KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pelajar tingkatan enam yang menduduki
peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi sistem
modular dilihat memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan
sistem baharu itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
St. John mendapati, rata-rata pelajar mengakui sistem itu menyebabkan
mereka perlu menukar cara belajar dan berusaha lebih gigih menghabiskan
sukatan pelajaran mengikut penggal persekolahan.
Menurut Guru Pengajian Am SMK St. John, Mohd. Latun Nordin,
penyebab pelajar sukar membiasakan diri dengan sistem baharu itu
antaranya kerana masih terikut- ikut dengan sistem terminal sebelum ini.
"Mereka yang masih biasa dengan sistem terminal lebih cenderung
belajar pada saat-saat akhir, jadi mereka tidak akan sempat menguasai
sukatan pelajaran sebelum peperiksaan pada hujung setiap penggal.
"Jika mereka tidak ubah cara belajar mengikut keperluan sistem
modular, saya percaya mereka akan menghadapi kesukaran untuk cemerlang
dalam STPM," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Di bawah sistem modular yang dilaksanakan bagi sesi 2012/2013 itu,
pelajar tingkatan enam akan menjalani pengajian tiga penggal untuk
mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke institusi
pengajian tinggi mengikut sistem merit.
Sebanyak 67,202 calon terlibat dalam peperiksaan STPM di 771 pusat
peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini sehingga Khamis ini
dengan menggunakan sistem baharu itu.
Bagi calon STPM, Mohammad Yusri Azis, 19, walaupun masih belum dapat membiasakan diri dengan sistem berkenaan namun usaha kerajaan itu masih dianggap baik.
"Sistem ini bagus, memudahkan pelajar untuk belajar secara sistematik
dan tidak membebankan pelajar dengan hanya perlu fokus terhadap sukatan
pelajaran yang dibahagikan kepada tiga penggal," katanya.
Pelajar Tingkatan Enam Kemanusiaan Dua Program Pendidikan Khas
Integrasi ini turut mencadangkan agar masa tambahan diberikan kepada
pelajar pendidikan khas memandangkan mereka memerlukan kemudahan lain
bagi menjawab soalan peperiksaan.
Rakannya, Lim Teck Zhao, 18, yang bersetuju dengan pendapat
Mohammad Yusri berkata, lanjutan tempoh menjawab soalan bagi pelajar
pendidikan khas dapat memudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan
berdasarkan sukatan pelajaran yang agak padat terutamanya pada penggal
pertama persekolahan.
"Kami menjawab dalam format berbeza, saya rasa tidak salah sekiranya
pihak kementerian dapat membuat pertimbangan bagi membantu pelajar
seperti kami," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan