MENTERI Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin
membuat kenyataan menarik di Kangar, Perlis baru-baru ini dengan
menyarankan kursus-kursus yang diajar di institusi pengajian tinggi
(IPT) menggunakan bahasa Melayu secara lebih meluas.
Ia selari dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu di IPT belum berhasil sejak dilancarkan tiga tahun lalu.
Pelan lima tahun itu dirancang untuk memartabat dan mengukuhkan
Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta
penerbitan di IPT.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu juga membayangkan suatu tekad
politik (political will) yang tinggi supaya ia diberi respons oleh
kepimpinan utama IPTA yang semuanya adalah orang Melayu.
Ia selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang
memberikan tumpuan kepada menguasai dwibahasa - memartabatkan Bahasa
Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Ramai dalam kalangan kelompok menengah dan elit Melayu memandang
remeh dan menghadapi masalah psikologi mengenai keupayaan bahasa Melayu
menjadi bahasa ilmu, bahasa pengucapan dan penyelidikan dan beranggapan
bahasa Inggeris adalah bahasa kemajuan dan perubahan.
Dasar yang ada tidak menafikan kepentingan memperkasa bahasa Inggeris
tetapi meremehkan penggunaan bahasa Melayu di IPTA adalah suatu "dosa
besar".
Negara-negara maju seperti Jerman, China, Jepun dan Korea menggunakan
bahasa ibunda masing-masing untuk maju dalam bidang ilmu sains dan
teknologi. Mereka mempunyai psiki tinggi dan memanfaatkan faedah
berbanding dengan tamadun orang lain.
Saranan Muhyiddin supaya salah satu syarat kenaikan pangkat pensyarah
ialah menulis buku ilmiah dan makalah dalam bahasa Melayu adalah tepat
dan wajar. Ia bakal memberikan keberhasilan berimpak tinggi yang harus
digerakkan oleh IPTA.
Pengalaman Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pertanian dan banyak lagi
adalah bukti nyata bagaimana proses pemartabatan bahasa Melayu terjadi.
Graduan mereka di peringkat pasca-sarjana mampu pula melanjutkan
pelajaran ke luar negara walaupun ada cabaran yang perlu ditempuhi.
Hari ini ramai yang kurang yakin bahasa Melayu boleh menjadi bahasa
ilmu, pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan pengkaryaan. Banyak
kursus cenderung diajar dalam bahasa Inggeris.
Seruan Muhyiddin itu adalah perkara dasar. Kepimpinan IPTA harus
respons secara positif kerana langkah Kementerian Memartabat Bahasa
Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris adalah baik untuk generasi hari
depan.
Inilah sebenarnya cabaran transformatif yang perlu diambil selari
dengan peruntukan Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan 1996 yang
ingin memartabatkan bahasa Melayu.
Salah satu cabaran transformatif itu ialah binaan jati diri Malaysia.
Bahasa Melayu tidak saja dijadikan bahasa ilmu tetapi ia adalah bahasa
perpaduan. Pemartabatan bahasa Melayu di IPTA membolehkan generasi muda
menguasai ilmu dari jendela berfikir bahasa Melayu yang mendukung etos
Malaysia.
Hatta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia umumnya harus serius
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi supaya ada manfaat
berbanding yang diperolehi di Malaysia terutama dalam memahami cara
berfikir dan budaya orang Malaysia.
Datuk Seri Idris Jusof yang terkenal dengan daya inovatifnya mampu
melakukan ini di peringkat IPTA. Datuk Seri Prof. Zaini Ujang, Ketua
Setiausaha Kementerian boleh membantu kerana semasa beliau menjadi Naib
Canselor UTM, kursus-kursus, tesis desertasi dan penerbitan buku-buku
banyak diajar dan ditulis dalam bahasa Melayu.
Tulisan ini bukan bermakna ia menghalang proses pemerkasaan bahasa
Inggeris. Faktor globalisasi yang berlaku memerlukan bahasa Inggeris
dikuasai dengan baik.
Tetapi apa yang terjadi di IPTA adalah pemerkasaan bahasa Inggeris
menyebabkan bahasa Melayu terpinggir. Ia menuntut tekad tinggi yang
bijaksana supaya yang dikejar dapat, yang dikendung tidak cicir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan