Oleh: PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia
Laungan ini disahut oleh penduduk Tanah Melayu yang bersama-sama
dengan Tunku yang berasa sungguh terharu dan amat gembira akhirnya Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan selepas beratus tahun di bawah penjajah
asing. Tiada kata yang dapat diucapkan untuk menggambarkan kegembiraan
mereka.
Jasa mereka kepada kita cukup besar. Rata-rata mereka yang berada di
Stadium Merdeka ketika itu sudah berusia dan ramai di antaranya sudah
meninggalkan kita.
Namun, legasi perjuangan mereka diamanahkan kepada kita. Pembangunan
dan kemajuan yang dikecapi kita adalah hasil daripada penat lelah
mereka. Mereka sanggup berjuang sehingga ke titisan darah terakhir demi
anak dan cucu cicit mereka. Mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Mereka berjuang semata-mata untuk kebahagiaan kita.
Namun, adakah kita benar-benar menghayati erti kemerdekaan atas
perjuangan mereka selama ini? Selama 56 tahun, kita masih membincangkan
perkara yang sama.
Isu bahasa yang tidak putus-putus diperbincangkan walhal secara jelas
Bahasa Melayu adalah bahasa utama negara. Kita lebih selesa bercakap
dalam Bahasa Inggeris, kononnya Bahasa Inggeris bahasa hebat. Dari satu
sudut kita terlalu mengagung-agungkan barat. Budaya mereka menjadi
ikutan. Hak asasi manusia diheboh-hebohkan sebagai cara hidup moden.
Kita anggap Barat cukup hebat.
Dahulu secara terang-terangan kita memanggil penjajah sebagai tuan,
kita menghormati mereka seolah-olah mereka tuan kita di tanah air kita
sendiri. Kini, meskipun kita tidak memanggil mereka tuan, tetapi cara
hidup kita masih dijajah oleh mereka. Pemikiran pluralisme dan
liberalisme dibawa masuk ke negara kita. Kita mengatakan pemikiran
sebegini tidak kolot manakala pemikiran dan budaya nenek moyang kita
terlalu kolot untuk diamalkan.
Kita berasakan kita cukup bijak dengan bersuara apa sahaja tanpa
batasan. Apa sahaja yang ingin disuarakan diperdebatkan secara terbuka
tanpa memikirkan perasaan kaum lain. Kononnya, itu adalah demokratik.
Kita terlupa apabila orang lain bercakap mengenai kaum kita, kita pula
cepat melenting. Kononnya itu perkauman. Tetapi apabila kita menyentuh
hal kaum lain, itu adalah hak kebebasan bersuara.
Adakah rakyat kita semakin keliru selepas 56 tahun merdeka?
Polarisasi kaum semakin melebar. Masing-masing ingin menegakkan
pendidikan kaum sendiri. Bagaimana kita mahu bersatu padu apabila kita
sendiri mengajar anak kita berpecah belah sejak kecil lagi?
Kita juga cukup marah apabila Barat cuba masuk campur urusan negara
kita secara terang-terangan tetapi mudah pula kita lupa betapa Barat
sudah lama menjajah kita secara tersirat dan halus.
Budaya hendonisme berteraskan Barat telah lama meresapi budaya kita.
Kita sanggup menghadirkan diri untuk berseronok apabila adanya
artis-artis mereka datang membuat konsert tetapi tidak ramai yang
sanggup mendengar ceramah-ceramah ilmu yang disampaikan oleh rakyat kita
sendiri.
Dalam hal ekonomi dan perniagaan, kita lebih yakin dengan tenaga
pakar asing berbanding rakyat kita sendiri. Sanggup membayar gaji mereka
berkali-kali ganda berbanding rakyat kita. Bagi kita, mereka mempunyai
pelbagai formula untuk membawa keuntungan kepada syarikat dan
perniagaan. Tenaga pakar kita pula dianggap sebagai kelas kedua.
Bakat-bakat tempatan dipandang sebelah mata sedangkan negara lain
sentiasa mengintai tenaga pakar kita. Rakyat kita sendiri diktiraf oleh
negara asing tetapi kita pula berasakan bakat-bakat asing lebih hebat
berbanding bakat tempatan. Ini menggambarkan betapa minda kita masih
terjajah.
Sememangnya taraf hidup rakyat Malaysia semakin baik. Dahulu, sungguh
sukar untuk menjamah makanan secara bermewah-mewahan. Kini, cukup mudah
kita menjamah makanan yang memenuhi selera dan nafsu makan kita. Ambil
contoh, semasa rumah terbuka diadakan sempena menyambut Hari Raya
Aidilfitri, betapa mewahnya kita menikmati makanan, tetapi berapa
ramaikah kita bersyukur dengan kemewahan tersebut? Pembaziran berlaku di
sana sini. Sampah makanan bertimbun angkara makanan yang tidak habis di
makan. Kita terlupa betapa ramainya penduduk dunia yang kebuluran.
Tidak cukup makan dan ada di antara mereka hanya tinggal tulang rangka
semata-mata.
Lebih teruk lagi mereka sedang bertarung dengan kematian. Kita hanya
sedar apabila gambar-gambar mereka dipaparkan di dada akhbar dan
ditayangkan di televisyen, tetapi selepas itu mudah sahaja kita lupa
kesengsaraan dan penderitaan yang mereka alami.
Kita terlupa bahawa kemewahan yang kita kecapi ini bukan sahaja
perjuangan kemerdekaan oleh generasi terdahulu tetapi juga kurniaan yang
Maha Esa, Allah SWT. Generasi muda celik-celik mata sahaja terus
menikmati kesenangan ini.
Malangnya, kita semakin materialistik dan mementingkan diri sendiri.
Tidak pedulikan kesengsaraan dan penderitaan orang lain. Kita
terkejar-kejar dengan harta dan menjadi hamba kepada wang ringgit
sehingga kita mengabaikan tujuan kita dilahirkan di dunia ini iaitu
untuk menghambakan diri hanya kerana Allah SWT.
Kita salahkan anak-anak muda kerana tidak beradab tetapi kita terlupa
betapa masa terlalu penting untuk kita mengejar kekayaan dunia.
Segala-galanya ingin dibayar dengan wang ringgit walhal keikhlasan itu
menenangkan hati kita. Kekayaan dunia melalaikan kita.
Jangan sampai nikmat ini ditarik oleh yang Maha Esa hanya kerana kita
tidak bersyukur dengan kurniaan-Nya. Hayatilah kemerdekaan yang kita
nikmati ini dengan penuh tawaduk dan rasa syukur kerana ia mungkin
datang hanya sekali sahaja. Semoga Malaysia kekal aman, makmur dan
dirahmati oleh-NYA. Amin.
Sumber : Utusan Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan