Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my
Subjek Sejarah sememangnya penting dalam
mana-sama sistem pendidikan di seluruh dunia kerana selain bersifat
pembelajaran, mata pelajaran itu berupaya mendidik murid untuk menerima
hakikat jati diri mereka terhadap negara.
Sikap tidak menghormati perlembagaan negara yang ditimbulkan oleh
sesetengah rakyat sejak kebelakangan ini mendorong Kementerian
Pendidikan mengkaji 'kekuatan' mata pelajaran Sejarah sekali gus
memperkasakannya di kalangan murid dan generasi muda hari ini.
Faktor ini sekali gus mendorong kementerian mewajibkan mata pelajaran
Sejarah lulus di peringkat sekolah iaitu wajib lulus dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun ini.
Pengarah Bahagian Kurikulum Kementerian Pendidikan, Dr. Masnah Ali
Muda berkata, usaha memperkasakan mata pelajaran Sejarah di semua aliran
sekolah menengah mencakupi sejarah kuno, pra moden dan moden dalam skop
dasar, politik dan kenegaraan.
Malah, menurutnya, sistem pendidikan negara bermula tahun 1989
menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai teras dalam Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di semua sekolah kerajaan.
''Yang mana subjek Sejarah wajib dipelajari oleh semua murid secara
berterusan selama lima tahun bermula daripada tingkatan 1 hingga
tingkatan 5 dan bertujuan meningkatkan pengetahuan sejarah negara.
''Di samping itu, usaha tersebut adalah bagi pemupukan nilai
patriotisme untuk membentuk keperibadian yang tinggi dan menanamkan
semangat cinta kepada negara,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Pada masa yang sama, ujar Masnah, Kurikulum Sejarah KBSM disusun
secara bersepadu merangkumi unsur-unsur ilmu (kandungan), kemahiran
(kemahiran Pemikiran Sejarah) dan penerapan nilai patriotisme.
Kata Masnah, Hal ini demikian supaya selari dengan aspirasi Falsafah
Pendidikan Negara dan matlamat pendidikan iaitu ke arah membangunkan
individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
''Kita juga sedang dalam usaha melakukan transformasi kurikulum
Sejarah yang akan dilaksanakan mulai 2014 di sekolah rendah melalui
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM) untuk sekolah menengah mulai 2017.
''Mata pelajaran Sejarah diajar sebagai mata pelajaran teras kepada murid sekolah rendah pada Tahap II bermula di Tahun 4.
"Sejarah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah dengan menekankan
kepada pembangunan sahsiah murid, pemupukan nilai-nilai keperibadian
mulia dan semangat kewarganegaraan,'' jelas beliau.
Beliau memberitahu, kandungan kurikulum di peringkat sekolah rendah
juga mencakupi sejarah awal negara sehingga kini, bertujuan menanam
minat murid terhadap sejarah dan menyediakan murid menghadapi cabaran
masa depan.
"Fokus utama kurikulum Sejarah dalam KSSM adalah pengetahuan dan
pemahaman Sejarah Malaysia, Pembinaan Negara Bangsa dan Sejarah Negara
Luar," ujarnya.
Tambah Masnah, pengkajian sejarah bermula dari zaman prasejarah
sehingga masa kini yang disusun berdasar rentetan peristiwa mengikut
pendekatan kronologi manakala aspek sejarah negara luar pula dikaji
supaya murid mendapat gambaran besar tentang peristiwa sejarah negara
berdasarkan garis masa.
''Aspek ini dimasukkan dengan tujuan supaya murid mempunyai
perspektif yang lebih luas tentang proses perkembangan masyarakat dan
negara serta melihat secara perbandingan akan sejarah dalam dan luar
negara.
"Seterusnya memupuk rasa bangga tentang warisan dan kejayaan negara
ke arah pemantapan semangat perpaduan dan patriotisme,'' katanya.
Melalui pendidikan Sejarah, beliau berharap, murid-murid dapat
menjadikan elemen sejarah sebagai pengajaran dan iktibar untuk membina
kesedaran kebangsaan di samping semangat cinta akan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan