SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

19 Januari 2013

Jangan dianaktirikan pengurusan tingkatan enam


TINGKATAN enam telah melalui fasa pembaharuan dalam perjalanan pengurusan pada tahun lalu. Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baharu telah diperkenalkan menggantikan STPM lama yang bersifat terminal.
Langkah yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran ini adalah langkah yang baik dan disokong penuh. Namun malangnya, keadaan dan situasi pengurusan tingkatan enam masih pada tahap lama.
Pengurusan tingkatan enam ketika ini seperti mengharapkan belas ihsan arus perdana untuk terus hidup. Masalah ini bertambah apabila pengurusan tingkatan enam tidak difahami oleh sesetengah pengetua yang menganggap tingkatan enam hanya seperti melukut di tepi gantang.
Pelajar tingkatan enam dilayan setaraf pelajar tingkatan lima. Pelbagai peraturan dilaksanakan umpamanya tidak boleh membawa komputer riba, melayari internet, jadual waktu mengikut arus perdana dan pelbagai lagi peraturan yang tidak menyokong pengurusan tingkatan enam itu sendiri.
Selain itu, pelajar tingkatan enam dipaksa mengikuti program kokurikulum.
Persoalannya, dengan pentaksiran baru mengikut kerja kursus sepatutnya pelajar tingkatan enam diberi kebebasan untuk bergerak bebas dalam ruang lingkup pelajaran dan pembelajaran, jadual waktu dan kokurikulum berasingan seperti yang termaktub dalam pekeliling pengurusan tingkatan enam.
Sekiranya ini tidak dilaksanakan, bagaimana pelajar hendak menghadapi STPM baharu ini dengan jayanya? Program Pemusatan Tingkatan Enam seperti yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran seperti sudah tenggelam dan tidak dibicarakan lagi.
Sewajarnya, pihak kementerian proaktif dalam hal ini dan jangan biarkan perkara ini berlaku.
Jangan biarkan pengurusan tingkatan enam seperti entiti yang tidak dikehendaki di sekolah. Sudahlah diberi kelas yang paling buruk, para guru kami pula dipaksa mengajar tingkatan 1 sehingga 5.
Jadi persoalannya, bila kami dapat menyiapkan kerja kursus bagi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) untuk tingkatan enam yang perlu disiapkan pada April ini yang juga memerlukan kami membentangkan hasilan kerja kursus tersebut sedangkan guru kami juga dibebankan dengan tugasan arus perdana?
Kenapa pekeliling pengurusan tingkatan enam yang dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Pelajaran diabaikan di peringkat sekolah?
Pegawai di kementerian sepatutnya memantau sekolah-sekolah yang mempunyai tingkatan enam. Pastikan sama ada pengetua di sekolah berkenaan mematuhi pekeliling tersebut atau melayan pekeliling pengurusan berkenaan sekadar "melepaskan betuk di tangga".
Kenapa tidak diasingkan terus tingkatan enam dari arus perdana? Kenapa dibiarkan masalah ini berlaku?
Harapan kami sebagai pelajar tingkatan enam agar Bahagian Pengurusan Tingkatan 6, Kementerian Pelajaran selalulah meninjau dan melawat sekolah-sekolah yang mempunyai tingkatan enam, lihatlah bagaimana pengurusan kami diabaikan dan dianaktirikan oleh pengurusan sekolah khasnya pengetua yang lebih mementingkan arus perdana.
Jangan biarkan perkara ini berpanjangan demi kecemerlangan kami sebagai anak bangsa dan negara yang perlu layanan sama adil seperti pelajar lain.
Semoga ada sinar untuk kami terus mendokong aspirasi kerajaan dalam menjenamakan semula tingkatan enam.
Jangan biarkan hasrat tersebut dikhianati oleh pengurusan sekolah khasnya pihak pengetua sekolah yang enggan mematuhi pekeliling yang dikeluarkan sendiri oleh kementarian.
Kasihanilah kami. Berilah kami pembelajaran yang kondusif dan tenteram sebelum kami menghadapi peperiksaan ini kerana STPM inilah peluang akhir kami dalam peperiksaan sebelum dapat melangkah ke universiti. Semoga sistem pendidikan kita terus cemerlang pada masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia, 17/01/2013

10 November 2012

Pelajar belum biasa sistem modular

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pelajar tingkatan enam yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi sistem modular dilihat memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan sistem baharu itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John mendapati, rata-rata pelajar mengakui sistem itu menyebabkan mereka perlu menukar cara belajar dan berusaha lebih gigih menghabiskan sukatan pelajaran mengikut penggal persekolahan.
Menurut Guru Pengajian Am SMK St. John, Mohd. Latun Nordin, penyebab pelajar sukar membiasakan diri dengan sistem baharu itu antaranya kerana masih terikut- ikut dengan sistem terminal sebelum ini.
"Mereka yang masih biasa dengan sistem terminal lebih cenderung belajar pada saat-saat akhir, jadi mereka tidak akan sempat menguasai sukatan pelajaran sebelum peperiksaan pada hujung setiap penggal.
"Jika mereka tidak ubah cara belajar mengikut keperluan sistem modular, saya percaya mereka akan menghadapi kesukaran untuk cemerlang dalam STPM," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Di bawah sistem modular yang dilaksanakan bagi sesi 2012/2013 itu, pelajar tingkatan enam akan menjalani pengajian tiga penggal untuk mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mengikut sistem merit.
Sebanyak 67,202 calon terlibat dalam peperiksaan STPM di 771 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini sehingga Khamis ini dengan menggunakan sistem baharu itu.
Bagi calon STPM, Mohammad Yusri Azis, 19, walaupun masih belum dapat membiasakan diri dengan sistem berkenaan namun usaha kerajaan itu masih dianggap baik.
"Sistem ini bagus, memudahkan pelajar untuk belajar secara sistematik dan tidak membebankan pelajar dengan hanya perlu fokus terhadap sukatan pelajaran yang dibahagikan kepada tiga penggal," katanya.
Pelajar Tingkatan Enam Kemanusiaan Dua Program Pendidikan Khas Integrasi ini turut mencadangkan agar masa tambahan diberikan kepada pelajar pendidikan khas memandangkan mereka memerlukan kemudahan lain bagi menjawab soalan peperiksaan.
Rakannya, Lim Teck Zhao, 18, yang bersetuju dengan pendapat Mohammad Yusri berkata, lanjutan tempoh menjawab soalan bagi pelajar pendidikan khas dapat memudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan berdasarkan sukatan pelajaran yang agak padat terutamanya pada penggal pertama persekolahan.
"Kami menjawab dalam format berbeza, saya rasa tidak salah sekiranya pihak kementerian dapat membuat pertimbangan bagi membantu pelajar seperti kami," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 06/11/2012

4 Ogos 2012

Tingkatkan martabat tingkatan enam



SISTEM pendidikan negara sedang melalui proses penambahbaikan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan. Saya melihat ia merupakan satu pendekatan positif untuk dijadikan motivasi kepada kalangan murid dan pelajar yang sedang melalui alam persekolahan, lebih-lebih lagi bagi kalangan pelajar tingkatan enam bawah dan atas (Pra-U bawah dan atas).
Banyak pihak mula membangkitkan mengenai isu kalangan pelajar Pra-U ini yang mula hilang minat untuk meneruskan pengajian mereka kerana beranggapan status mereka tiada bezanya dengan pelajar-pelajar arus perdana, tingkatan satu hingga tingkatan lima.
Mereka merasakan bahawa mereka hanya seperti pelajar sekolah biasa sedangkan mereka melalui kaedah pembelajaran secara semester dan setaraf dengan pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi yang lain. Selain itu, taraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal mereka miliki patut setaraf dengan diploma yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi.
Bagi memastikan keberkesanan sistem pendidikan Pra-U ini agar lebih produktif dan berkualiti, pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil pendekatan pro-aktif dengan menyediakan sistem pengurusan yang berasingan dengan sistem pengurusan persekolahan arus perdana.
Ini dibuat melalui pewujudan jawatan khas penolong kanan dan guru-guru khas yang berpengalaman untuk mengajar tingkatan enam. Langkah ini diyakini mampu menghasilkan natijah yang baik untuk masa depan pelajar-pelajar Pra-U.
Sehubungan itu, bagi menarik minat kalangan pelajar-pelajar Pra-U ini untuk meneruskan pengajian mereka, adalah lebih baik jika mereka ini dilayan sebagaimana pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi, walaupun pada dasarnya mereka belajar di sekolah biasa.
Berilah peluang kepada kalangan pelajar Pra-U ini untuk menghadiri kelas harian mereka tanpa memakai pakaian seragam sekolah bagi membezakan mereka bukanlah pelajar sekolah arus perdana.
Berilah kelonggaran kepada pelajar ini untuk memakai pakaian yang kemas seperti memakai seluar slack, berkemeja biasa atau baju T berkolar serta berkasut hitam. Yang penting mereka diwajibkan berpakaian kemas sewaktu menghadiri kuliah di kelas.
Jumlah pelajar juga harus ditetapkan dalam kalangan 30 orang dalam satu-satu kelas bagi memastikan tumpuan guru dan murid lebih sempurna demi menghasilkan pelajar yang berkualiti dan terbaik.
Sehubungan itu, pihak Kementerian Pelajaran perlu memastikan jumlah guru yang mencukupi sementara pihak pengurusan sekolah tidak menugaskan guru-guru yang mengajar kelas-kelas Pra-U untuk turut mengajar pelajar-pelajar arus perdana.
Saya sangat yakin, jika langkah drastik ini dapat dilaksanakan secara beransur-ansur, ia mampu menarik semula minat kalangan pelajar Pra-U untuk meneruskan pengajian mereka.
Pada waktu yang sama mampu menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar arus perdana untuk meneruskan pengajian mereka dalam pengajian Pra-U atau tingkatan enam bawah dan atas.

Sumber : Utusan Malaysia,  31/07/2012

14 Julai 2012

Pendidikan Tingkatan Enam Akan Lalui Penjenamaan Semula - TPM


YOGYAKARTA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah-langkah yang akan diambil ialah memisahkan para pelajar berkenaan dari sekolah-sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat-pusat pengajian khas untuk tingkatan enam.
"Kami sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam, menggunakan pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak sama, kategori yang lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah biasa)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Khamis.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak semalam kerana menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya yang berakhir hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan itu, pelajar-pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat-pusat pengajian khas kerana bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam satu atau dua kelas di sekolah-sekolah tertentu.
Pada tahun ini, ada sejumlah 83,000 pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara.
Langkah untuk memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa juga selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar pra universiti.
"Umum pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam adalah kesinambungan daripada pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka di tingkatan enam adalah dalam kategori yang berbeza dan lebih matang daripada segi pemikiran," katanya.
Muhyiddin berkata penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihat bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan pra universiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran universiti-universiti awam tempatan.
Persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi adalah lebih baik daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke universiti awam adalah sama.
Masyarakat, katanya, tidak harus melihat bahawa pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya, pencapaian pelajar tingkatan enam malah lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.
Sehubungan itu pelajar-pelajar lepasan SPM harus juga melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga merupakan antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra universiti.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan tingkatan enam telahpun dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga semester namun secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian mereka enam bulan lebih awal.
Ditanya tentang kemungkinan pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal supaya bersamaan dengan tempoh pembelajaran di kolej matrikulasi, beliau berkata perkara itu akan dikaji oleh Kementerian Pelajaran.
Muhyiddin hari ini berlepas ke Bali untuk meneruskan lawatan enam hari ke Indonesia sejak 3 Julai lalu dalam rangka meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk berbincang dengan Naib Presiden Indonesia Boediono mengenai isu-isu dua hala antara kedua negara, khususnya yang berkaitan dengan tenaga kerja, masalah di kawasan sempadan maritim yang dipertikaikan serta masalah budaya masyarakat. BERNAMA

21 April 2012

Hapuskan pakaian seragam di tingkatan enam


KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah mengambil suatu inisiatif yang positif pada tahun ini, iaitu memperkenalkan Sistem Pentaksiran Baharu peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia bagi pengajian pelajar tingkatan enam.
Melihat kepada pembaharuan yang dibuat oleh KPM melalui agensi yang bertanggungjawab dalam hal menyediakan kurikulum dan sistem peperiksaannya, iaitu MPM rata-rata masyarakat menerimanya dengan hati terbuka.
Pengajian dipermudah kepada pelajar, iaitu kurikulum dibahagikan kepada tiga penggal pengajian dengan setiap penggal mempunyai peperiksaan yang sendiri. Ini bermakna pelajar tidak perlu lagi mempelajari kurikulum itu untuk tiga penggal dan menghadapi peperiksaan STPM pada akhir penggal pengajian. Bentuk pengajian ini selari dengan amalan dalam kolej matrikulasi dan pengajian pada peringkat diploma. Bebanan pelajar menjadi kurang dan lebih mesra pelajar.
Diharapkan dengan transformasi seumpama ini pengajian tingkatan enam akan kembali mendapat sambutan daripada pelajar.
Pengajian tingkatan enam merupakan pengajian yang paling murah sebenar. Ibu bapa tidak perlu keluarkan wang yang banyak untuk membayar yuran pengajian kerana yurannya ditanggung oleh kerajaan.
Tempat tinggal juga tidak menjadi bebanan kepada ibu bapa untuk menyediakan bajetnya kerana rata-rata pelajar boleh tinggal di rumah lantaran sekolah bertingkatan enam ada dalam daerah masing-masing.
Bagaimanapun, satu perkara yang mengekang kemasukan pelajar yang ramai ke pengajian tingkatan enam ialah isu pemakaian pakaian sekolah oleh pelajar tingkatan enam.
Isu inilah sebenarnya yang menghalang ramai pelajar untuk tidak meneruskan pengajian ke tingkatan enam.
Walaupun kurikulumnya mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, dan sebagainya soal berpakaian seragam sekolah kepada pelajar yang sudah memasuki usia 18 hingga 20 tahun dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.
Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu untuk memakai pakaian sekolah sama seperti adik-adiknya yang berusia 17 tahun ke bawah.
Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu. Dalam usia 18 hingga 20 tahun mereka merasa malu untuk dilihat seperti murid berusia 17 tahun ke bawah.
Rata-rata rakan seusianya yang belajar di tempat lain, seperti di kolej matrikulasi, politeknik dan universiti sudah tidak memakai pakaian seragam.
Hal ini boleh menimbulkan rasa rendah diri di kalangan mereka. Jika pihak KPM berjaya mengubah dasar ini, diyakini ramai ibu bapa akan menyokongnya kerana mereka sedar pengajian tingkatan enam ialah pengajian yang paling murah sebenarnya berbanding dengan pengajian lain.
Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sama ada melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atau Bahagian Kokurikulum (jika bahagian ini bertanggungjawab dalam menetapkan dasar pakaian sekolah) harus memahami aspek psikologi pelajar jika ingin melihat lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di tingkatan enam.
Ubahlah dasar ini kepada dasar yang membolehkan pelajar tingkatan enam tidak lagi berpakaian seragam sekolah seperti sekarang tetapi memadailah jika mereka dibenarkan memakai seluar panjang berwarna gelap sama ada berwarna hitam atau hitam biru, berbaju kemeja tanpa mengira warna, berstoking gelap, dan berkasut kulit hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan sama sekali. Dengan perubahan yang sedemikian diyakini lebih ramai pelajar akan mengikuti pengajian di tingkatan enam.

Sumber : Utusan Malaysia, 17/04/2012