SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

27 Ogos 2013

Menghayati erti kemerdekaan dengan jiwa kenegaraan

 Oleh :DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

MERDEKA laungan keramat yang kita dengar apabila setiap kali tibanya 31 Ogos. Namun kalau sekadar melaungkan merdeka beberapa kali adakah cukup membuktikan kita memahami erti kemerdekaan sebenar? Jika hanya meletakkan bendera Malaysia di kereta, di rumah dan di mana-mana sahaja menjelang 31 Ogos, adakah situasi ini cukup membuktikan kita bersemangat patriotik?
Isu menterbalikkan bendera Malaysia, bendera dijadikan sebagai pakaian, merosakkan lirik lagu Negaraku, tidak menghormati lagu Negaraku semasa dinyanyikan, di mana sebenarnya jati diri anak-anak Malaysia?
Anak-anak muda hari ini kurang menghayati erti kemerdekaan kerana dilahirkan dalam era baharu dengan semuanya serba canggih dengan teknologi terkini. Dengan erti kata lain, tidak pernah mengalami kesusahan dan keperitan seperti yang pernah dialami datuk dan nenek moyang kita yang jauh di sanubari mereka mencintai Malaysia sepenuh jiwa dan raga.
Seorang warga Indonesia yang ditemui memberitahu, di negaranya semasa menyambut Hari Kemerdekaan adalah berbeza di Malaysia. Semua yang hadir hanya diberi makan ubi kayu dengan merasai suasana sambutan yang diadakan seolah-olah mereka berada di zaman penjajahan kerana pemimpin mahu mereka menjiwai suasana itu sendiri. Inilah yang kurangnya pada anak-anak Malaysia sebab lahir sahaja semua kemewahan telah berada di depan mata.
Remaja kini dikatakan kurang mengenali tokoh-tokoh yang berjasa dan yang telah banyak menabur bakti kepada negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong. Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja yang sepatutnya menjadikan tokoh-tokoh tersebut sebagai idola.
Seorang graduan yang dilahirkan perlu cintakan negara begitu juga rakyatnya dan saya bersetuju supaya subjek Kenegaraan Malaysia menjadi subjek wajib dan diketengahkan untuk mendedahkan kepada anak-anak kita erti kemerdekaan dan menghargai negara. Seronok belajar sejarah kerana sejarahlah membawa kita mengenal kehidupan.
Keprihatinan ini ditunjukkan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang bertitah meminta supaya kerajaan segera memperkenalkan subjek Kenegaraan bertujuan mendidik anak bangsa mengenai Perlembagaan dan melahirkan warganegara Malaysia yang memahami aspek perpaduan dan permuafakatan.
Dalam titah baginda dalam Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan baru-baru ini, baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.
Titah baginda, kanak-kanak perlu diasuh melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol negara seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.
'' Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam,'' titah baginda penuh amanat menyuntik semangat jiwa patriotisme yang tinggi.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan perlu dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotisme. Aktiviti-aktiviti yang bersemangat patriotisme yang harus diterapkan sepenuhnya dalam kalangan pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.
Media masa, sama ada media cetak, elektronik atau media baharu semuanya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kehidupan manusia sangat besar sehinggakan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen dan komputer.
Sehubungan itu, media masa wajar dijadikan alternatif paling berkesan bagi menyemai semangat patriotisme. Filem-filem bercorak patriotisme perlu diberi keutamaan seperti filem Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Hati Malaya, Paloh dan Embun.
Kita menanti perkembangan terkini pembikinan filem bertajuk Kanang Anak Langkau sebagai mengenang jasa mendiang Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dan menjadikan contoh kepada para pegawai dan anggota tentera lain. Filem Tanda Putera pula mewujudkan pelbagai spekulasi. Rasanya, penonton-penonton filem di Malaysia sudah semakin matang dan mampu menilai mesej ikhlas dari filem berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan mereka yang menonton wayang tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos 2013 akan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku sebelum tayangan filem di pawagam dan mungkin diteruskan hingga Hari Malaysia 16 September jika diluluskan nanti.
Penghayatan dalam lagu, puisi, sajak dan syair berkaitan dengan patriotisme bagi menyemai semangat cintakan negara perlu ada dalam diri anak muda. Ada segelintir remaja yang tidak memahami puisi, ketawa dan berjenaka semasa sesi mendeklamasikan sajak. Dan sedihnya, melihat situasi apabila pelajar-pelajar yang menyanyikan lagu Negaraku dengan lirik yang salah dan tidak berdiri tegak. Ibu bapa harus menjadi tunjang utama keluarga dan mengambil peranan dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan remaja khususnya cabaran ibu bapa yang masih muda.
Sajikan cerita-cerita rakyat yang berunsurkan sejarah untuk anak-anak mengenali warisan dan budaya. Semasa bercuti, bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah yang menarik di Malaysia. Bukankah - "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung"? Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Salam 1Hati.

Sumber : Utusan Online

23 Ogos 2013

Ilmu bina masa depan cemerlang

  Oleh : Mohammad Abdullah
 
Penguasaan pengetahuan perlu dimanfaat bangunkan masyarakat

Ketika memberi syarahannya yang bertajuk 'Sahsiah Intelektual Pemimpin Fikir Anjakan Paradigma Pembinaan Budaya Kecemerlangan' kepada kira-kira 2,000 orang mahasiswa baharu jarak jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid meminta agar mereka mempunyai 'ghairah ilmu' dan berusaha untuk menguasainya sebaik mungkin dalam menyiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan serta dapat membangunkan sahsiah intelektual dan maruah diri.
Katanya, hanya dengan ilmu pengetahuan seseorang itu berupaya untuk membangunkan kapasiti intelektualnya dan menjadikannya berbeza daripada mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan?

Penguasaan sesuatu bidang ilmu itu perlu disusuli dengan semangat cintakan negara yang utuh dan melihat kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam menjaga kesejahteraan sosial yang ada supaya tercapai hasrat pejuang yang ingin melihat kelangsungan negara pada masa hadapan terjamin dan berada pada landasan yang betul.

Keghairahan menuntut ilmu sememangnya amat ketara dan jelas dalam kalangan masyarakat. Lihat saja permohonan untuk mengikuti pengajian pada peringkat ijazah di semua universiti tahun ini. Di USM saja lebih 25,000 permohonan diterima untuk mengisi hanya 6,000 tempat termasuk untuk mengikuti pengajian secara jauh jauh.

Dapatkan ijazah

Walau pun keghairahan ini lebih tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan segulung ijazah sebagai tanda pengiktirafan terhadap penguasaan ilmu dan mencapai status ekonomi dan sosial yang baik, hakikatnya semua berlumba-lumba untuk mengikuti pengajian setinggi yang mungkin.

Malah beberapa minggu lalu, kegagalan untuk mendapat tempat di universiti dikaitkan dengan isu yang tidak relevan dan mula menuding jari terhadap banyak perkara, termasuk mempertikaikan mereka yang diterima masuk mengikuti pengajian berdasarkan persepsi dan prasangka. Ada yang juga yang sengaja bermain api perkauman dan membuat tuduhan berlakunya perkara di luar meritokrasi dalam membuat pemilihan berasaskan beberapa kejadian yang ditafsirkan sedemikian.
Sedangkan pada masa ini terdapat begitu ramai pelajar lepasan persekolahan termasuk matrikulasi yang mencapai kelulusan yang amat tinggi dan berlumba-lumba untuk mendapat tempat yang terhad. Persaingan ini bukan sekadar dalam kalangan sesuatu kaum secara khusus malah semua kaum termasuk anak Melayu yang mencapai keputusan sangat cemerlang.

Keghairahan menuntut ilmu ini adalah satu petanda betapa inilah antara nikmat kemerdekaan negara hasil perjuangan mereka yang terdahulu yang impikan tegaknya banyak menara ilmu yang dapat membantu melahirkan sumber manusia yang akan memajukan dalam mengikut acuan sendiri. Berdasarkan catatan penubuhan universiti, ternyata yang ingin ditegakkan ialah memastikan agar universiti melahirkan sumber manusia yang dapat menyumbang dalam pembinaan negara bangsa, pengekalan jati diri dalam acuan sendiri dan membangunkan masyarakat saintifik yang berdaya saing dengan pelbagai disiplin ilmunya.

Penguasaan sesuatu bidang ilmu itu perlu disusuli dengan semangat cintakan negara yang utuh dan melihat kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam menjaga kesejahteraan sosial yang ada supaya tercapai hasrat pejuang yang ingin melihat kelangsungan negara pada masa hadapan terjamin dan berada pada landasan yang betul.

Sebaliknya, jika keghairahan ini hanya untuk mendapat kesenangan peribadi dan menuding jari apabila tidak mendapatnya, maka laluan untuk mewujudkan masyarakat yang berpendidikan tinggi dengan set minda yang betul, sayangkan masyarakat dan negara, agak dan perlu diperbetulkan.

Justeru, seruan tokoh akademik seperti Profesor Ibrahim yang sudah lama bergelumang dalam dunia pendidikan harus diambil serius. Pengajian tinggi dan ilmu pengetahuan semestinya menjadi satu mekanisme utama untuk meningkatkan maruah diri, mematangkannya dengan pengalaman melalui interaksi sosial yang berterusan, perdebatan ilmiah, wacana ilmu dan komunikasi yang berkesan dengan melihat kepentingan negara dan masyarakat sebagai suatu asas penting untuk kelangsungan masa hadapan.

Kejayaan peribadi amat penting

Walau pun kejayaan peribadi itu amat penting sebagai asas untuk berbakti kepada masyarakat, kejayaan sebenar ialah apabila ia dapat dikongsi dan dimanfaatkan untuk melakukan perubahan yang diingini masyarakat, menghargai kebebasan, menggunakan imaginasi, kreativiti serta inovasi untuk meningkatkan daya saing dan mempertahankan keharmonian negara.

Kita sudah pun melihat bagaimana orang yang berilmu dan berijazah dengan pemikiran terbuka mempertikaikan sesetengah perkara yang menjadi asas dan teras keharmonian, menggunakan lesen kreatif untuk mempersendakan Jalur gemilang dan lagu Negaraku serta yang buta budaya dengan mempersendakan agama sehingga mengheret kepada perdebatan dan keributan dalam masyarakat.

Hakikatnya, ilmu pengetahuan, jati diri, kemerdekaan dan cintakan negara, etika, moral dan agama adalah asas untuk diintegrasikan sebagai teras kelestarian masa hadapan.

* Penulis ialah ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
 
Sumber : Berita Harian Online - 22/8/2013 

Perlembagaan simbol kemerdekaan

 Oleh : Shamrahayu A. Aziz

Keamanan negara perlu diutama

Sempena bulan merdeka ini saya mahu membawa pembaca untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai hubung kait antara kemerdekaan dan Perlembagaan. Walaupun perbincangan seperti ini sentiasa saja terdapat dalam tulisan saya sebelum ini, pada kali ini saya menumpukan kepada proses kemerdekaan dan hubung kaitnya dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi lambang kemerdekaan kita. Perbincangan ini berguna untuk kita segarkan kembali pemahaman kita dan seterusnya menambah baik pengetahuan berkaitan Perlembagaan dan kemerdekaan.
Kita faham bahawa merdeka memberi erti kebebasan fizikal dan juga kebebasan mental daripada sebarang bentuk penjajahan. Saya percaya kita sudah maklum dengan maksud kemerdekaan. Dan, saya tidak berniat membincangkan dengan terperinci berkaitan kebebasan minda dalam tulisan ini.


Perbincangan ini memerlukan fokus yang tersendiri dalam ruang lain. Dalam ruang terhad di sini saya mahu kongsikan sedikit daripada perkara berkaitan Perlembagaan dan kebebasan fizikal negara.

Perkara pertama yang begitu penting untuk kita ketahui dan hayati ialah Perlembagaan adalah simbol kemerdekaan negara. Perlembagaan juga adalah instrumen utama bagi mencapai kemerdekaan. Tanpa sebuah Perlembagaan yang diluluskan menerusi proses penggubalan dan perundangan yang sah, negara kita tidak akan diterima masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Untuk meletakkan nama Malaysia (atau ketika kemerdekaan 1957, Tanah Melayu) dalam peta dunia sebagai negara merdeka dan berdaulat, negara kita memerlukan Perlembagaan yang sah. Ini adalah kehendak dan amalan masyarakat antarabangsa.

Pelengkap perjuangan
Menerusi perjanjian kemerdekaan yang dimeterai selepas berlangsungnya Persidangan Perlembagaan di London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956 dan Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 serta Perlembagaan Persekutuan 1957 yang diluluskan oleh Parlimen British, dan seterusnya diluluskan juga oleh Majlis Perundangan Persekutuan, kita berjaya mencapai kemerdekaan.

Kita mengambil perhatian bahawa pelengkap utama kemerdekaan ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Oleh sebab itu kita katakan bahawa Perlembagaan adalah simbol kemerdekaan.

Kita harus mengambil iktibar mengenai proses penggubalan Perlembagaan dan juga proses rundingan kemerdekaan. Kita harus maklum, walaupun kemerdekaan dianugerahkan kepada kita menerusi rundingan yang tenang ini tidak bermaksud prosesnya mudah seumpama memetik jari.

Hakikatnya proses yang dikatakan tenang itu juga membabitkan tumpahnya darah pejuang negara. Hakikatnya juga kita mencapai kemerdekaan ketika dalam keadaan darurat. Apabila dikatakan ‘darurat’ ia sudah tentu tidak menggambarkan keadaan yang tenang sebagai mana yang sering kita ungkapkan sebagai ‘proses rundingan’ itu. Rundingan tenang itu menunjukkan sedikitnya tumpahan darah orang awam untuk kemerdekaan, tetapi hakikatnya perang gerila dan ancaman komunis begitu ketara ketika itu. Bukan tiada rakyat dan pasukan keselamatan yang terkorban ketika itu.

Cabaran kemerdekaan

Dalam keadaan darurat itu, beberapa pihak lain, selain Parti Perikatan yang bergerak bersama dengan Raja-Raja Melayu, cuba membawa negara ke arah kemerdekaan dengan cara mereka. Ada yang mahukan kemerdekaan bersama Indonesia dan ada juga mahu menjadikan negara sebagai sebuah republik sosialis.

Persaingan antara pihak-pihak ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dalam perjuangan kemerdekaan.

Calang-calang kebolehan pimpinan terdahulu yang beroleh keyakinan British untuk merdeka ketika negara dilanda darurat. Bukan calang-calang kepemimpinan juga yang berjaya mengekalkan kemerdekaan pada masa awal pengisytiharannya. Kapasiti dan kekuatan keselamatan kita tidak seberapa ketika itu, sedangkan ancaman darurat masih lagi ketara. Begitu juga perselisihan antara masyarakat Tanah Melayu sendiri.

Kita melihat banyak contoh negara di dunia yang masih gagal menangani masalah keselamatan walaupun sudah belasan, bahkan puluhan tahun mencapai kemerdekaan. Kita berjaya melepasi masa darurat hanya dalam masa tidak sampai tiga tahun dari tarikh kemerdekaan.

Kebijaksanaan rundingan berkaitan keselamatan Tanah Melayu dalam masa interim persetujuan kemerdekaan dan pengisytiharan sebenar kemerdekaan, serta masa awal kemerdekaan perlu kita teladani dalam menikmati kemerdekaan ini.

Pemahaman, penghayatan dan penghargaan kita terhadap apa juga pengisian dalam Perlembagaan Persekutuan dan proses kemerdekaan tidak akan menjadi lengkap tanpa kita mengenali sejarahnya. Insya-Allah kita akan berjaya mengharungi cabaran kemerdekaan ini sekiranya kita menghayati semua keadaan semasa proses rundingan kemerdekaan dan Perlembagaan.

Penulis ialah Prof Madya di Universiti Islam Antarabangsa
 
Sumber : Berita Harian Online -21/8/2013 

22 Ogos 2013

Wajib lulus Sejarah tepati keperluan

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my

Subjek Sejarah sememangnya penting dalam mana-sama sistem pendidikan di seluruh dunia kerana selain bersifat pembelajaran, mata pelajaran itu berupaya mendidik murid untuk menerima hakikat jati diri mereka terhadap negara.
Sikap tidak menghormati perlembagaan negara yang ditimbulkan oleh sesetengah rakyat sejak kebelakangan ini mendorong Kementerian Pendidikan mengkaji 'kekuatan' mata pelajaran Sejarah sekali gus memperkasakannya di kalangan murid dan generasi muda hari ini.
Faktor ini sekali gus mendorong kementerian mewajibkan mata pelajaran Sejarah lulus di peringkat sekolah iaitu wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun ini.
Pengarah Bahagian Kurikulum Kementerian Pendidikan, Dr. Masnah Ali Muda berkata, usaha memperkasakan mata pelajaran Sejarah di semua aliran sekolah menengah mencakupi sejarah kuno, pra moden dan moden dalam skop dasar, politik dan kenegaraan.
Malah, menurutnya, sistem pendidikan negara bermula tahun 1989 menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di semua sekolah kerajaan.
''Yang mana subjek Sejarah wajib dipelajari oleh semua murid secara berterusan selama lima tahun bermula daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 dan bertujuan meningkatkan pengetahuan sejarah negara.
''Di samping itu, usaha tersebut adalah bagi pemupukan nilai patriotisme untuk membentuk keperibadian yang tinggi dan menanamkan semangat cinta kepada negara,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Pada masa yang sama, ujar Masnah, Kurikulum Sejarah KBSM disusun secara bersepadu merangkumi unsur-unsur ilmu (kandungan), kemahiran (kemahiran Pemikiran Sejarah) dan penerapan nilai patriotisme.
Kata Masnah, Hal ini demikian supaya selari dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara dan matlamat pendidikan iaitu ke arah membangunkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
''Kita juga sedang dalam usaha melakukan transformasi kurikulum Sejarah yang akan dilaksanakan mulai 2014 di sekolah rendah melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk sekolah menengah mulai 2017.
''Mata pelajaran Sejarah diajar sebagai mata pelajaran teras kepada murid sekolah rendah pada Tahap II bermula di Tahun 4.
"Sejarah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah dengan menekankan kepada pembangunan sahsiah murid, pemupukan nilai-nilai keperibadian mulia dan semangat kewarganegaraan,'' jelas beliau.
Beliau memberitahu, kandungan kurikulum di peringkat sekolah rendah juga mencakupi sejarah awal negara sehingga kini, bertujuan menanam minat murid terhadap sejarah dan menyediakan murid menghadapi cabaran masa depan.
"Fokus utama kurikulum Sejarah dalam KSSM adalah pengetahuan dan pemahaman Sejarah Malaysia, Pembinaan Negara Bangsa dan Sejarah Negara Luar," ujarnya.
Tambah Masnah, pengkajian sejarah bermula dari zaman prasejarah sehingga masa kini yang disusun berdasar rentetan peristiwa mengikut pendekatan kronologi manakala aspek sejarah negara luar pula dikaji supaya murid mendapat gambaran besar tentang peristiwa sejarah negara berdasarkan garis masa.
''Aspek ini dimasukkan dengan tujuan supaya murid mempunyai perspektif yang lebih luas tentang proses perkembangan masyarakat dan negara serta melihat secara perbandingan akan sejarah dalam dan luar negara.
"Seterusnya memupuk rasa bangga tentang warisan dan kejayaan negara ke arah pemantapan semangat perpaduan dan patriotisme,'' katanya.
Melalui pendidikan Sejarah, beliau berharap, murid-murid dapat menjadikan elemen sejarah sebagai pengajaran dan iktibar untuk membina kesedaran kebangsaan di samping semangat cinta akan negara.

Sumber : Utusan Online-19/8/2013

19 Ogos 2013

PPPM pelengkap hala tuju pendidikan


Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Pelajar dibekal ilmu, nilai dan kemahiran tingkat daya saing peringkat antarabangsa

Putrajaya: Hala tuju pendidikan negara akan terus menempa transformasi untuk tempoh 13 tahun akan datang menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 (PPPM) sebagai rujukan utama.
Sasaran utama ialah bagi memastikan pelajar dipersiapkan dengan ilmu, nilai dan kemahiran yang membolehkan mereka bersaing di peringkat global menerusi pendidikan bertaraf dunia.

PPPM 2013-2025 tidak mengubah dasar semasa, sebaliknya hanya membabitkan penambahbaikan dan anjakan operasi dan strategi sistem pendidikan negara" Dr Khair Mohamad Yusof, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan)

PPPM dimulakan secara demokratik menerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang dilaksanakan dari April hingga Julai tahun lalu, membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk guru, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta orang awam.

Pelancaran Laporan Awal PPPM disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 11 September tahun lalu dan laporan akhirnya dijangka dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, pada 6 September ini.

Capai sasaran

Enam daripada 25 inisiatif di bawah PPPM yang disasarkan tahun ini, sudah dicapai dalam tempoh 100 hari pelaksanaannya termasuk ujian kefasihan Bahasa Inggeris (BI) di bawah Cambridge Placement Test (CPT) membabitkan 61,000 guru bahasa Inggeris, Program Transformasi Daerah yang dirintis di Kedah dan sabah dan penyediaan video e-Guru.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata antara cabaran Kementerian Pendidikan dalam pelaksanaan PPPM termasuk memberi kefahaman kepada pelaksana, guru dan orang ramai mengenai perancangan yang sedang dan akan dilakukan ke arah mencapai matlamat transformasi bidang pendidikan negara.

“PPPM 2013-2025 tidak mengubah dasar semasa, sebaliknya hanya membabitkan penambahbaikan dan anjakan operasi dan strategi sistem pendidikan negara.

“Dasar seperti bahasa dan persekolahan masih kekal. Bahasa Malaysia masih menjadi pengantar utama manakala Bahasa Inggeris serta bahasa lain masih digunakan,” katanya.

Sebelas anjakan transformasi sistem dalam PPPM membabitkan bidang kokurikulum, bahasa, guru, kepimpinan serta infrastruktur adalah pemacu transformasi sistem pendidikan nasional.

“Dalam PPPM, kementerian bukan saja menyatakan apa yang mahu dan perlu dicapai tetapi turut menjelaskan bagaimana untuk mencapai apa yang disasarkan,” katanya.

Tumpu transformasi

PPPM turut memberi tumpuan kepada transformasi profesion keguruan dengan mensasarkan perguruan sebagai profesion pilihan selain memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di semua sekolah.

“Perguruan akan menjadi kerjaya tahap profesional. Bagi memperkasakan guru sedia ada, kementerian memperkenalkan Program Rakan Pembimbing Peningkatan Sekolah (SI Partners) Plus dan Program Jurulatih Khas Peningkatan Sekolah (SISC) Plus.

“Ia sebahagian usaha membimbing dan melatih guru Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi meningkatkan lagi keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Usaha itu akan diperluaskan kepada subjek lain selepas ini. Pelaksanaan PPPM bukan berpaksikan kepada kehendak kementerian semata-mata, tetapi ia berdasarkan keperluan dan saranan rakyat.

“PPPM adalah bukti kepada masyarakat bahawa kementerian sangat beriltizam untuk melaksanakan transformasi pendidikan ke arah memenuhi aspirasi negara pada masa hadapan,” katanya.

Sumber : Berita Harian- 19/8/2013

PPPM lahir pelajar berkualiti


 

Enam aspirasi dijadikan kayu pengukur uji kemahiran murid

Putrajaya: Komitmen kerajaan melengkapkan pelajar dengan kemahiran baru bagi merebut peluang dan menangani cabaran abad ke-21 bukan calang-calang usaha, sebaliknya ia iltizam untuk mewujudkan ‘pembelajaran bermakna.’
Ia bermaksud sistem yang menjadi teras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang laporan akhirnya dijangka dilancarkan pada 6 September ini, adalah usaha penting menyediakan pelajar di negara ini ke arah persaingan global menjelang 2025.


Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Sektor Operasi Pendidikan (SOP), Datuk Sufa’at Tumin, berkata PPPM melihat bidang pendidikan daripada sudut ‘pembelajaran bermakna’ yang diyakini mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi bagi merealisasikan agenda negara maju menjelang 2020.

Tumpu enam aspirasi

“Dalam PPPM jelas terkandung enam aspirasi murid yang dijadikan kayu pengukur supaya mereka mampu bersaing pada peringkat global seperti pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

“Apa yang kerajaan harapkan adalah segala aktiviti di dalam dan luar bilik darjah bukan saja menekankan kepada penguasaan subjek semata-mata, tetapi mampu menguasai kemahiran berfikir aras tinggi, mampu memimpin, beretika serta mempunyai identiti nasional yang akhirnya akan melahirkan insan yang holistik.
“Itulah yang dimaksudkan pembelajaran bermakna, yang mana pelajar bukan saja lulus peperiksaan dengan keputusan terbaik dan skor tinggi tetapi mampu menguasai pelbagai nilai dan kemahiran dalam erti kata yang sebenar dan memenuhi keperluan masa kini,” katanya.

Laporan awal PPPM dilancarkan pada 11 September tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyaksikan inisiatif kerajaan itu berada pada landasannya untuk mencapai kejayaan apabila enam daripada 25 inisiatif yang disasarkan tahun ini, sudah dicapai dalam tempoh 100 hari pelaksanaannya.

“Kementerian menyasarkan dalam tempoh 15 tahun, Malaysia mampu berada di peringkat satu pertiga teratas dalam pencapaian pentaksiran di peringkat antarabangsa seiring kejayaan negara lain seperti Korea, Finland, New Zealand dan Singapura.

“Melalui usaha berterusan kerajaan, sektor pendidikan terus mengalami perubahan sejak penggubalan Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979 serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1988,” katanya.

Sementara itu, inisiatif pelaksanaan PPPM pula memberi persediaan kepada sektor pendidikan negara untuk berdepan cabaran globalisasi abad ke-21.

“Kementerian turut menyasarkan pelajar abad ke-21 mempunyai empat kriteria penting iaitu kritis, kreatif, mempunyai kemahiran komunikasi dan kolaborasi ke arah menjadikan mereka aset termahal negara di masa hadapan.

“Empat kriteria berkenaan bermaksud mereka mampu mencipta idea baru, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, membina jaringan termasuk dalam dan luar negara selain mempunyai pengetahuan meluas dalam segala aspek termasuk sosial, ekonomi dan keagamaan.

“Semua pendekatan yang diperlukan ke arah melahirkan mereka yang berpotensi mengharungi cabaran abad ke-21 tidak semestinya dilakukan dalam bilik darjah tetapi ia bersifat universal yang boleh dipraktikkan di mana-mana saja termasuk ketika sesi kokurikulum.

“Apa yang penting adalah pengisian dan sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan melahirkan pelajar berwibawa,” katanya.

INFO: Lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia
Akses - 100 peratus enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang 2020.
Kualiti - Negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti Trend Kajian Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antara-bangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun.
Ekuiti - 50 peratus pengurangan dalam jurang pencapaian (bandar-luar bandar, sosio-ekonomi, jantina) menjelang 2020.
Perpaduan - Sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian.
Kecekapan - Sistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada.

Sumber : Berita Harian- 19/8/2013

3 Ogos 2013

Manifesto prinsip moral Perlembagaan

Oleh: Shamrahayu A. Aziz

Prinsip moral diakui Perlembagaan. Dua peruntukan Perlembagaan menyebut mengenainya, iaitu Fasal 10(2)(a) dan 11(5). Fasal 10(2)(a) meletakkan prinsip moral sebagai sebab untuk mengehadkan kebebasan bercakap dan bersuara. Perkara 11(5) meletakkan prinsip moral sebagai antara satu sebab kepada sekatan yang boleh dikenakan ke atas kebebasan beragama.

Walaupun hanya dua peruntukan Perlembagaan yang menyebut hal berkaitan, ia sudah cukup membuktikan kedudukan prinsip moral dalam Perlembagaan. Bahkan sekiranya disebut sekali saja pun, ia tetap pengisian penting Perlembagaan. Perlembagaan adalah dokumen utama pentadbiran negara, maka apa juga yang disebut di dalamnya adalah juga penting, walaupun tidak disebut secara berulang.
Dua peruntukan itu adalah penyungguh kepada kata-kata bahawa kita adalah bangsa dan negara yang mementingkan kesantunan.


Dari segi sejarah kerangka perundangan dan falsafah negara kita tidak terlepas pandang mengenai hala tuju negara dan bangsa. Sejak dari awal kemerdekaan lagi kita sudah merencana pengisian kemerdekaan dengan meletakkan garis panduan tertentu mengenai keperibadian warga. Kita mahu membina masyarakat bermoral dan beretika dan kita menegaskannya dalam Perlembagaan.

Wawasan 2020

Dipanjangkan prinsip moral ini ke dalam Rukun Negara dengan menjadikan kesopanan dan kesusilaan sebagai falsafah atau teras negara. Seterusnya, prinsip moral ditegaskan lagi dalam susunan strategi membentuk negara maju dalam Wawasan 2020. Wawasan 2020 mencerahkan lagi falsafah ini dengan meletakkan tujuan negara untuk membentuk warga negara yang teguh dengan nilai agama dan kerohanian serta mendokong nilai etika yang paling tinggi.

Dalam konteks agama Islam yang dilangsungkan dalam peruntukan Perlembagaan sebagai agama negara, prinsip moral tidak perlu dihurai lagi. Ajaran Islam dan prinsip moral begitu sinonim dan jelas. Akhlaq al-kareemah atau akhlak yang mulia adalah sebahagian daripada tiga komponen syariah atau ajaran Islam, selain daripada ketuhanan atau tauhid dan hubungan antara manusia atau muamalat.
Kita sudah maklum bahawa Islam adalah cara hidup yang mencakupi setiap langkah dan tindakan. Oleh itu, sekiranya kita menegaskan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, secara langsung, kita juga menegaskan mengenai prinsip moral itu.

Sumber rujukan seharian

Oleh itu, dalam kaitan prinsip moral dan kehidupan masyarakat Malaysia, Perlembagaan hendaklah dijadikan sumber rujukan. Sehingga kini, rata-rata rakyat Malaysia memahami konsep ketinggian atau keluhuran Perlembagaan. Ia sudah jelas dalam pemahaman kita. Kita juga sudah maklum dan faham bahawa polisi atau undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak berperlembagaan dan boleh diisytihar sebagai tidak sah.

Di samping pemahaman itu, kita juga perlu mengambil perhatian bahawa Perlembagaan mempunyai fungsi yang lebih luas daripada konotasi undang-undang tertinggi negara. Fungsi lain Perlembagaan ialah, ia menggariskan prinsip asas, falsafah dan dasar atau manifesto negara.

Dengan kata lain, Perlembagaan bukan semata-mata rujukan berkenaan ketetapan suatu undang-undang atau polisi kerajaan saja. Perlembagaan juga berfungsi sebagai sumber rujukan kepada sistem masyarakat atau cara hidup masyarakat. Malah, manifesto itulah juga yang menjadi pencorak kepada tamadun yang mahu kita bina.

Dalam konteks ini, kita perlu melihat Perlembagaan menerusi kaca mata asal atau sejarah penciptaan dan pengenalannya. Secara ringkas, Perlembagaan diwujudkan bagi menstabilkan keadaan masyarakat dari segi hala tujunya. Ini bukan bermakna menstabilkan masyarakat dari segi perundangan saja, tetapi juga dari segi sosialnya. Perlembagaan berfungsi untuk mengatur sistem kemasyarakatan serta menegaskan prinsip yang mahu dimanifestasi dan dicapai dalam masyarakat negara terbabit.

Penentu prinsip moral

Dengan fungsinya sebagai manifesto negara, Perlembagaan boleh menentukan prinsip moral masyarakat yang mahu dicipta. Fungsi ini amat berkait dengan prinsip ketinggian atau keluhuran Perlembagaan. Sekiranya Perlembagaan itu mahu dijadikan sumber menstabilkan masyarakat, maka ia hendaklah menjadi rujukan tertinggi, barulah ia kebal dan berkesan.

Selepas memahami tujuan dan fungsi Perlembagaan kita perlu menerima bahawa manifesto yang dibawanya perlu diambil berat oleh semua. Pelaksanaan manifesto itu adalah tanggungjawab pemerintah atau kerajaan.

Dalam konteks prinsip moral manifesto ini juga tanggungjawab setiap warga. Maka, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab melaksanakan manifesto atau hala tuju negara sebagai kehendak Perlembagaan yang menjadikan prinsip moral sebagai terasnya.

Penulis ialah Prof Madya di Universiti Islam Antarabangsa

Sumber : Berita Harian Online - 31/7/2013