Cadangan mewujudkan Kolej Tingkatan
Enam (KTE) saban tahun dilontarkan oleh pelbagai pihak yang menujukkan betapa
satu tranformasi pendidikan di peringkat pra-universiti wajar diberi perhatian.
Namun belum ada kesudahan sehingga saat ini.
Tidak ramai mengetahui bahawa KTE
telah pun wujud dan berusia 22 tahun pada 30 Jun 2013 lalu. Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) pada ketika itu telah menubuhkan KTE dengan memilih
calon-calon mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) 1990.
Tujuan utama penubuhan kolej ini
untuk membolehkan pelajar bumiputera yang mencapai kelulusan cemerlang di dalam
peperiksaan SPM mengikuti program STPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke
universiti tempatan di dalam bidang Perakaunan, Ekonomi, Pengurusan Perniagaan
dan Undang-Undang.
Kumpulan pertama memulakan pengajian
bermula 30 Jun 1991 bertempat di dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains
Muar, Muar (SMS Muar) (aliran ekonomi dan undang-undang) dan Sekolah Menengah
Sains Muzaffar Syah, Air Keroh, Melaka (aliran perakaunan dan pengurusan
perniagaan).
Pemilihan mereka diselaraskan oleh
Unit Pusat Universiti (UPU) dengan menggunakan kriteria sama seperti
pengambilan calon ke program lain bagi lepasan SPM. Pengambilan kumpulan kedua
dan ketiga telah diteruskan selepas itu sehinggalah ia dihentikan pada tahun
1994.
Kajian Pengesanan lepasan kolej ini
pada 2012, khasnya kepada kumpulan pertama dan kedua, menunjukkan rata-rata
mereka kini telah berjaya cemerlang dalam bidang masing-masing termasuk menjadi
Penolong Peguamcara Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Pengarah di Jabatan
Ketua Menteri Melaka, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, peguam, pensyarah, guru
dan pegawai kerajaan.
Dua nama besar dalam industri
hiburan tanah air iaitu Julia Juhasu dan Hazil Izham Ismail merupakan bekas
pelajar kolej ini. Julia Juhasu merupakan Penerbit Eksekutif, Suhan Movie and
Trading. Nama beliau amat terkenal dalam penerbitan drama seperti Ku Milikmu,
Nigina mahupun rancangan Pilih Kasih keluaran Suhan Movie yang
ditunjangi oleh penerbit, Rosyam Noor. Manakala Hazil Izham Ismail merupakan Penyelaras
Penerbit Filem dan merupakan suami kepada pelakon Nadia Mustafa.
Bekas pelajar kumpulan pertama, Nor
Azrina Jaafar yang kini merupakan Pegawai di MIMOS adalah balu kepada
Allahyarham Noramfaizul Mohd. Noor, wartawan Bernama TV yang meninggal di
Somalia pada 3 September 2011.
Kebanyakan bekas pelajar kolej ini
telah memiliki pendidikan tertinggi termasuk mempunyai ijazah kedoktoran dan
sarjana serta memiliki tauliah peguambela dan peguamcara. Kajian juga mendapati
lebih 26 orang daripada kumpulan pertama dan kedua terlibat dalam profesion
guru dan pensyarah berbanding kerjaya lain.
Tegasnya di sini, jasa dan sumbangan
KTE dalam melahirkan modal insan yang berjaya sudah terserlah melalui testimoni
kerjaya bekas pelajar kolej ini.
Dengan penggabungan Kementerian
Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Kementerian Pendidikan
dilihat kena pada masanya terutama dalam memperkasakan pendidikan
pra-universiti khususnya pengajian tingkatan enam.
Kita perlu membuat tranformasi
dengan memastikan pengajian tingkatan enam tidak lagi berada dalam lingkungan
sekolah, sebaliknya perlu berdiri sebagai feeder kepada institusi
pengajian tinggi seperti juga program matrikulasi.
Dalam mengambil langkah luar kotak,
KTE boleh dijalankan di universiti awam. Iniasitif ini juga boleh diambil oleh
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pernah menjadi Maktab Perguruan
sebelum dinaik taraf kepada universiti bagi bergabung dengan institusi
perguruan seluruh negara untuk meningkatkan taraf pendidikan peringkat ini.
Sudah tiba masanya KTE dihidupkan
semula dengan pendekatan yang menguntungkan pendidikan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan