Oleh Nurul Halawati Azhari
PUTRAJAYA (Bernama) -- Suatu ketika dahulu, tumpuan terhadap
pencapaian dalam bidang kemahiran dipandang sepi oleh banyak pihak
kerana berpendapat kecemerlangan dalam bidang akademik lebih menjamin
masa hadapan dan dipandang tinggi.
Maka berlumba-lumbalah ibu bapa, pendidik dan anggota masyarakat
meletakkan sasaran dan harapan yang amat tinggi terhadap anak terutama
remaja yang dilihat berpotensi dalam bidang akademik. Sehingga terlupa
atau menidakkan mereka yang dilihat tidak menyerlah dalam pencapaian
akademik.
Hakikatnya negara bukan sahaja memerlukan modal insan yang berjaya
dalam bidang akademik malahan memerlukan sumber manusia dan modal insan
berkemahiran tinggi untuk membangunkan ekonomi Malaysia.
Justeru tumpuan kini semakin dipertingkatkan dalam mempromosi institusi
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) di dalam negara.
Langkah berkenaan terbukti berjaya melahirkan sumber manusia dari
kalangan belia berkemahiran tinggi.
Menurut Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber
Manusia Datuk Dr Pang Chau Leong kualiti latihan kemahiran di negara ini
begitu tinggi dan telah menjadi satu pilihan kerjaya yang baik daripada
bidang akademik.
"Kita mahu meyakinkan masyarakat supaya tidak memandang sipi pada
latihan kemahiran. Dahulunya bidang kemahiran sering dikatakan tidak ada
harapan. Kita kena tolak ke tepi pandangan sedemikian.
"Malah daripada 3.3 juta peluang pekerjaan baru yang akan wujud pada
tahun 2020, 40 peratus daripadanya memerlukan kelayakan kemahiran dan
vokasional yang tinggi," jelas Pang.
KEMAHIRAN TINGGI UNTUK MAJU
Selain memenuhi keperluan industri menjelang negara bergelar negara
maju, mereka yang memiliki kemahiran yang bertaraf dunia juga boleh
menarik pelabur asing menyertai bidang berteknologi tinggi.
Malah ia turut menyumbang kepada matlamat untuk menjadi negara yang
berpendapatan tinggi jika pekerja-pekerja tempatan memiliki kemahiran
yang tinggi serta berjaya menarik lebih ramai pelabur asing.
Antara usaha bagi memperkenalkan tahap pencapaian kemahiran negara yang
tinggi, Malaysia turut menghantar peserta ke pertandingan-pertandingan
kemahiran bertaraf dunia.
Menurut Pang ia bukanlah untuk 'syok sendiri' tetapi dengan menghantar
peserta ke pertandingan-pertandingan kemahiran di peringkat antarabangsa
seperti World Skills Competition (WSC) dan Asean Skills Competition
(ASC), ia boleh dianggap sebagai penanda aras tahap latihan TEVT di
Malaysia di samping mencari jalan mengisi lompong yang masih wujud.
"Ini kerana, pertandingan-pertandingan sedemikian memberi ruang dan
peluang kita bersaing dengan negara-negara maju. Jika ingin jadi negara
maju ertinya kita kena bersaing dengan mereka. Kita sudah melepasi tahap
sebagai negara membangun, sekarang yang kita kejar adalah untuk menjadi
negara maju," ujarnya.
Penyertaan negara bukanlah sekadar mengambil bahagian tetapi juga
sebagai pencetus kepada industri supaya mengiktiraf bidang kemahiran
sebagai satu bidang yang dihormati dan mempunyai masa depan yang cerah.
JIKA INGIN PILIH PROFESION KEMAHIRAN
Di Malaysia terdapat lebih 1,000 pusat kemahiran bertauliah yang dibuka
di seluruh negara. Malah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPKM)
memantau dan menjaga standard kualiti pusat-pusat berkenaan supaya dapat
mengeluarkan sumber manusia yang memenuhi keperluan pasaran.
Ia turut menyediakan maklumat buat belia dan lepasan sekolah menengah
jika masih tercari-cari ruang atau bidang yang bersesuaian dengan minat
mereka, JPKM turut menyediakan portal www.iwant2be.my untuk dilayari.
Portal iwant2b adalah untuk menggalakkan belia mengikuti pendidikan teknikal atau vokasional sebelum memasuki pasaran kerja.
Ia merencanakan laluan kerjaya kepada pelajar untuk merancang dan meningkatkan kemahiran pembangunan kerjaya mereka.
Dalam laman web itu, ada ujian yang boleh membimbing lepasan sekolah
dan belia dari segi keupayaan mereka dan akan dibawa ke satu laluan.
Portal ini telah direka untuk menarik generasi muda dan mempunyai ujian
personaliti psikometrik untuk membantu kesesuaian padanan kerjaya.
Menurut Pang, ia satu daripada komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan
untuk memastikan tenaga kerja masa depan negara mencapai kemahiran dan
produktiviti untuk menarik gaji yang lebih tinggi.
Portal iwant2be adalah projek di bawah pendidikan Bidang Ekonomi Utama
Negara (NKEA) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) pembangunan
modal insan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Ia adalah kerjasama antara Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian
Sumber Manusia, PEMANDU dan Information Broadcasting Network (M) Sdn Bhd
(IBN), penerbit Pilihan Kerjaya dan Pembangunan dalam Profesion
Kemahiran, Panduan Direktori Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional
di Malaysia.
UBAH PERSEPSI
Selain itu, Pang berharap agar TEVT tidak lagi menjadi pilihan kedua
atau terakhir untuk para pelajar yang rendah prestasi akademiknya.
"Malah ia akan menjadi pilihan utama para pelajar cemerlang di negara kita seperti mana yang berlaku di negara maju," katanya.
Dengan perubahan persepsi itu, diharap ramai orang muda Malaysia yang
berpotensi terlibat dalam latihan berasaskan kemahiran tinggi di samping
dapat mewujudkan pekerjaan mahir.
Antara bidang industri yang sentiasa memerlukan tenaga kerja
berkemahiran adalah industri pengangkutan,pemesinan dan peralatan,
bangunan dan pembinaan bioteknologi,teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT), elektrikal dan elektronik serta telekomunikasi dan penyiaran.
Industri berkenaan sentiasa memerlukan khidmat mereka yang berkemahiran
sebagai juruelektrik, jurukimpal paip dan gas, jurufoundri,juruteknik
jentera perindustrian, pengaturcara 'computer numerical control'(CNC),
penjaga jentera serta penolong jurutera elektrik dengan tawaran gaji
yang berpatutan.
Dalam sedikit masa lagi, bidang kemahiran bakal menjadi bidang pilihan
utama lebih-lebih lagi Malaysia bakal mencapai taraf negara maju. Ketika
itu, kerajaan turut mengharapkan negara juga bersedia dengan sumber
manusia dan modal insan dalam bidang-bidang berkenaan.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan