belum berganti sedangkan penggal dua hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi.
Masa yang ada belum lagi ditolak
untuk PBS yang akan berakhir awal Mei dan peperiksaan bertulis STPM untuk
penggal dua adalah pada 20 hingga 23 Mei 2013.
Saya ingin mengajukan soalan kepada
pihak berkenaan sama ada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Kementerian
Pelajaran:
i) Adakah guru yang mengajar arus
perdana tidak dibenarkan mengajar tingkatan enam kerana tiada surat pelantikan
guru akademik tingkatan enam?
ii) Berapa lamakah masa yang perlu
diambil untuk menggantikan seorang guru tingkatan enam yang bertukar dan pihak
manakah yang wajib menguruskan penempatan guru baharu tersebut, pihak JPN atau
kementerian?
iii) Bilakah sistem berpusat untuk
menempatkan pelajar tingkatan enam di sesebuah sekolah akan bermula sedangkan
hal ini telah dicanangkan sejak beberapa tahun lepas oleh kementerian?
Saya sebagai seorang pendidik dan
seorang ibu kepada pelajar, berasa terpanggil untuk menyuarakan hal ini.
Situasi ini akan berlarutan jika
tiada tindakan diambil dan yang teraniaya ialah pelajar dan yang dipersalahkan
pula nanti pastinya para guru. Masalah ini juga sedikit sebanyak akan menghakis
minat pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam.
Saya amat berharap agar isu ini
dapat ditangani segera kerana ketiadaan guru akan menyebabkan kesulitan kepada
semua pihak, sama ada di pihak pelajar, sekolah, JPN dan seterusnya nama baik
kementerian.
Sumber : Utusan Malaysia, 28/02/2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan