SELAMAT DATANG KE BLOG PRAUNIVERSITI SM KEN HWA KENINGAU.

24 Mei 2014

Langkah kerajaan perkukuh kewangan beri kesan positif

Oleh : Mohd Ayob Abd Razid

Ekonomi sering menjadi topik hangat yang dibahas oleh ahli politik, ahli ekonomi serta mereka dalam sektor korporat, perniagaan dan perdagangan. Malah, isu berkaitan ekonomi hari ini turut dibincangkan dalam kalangan rakyat biasa. Justeru, tidak hairanlah isu berkaitan kenaikan kos sara hidup, subsidi dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mendapat perhatian.

Namun, isunya ialah kebanyakan daripada kritikan dan tentangan yang disuarakan lebih bersifat emosi dan politik tanpa melihat kepada realiti. Perkara utama yang perlu difahami ialah mengurus ekonomi sesebuah negara tidak semudah mengurus sebuah organisasi. Ia merangkumi pengurusan ekonomi makro dan mikro membabitkan hubungan negara dengan kerencaman ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Justeru, ia menuntut kepekaan kerajaan untuk melakukan perubahan sesuai dengan tuntutan semasa supaya ekonomi boleh bergerak dan berkembang secara dinamik dan positif.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak acap kali menjelaskan cabaran yang dihadapi negara dan mengapa kerajaan perlu bertindak. Pada masa yang sama kerajaan tetap memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

15 peratus ke atas subsidi

Pada tahun 2010, kerajaan membelanjakan 15 peratus daripada bajet ke atas subsidi dan insentif. Ia terus meningkat pada 2012 menjadi 21.4 peratus (RM44 bilion). Punca peningkatan subsidi itu adalah kenaikan harga pasaran dunia.

Kos subsidi ditanggung kerajaan membawa kepada peningkatan defisit bajet dan negara berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an.
Apabila hutang dan defisit meningkat maka ia boleh menimbulkan situasi bahaya kepada ekonomi negara. Pelabur, bank, dan agensi penarafan memberi fokus terhadap hutang, defisit dan perbelanjaan subsidi negara kita.

Situasi itu sudah pun berlaku dalam kalangan negara Eropah yang mengalami krisis kewangan beberapa tahun lalu sehingga menakutkan pelabur asing dan membuat mata wang negara terbabit tertekan.

Mengambil iktibar daripada perkembangan ekonomi dunia, kerajaan perlu bertindak mengawal kewangan negara supaya rakyat dilindungi, kemajuan dapat diteruskan, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara akan terjamin. Usaha pembaharuan fiskal dilaksanakan dengan melakukan rasionalisasi subsidi secara berperingkat. Dasar subsidi kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

Ia dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang bukan saja dapat mengurangkan defisit tetapi meningkatkan perbelanjaan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Pembaharuan subsidi dilaksana kerajaan disambut baik oleh pelabur dan agensi penarafan antarabangsa.

Perkenal GST mulai 2015

Selain merasionalisasikan subsidi, kerajaan akan memperkenalkan GST mulai April 2015 bertujuan mengukuhkan kewangan negara. Dalam melaksanakan langkah terbabit, kerajaan bertindak cermat. Kajian dilakukan dan langkah terbabit dilaksanakan hasil cadangan kukuh daripada Perbendaharaan, Bank Negara, dan Unit Perancang Ekonomi.

Setakat ini rasionalisasi subsidi telah membuahkan hasil. Ekonomi negara terus berkembang. Defisit bajet kita kini pada 3.9 peratus dan pada tahun 2020 kerajaan menjangkakan akan mencapai bajet seimbang.

Ekonomi kita berkembang pada kadar purata lima peratus setiap tahun, dan pendapatan isi rumah 24 peratus lebih tinggi. Kehidupan isi rumah juga bertambah baik.

Pada tahun lalu, gaji meningkat secara purata sebanyak enam peratus. Tahun lalu juga menyaksikan dagangan mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.

Begitu juga peningkatan dalam pelaburan asing yang mendorong kepada pengembangan perniagaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Kerajaan juga terus komited untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kesimpulannya, langkah kerajaan mengawal kewangan negara dengan menstruktur semula pemberian subsidi dan memperkenalkan GST pada tahun depan bertujuan menjamin kedaulatan, keselamatan, kebebasan dan pertumbuhan negara.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dipetik Daripada : BH Online - 23/5/2013

23 Mei 2014

Pesta buku galak minat membaca masyarakat

 Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, kita melihat semangat kecintaan terhadap buku yang luar biasa. Mungkin yang kita lihat itu gambaran luaran semata-mata. Tetapi sekurang-kurangnya kita dapat melihat manusia pada semua peringkat, datang berbondong-bondong ke tempat pesta buku itu diadakan.

Hari cuti umum dan hujung minggu menyebabkan ruang pesta sesak. Pengunjung datang dengan bas sekolah, bas institusi, kenderaan sendiri dan pengangkutan awam. Dianggarkan lebih sejuta pengunjung membanjiri premis pesta berkenaan.
Laporan pasca pesta menyebut bahawa sejumlah penerbit buku sudah mencapai sasaran jualan mereka. Malah ada melebihi daripada sasaran atau jangkaan awal mereka. Ini memberikan gambaran betapa minat membeli dan membaca sedang berkembang dalam masyarakat kita.


Untuk mengekalkan momentum perkembangan minat beli dan baca masyarakat kita, suatu program harus dirangka dan dilaksanakan agar semangat pesta buku akan terus berlangsung dalam masyarakat kita, iaitu semangat yang merentas umur, gender, kaum dan geografi.

Berpeluang pilih buku

Dalam pesta buku, pengunjung berpeluang memilih pelbagai judul buku dalam pelbagai jenis bidang dan sub bidang ilmu. Akan tetapi sebaik sahaja pesta buku berakhir, peluang tersebut tidak muncul lagi, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Bagi mereka yang tinggal di bandar besar, peluang tersebut masih membuka ruangnya di kedai buku mega di gedung beli-belah yang besar.

Justeru, wajar sekali pesta buku dalam skala tertentu, terus diadakan dari semasa ke semasa, bergerak dari sebuah bandar kecil ke sebuah bandar kecil yang lain. Tempoh pusingan setahun, sehingga munculnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan datang, meneruskan momentum minat beli dan baca buku dalam kalangan masyarakat kita.
Pesta buku juga menawarkan potongan harga yang menarik. Selepas pesta, tiada lagi diskaun, atau hanya sedikit diskaun diberikan kepada pembeli. Ini bukan suatu fenomena perniagaan penerbitan yang baik. Para penerbit harus secara kreatif menawarkan potongan harga dari masa ke masa, agar masyarakat kita terus berminat membeli buku dan membacanya.

Dalam pesta buku, pelbagai acara dianjurkan bagi memperkenalkan penulis, penerbit, pengkritik dan sebagainya. Acara ini mendekatkan dunia industri perbukuan, kepengarangan dan apresiasi karya kepada khalayak. Malangnya selepas pesta, jarang-jarang kita mendengar adanya acara seperti itu.

Jika kita ingin menyuburkan dunia perbukuan dan yang lebih penting daya intelektual masyarakat kita, acara di atas harus diadakan dari semasa ke semasa, di pelbagai tempat yang strategik.

Industri penerbitan bukanlah semata-mata fokus kepada keuntungan material, tetapi bagaimana ilmu pengetahuan dapat disebarkan, dihidupkan dan dimanfaatkan oleh anggota masuarakat.

Tingkat keberkesanan acara

Ketika orang ramai mungkin berpuas hati dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, ada beberapa perkara yang harus difikirkan oleh penganjur bagi meningkatkan keberkesanan dan prestij acara ini. Satu daripadanya adalah dengan menambah penyertaan penerbit atau pempamer dari luar negara. Dengan bertambahnya penyertaan penerbit serta pempamer luar negara, khalayak akan terdedah kepada lebih banyak pilihan. Ia juga benar-benar memberi natijah kepada taraf antarabangsanya.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur juga sepatutnya mengetengahkan pempamer Negara Tamu (Guest Country) pada setiap tahun, seperti pesta buku antarabangsa bertaraf dunia. Jika ini belum dilakukan, tahap ‘antarabangsanya’ masih boleh dipersoalkan, kerana mungkin hanya bersifat serantau sahaja.

Penyertaan Negara Tamu bukan semata-mata bertujuan untuk mengangkat prestij Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia sejajar dengan usaha kita membentuk masyarakat yang berpengetahuan. Ia seiring dengan semangat Kota Buku Malaysia. Ia akan menjadikan Kuala Lumpur tumpuan penerbit antarabangsa.

Akhir sekali, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada anggota masyarakat kita untuk mendapatkan bahan bacaan yang terkini dan bermutu bagi mempersiapkan keupayaan intektual bersaingan pada peringkat rantau dan global.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Dipetik Daripada : BH Online 21/5/2014

Perlembagaan prasyarat tingkat semangat patriotik

Oleh : Shamrahayu A Aziz

Pemahaman inti pati akta penting elak tafsiran bercanggah

Perlembagaan diketahui umum sebagai undang-undang tertinggi. Sebagai undang-undang tertinggi negara, sehingga kini rakyat Malaysia mengetahui dan mempunyai kesedaran bahawa Perlembagaan hendaklah dijadikan rujukan utama dalam menentukan keesahan apa juga tindakan.
Umum juga mengetahui bahawa Perlembagaan juga adalah penentu kepada keesahan polisi dan undang-undang. Sekiranya sesuatu tindakan, polisi dan undang-undang itu tidak selari dengan Perlembagaan, maka ia adalah tidak sah.


Walaupun khalayak mengetahui kepentingan dan kedudukan Perlembagaan yang begitu tinggi, namun pengalaman saya menunjukkan bahawa tidak ramai ahli masyarakat yang pernah memegang dokumen Perlembagaan.

Jika ada sekali pun, hanya sedikit sahaja yang membaca Perlembagaan. Pengalaman saya menyampaikan syarahan mengenai Perlembagaan dan undang-undang berkaitannya juga menunjukkan jarak antara dokumen Perlembagaan dan masyarakat kita agak jauh.

Pada pengamatan saya juga, ramai khalayak yang bercakap dan berhujah menggunakan Perlembagaan, tetapi tidak begitu ramai yang membacanya sendiri atau menilai peruntukan Perlembagaan dengan semangat Perlembagaan dan dengan sejarah Perlembagaan itu.

Wajib fahami pengisian
Natijah daripada pengamatan saya itu bagi mengelakkan pengucapan dan tafsiran bercanggah dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan, maka adalah menjadi satu kewajipan bagi kita untuk mengetahui inti pati pengisian Perlembagaan, sejarah dan juga semangat peruntukan Perlembagaan dengan sewajarnya.

Ini amat penting terutamanya bagi ahli politik, pegawai tinggi pentadbiran kerajaan, pasukan keselamatan, serta mereka aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan untuk membaca, mengenali, mempelajari dan memahami Perlembagaan dengan mendalam.

Begitu juga dengan peguam, terutamanya mereka yang tidak pernah membuat kursus Perlembagaan Malaysia secara formal, termasuk graduan perundangan di luar negara. Bagi graduan perundangan luar negara, walaupun mereka lulus kursus undang-undang Perlembagaan secara umum, atas sifat dan keunikan Perlembagaan bagi setiap negara, termasuk Perlembagaan Malaysia, penting untuk mereka memahami secara mendalam Perlembagaan Malaysia sendiri sebelum beramal sebagai peguam.

Ini penting kerana profesion peguam berkait rapat dengan Perlembagaan,
terutama mereka yang terbabit secara langsung memberikan kenyataan tertentu berkaitan Perlembagaan. Walaupun mereka memahami prinsip umum perlembagaan secara sejagat, atas dasar setiap Perlembagaan itu mempunyai sejarah, falsafah dan semangat yang berbeza, maka penelitian khusus kepada setiap peruntukan Perlembagaan Malaysia itu adalah satu kemestian.

Isu kompleks Perlembagaan

Dalam perkembangan mutakhir, kita lihat pelbagai isu kompleks berkaitan Perlembagaan, terutama perkara yang membabitkan peruntukan warisan dalam Perlembagaan, seperti keistimewaan Melayu, kedudukan Islam dan raja, malah sistem demokrasi.

Bukan mudah memahami pengisian Perkara 153. Rata-rata orang menyatakan bahawa 153 hanya berkisar mengenai keistimewaan Melayu. Jarang sekali disebut mengenai hak munasabah kaum lain dalam Perkara 153 itu.

Setiap peruntukan Perlembagaan itu mempunyai nadinya dalam sejarah dan negara ini dan di sebalik peruntukan harfiah Perlembagaan itu terdapat prinsip tidak bertulis. Ini apa yang sering saya sebut sebagai peraturan tidak bertulis dalam Perlembagaan bertulis (unwritten rules in written constitution).

Walaupun ayat dalam Perlembagaan sukar difahami khalayak, tetapi kita hendaklah menerima hakikat bahawa Perlembagaan bukan dokumen eksklusif. Perlembagaan adalah milik setiap individu warganegara. Sudah seharusnya ia perlu difahami dan dihayati oleh setiap warga negara dengan mata hati mereka.

Bagi peguam yang beramal, saya mencadangkan supaya Perlembagaan Malaysia dijadikan kursus khas dalam program Certificate in Legal Practice iaitu kursus wajib yang mengandungi lima mata pelajaran untuk memberikan kelayakan kepada graduan luar negara untuk beramal sebagai peguam di negara ini.

Bagi ahli politik dan pentadbir pada peringkat tertinggi pendekatan tertentu sewajarnya diambil bagi membolehkan mereka memahami dan menghayati Perlembagaan.

Bagi semua warga negara, menghayati Perlembagaan adalah prasyarat meningkatkan semangat patriotisme. Mengenali Perlembagaan juga adalah perkara utama dalam kita mengendalikan permasalahan berkaitan falsafah dan hala tuju negara.

Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
 
Dipetik Daripada : BH Online - 21/5/2014 

10 Mei 2014

Cabaran urus alam sekitar

  Oleh : Prof Emeritus Ibrahim Komo

Paradigma baharu kekal kelestarian

Daripada perspektif guna tahan, kita biasa mendengar konsep pembangunan bandar, industri atau pertanian. Apa itu pembangunan alam sekitar? Bukankah kita sudah memperkenalkan pelbagai konsep mengenai pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh Hutan Simpanan Kekal, Kawasan Sensitif Alam Sekitar, Taman Negeri atau Negara dan Tapak Warisan Dunia.
Pemikiran kita mengenai alam sekitar adalah berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan. Konsep begini menimbulkan konflik berterusan antara pembangunan dan alam sekitar.


Di satu pihak, masyarakat melihat alam sekitar merupakan sumber asli yang boleh diterokai untuk menjana ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Di pihak lain, alam sekitar khususnya hutan adalah warisan sejagat yang perlu dikekalkan atau dipulihara. Akhirnya, sedikit demi sedikit hutan diterokai untuk faedah ekonomi atau atas nama pembangunan.

Saya melihat gagasan pembangunan dan alam sekitar pada masa ini tidak menguntungkan golongan yang beriltizam memulihara hutan sebagai warisan alam. Pemikiran manusia dan pemimpin masih memberikan tahap kepentingan yang jelas kepada sumber untuk menjana ekonomi, keperluan kesejahteraan manusia dan akhirnya untuk pemuliharaan warisan.

Selagi manusia taksub menjana wang dan memerlukan sumber asas mengurus peningkatan penduduk, alam sekitar adalah mangsanya.

Imbangi pembangunan, alam
Walaupun, masyarakat dunia mulai sedar pentingnya perkhidmatan alam sekitar bagi kelangsungan kehidupan, pendekatan pembangunan semasa masih belum berupaya mengimbangi keperluan pembangunan wilayah dan fungsi memulihara alam sekitar.

Kemerosotan kualiti air dan udara, peningkatan bencana alam (banjir kilat dan tanah runtuh) dan wabak penyakit disebabkan pencemaran adalah petanda fungsi dan khidmat alam sekitar telah dilampaui.

Saya perkenalkan konsep pembangunan alam sekitar atas dua alasan. Pertama, meletakkan kedudukan atau kepentingan alam sekitar seiring dengan pembangunan lain, seperti pembangunan bandar (penempatan), pembangunan industri (ekonomi) dan pembangunan pertanian (sumber makanan).

Kedua, pembangunan alam sekitar perlu diperkenalkan dalam konteks perkhidmatan ekosistem untuk kelestarian atau sumber kehidupan. Oleh itu, prinsip pembangunan alam sekitar adalah untuk memberikan ‘perkhidmatan ekosistem’ dan bukannya semata-mata untuk pemuliharaan sumber asli.

Perancang bandar dan desa boleh menyediakan garis panduan pembangunan berasaskan kepada beberapa fungsi penting alam sekitar.

Dari perspektif kesejahteraan masyarakat, fungsi terpenting alam sekitar adalah menyediakan perkhidmatan alam sekitar, khususnya sumber air dan udara bersih serta simpanan benih pelbagai tumbuhan (kepelbagaian biologi) untuk sumber makanan dan ubatan.

Beri perhatian kepada ekosistem

Dalam konteks ini, pelan pembangunan perlu memberi perhatian kepada konsep ‘keupayaan tampungan atau had perubahan’ yang tidak memudaratkan perkhidmatan suatu ekosistem tersebut.

Selain itu, alam sekitar juga warisan tabii manusia yang menjadi lambang ketamadunan dan nilai sepunya masyarakat. Seperti peninggalan sejarah dan arkeologi, landskap ekologi atau geologi juga mempunyai nilai saintifik dan estatik yang perlu dipulihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Kita perlu mengenali apakah landskap tabii itu hanya bersifat warisan tempatan, kebangsaan atau dunia dari perspektif keunggulannya. Jika kita perlu membuat pilihan antara pembangunan atau pemuliharaan, keunggulan nilai warisan bakal menjadi penentu kepentingannya.

Pelbagai bentuk pembangunan masih boleh dilakukan di kawasan alam sekitar. Antaranya, untuk mengekalkan penempatan dan kegiatan ekonomi komuniti asli yang sudah lama menetap di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, kita boleh melaksanakan pelbagai pembangunan berimpak rendah seperti kemudahan penggunaan hasil hutan secara terkawal, rekreasi, pendidikan awam dan ekopelancongan bagi membolehkan alam sekitar dimanfaatkan sepenuhnya.

Merancang dan mengurus alam sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak faedah secara jangka panjang. Konsep pembangunan untuk kepentingan kesejahteraan manusia, memberikan status yang tinggi kepada alam sekitar.

Ia menjadi sebahagian daripada prasarana penting dalam kesatuan pembangunan yang holistik. Warga dan kerajaan perlu menyediakan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi untuk mengurus, memantau dan menyelenggara alam sekitar demi kepentingan kelestarian.

Meletakkan pengurusan alam sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak kelebihan. Ia boleh ditempatkan sejajar dengan pembangunan bandar, industri dan pertanian.

Masyarakat perlu mengiktiraf pembangunan alam sekitar kritikal untuk menyediakan perkhidmatan ekologi, memulihara warisan dan penggunaan sumber asli secara lestari. Bagaimanapun, jika ada dalam kalangan kita, masih berfikiran ‘tamak dan hanya mengaut kekayaan,’ alam sekitar bakal menjadi mangsa utamanya.

Penulis ialah Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar
 
Dipetik Daripada : BH Online - 7/5/2014 

26 Januari 2014

Evolusi medan kutub bumi

Oleh :  MARLISSA MOHAMMAD KAMAL
CUACA tidak menentu sejak akhir-akhir ini mencetuskan pelbagai spekulasi dan turut menjadi topik hangat yang sering diperkatakan oleh pengguna laman sosial.

Selain itu, ada juga pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkan mesej berantai berhubung pelbagai teori perubahan cuaca ekstrem pada masa ini hingga menyebabkan masyarakat mudah percaya tanpa mengambil kira fakta sains.

Dakwaan salji turun di negara beriklim tropika, Indonesia juga adalah satu lagi laporan berita palsu pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemaskan masyarakat selepas insiden penurunan salji di Vietnam dan Mesir.

Fenomena salji di Malaysia juga adalah satu perkara mustahil walaupun cuaca sejuk luar biasa sedang melanda negara ini.

Hal ini kerana, Malaysia terletak di garisan Khatulistiwa yang mempunyai dua musim sepanjang tahun.

Sebelum ini, isu anjakan kutub bumi yang dikaitkan dengan hari kiamat juga heboh di kebanyakan blog, namun wujud pertikaian berhubung kebenaran perkara itu.

Bagaimanapun, teori sains yang dijelaskan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) ini diharap dapat merungkai kekeliruan paparan sebelum ini.


Medan magnet bumi pernah menyongsang

Menurut saintis, medan magnet bumi sebenarnya menyongsang beberapa kali sejak beribu tahun lalu.

Dalam kata lain, jika manusia hidup kira-kira 800,000 tahun lalu dan memegang kompas di tangan mereka, ia akan menunjuk ke arah selatan.

Ini kerana, kedudukan kompas magnetik ditentukan berdasarkan kutub bumi dan arah Utara-Selatan akan berubah 180 darjah jika kutub medan magnet terbalik.

Persoalannya kini adalah, adakah keadaan tersebut akan memberi kesan dramatik?

Hasil daripada rekod fosil dan geologi diperoleh daripada ratusan tahun ketika berlakunya penyongsangan kutub menunjukkan ia sebenarnya tidak memberi kesan dahsyat seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Proses penyongsangan kutub adalah satu peraturan alam yang tidak dapat dielakkan sejak 20 juta tahun lalu dan ia berlaku setiap 200,000 hingga 300,000 tahun sekali.

Bagaimanapun, kutub tidak menyongsang sepenuhnya kerana medan magnet saling menarik dan menolak antara satu sama lain, di mana beberapa kutub turut muncul pada latitud pelik ketika proses tersebut.

Saintis meramalkan proses pembalikan terbabit telah berlaku beratus kali sejak lebih tiga bilion tahun lalu, namun ia dikatakan berlaku lebih kerap atau setiap sejuta tahun sekali selepas Zaman Dinosaur.     
       

Tiada perubahan drastik pada flora, fauna

Kajian ke atas aktiviti medan magnet dan rekod fosil diperoleh dari endapan teras pada permukaan laut dalam dikatakan boleh memberi penjelasan kepada saintis berhubung perubahan kutub magnetik.

Medan magnet bumi ditentukan berdasarkan pemagnetan lava kerana ia berada di dasar laut di Rabung Tengah Atlantik, di mana benua Amerika Utara dan Eropah berpecah.

Difahamkan, lava membeku itu sebenarnya mampu mewujudkan rekod orientasi medan magnet pada masa lalu seperti bunyi rekod pita rakaman.

Kali terakhir kutub bumi menyongsang adalah kira-kira 780,000 tahun lalu yang turut digelar saintis sebagai pembalikan Brunhes-Matuyama.

Rekod fosil menunjukkan proses tersebut tidak memberi perubahan drastik terhadap flora dan fauna.

Selain itu, endapan teras pada zaman terbabit juga tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam aktiviti glasier berdasarkan jumlah isotop oksigen pada permukaan tersebut.

Keadaan itu membuktikan proses penyongsangan kutub tidak akan menjejaskan putaran paksi bumi walaupun kecondongan paksi bumi memberi kesan besar kepada iklim dan pengglasieran.     
  
Proses penyongsangan kutub juga sebenarnya tidak tetap dan ahli geofizik agak pasti bumi mempunyai medan magnet kerana teras besi padunya dikelilingi lautan cecair logam panas.

Aliran cecair besi di dalam teras bumi mencipta arus elektrik yang seterusnya mewujudkan medan magnet.
   
Saintis dapat mengukur pergerakan dalam teras dengan memerhatikan perubahan di dalam medan magnet,

Menurut kajian mereka, kutub magnet bumi telah berganjak pada jarak lebih 1,100 kilometer (km) sejak awal abad ke-19.

Bagaimanapun, anjakan tersebut didakwa berlaku lebih cepat pada masa ini dengan anggaran jarak kira-kira 64 km setahun berbanding kira-kira 16 km setahun pada awal abad ke-20.


Medan magnet tidak hilang

Satu lagi hipotesis mengenai penyongsangan kutub mengandaikan proses itu akan menyebabkan bumi kehilangan medan magnet yang berfungsi sebagai pelindung daripada ribut solar.

Saintis mendakwa medan magnet sememangnya boleh berubah-ubah tetapi tidak ada sebarang petunjuk bahawa ia akan hilang sepenuhnya.

Medan magnet yang lemah akan menyebabkan peningkatan jumlah kecil radiasi solar tetapi kesan itu tidak membawa maut kerana atmosfera tebal bumi mampu memberi perlindungan terhadap kemasukan zarah matahari secara terus.    

Kajian sains menunjukkan penyongsangan kutub magnet dari skala masa geologi adalah satu fenomena yang biasa berlaku sejak ribuan tahun lalu.

Bagaimanapun, keadaan yang menyebabkan proses itu berlaku tidak dapat diramalkan sepenuhnya kerana sebagai contoh gerakan kutub utara mungkin boleh bertukar haluan.

Rekod geologi berusia jutaan tahun juga menunjukkan pembalikan kutub tiada kaitan dengan senario hari kiamat seperti yang dihebohkan banyak pihak dengan tujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat pada ketika ini.

Sumber: http://www.nasa.gov/topics/earth/features/2012-poleReversal.html


INFO

- Berlaku setiap 200,000 hingga 300,000 tahun sekali.

- Kutub magnet bumi berganjak kira-kira 64km setahun pada masa ini.

- Pembalikan Brunhes- Matuyama berlaku kira-kira 780,000 tahun lalu.

Sumber : Sinar Harian Online - 26/01/2014

25 Januari 2014

Kod etika wartawan mampu elak penulis media siber tersasar

 Oleh : Mohd Ayop Abd Razid

‘Generasi Y’ (berumur 15 hingga 35 tahun) adalah kelompok cekap dalam penggunaan teknologi maklumat (IT). Mereka cepat mengikuti perkembangan terkini komunikasi dan teknologi maklumat (ICT).

Ia satu perkembangan baik untuk pembangunan negara. Namun, masalah timbul apabila golongan itu mudah terpengaruh dengan kandungan yang boleh meracuni pemikiran mereka.


Mengikut laporan itu secara purata, kanak-kanak dan remaja di Malaysia dalam lingkungan usia lapan hingga 15 tahun melayari internet 19 jam seminggu. Dari segi pemantauan ibu bapa, didapati hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi isi kandungan laman web diakses anak mereka.

Ibu bapa kurang ambil berat
Hasil kajian itu diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dalam ‘Seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber’ di Kuala Lumpur.

Ini menunjukkan ramai ibu bapa yang tidak memberikan perhatian serius terhadap penggunaan internet oleh anak mereka sehingga tidak menyedari ada anak mereka diracuni dengan bahan negatif yang terkandung di dalamnya.
Tidak dinafikan kemunculan internet mengubah corak atau landskap komunikasi serta menjadikan masyarakat kita lebih bermaklumat. Namun, di sebalik sisi positifnya, banyak pula sisi negatif yang disebarkan melalui internet termasuk bahan pornografi.

Elemen negatif itu boleh merosakkan tingkah laku generasi muda kita.

Penulis percaya antara punca menjadikan semakin ramai generasi muda tidak mengendahkan norma dan hak masyarakat, lekas meradang bila ditegur atau diberi nasihat, mudah agresif terhadap orang lain, berfikiran ganas, ‘anti establishment’, terpengaruh dengan amalan seks bebas dan pelbagai lagi tingkah laku negatif adalah berpunca daripada pengaruh internet.

Ini bermakna penggunaan internet secara tidak betul boleh menyumbang kepada ‘kemerosotan moral’ generasi muda kita.

Selain ibu bapa, mereka yang terbabit menyedia atau menyebarkan bahan negatif turut bertanggungjawab. Mereka mempunyai agenda merosakkan jiwa anak muda kita supaya menjadi golongan yang sentiasa memprotes, mengkritik dan mengeji perkara yang pada penilaian mereka mengekang kebebasan dan nafsu mereka.


Golongan penentang tegar

Golongan ini juga diajar supaya menjadi penentang tegar apa juga usaha kerajaan walaupun ia baik untuk rakyat dan negara.

Sepatutnya mereka yang terbabit dalam menyedia isi kandungan media siber mengamalkan Kod Etika Kewartawanan supaya dapat menghasilkan maklumat bertanggungjawab, beretika dan profesional demi membentuk pemikiran dan jiwa generasi muda yang sihat dan membina.

Antara etika penting yang disebut dalam Kod Etika Kewartawanan Malaysia ialah wartawan hendaklah menyiarkan berita secara jujur serta membuat ulasan dan kritik yang saksama.
Mereka juga perlu mengelakkan hasutan, fitnah, menyemai kebencian dalam apa bentuk sekali pun serta menjauhi budaya ‘plagiarism’.

Kod etika itu juga menegaskan bahawa wartawan hendaklah mengelak dari menyiar artikel bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat Malaysia termasuk menyiarkan bahan bersifat pornografi.

Mereka juga hendaklah memahami undang-undang yang ada kaitan dengan profesion mereka. Walaupun kod etika itu untuk profesion kewartawanan yang terbabit dalam media cetak dan elektronik, namun ia juga sesuai untuk diguna pakai pengamal media siber atau lebih dikenali “wartawan rakyat”. Ini termasuklah pemilik dan pengendali blog, facebook, twitter dan seumpamanya.

Kesimpulannya, ibu bapa mempunyai peranan cukup besar dalam mendidik, membimbing dan memantau anak-anak dalam penggunaan internet. Pengawasan dan pemantauan yang sewajarnya harus diamalkan ibu bapa supaya anak mereka tidak dirosakkan oleh isi kandungan internet yang boleh meracuni minda dan jiwa anak-anak.

Demikian juga “wartawan” internet atau pengamal media siber turut mempunyai peranan cukup besar dalam mencorakkan ‘konten’ atau isi kandungan yang mereka kendalikan.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : Berita Harian Online - 24/01/2014

15 Januari 2014

Majikan mesti utama pekerja warga tempatan

 Oleh : Manja Ismail

Peraturan baru di restoran makanan segera permulaan elak bergantung tenaga kerja asing

Keputusan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKA-PATI) minggu lalu yang melarang semua restoran berkonsep makanan segera menggaji warga asing, seharusnya menjadi langkah pertama ke arah mengurangkan kebergantungan kepada rakyat luar mengisi kekosongan dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara ini.

Majikan masih lagi mendakwa sukar mendapatkan rakyat tempatan dan pihak berkuasa pula dilihat terlalu cepat mengalah tanpa membuat kajian terperinci”
Benarkah dakwaan itu atau ia hanya alasan mereka yang mahu membayar gaji murah dan mengelak daripada menyediakan pelbagai kemudahan kepada pekerja seperti diperuntukkan oleh undang-undang buruh.

Kita memahami jika warga asing diambil bekerja di sektor perladangan, pembinaan dan pembantu rumah kerana kesukaran mendapatkan rakyat tempatan. Bagaimanapun, apabila warga asing sudah memenuhi pelbagai sektor sehingga memenuhi restoran, hotel, pasar raya, pasar malam, segala jenis kilang, gedung perabot, butik eksklusif dan hospital swasta, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar pekerjaan kita.

Itu belum termasuk ‘pelancong’ warga asing berkhidmat di ratusan pusat urut ‘kaki’ atau ‘pekerja’ malam dari pelbagai negara di kelab malam dan karaoke yang saban minggu diangkut dalam serbuan oleh pihak berkuasa. Begitu juga dengan pelayan warga India di kebanyakan restoran mamak yang bertukar pekerja setiap tiga bulan kerana tamat tempoh lawatan sosial.

JKKA-PATI berpendapat kemahiran memasak di restoran makanan segera tidak tinggi atau sukar berbanding restoran biasa kerana kaedah penyediaannya mudah dipelajari melalui latihan.
Faktor gaji, layanan majikan

Kita percaya banyak lagi sektor lain selain restoran makanan segera diminati oleh rakyat tempatan jika gaji, layanan majikan, persekitaran dan waktu bekerja tidak seperti yang dikenakan ke atas warga asing.

Sepuluh tahun lalu kita boleh terima alasan majikan bahawa rakyat tempatan terutama Melayu hanya berminat ‘makan gaji’ di pejabat berhawa dingin. Tetapi, jika itu masih lagi jadi alasan sekarang, majikan sedemikian hanya mahu mengelak menggaji rakyat tempatan kerana terpaksa menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti diperuntukkan oleh undang-undang.

Kita percaya jika majikan berusaha bersungguh-sungguh mencari rakyat tempatan dan menyediakan persekitaran kerja yang sesuai, masalah mengisi kekosongan tidak timbul terutama ketika ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu sekarang.

Kenapa pusat peranginan di Genting Highlands mampu mengekalkan ribuan pekerja dari kalangan belia tempatan walaupun lokasinya agak jauh di puncak gunung? Jawapannya ialah selain gaji yang menarik, kakitangannya disediakan pelbagai kemudahan seperti tempat tinggal, elaun makan, malah masjid dan surau kepada pekerja Islam.

Tidak mengenali Gen Y

Dakwaan kononnya belia tempatan tidak meminati kerja yang dilakukan warga asing bukan saja mitos untuk mewajarkan pengambilan rakyat luar, tetapi mereka yang percayakannya tidak mengenali generasi muda atau Gen Y ini.

Satu contoh kecil ialah perkhidmatan gunting rambut yang selama ini jarang dilakukan oleh belia tempatan kecuali di salun unisex. Kalau premis digelar kedai gunting rambut lelaki, terutama di Lembah Klang, sebahagian besar pekerjanya sekarang ialah dari selatan India.

Bagaimanapun, apabila artis Rap, Joe Flizzow memperkenalkan Joe`s Barbershop di Subang Jaya, ia bukan saja mendapat sambutan hangat dalam kalangan Gen Y, malah mengangkat martabat kerjaya penggunting rambut itu sendiri sehingga menarik minat belia Melayu untuk menceburi bidang itu.

Status selebriti Joe mungkin membantu melariskan perniagaan itu sehingga satu lagi cawangan dibuka di Taman Tun Dr Ismail dan mungkin dikembangkan ke seluruh negara.

Kebanyakan penggunting rambut lelaki di kedai itu ialah lepasan sekolah latihan TEMPATAN termasuk dari Institut Kemahiran MARA. Walaupun harga gunting di situ RM20 berbanding RM10 hingga RM20 di kedai mamak, pelanggan sanggup tunggu giliran berjam-jam.

Anehnya, majikan masih lagi mendakwa sukar mendapatkan rakyat tempatan dan pihak berkuasa pula dilihat terlalu cepat mengalah tanpa membuat kajian terperinci.

Keputusan JKKA-PATI meminta majikan restoran makanan segera menggaji rakyat tempatan seharusnya menjadi permulaan berakhirnya pergantungan kita kepada rakyat asing.

Sumber : Berita Harian Online -14/01/2014

1 Januari 2014

Berjimat azam terbaik harungi 2014

Oleh : Manja Ismail

Walaupun malam menyambut kedatangan 2014 lusa diancam dengan penganjuran perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan, kita menaruh kepercayaan penuh kepada polis untuk menanganinya dengan tegas serta memastikan pelbagai acara sambutan nanti berjalan lancar dan selamat.

Agak malang bagi rakyat Malaysia kali ini kerana terpaksa menyambut kedatangan tahun baru dalam kebimbangan berikutan agenda tindakan kumpulan yang tidak menghormati undang-undang dan menghargai keamanan itu. Tahun baharu seharusnya disambut dengan keriangan dan azam untuk kebaikan.

Bagaimanapun, kebimbangan sebenar rakyat terutama yang berpendapatan rendah ialah bagaimana untuk menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup tahun depan. Kenaikan tarif elektrik mulai 1 Januari dan kemungkinan kadar tol di beberapa lebuh raya turut dinaikkan, pasti mendorong peniaga menaikkan harga perkhidmatan dan barangan.

Sementara rakyat mungkin memahami rasional kenaikan tarif elektrik seperti mereka terpaksa menerima kenaikan harga petrol baru-baru ini, mereka juga berharap pihak berkuasa berkaitan bertindak tegas terhadap peniaga yang menaik harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.


Bukan amaran kosong
Dalam erti kata lain, mereka tidak mahu lagi mendengar kenyataan yang hanya memberi amaran kosong kepada peniaga yang menjadikan kenaikan kadar elektrik dan tol sebagai alasan menaikkan harga barangan serta perkhidmatan berkali ganda.

Bagi sebahagian besar rakyat yang menerima kesan daripada kenaikan itu, tidak ada azam tahun baru yang lebih baik daripada tekad untuk berjimat dan berbelanja dengan berhemat. Bagi meringankan beban keluarga, mereka juga mungkin mencari sumber pendapatan tambahan seperti berniaga kecilan atau bekerja tambahan.

Kedatangan 2014 turut menjanjikan keriangan yang sedikit sebanyak boleh mengubati keresahan rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup. Bermula Februari, kira-kira 5.9 juta isi rumah dan dua juta individu belum berkahwin, akan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bajet 2014 menetapkan kadar bayaran BR1M kepada isi rumah, dinaikkan daripada RM500 kepada RM650. Individu belum berkahwin berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan, akan menerima RM300 berbanding RM250 sebelum ini, manakala warga tua berusia 65 tahun ke atas dan tinggal seorang diri, akan menerima RM650.

Mulai tahun depan juga, semua 10,019 sekolah kerajaan akan dilengkapkan dengan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi. Sekolah di kawasan bandar akan menggunakan talian optik fiber dengan kelajuan empat megabit sesaat, manakala sekolah di luar bandar dilengkapi rangkaian VSAT pada kelajuan 2Mbps. Projek di bawah 1BestariNet ini akan menyediakan kemudahan pembelajaran maya, sekali gus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah kerajaan.


Sasar 28 juta pelancong

2014 ialah Tahun Melawat Malaysia dengan kerajaan menyasarkan ketibaan 28 juta pelancong yang dijangka menjana pendapatan RM76 bilion. Pengalaman tahun melawat Malaysia sebelum ini menunjukkan ia memberi kesan langsung kepada pendapatan rakyat khususnya yang terbabit dalam bidang perkhidmatan, pengangkutan dan hospitaliti.

Bagi rakyat Pantai Timur, khususnya Terengganu, 2014 mungkin mengakhiri penantian mereka sejak tiga penggal pilihan raya lalu untuk menikmati lebuh raya sebenar dari Jabor ke Kuala Terengganu. Berdasarkan laporan terbaru, yang memetik Menteri Kerja Raya baharu, Datuk Fadillah Yusof, semua 16 pakej fasa dua Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Projek bermula pada 2004 dan dijadualkan siap pada 2009 itu sudah ditangguhkan beberapa kali berikutan kegagalan kontraktor yang terbabit dalam pakej kendalian Jabatan Kerja Raya. Anehnya, 30 peratus daripada projek itu sejauh 64 kilometer oleh AlloyMtd di bawah kelolaan Lembaga Lebuhraya Malaysia, siap lebih awal.

Walaupun beberapa menteri kerja raya sebelum ini pernah memberi jaminan serupa LPT2 belum juga siap, rakyat Terengganu tetap menaruh keyakinan kepada janji terbaru itu. Sekurang-kurangnya ada berita baik buat mereka pada 2014.

Sumber : Berita Harian Online - 31/12/13

23 Disember 2013

Penyatuan nasional pulih hubungan kaum

 Oleh : Jeniri Amir

Pada malam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengusulkan penyatupaduan nasional. Konsep itu dikemukakan ekoran kerisauan beliau sesudah melihat pola pengundian yang mengarah kepada polarisasi kaum. Polarisasi kaum tidak baik untuk Malaysia yang sekian lama bangga dengan hubungan etnik yang aman dan harmoni.

Ramuan terbaik perlu dicari bagi mengelakkan polarisasi kaum daripada memburuk dan memastikan perpaduan nasional terus dapat diperkukuhkan. Jawapan kepada semua itu ialah penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) baru-baru ini.

Dengan landskap sosiopolitik yang sudah berubah ekoran peningkatan kadar celik huruf dan politik, pendedahan kepada media baru, pertambahan golongan kelas menengah, serta kadar perbandaran yang meningkat memberi kesan kepada trend pengundian dalam pilihan raya. Perbincangan rakyat mengenai pelbagai isu yang dulu dianggap sensitif tidak lagi dapat dikawal, apatah lagi dengan adanya media baru.

Kenyataan sentuh isu sensitif

Rakyat Malaysia tidak segan memperkatakan sesuatu tanpa mengendahkan sama ada ia menghiris perasan etnik dan agama lain atau tidak. Akta Hasutan seolah-olah tidak memberi rasa gerun kepada golongan ini dengan terus menyentuh isu sensitif, emotif dan provokatif meskipun menyedari implikasi negatif kepada hubungan etnik.
Mereka bertikam lidah terutama di alam maya, tetapi sering bertindak ‘tikam batu sembunyi tangan.’ Keterbukaan dan kebebasan bersuara di alam maya bagai tidak disekat dan perselisihan pendapat ini sering menimbulkan salah tanggapan sesetengah orang, seolah-olah hubungan etnik di negara ini teruk walhal apa yang berlaku di alam maya tidak semestinya mencerminkan realiti sosial dalam hubungan seharian. Masyarakat pelbagai etnik masih lagi duduk semeja di kedai mamak, mengunjungi rakan dan kaum lain waktu perayaan atau majlis perkahwinan.

Isu membabitkan kepentingan kaum, bangsa, agama, budaya, perlembagaan dan ekonomi jika tidak dikawal boleh membakar hati dan negara kita. Perbincangan terbuka, jujur dan profesional dalam MKPN amat dituntut untuk mencari penyelesaian terbaik.

Hubungan etnik di negara ini mengalami keadaan turun naik, kecuali beberapa kejadian seperti 13 Mei 1969 dan dua tiga lagi kejadian lain, hubungan etnik di negara ini padanya aman dan harmoni. Kita sedang menuju kesepaduan dan perpaduan sosial.

Pendekatan pulih hubungan

Pelbagai langkah kerajaan sejak Majlis Gerakan Negara ditubuhkan membuahkan hasil, termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, penggunaan bahasa kebangsaan, dan seumpamanya. Meskipun demikian, ada pihak menganggap hubungan etnik di negara ini rapuh sifatnya bagai api dalam sekam, bila-bila masa saja boleh berlaku ketegangan dan konflik.

Kita sedar bahawa kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati pada hari ini berkat kestabilan sosial dan politik sejak kemerdekaan. Percakaran memang berlaku. Tetapi keharmonian hubungan etnik dan kesepaduan sosial memungkinkan kita mencapai kemajuan dari segi politik, ekonomi, sosial, pelancongan dan seumpamanya.

Kita perlu terus mempertahankan keadaan itu bagi menentukan survival Malaysia. Kita perlu mencari persamaan daripada perbezaan, kerana kita tidak dapat lari daripada realiti hidup dalam kesatuan dan kepelbagaian. Malaysia berada pada tangga ke-19 dalam Global Peace Index 2011 meskipun negara ini terdiri daripada pelbagai etnik. Negara lain yang mengatasi Malaysia pada amnya bersifat homogenus dari segi demografi. Kita perlu berbangga dengan pencapaian itu dan terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kita.

Membina masyarakat yang teguh dari segi kesepaduan sosial dan integrasi nasional memakan masa panjang. Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia tidak mungkin hidup bagai sebuah pulau sebaliknya kita saling bergantung dalam setiap kegiatan dan perkara. Kesepaduan sosial boleh dicapai melalu akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi dalam pergaulan seharian, kebudayaan, makanan dan perkahwinan.

Segala cabaran pada peringkat tempatan, nasional dan global bergantung kepada daya ketahanan kita yang ditentukan kestabilan sosiopolitik hasil kesepaduan sosial dan perpaduan nasional. Kesepaduan sosial prasyarat perpaduan nasional yang menjadi matlamat jangka panjang negara.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Sumber : Berita Harian Online

Mencapai matlamat masyarakat maju

KOS sara hidup yang tinggi adalah ‘bayaran’ yang mahal kepada pembangunan sesebuah negara yang tidak seimbang. Ketidakseimbangan dalam pembangunan berlaku apabila kemajuan sesebuah negara yang direncana hanya memberi manfaat kepada segelintir ahli masyarakat yang berkepentingan manakala masyarakat lain selebihnya terpaksa hidup dalam satu sistem yang menyokong segelintir masyarakat yang berkepentingan ini.
Pembangunan yang tidak seimbang memecah-belahkan masyarakat kepada dua kumpulan utama yang ketara perbezaaan sosioekonominya iaitu golongan yang berpendapatan tinggi dan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Golongan berpendapatan sederhana lazimnya tersepit di antara kumpulan yang kaya dan kumpulan yang miskin apabila kedudukan sosioekonomi mereka lebih menghampiri kumpulan miskin tetapi jauh daripada kumpulan kaya. Bahkan kumpulan ini cenderung untuk menjadi golongan yang mudah miskin.
Sistem yang memperhambakan manusia untuk berhutang seumur hidup menjadi pegangan utama negara-negara seluruh dunia. Ini termasuklah negara-negara maju yang sering dijadikan contoh tauladan untuk memajukan negara. Selain itu peningkatan harga barangan keperluan asas termasuklah makanan, tempat tinggal, rawatan dan lain-lain semakin meningkat. Ditambah dengan pelbagai jenis bayaran yang perlu dilunaskan mencengkam hidup sebahagian besar masyarakat demi mencapai matlamat sebagai sebuah negara maju.
Sebuah negara maju bukanlah semata-mata berdasarkan kepada teknologi atau infrastruktur yang maju, akan tetapi yang lebih penting adalah terdiri daripada sebuah masyarakat yang maju. Di antara ciri-ciri utama masyarakat maju ialah masyarakat yang kurang bebanan kewangan. Bebanan kewangan yang kurang membawa maksud akses kepada keperluan asasi hidup dengan lebih mudah, tidak berhutang dengan jumlah yang terlalu besar ataupun mempunyai jadual ansuran dalam jangka masa yang lama, mengalami pertumbuhan pendapatan yang berpatutan serta mempunyai kuasa membeli yang munasabah.
Ciri kedua masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mempunyai nilai moral yang tinggi. Tahap pendidikan bukanlah prasyarat kepada seseorang individu untuk mempunyai nilai moral yang tinggi. Hakikatnya individu yang berpendidikan tinggi juga cenderung untuk mempunyai nilai moral yang rendah apabila mengambil kesempatan di atas ‘kebijaksanaan’ yang dimiliki. Nilai moral yang dimaksudkan termasuklah menghormati sesama manusia, mematuhi undang-undang agama dan negara, bersopan santun termasuklah di jalan raya dan lain-lain.
Ketiga, masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mempunyai sistem jaringan sosial yang kukuh. Sistem ini bermula daripada unit yang paling kecil iaitu institusi keluarga. Keluarga menjadi pusat pertama pendidikan generasi akan datang. Kekukuhan institusi keluarga merupakan jaminan hak asasi seorang manusia. Dalam konteks keluarga, ibu bapa memainkan peranan besar untuk membimbing anak-anak mengatur kehidupan mereka.
Panduan yang dibekalkan kepada anak-anak tidak semestinya bersifat perintah-akur. Pendekatan sebab-akibat perlu diterapkan dalam proses membentuk jatidiri anak-anak agar merasa lebih disayangi dan dihargai sebagai seorang manusia yang mempunyai kemahuan dan pendapat. Hal demikian kerana anak-anak adalah golongan yang mudah rapuh dan cenderung melakukan kesilapan berdasarkan tahap kematangan mereka. Justeru, usah mudah untuk menghukum apatah lagi membiarkan anak-anak terumbang-ambing kerana kesilapan mereka kerana hakikatnya kesalahan tersebut juga datang daripada ibu bapa.
Sistem jaringan sosial yang kukuh seterusnya memperlihatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat seperti saudara-mara dan jiran tetangga. Jalinan sosial yang erat memperlihatkan masyarakat saling mengambil berat di antara satu sama lain termasuklah hal-hal berkaitan pencegahan jenayah, kemiskinan yang tidak dilapor, gotong royong dan saling tegur-menegur demi kebaikan.
Keempat, masyarakat yang maju terdiri daripada masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan tidak semestinya beroleh di dalam bilik darjah, bahkan ilmu juga boleh dipelajari daripada kemahiran dalam bidang tertentu dan juga alam sekeliling. Dengan keazaman yang tinggi kemahiran juga boleh menjadi jalan kepada mencapai kejayaan dalam hidup termasuklah kejayaan dalam ekonomi sebagaimana golongan profesional yang lain.
Akhirnya, masyarakat yang maju ialah masyarakat yang bersedia untuk melakukan inovasi termasuklah mengambil kira pandangan orang lain. Di dalam sesebuah organisasi misalnya, majikan perlu bersedia membuka peluang generasi baru memberikan pandangan dan mencuba kaedah yang berbeza dalam produktiviti. Begitu juga halnya dengan pemerintahan sesebuah negara perlu melihat dalam konteks masyarakat umum yang lazimnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Proses mengasimilasasikan ciri-ciri ini ke dalam masyarakat sudah pastinya memakan masa akan tetapi boleh dilakukan dengan kerjasama semua pihak. Membentuk masyarakat maju seharusnya diutamakan kerana apabila tercapainya hasrat ini maka dengan sendirinya matlamat sebagai sebuah negara maju itu dapat dicapai.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat
Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : Utusan Online.

19 Disember 2013

Waspada konsep demokrasi liberal

Oleh :  Shamrahayu A. Aziz

Hak kebebasan jadi umpan cabar kedaulatan negara

Hanya kemerdekaan dan kedaulatan yang boleh menjadikan sesebuah negara itu dipandang tinggi dan dihormati di mata dunia. Kemerdekaan dan kedaulatan dalam bahasa mudah membawa erti kekuasaan negara dalam mengendali, mentadbir urus negara, menentukan hala tuju negara serta meletakkan kewajipan ke atas setiap rakyatnya.

Bagi negara kita, kemerdekaan dan kedaulatan negara bukan mudah untuk diperoleh. Ia bukan jatuh dari langit atau datang bergolek tanpa tumpahnya darah dan air mata. Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa perkara yang menunjangi kemerdekaan dan kedaulatan negara ialah kesetiaan rakyat kepada negaranya. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi serta semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara menjadi faktor utama dalam mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Berkaitan dengan kedaulatan negara, perkara berkaitan pengintipan sudah beberapa kali disiarkan media. Sudah tentu perkara ini membimbangkan. Mungkin ini adalah antara kesan atau masalah globalisasi yang sedang hebat melanda dunia kita. Ia seolah-olah tidak boleh dielakkan lagi.

Namun, sekiranya benar, atas apa alasan sekalipun, pengintipan itu dilakukan, ia adalah pencerobohan ke atas kedaulatan negara. Oleh itu, isu pengintipan ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Selain daripada isu pengintipan dan kedaulatan negara, kita juga perlukan penghayatan yang jelas mengenai kesetiaan kepada negara oleh warga negara kita sendiri.

Setia kepada negara
Perkara ini begitu penting kerana hanya kecintaan dan kesetiaan kepada negara yang boleh menjamin kekalnya kemerdekaan dan kedaulatan negara. Perkara penting untuk kita perkukuh ialah kesetiaan dan kecintaan kita kepada negara. Setiap individu warga Malaysia menggalas tanggungjawab menjaga kemerdekaan dan kedaulatan negara pada setiap masa.

Oleh yang demikian, ketahanan diri, pendirian yang jelas dan jati diri yang berlandaskan kekuatan mental dan spiritual serta ketinggian akhlak akan memperkasa dan mengekalkan kekuatan negara. Dalam perkembangan semasa terutama dalam era digital dan dunia maklumat, kedaulatan negara menjadi satu perkara besar.

Perkembangan semasa dalam maksud demokrasi juga perlu difahami dengan jelas oleh setiap warga. Demokrasi yang dicanang kepada rakyat menggambarkan mengenai kebebasan. Kebebasan itu pula digambarkan sebagai segala-galanya dalam kehidupan manusia. Demokrasi dijadikan umpan untuk mencabar kedaulatan negara.

Atas dasar demokrasi pelbagai perkara sudah dicanang. Sebagai contoh, atas dasar demokrasi dicanangkan hak kebebasan bersuara dan juga kebebasan untuk mendapatkan maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia negara. Di bawah tiket demokrasi itu kelihatan seolah-olah ada keghairahan dalam kalangan warga untuk mendapatkan atau membongkar rahsia negara. Sekiranya rahsia negara itu telah didapati dan seterusnya didedahkan, ia adalah seolah-olah satu kejayaan besar demokrasi dan kebebasan bersuara.

Fahami konsep demokrasi

Kita hendaklah sedar bahawa hak asasi dijadikan tema mengembangkan demokrasi liberal yang lebih mementingkan kebebasan individu yang begitu luas dan seolah-olah tanpa sempadan yang jelas, sedangkan dalam konsep demokrasi sebenar, masih ada ruang untuk mengawal kebebasan itu. Demokrasi sebenar itu, walaupun menjamin kebebasan, tidak memberikan kebebasan yang sangat luas atau sepenuhnya.

Tidak dapat kita nafikan mengenai keperluan mendedahkan maklumat negara kepada khalayak bagi meletakkan sikap kebertanggungjawaban kerajaan.

Namun, ini tidak bermaksud konsep kebertanggungjawaban itu bertujuan mendedahkan negara kepada campur tangan lain dalam kedaulatan negara. Kita hendaklah berhati-hati dalam menerima konsep seperti demokrasi liberal ini.

Bagi memastikan kita tidak terleka dengan ‘inovasi’ dalam konsep demokrasi serta kebebasan tanpa sempadan, kita hendaklah mempunyai jati diri tinggi dengan meletakkan kecintaan dan kesetiaan kepada negara pada tempat paling tinggi. Setiap warga Malaysia hendaklah sedar bahawa kedaulatan itu hanya dipegang oleh kita yang tidak tunduk kepada kekuasaan orang lain serta tidak diganggu gugat oleh kehendak orang lain.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berpaksikan kepada kecintaan dan kesetiaan kepada negara dengan penuh kesedaran mengenai pentingnya kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim 

Sumber : Berita Harian Online -18/12/2013

7 November 2013

Sains mampu maju dengan bahasa Melayu

 Oleh : Teo Kok Seong

Hasrat kepemimpinan negara untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan sepuluh negara teratas, berdasarkan Petunjuk Daya Saing Dunia dan Inovasi Global pada 2020 melalui usaha menukarkan pengetahuan sains kepada tindakan yang boleh dimanfaatkan, bukan sahaja perlu dipuji tetapi harus disambut baik.

Melalui usaha ini, kerajaan berhasrat mempergiatkan penerapan pengetahuan sains dan teknologi untuk membangunkan negara ini. Penerapan ilmu sains akan membawa kepada kejayaan dalam penghasilan ciptaan baharu dan inovasi ke atas ciptaan lampau.
Usaha ini juga akan membantu pengurusan bidang sains dan teknologi selain perindustrian negara supaya lebih berkesan dan sejajar dengan Model Ekonomi Baru, iaitu satu daripada pelan transformasi untuk menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.


Kebolehan mencipta, menyebar dan menggunakan pengetahuan sains, teknologi dan keusahawanan, bukan saja akan memberi banyak kebaikan kepada negara tetapi juga mempertingkat kesejahteraan hidup rakyat dari pelbagai segi, termasuk pemerolehan kekayaan.

Hasrat ini dan pelaksanaannya nanti pasti akan dipertikai oleh beberapa pihak kalau dilakukan dalam bahasa Melayu walaupun ia adalah bahasa negara ini. Apabila judul sains dan teknologi disentuh untuk apa-apa juga tujuan, pihak tertentu akan mengaitkannya dengan kepentingan bahasa Inggeris.


Keupayaan dipertikai
Maka akan timbul satu lagi kitaran polemik mengenai keupayaan bahasa Melayu untuk memajukan rakyat dan negara ini. Kontroversi yang bakal timbul antara yang memihak kepada bahasa Melayu atau kepada bahasa Inggeris, akan menambahkan lagi kekeliruan rakyat mengenai peranan bahasa Melayu dalam pembinaan peradaban Malaysia, lebih-lebih lagi dalam kemajuan sains dan teknologi.

Ia juga akan mewujudkan perpecahan linguistik di mana satu kelompok mempercayai bahasa Inggeris sahaja yang boleh membawa kemajuan kepada dunia manakala kelompok satu lagi meyakini bahasa Melayu mampu mengilmukan rakyat dalam bidang sains dan teknologi serta memajukan negara ini dalam segala bidang.


Kepentingan ciptaan, inovasi

Walau apa pun hujah yang bakal dikemukakan, yang penting dalam konteks pelaksanaan penerapan ilmu sains ialah hasil ciptaan dan inovasi. Komunikasi mengenai hasil, termasuk penyampaian ilmu sains itu sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu tidak sepenting ciptaan dan inovasi itu sendiri.
Ini bermakna soal daya cipta dan inovasi, bukan persoalan bahasa akan menjadi penentu daya saing sains dan teknologi sesuatu bangsa atau negara.

Bagi konteks kemajuan bidang sains dan teknologi ini, baik dalam negara mahupun di persada dunia, kemampuan kita menghasilkan ciptaan dan inovasi demi kesejahteraan warga sendiri dan juga dunia, adalah jauh lebih penting daripada bahasa yang digunakan untuk mewujudkan penghasilan itu.

Justeru, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi negara tidak seharusnya dijadikan persoalan. Bahasa wahana untuk menyampai dan menyebarkan pemikiran.

Bagaimanapun, bahasa Melayu dengan tarafnya yang tinggi sebagai bahasa ilmu, memang mampu melakukan tugas ini, termasuk pada peringkat pengajian tinggi. Ia kerana bahasa Melayu selepas dibangunkan Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1956, memiliki dua aspek linguistik yang penting.

Pertama ialah kecendekiaan, iaitu cara untuk mengungkapkan pemikiran rumit dan secara bersambungan. Ini dimungkinkan oleh nahu bahasa Melayu yang sudah dibakukan, selain kosa katanya yang senantiasa bertambah.

Kedua ialah kesempurnaan, iaitu unsur menjadikan bahasa Melayu tepat dan berkesan semasa digunakan kerana sifatnya yang lentur, yakni senang disesuaikan dengan pelbagai bahasa.

Dengan sifatnya sebegini, bahasa Melayu memang mampu memajukan rakyat dan juga negara ini. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa meyakini dan melindunginya.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : Berita Harian Online - 6/11/2013

28 Oktober 2013

GST Sistem Percukaian Yang Adil - Pakar



Oleh Chandravathani Sathasivam

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan satu sistem percukaian adil kerana ia mengagihkan beban percukaian dalam kalangan kelompok penduduk secara lebih meluas berdasarkan jumlah penggunaan serta menetapkan jenis dan kuantum cukai yang perlu dibayar seseorang pengguna bagi barangan dan perkhidmatan yang digunakannya, kata seorang pakar.

Ketika ini, negara terlalu bergantung pada cukai pendapatan individu dan badan korporat. Daripada lebih kurang 28 juta penduduk Malaysia sekarang, tidak sampai dua juta adalah pembayar cukai pendapatan.

Prof Dr Shazali Abu Mansor daripada Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata sistem percukaian yang diperkenalkan ini lebih telus kerana pengguna mengetahui jenis cukai yang mereka bayar serta jumlahnya.

"Orang miskin tidak perlu bimbang kerana mereka hanya membayar jumlah minimum, memandangkan mereka menggunakan barangan dan perkhidmatan perlu sahaja seperti makanan, pengangkutan dan pendidikan, yang mungkin sifar kadarnya dan pengguna tidak perlu membayar cukai tambahan.

"Jadi, cukai dikenakan terhadap mereka yang mampu berbelanja sahaja. Memandangkan golongan lebih berada dan kaya menggunakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan, maka secara automatik, merekalah yang paling banyak dikenakan cukai di bawah GST, bukan golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Bernama.

Sambil menyatakan bahawa GST sepatutnya dilaksanakan sejak lama dahulu, Prof Shazali mengingatkan pihak yang masih mempunyai keraguan supaya melihat kes kejayaan GST di seluruh dunia serta memahami betapa perlunya GST turut dilaksanakan di negara ini.

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi(OECD), kini GST dilaksanakan di lebih 150 negara, termasuk 33 daripada 34 negara anggota OECD.

Penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata melalui pelaksanaan GST, kerajaan akan memperoleh hasil mencukupi bagi menjana pertumbuhan dan membiayai lebih banyak projek pembangunan.

"Untuk membolehkan Malaysia mencapai stautus negara maju menjelang 2020, kerajaan perlu melakukan reformasi terhadap sistem percukaian sedia ada bagi memacu perniagaan dan pembangunan.

"Reformasi percukaian seperti memperkenalkan GST, mungkin mengundang banyak kritikan pada peringkat awalnya, namun dari segi ekonomi, ia merupakan suatu keputusan tepat," kata dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia ini.

Bagaimanapun, kata Dr Mohd Azizuddin, kerajaan perlu menghalang kenaikan harga barangan bagi memastikan ia tidak membebankan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

Sementara itu, Prof Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak pula berkata pelaksanaan GST tepat pada masanya, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"GST merupakan satu sistem percukaian yang menyeluruh, cekap dan komprehensif, yang mana ia dapat menjana pendapatan yang baik kepada negara, tapi pada masa yang sama, tidak membebankan rakyat," katanya.

Barjoyai, yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang percukaian dan Sarjana dalam bidang Pentabiran Industri, berkata Malaysia, yang dianggap sebuah negara maju di rantau ini, akan ketinggalan jika masih mengguna pakai sistem cukai sedia ada memandangkan Indonesia, Singapura, Kemboja dan Vietnam telah lama melaksanakan GST.

Katanya pengguna harus sedar bahawa melalui pelaksanaan GST, harga sesuatu barangan dan perkhidmatan adalah rendah berbanding di bawah pelaksanaann sistem percukaian cukai sedia ada kerana ia mengelakkan cukai berganda.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abd Rahman pula mencadangkan agar kerajaan melaksanakan lebih banyak aktiviti penerangan seperti forum mengenai GST di bandar dan luar bandar bagi menggelak wujudnya salah tanggapan dan kekeliruan orang ramai serta menangkis dakwaan sesetengah pihak kononnya GST akan membebankan pengguna.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan buku panduan harga yang menunjukkan perbezaan harga barangan dan perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan GST.

-- BERNAMA

26 Oktober 2013

INTI PATI BAJET 2014




KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Berikut ialah inti pati Bajet 2014 bertema 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji' yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini.

* Ekonomi domestik diunjur berkembang lebih kukuh antara 5 peratus dan 5.5 peratus.

* Kadar pengangguran dianggarkan pada 3.1 peratus manakala kadar inflasi kekal rendah antara 2 peratus dan 3 peratus.

* Eksport barangan diunjur berkembang 2.5 peratus berdasarkan permintaan luar yang semakin meningkat manakala bagi bekalan, sektor permintaan dijangka berkembang 9.6 peratus.

* Pendapatan per kapita pada 2014 dijangka mencecah RM34,126 berbanding RM24,879 pada 2009, peningkatan 37 peratus dalam tempoh enam tahun.

* Tidak mustahil Malaysia akan merealisasikan status negara maju lebih awal daripada 2020.

* Bajet 2014 akan memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek

* Daripada jumlah ini, RM217.7 bilion diperuntukkan untuk Peruntukan Operasi manakala RM46.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

* Pada 2014, kutipan perolehan Kerajaan Persekutuan dianggarkan RM224.1 bilion, peningkatan sebanyak RM4 bilion berbanding 2013.

* Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan akan susut seterusnya daripada 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

* Pelaburan swasta dijangkakan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus kepada KDNK, terutama dalam industri minyak dan gas, industri tekstil, peralatan pengangkutan dan pembangunan hartanah.

* Pelaburan awam dianggar mencecah RM106 bilion.

* Projek-projek yang akan dilaksanakan termasuk Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316-kilometer.

* Projek pembinaan landasan kereta api berkembar dari Ipoh ke Padang Besar, Gemas ke Johor Bahru.

* Projek-projek yang dilaksanakan oleh Petronas termasuk Projek Ammonia Urea Sabah di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; projek loji regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID, Pengerang.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi pembangunan di lima wilayah koridor ekonomi.

* Projek Agropolitan dan industri berasaskan kelapa sawit akan dilaksanakan di Koridor Pembangunan Sabah, Taman Perindustrian Samalaju dan hab Halal di Koridor Wilayah Sarawak.

* Pelan Induk Sektor Perkhidmatan akan dilancarkan tahun depan.

* Pelan Induk Sektor Logistik dan Dasar Penerbangan Nasional akan digubalkan.

* Memperuntukkan pinjaman mudah RM3 bilion di bawah Dana Pembangunan Maritim menerusi Bank Pembangunan Malaysia.

* Menggantikan sistem pengurusan trafik udara sedia ada di Subang, pusat pengurusan trafik udara baharu dengan kos RM700 juta akan dibina di KLIA.

* Menaik taraf lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah dengan peruntukan RM312 juta.

* Terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Kuantan akan dinaik taraf.

* Melaksanakan fasa kedua projek HSBB dengan kerjasama sektor swasta melibatkan pelaburan RM1.8 bilion.

* Kelajuan Internet akan dinaikkan kepada 10 Mbps.

* Meningkatkan liputan Internet di kawasan luar bandar, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan RM1.5 bilion.

* Bagi meningkatkan akses Internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut akan dipasang dalam tempoh tiga tahun, melibatkan kos RM850 juta.

* Bank Negara Malaysia akan mengetuai usaha merangka Akta Penyelesaian bagi melindungi hak penguat kuasa 'close-out netting' menerusi kontrak kewangan.

* Memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Indeks Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

* Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Tanggungjawab Sosial Instrumen Sukuk.

* Mewujudkan Dana SRI yang dilabur dalam syarikat senaraian.

* Valuecap akan memperuntukkan RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat yang menunjukkan prestasi tinggi dalam indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.

* Pejabat Pembangunan Usahawan Nasional akan ditubuhkan untuk merancang serta menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan.

* Menyediakan peruntukan RM50 juta kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

* Usahawan 1Malaysia (1MeT) yang komited akan diberi bimbingan lanjut di MaGIC.

* Kerajaan menyasar 5,000 usahawan muda di latih setiap tahun.

* Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global Ke-5 dari 7-9 Nov, 2013.

* Bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah yang akan diuruskan oleh SME Bank.

* Dana itu akan menyediakan pinjaman mudah sehingga RM500,000 pada kadar faedah empat peratus.

* Peruntukan RM120 juta bagi pakej bersepadu untuk meningkatkan inovasi dan produktiviti PKS.

* Melanjutkan beberapa insentif di bawah program Green Lane Policy sehingga 31 Dis, 2017.

* Perbezaan gaji minimum yang ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Jan, 2014 hingga 31 Dis, 2014, akan diberikan potongan cukai tambahan.

* Mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

* Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Kewangan akan menjalani proses penilaian prestasi berdasarkan Outcome-Based Budgeting (OBB).

* Membuat pengauditan ke atas projek bernilai melebihi RM100 juta.

* Potongan Cukai Bulanan sebagai Cukai Muktamad, akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

* Mewujudkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM akan menerajui inisiatif ini untuk mengelakkan pertindihan dan keciciran dalam pemberian bantuan kepada golongan sasar.

* Cukai jualan dan perkhidmatan akan dimansuhkan dan digantikan dengan dengan satu cukai sahaja yang dikenali sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

* Kadar GST ditetapkan pada 6 peratus dan akan berkuat kuasa mulai 1 April, 2015.

* GST tidak akan dikenakan bagi bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

* Perkhidmatan pengangkutan seperti bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan daripada GST.

* Kadar cukai pendapatan korporat akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan daripada 25 peratus kepada 24 peratus.

* Kadar cukai pendapatan bagi PKS akan dikurangkan sebanyak 1 mata peratusan daripada 20 peratus kepada 19 peratus daripada tahun taksiran 2016.

* Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan sebanyak 1 hingga 2 mata peratusan daripada tahun taksiran 2015.

* Yuran kesetiausahaan dan yuran pemfailan cukai dibenarkan sebagai potongan cukai daripada tahun taksiran 2015.

* Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberikan Elaun Modal Dipercepat sehingga tahun taksiran 2016.

*Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan sebanyak satu hingga tiga mata peratusan bagi semua pembayar cukai.

*Pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000.

*Kadar cukai maksimum semasa pada 26 peratus akan dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus.

*Langkah-langkah ini akan berkuat kuasa mulai tahun 2015.

*Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST akan diberi potongan cukai tambahan bagi tahun taksiran 2014 dan 2015.

*Geran latihan RM100 juta akan disediakan kepada perniagaan yang menghantar kakitangan menjalani latihan GST pada 2013 dan 2014.

*RM150 juta bantuan kewangan bagi PKS untuk membeli perisian perakaunan pada 2014 dan 2015.

*Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST.

*RM2.9 bilion diperuntukkan bagi projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan kemudiannya dilanjutkan ke Johor Baharu serta menaik taraf landasan kereta api seluruh negara.

* RM62 juta bagi kemudahan 'park and ride’ di stesen LRT, KTM Komuter dan ERL.

* RM15.3 juta bagi Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat bagi memastikan pengagihan teksi kepada penumpang dengan lebih cekap.

*RM28 juta bagi membina hentian akhir bandar dan menaik taraf perhentian bas serta kemudahan ‘drop-and-ride’.

*RM28 juta bagi membaik pulih tren Electric Multiple Unit bagi memastikan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan.

*RM20 juta bagi program Cabaran Perniagaan Luar Bandar.

*Pegangan ekuiti dan pemilikan hartanah Bumiputera akan ditingkatkan melalui Skim Jejak Jaya Bumiputera, Skim Amanah Saham Bumiputera 2 dan pengukuhan institusi hartanah Bumiputera.

*SME Bank akan menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera atau EquiBumi dengan peruntukan RM300 juta untuk menyediakan kemudahan pinjaman kepada syarikat Bumiputera yang berwibawa bagi mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

*Kemudahan pinjaman RM200 disediakan oleh SME Bank bagi program pembangunan semula Tanah Rezab Melayu di kawasan strategik.

*Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) akan diwujudkan dengan dana permulaan RM30 juta.

*Perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat utama, terutamanya GLC, akan diberi potongan cukai dua kali bagi meningkatkan pengukuhan program pembangunan vendor.

* Kemudahan pembiayaan pinjaman mudah bagi PKS daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (dana RM300 juta) dan TEKUN (dana RM700 juta).

* RM50 juta disediakan menerusi Skim Pembiayaan Muda India (SPUMI) di bawah TEKUN.

* Pinjaman juga disediakan bagi usahawan India Malaysia menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia.

* Cukai Keuntungan Hartanah dinaikkan kepada 30 peratus bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun.

* Harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

*223,000 unit rumah mampu milik akan dibina oleh kerajaan dan sektor swasta pada 2014.

*Kerajaan peruntuk RM578 juta bagi Jabatan Perumahan Negara (JPN) untuk membina 16,473 unit rumah Program Perumahan Rakyat.

*RM146 juta bagi JPN untuk membina 600 unit Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu.

*RM1 bilion bagi PR1MA untuk menyediakan 80,000 unit rumah pada harga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

*SPNB akan membina 15,122 unit rumah mampu milik, 3,000 unit Rumah Idaman Rakyat dan 8,000 unit Rumah Mesra Rakyat.

*Kategori baharu Rumah Mesra Rakyat diperkenalkan dengan harga jualan daripada RM45,000 hingga RM65,000 dan subsidi sebanyak RM15,000 hingga RM20,000 seunit.

*Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) diperkenalkan dengan subsidi RM30,000 kepada pemaju swasta untuk setiap rumah yang dibina.

*RM1 bilion untuk Dana Mudahcara Perumahan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

*Majlis Perumahan Negara ditubuhkan untuk mengukuhkan pasaran hartanah dan meningkatkan peluang bagi rakyat memiliki rumah.

*Peruntukan RM331 juta untuk meneruskan program penyeragaman harga dan pemberian subsidi termasuk kos pengangkutan di Sabah dan Sarawak.

*RM30 juta untuk membuka 60 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi membantu mengurangkan harga keperluan harian.

*Pelepasan cukai khas RM2,000 untuk pembayar cukai dengan pendapatan bulanan sehingga RM8,000 ke atas pendapatan 2013.

-- BERNAMA

11 Oktober 2013

Memartabatkan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi

MENTERI Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan menarik di Kangar, Perlis baru-baru ini dengan menyarankan kursus-kursus yang diajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menggunakan bahasa Melayu secara lebih meluas.
Ia selari dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPT belum berhasil sejak dilancarkan tiga tahun lalu.
Pelan lima tahun itu dirancang untuk memartabat dan mengukuhkan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta penerbitan di IPT.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu juga membayangkan suatu tekad politik (political will) yang tinggi supaya ia diberi respons oleh kepimpinan utama IPTA yang semuanya adalah orang Melayu.
Ia selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang memberikan tumpuan kepada menguasai dwibahasa - memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Ramai dalam kalangan kelompok menengah dan elit Melayu memandang remeh dan menghadapi masalah psikologi mengenai keupayaan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu, bahasa pengucapan dan penyelidikan dan beranggapan bahasa Inggeris adalah bahasa kemajuan dan perubahan.
Dasar yang ada tidak menafikan kepentingan memperkasa bahasa Inggeris tetapi meremehkan penggunaan bahasa Melayu di IPTA adalah suatu "dosa besar".
Negara-negara maju seperti Jerman, China, Jepun dan Korea menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk maju dalam bidang ilmu sains dan teknologi. Mereka mempunyai psiki tinggi dan memanfaatkan faedah berbanding dengan tamadun orang lain.
Saranan Muhyiddin supaya salah satu syarat kenaikan pangkat pensyarah ialah menulis buku ilmiah dan makalah dalam bahasa Melayu adalah tepat dan wajar. Ia bakal memberikan keberhasilan berimpak tinggi yang harus digerakkan oleh IPTA.
Pengalaman Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pertanian dan banyak lagi adalah bukti nyata bagaimana proses pemartabatan bahasa Melayu terjadi.
Graduan mereka di peringkat pasca-sarjana mampu pula melanjutkan pelajaran ke luar negara walaupun ada cabaran yang perlu ditempuhi.
Hari ini ramai yang kurang yakin bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu, pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan pengkaryaan. Banyak kursus cenderung diajar dalam bahasa Inggeris.
Seruan Muhyiddin itu adalah perkara dasar. Kepimpinan IPTA harus respons secara positif kerana langkah Kementerian Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris adalah baik untuk generasi hari depan.
Inilah sebenarnya cabaran transformatif yang perlu diambil selari dengan peruntukan Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan 1996 yang ingin memartabatkan bahasa Melayu.
Salah satu cabaran transformatif itu ialah binaan jati diri Malaysia. Bahasa Melayu tidak saja dijadikan bahasa ilmu tetapi ia adalah bahasa perpaduan. Pemartabatan bahasa Melayu di IPTA membolehkan generasi muda menguasai ilmu dari jendela berfikir bahasa Melayu yang mendukung etos Malaysia.
Hatta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia umumnya harus serius memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi supaya ada manfaat berbanding yang diperolehi di Malaysia terutama dalam memahami cara berfikir dan budaya orang Malaysia.
Datuk Seri Idris Jusof yang terkenal dengan daya inovatifnya mampu melakukan ini di peringkat IPTA. Datuk Seri Prof. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian boleh membantu kerana semasa beliau menjadi Naib Canselor UTM, kursus-kursus, tesis desertasi dan penerbitan buku-buku banyak diajar dan ditulis dalam bahasa Melayu.
Tulisan ini bukan bermakna ia menghalang proses pemerkasaan bahasa Inggeris. Faktor globalisasi yang berlaku memerlukan bahasa Inggeris dikuasai dengan baik.
Tetapi apa yang terjadi di IPTA adalah pemerkasaan bahasa Inggeris menyebabkan bahasa Melayu terpinggir. Ia menuntut tekad tinggi yang bijaksana supaya yang dikejar dapat, yang dikendung tidak cicir.

Sumber : Utusan Online - 11/10/2013

6 Oktober 2013

Ekonomi AS runcing, kadar hutang tinggi

KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) kini dalam keadaan setengah lumpuh. Beberapa jabatan kerajaan persekutuan terpaksa dihentikan operasi kerana ketiadaan peruntukkan selepas Parti Demokrat dan Republikan tidak mencapai kata sepakat di Kongres untuk untuk menaikkan kadar siling hutang negara.
Mulai 1 Oktober lalu, kira-kira 800,000 daripada 1.2 juta kakitangan kerajaan persekutuan dipaksa mengambil cuti tanpa gaji sehingga kerajaan mendapat peruntukkan tambahan tersebut. Ini mengakibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan, (400,000 kakitangan), Jabatan Perdagangan (30,000 kakitangan), Jabatan Pengangkutan (18,000 kakitangan) dan Jabatan Tenaga (12,000 kakitangan) tidak dapat beroperasi. Penutupan itu juga membuatkan kerajaan kerugian AS$1 bilion (RM3.23 bilion) seminggu.
Ini adalah kali kedua selepas era Bill Clinton pada 1995 mengalami keadaan yang sama dan operasi kerajaan tergantung selama 21 hari. Kali ini Presiden Barack Obama menerima tamparan hebat apabila AS perlu menyelesaikan kadar siling hutang sebelum 17 Oktober ini. Sekiranya Republikan masih tetap tidak meluluskan kadar siling yang baharu, AS akan terjerumus dalam kancah krisis ekonomi yang serius.
Hutang AS sehingga Mei lalu telah melepasi kadar siling sebanyak AS$16.7 trilion. Sejak itu Jabatan Perbendaharaan terpaksa menggunakan peruntukkan kecemasan untuk menggerakkan operasi kerajaan persekutuan hingga 17 Oktober ini. Sekiranya isu kadar siling hutang ini tidak diselesaikan selepas 17 Oktober, kerajaan hanya mempunyai AS$30 bilion dalam tangan yang diperoleh daripada kutipan cukai. Maka sangat mustahil untuk kerajaan bergantung kepada kutipan cukai bagi membayar dua pertiga daripada lebihan hutang.
Kadar hutang yang tinggi dalam keadaan ekonomi AS yang merudum selepas lima tahun dilanda krisis paling teruk sejak 1930-an pasti memberi kesan yang besar terhadap ekonomi dunia.
Kesannya bukan sekadar kepada 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan diberi cuti tanpa gaji tetapi turut menjejaskan negara-negara yang mengadakan hubungan dagang dengan AS. Sehingga semalam, Republikan tidak memperlihatkan akan berlembut dengan tuntutan supaya Obama menunda penguatkuasaan undang-undang terhadap akta pelan kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare.
Republikan hanya akan meluluskan kadar siling baharu hutang negara dengan syarat Obama menunda pelan kesihatan yang merupakan sebahagian daripada janji semasa kempen pilihan raya Presiden yang lalu. Sekiranya Obama tunduk kepada ketegasan Republikan, dia menghadapi kekalahan moral politik yang memalukan. Dalam politik AS, Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan sementara Demokrat menguasai Dewan Senat di Kongres AS.
Tebusan
Sesetengah penganalisis politik menganggap kerajaan AS menjadi separuh lumpuh disebabkan Obamacare. Malah ada yang menyalahkan Republikan yang tidak mahu bertolak demi kepentingan rakyat kerana secara luarannya pelan kesihatan itu untuk kepentingan warga AS seluruhnya. Di sini kelihatan Republikan menjadikan Obamacare sebagai ‘tebusan’ untuk melihat sama ada Obama sanggup menghadapi kekalahan moral demi menyelamatkan negara yang separuh lumpuh.
Obamacare adalah janji pilihan raya Obama semasa berkempen merupakan pelan kesihatan yang bertujuan memberikan peluang kepada setiap warga mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Caranya setiap warga perlu memiliki insurans kesihatan untuk mendapatkan kualiti rawatan yang terbaik. Dengan mengerakkan Obamacare di bawah undang-undang, beban belanja oleh kerajaan akan berkurangan.
Obamacare sebenarnya telah diluluskan oleh Kongres pada 23 Mac 2010 di bawah Patient Protection and the Affordable Care Act (ACA). Kerana itu secara logiknya Republikan tidak boleh menjadikan Obamacare sebagai ‘tebusan’ untuk meluluskan belanjawan tambahan. Tetapi tindakan Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan itu adalah rentetan daripada Tea Party, sebuah gerakan oleh Republikan untuk melumpuhkan kerajaan sejak 2010 lagi. Kini sebahagian daripada matlamat mereka sudah tercapai. Republikan sengaja menggunakan kuasa Dewan Perwakilan untuk membalas dendam politik terhadap Obama.
Maka tindakan Republikan bertegas supaya Obama tidak menguatkuasakan undang-undang terhadap perlaksanaan Obamacare tidak lebih helah untuk memerangkap Obama dan Demokrat.
Kerana itu Obamacare bukanlah faktor utama yang membuatkan kerajaan separuh lumpuh, 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan diberi cuti tanpa gaji dan sekali gus mencetuskan keadaan gelisah dan bimbang dalam kalangan ahli ekonomi dan warga seluruhnya. Faktornya adalah permainan politik dalam Kongres AS di mana pihak pembangkang mempunyai peluang untuk mengugut Obama yang boros berbelanja termasuk ura-ura melancarkan perang ke atas Syria baru-baru ini.
Apabila AS melancarkan perang ke atas negara lain, belanjanya terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai. Misalnya semasa AS melancarkan perang ke atas Iraq pada 2003 hingga 2010 yang menelan belanja sebanyak AS$750.8 bilion. Ini bermakna pada setiap satu jam sebanyak AS$60.71 juta daripada pembayar cukai digunakan oleh Jabatan Pertahanan AS untuk membayar belanja perang itu.
Sementara itu dalam laporan Kennedy School of Goverment, Universiti Harvard 2013, belanja yang ditanggung oleh AS dalam perang di Afghanistan dan Iraq dianggap paling tinggi dalam sejarah perang AS iaitu lebih AS$4 trilion. Ini termasuk bayaran perubatan jangka panjang dan pampasan kepada anggota tentera yang terlibat dalam kedua-dua perang itu.
Pada Ogos lalu, akhbar The Washington Post telah menyiarkan satu dokumen sulit yang belum pernah didedahkan sebelum ini mengenai peruntukkan AS$52.6 bilion untuk operasi perisikan sejak 2007.
Ini menunjukkan isu penting yang membuatkan kerajaan AS hampir lumpuh adalah kadar hutang negara yang tinggi. Republikan menggunakan kesempatan daripada Obamacare untuk mengawal belanjawan Obama yang dilihat semakin galak walaupun dalam keadaan kedudukan ekonomi AS yang tenat.
Belanjawan kerajaan persekutuan yang dibentangkan pada 13 Februari tahun lalu mencatatkan pendapatan negara sebanyak AS$2.902 trillion sementara perbelanjaan sebanyak AS$3.803 trillion, defisit AS$901 billion atau 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sekarang ini kalau kadar baharu siling hutang diluluskan oleh Kongres sekalipun, ekomoni AS berada dalam keadaan genting.

Sumber : Utusan Online

4 Oktober 2013

Membentuk jati diri kebangsaan dalam PPPM

Oleh : Teo Kok Seong 

Dasar mampu rangsang perasaan kebersamaan, kesetiaan kepada negara

Pertanyaan tentang mengapa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 perlu digemblengkan untuk memupuk jati diri kebangsaan dalam generasi muda kita, daripada kaum Melayu sendiri, bukan saja amat memeranjatkan. Ia sebetulnya menimbulkan beberapa persoalan, khususnya tentang nasionalisme Melayu.
Jati diri kebangsaan adalah satu daripada ciri yang ingin dibentuk pada pelajar kita, melalui sistem pendidikan negara. Ia bertujuan untuk merangsang perasaan kebersamaan dan kesetiaan kepada negara. Selain ini, ia juga bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan golongan muda, bagi membentuk satu kesatuan sebagai bangsa Malaysia, yang memiliki sifat kebersamaan kebangsaan yang serupa.


Semua ini didapati boleh didukung oleh penggunaan satu bahasa yang dikongsi bersama, yang bukan saja merupakan lambang negara dan indeks jati diri bangsa Malaysia. Malah, bahasa ini adalah pengikat untuk kita semua berkongsi nilai bersama tentang sistem negara. Antaranya termasuklah politik, ekonomi dan pendidikan.

Bahasa yang dimaksudkan sudah tentu adalah bahasa negara kita, iaitu bahasa Melayu yang juga adalah bahasa ibunda, etnik dan leluhur kaum Melayu. Justeru, pertanyaan daripada penutur jati bahasa Melayu sendiri tentang peranan bahasa Melayu yang penting ini, adalah tindakan yang amat tidak wajar.

Sepatutnya sebagai kaum Melayu, mereka hendaklah menerajui pendukungan nilai untuk dikongsi bersama oleh semua, khususnya oleh yang bukan Melayu. Sehubungan ini, mereka perlu selalu memperlihat kecenderungan dan minat yang tinggi, selain perasaan bangga, sayang dan setia yang tidak berbelah bahagi, terhadap bahasa Melayu.

Pupuk semangat kebangsaan
Akan tetapi melalui tindakan negatif itu, bahasa Melayu yang sebenarnya amat cocok untuk pemupukan semangat kebangsaan, lebih-lebih lagi tentang jati diri kebangsaan yang dikongsi bersama, akan dianggap sebagai tidak sesuai lagi oleh rakyat Malaysia.

Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan bahawa tindakan pihak tertentu dalam kalangan kaum Melayu yang mempertikai peranan penyatuan, yang dapat dimainkan oleh bahasa Melayu dalam membentuk jati diri kebangsaan yang dikongsi bersama, bukan saja memperlihat betapa jahilnya mereka ini terhadap nilai bahasa Melayu kepada bangsa Melayu. Ia juga memperlihat mereka ini langsung tidak mempunyai nasionalisme Melayu.

Mereka ini sudah tentu tidak akan sama sekali berasa sedih, apatah berang, terhadap sesiapa yang memperlekeh bahasa Melayu. Mereka sendiri ikut memperkecilkannya.

Selain kepentingan bahasa Melayu, jati diri kebangsaan yang ingin dibentuk dalam PPPM juga dikaitkan dengan Rukun Negara. Sebagai ideologi negara, ia terdiri daripada satu set prinsip tentang cara negara kita diurus tadbir.

Semua menyarankan keperluan sikap keterbukaan rakyat Malaysia sebagai masyarakat majmuk, agar berhati-hati dalam tindakan kita. Ini penting agar kita tidak menyentuh sensitiviti kaum lain, khususnya dalam hal budaya. Oleh itu, tindakan kita perlu logikal, yakni dilakukan secara wajar dan sederhana pula.

Keadilan untuk semua kaum

Ia juga menganjurkan keadilan dan kesamaan untuk semua kaum. Ini bermakna semua kaum mempunyai hak yang sama, untuk ikut memastikan negara ini diperintah dengan cara yang boleh memberi kebaikan kepada semua.

Ia ikut menganjurkan unsur progresif dalam apa-apa jua bidang yang kita ceburi. Ini penting untuk rakyat ikut membantu membawa perubahan dalam membangunkan negara.

Sesungguhnya jati diri kebangsaan yang ingin dipupuk dalam PPPM melalui penggunaan bahasa negara dan Rukun Negara, adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk membina Malaysia yang bersatu padu. Justeru ia bersifat murni sekali.

Oleh itu, pertikaian mengenainya, daripada kaum Melayu pula, bukan saja bersifat antinasional, malah amat antinasional. Mereka bukan saja mengkhianati bahasa mereka sendiri. Yang lebih malang ialah mereka memperlihat sikap bahawa mereka tidak pun merupakan penduduk asal negara ini.

Sebagai kaum asal, mereka sepatutnya berbesar hati bahawa bahasa mereka dijadikan penanda jati diri negara. Begitu juga halnya dengan lima prinsip Rukun Negara yang mempunyai kaitan dengan upaya mereka sebagai kaum dominan.

Sebaliknya, pertikaian yang diungkitkan itu bukan saja tidak baik untuk pembentukan jati diri kebangsaan. Ia ikut mempersoal etos Melayu, yang merangkumi jati diri, maruah dan citra kaum Melayu sendiri.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
 
Sumber : Berita Harian Online -3-10-2013