KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pelajar tingkatan enam yang menduduki
peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi sistem
modular dilihat memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan
sistem baharu itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
St. John mendapati, rata-rata pelajar mengakui sistem itu menyebabkan
mereka perlu menukar cara belajar dan berusaha lebih gigih menghabiskan
sukatan pelajaran mengikut penggal persekolahan.
Menurut Guru Pengajian Am SMK St. John, Mohd. Latun Nordin,
penyebab pelajar sukar membiasakan diri dengan sistem baharu itu
antaranya kerana masih terikut- ikut dengan sistem terminal sebelum ini.
"Mereka yang masih biasa dengan sistem terminal lebih cenderung
belajar pada saat-saat akhir, jadi mereka tidak akan sempat menguasai
sukatan pelajaran sebelum peperiksaan pada hujung setiap penggal.
"Jika mereka tidak ubah cara belajar mengikut keperluan sistem
modular, saya percaya mereka akan menghadapi kesukaran untuk cemerlang
dalam STPM," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Di bawah sistem modular yang dilaksanakan bagi sesi 2012/2013 itu,
pelajar tingkatan enam akan menjalani pengajian tiga penggal untuk
mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke institusi
pengajian tinggi mengikut sistem merit.
Sebanyak 67,202 calon terlibat dalam peperiksaan STPM di 771 pusat
peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini sehingga Khamis ini
dengan menggunakan sistem baharu itu.
Bagi calon STPM, Mohammad Yusri Azis, 19, walaupun masih belum dapat membiasakan diri dengan sistem berkenaan namun usaha kerajaan itu masih dianggap baik.
"Sistem ini bagus, memudahkan pelajar untuk belajar secara sistematik
dan tidak membebankan pelajar dengan hanya perlu fokus terhadap sukatan
pelajaran yang dibahagikan kepada tiga penggal," katanya.
Pelajar Tingkatan Enam Kemanusiaan Dua Program Pendidikan Khas
Integrasi ini turut mencadangkan agar masa tambahan diberikan kepada
pelajar pendidikan khas memandangkan mereka memerlukan kemudahan lain
bagi menjawab soalan peperiksaan.
Rakannya, Lim Teck Zhao, 18, yang bersetuju dengan pendapat
Mohammad Yusri berkata, lanjutan tempoh menjawab soalan bagi pelajar
pendidikan khas dapat memudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan
berdasarkan sukatan pelajaran yang agak padat terutamanya pada penggal
pertama persekolahan.
"Kami menjawab dalam format berbeza, saya rasa tidak salah sekiranya
pihak kementerian dapat membuat pertimbangan bagi membantu pelajar
seperti kami," katanya.
10 November 2012
4 Ogos 2012
Tingkatkan martabat tingkatan enam
SISTEM pendidikan negara sedang
melalui proses penambahbaikan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan.
Saya melihat ia merupakan satu pendekatan positif untuk dijadikan motivasi
kepada kalangan murid dan pelajar yang sedang melalui alam persekolahan, lebih-lebih
lagi bagi kalangan pelajar tingkatan enam bawah dan atas (Pra-U bawah dan
atas).
Banyak pihak mula membangkitkan
mengenai isu kalangan pelajar Pra-U ini yang mula hilang minat untuk meneruskan
pengajian mereka kerana beranggapan status mereka tiada bezanya dengan
pelajar-pelajar arus perdana, tingkatan satu hingga tingkatan lima.
Mereka merasakan bahawa mereka hanya
seperti pelajar sekolah biasa sedangkan mereka melalui kaedah pembelajaran
secara semester dan setaraf dengan pelajar yang berada di institusi pengajian
tinggi yang lain. Selain itu, taraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
yang bakal mereka miliki patut setaraf dengan diploma yang dikeluarkan oleh
institusi pengajian tinggi.
Bagi memastikan keberkesanan sistem
pendidikan Pra-U ini agar lebih produktif dan berkualiti, pihak Kementerian
Pelajaran telah mengambil pendekatan pro-aktif dengan menyediakan sistem
pengurusan yang berasingan dengan sistem pengurusan persekolahan arus perdana.
Ini dibuat melalui pewujudan jawatan
khas penolong kanan dan guru-guru khas yang berpengalaman untuk mengajar
tingkatan enam. Langkah ini diyakini mampu menghasilkan natijah yang baik untuk
masa depan pelajar-pelajar Pra-U.
Sehubungan itu, bagi menarik minat
kalangan pelajar-pelajar Pra-U ini untuk meneruskan pengajian mereka, adalah
lebih baik jika mereka ini dilayan sebagaimana pelajar yang berada di institusi
pengajian tinggi, walaupun pada dasarnya mereka belajar di sekolah biasa.
Berilah peluang kepada kalangan pelajar
Pra-U ini untuk menghadiri kelas harian mereka tanpa memakai pakaian seragam
sekolah bagi membezakan mereka bukanlah pelajar sekolah arus perdana.
Berilah kelonggaran kepada pelajar
ini untuk memakai pakaian yang kemas seperti memakai seluar slack, berkemeja
biasa atau baju T berkolar serta berkasut hitam. Yang penting mereka diwajibkan
berpakaian kemas sewaktu menghadiri kuliah di kelas.
Jumlah pelajar juga harus ditetapkan
dalam kalangan 30 orang dalam satu-satu kelas bagi memastikan tumpuan guru dan
murid lebih sempurna demi menghasilkan pelajar yang berkualiti dan terbaik.
Sehubungan itu, pihak Kementerian
Pelajaran perlu memastikan jumlah guru yang mencukupi sementara pihak
pengurusan sekolah tidak menugaskan guru-guru yang mengajar kelas-kelas Pra-U
untuk turut mengajar pelajar-pelajar arus perdana.
Saya sangat yakin, jika langkah
drastik ini dapat dilaksanakan secara beransur-ansur, ia mampu menarik semula
minat kalangan pelajar Pra-U untuk meneruskan pengajian mereka.
Pada waktu yang sama mampu menjadi
motivasi kepada pelajar-pelajar arus perdana untuk meneruskan pengajian mereka
dalam pengajian Pra-U atau tingkatan enam bawah dan atas.
Sumber : Utusan Malaysia, 31/07/2012
14 Julai 2012
Pendidikan Tingkatan Enam Akan Lalui Penjenamaan Semula - TPM
Jumaat Julai 6, 2012
YOGYAKARTA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata
pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi
meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti
seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah-langkah yang akan
diambil ialah memisahkan para pelajar berkenaan dari sekolah-sekolah
biasa dan menempatkan mereka di pusat-pusat pengajian khas untuk
tingkatan enam.
"Kami sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam, menggunakan
pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak
sama, kategori yang lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah
biasa)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Khamis.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak semalam
kerana menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean dan
mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya yang berakhir hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan itu,
pelajar-pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat-pusat
pengajian khas kerana bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara
belajar dalam satu atau dua kelas di sekolah-sekolah tertentu.
Pada tahun ini, ada sejumlah 83,000 pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara.
Langkah untuk memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa
juga selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar pra universiti.
"Umum pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam adalah
kesinambungan daripada pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka di
tingkatan enam adalah dalam kategori yang berbeza dan lebih matang
daripada segi pemikiran," katanya.
Muhyiddin berkata penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihat
bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan pra universiti
yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran
dan pusat asasi sains anjuran universiti-universiti awam tempatan.
Persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi
adalah lebih baik daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan
kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke universiti awam adalah sama.
Masyarakat, katanya, tidak harus melihat bahawa pendidikan
matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya, pencapaian pelajar
tingkatan enam malah lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.
Sehubungan itu pelajar-pelajar lepasan SPM harus juga melihat bahawa
pendidikan tingkatan enam juga merupakan antara pilihan terbaik untuk
pendidikan pra universiti.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan
tingkatan enam telahpun dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran
tiga semester namun secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan
pengajian mereka enam bulan lebih awal.
Ditanya tentang kemungkinan pendidikan tingkatan enam dipendekkan
enam bulan lebih awal supaya bersamaan dengan tempoh pembelajaran di
kolej matrikulasi, beliau berkata perkara itu akan dikaji oleh
Kementerian Pelajaran.
Muhyiddin hari ini berlepas ke Bali untuk meneruskan lawatan enam
hari ke Indonesia sejak 3 Julai lalu dalam rangka meningkatkan hubungan
kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk berbincang
dengan Naib Presiden Indonesia Boediono mengenai isu-isu dua hala antara
kedua negara, khususnya yang berkaitan dengan tenaga kerja, masalah di
kawasan sempadan maritim yang dipertikaikan serta masalah budaya
masyarakat. BERNAMA
21 April 2012
Hapuskan pakaian seragam di tingkatan enam
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia
(MPM) telah mengambil suatu inisiatif yang positif pada tahun ini, iaitu
memperkenalkan Sistem Pentaksiran Baharu peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia bagi pengajian pelajar tingkatan enam.
Melihat kepada pembaharuan yang dibuat oleh KPM melalui agensi yang
bertanggungjawab dalam hal menyediakan kurikulum dan sistem peperiksaannya,
iaitu MPM rata-rata masyarakat menerimanya dengan hati terbuka.
Pengajian dipermudah kepada pelajar, iaitu kurikulum dibahagikan kepada tiga
penggal pengajian dengan setiap penggal mempunyai peperiksaan yang sendiri. Ini
bermakna pelajar tidak perlu lagi mempelajari kurikulum itu untuk tiga penggal
dan menghadapi peperiksaan STPM pada akhir penggal pengajian. Bentuk pengajian
ini selari dengan amalan dalam kolej matrikulasi dan pengajian pada peringkat
diploma. Bebanan pelajar menjadi kurang dan lebih mesra pelajar.
Diharapkan dengan transformasi seumpama ini pengajian tingkatan enam akan
kembali mendapat sambutan daripada pelajar.
Pengajian tingkatan enam merupakan pengajian yang paling murah sebenar. Ibu
bapa tidak perlu keluarkan wang yang banyak untuk membayar yuran pengajian
kerana yurannya ditanggung oleh kerajaan.
Tempat tinggal juga tidak menjadi bebanan kepada ibu bapa untuk menyediakan
bajetnya kerana rata-rata pelajar boleh tinggal di rumah lantaran sekolah
bertingkatan enam ada dalam daerah masing-masing.
Bagaimanapun, satu perkara yang mengekang kemasukan pelajar yang ramai ke
pengajian tingkatan enam ialah isu pemakaian pakaian sekolah oleh pelajar
tingkatan enam.
Isu inilah sebenarnya yang menghalang ramai pelajar untuk tidak meneruskan
pengajian ke tingkatan enam.
Walaupun kurikulumnya mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak, kos
pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, dan sebagainya soal
berpakaian seragam sekolah kepada pelajar yang sudah memasuki usia 18 hingga 20
tahun dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.
Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu untuk
memakai pakaian sekolah sama seperti adik-adiknya yang berusia 17 tahun ke
bawah.
Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu. Dalam usia 18 hingga 20 tahun
mereka merasa malu untuk dilihat seperti murid berusia 17 tahun ke bawah.
Rata-rata rakan seusianya yang belajar di tempat lain, seperti di kolej
matrikulasi, politeknik dan universiti sudah tidak memakai pakaian seragam.
Hal ini boleh menimbulkan rasa rendah diri di kalangan mereka. Jika pihak
KPM berjaya mengubah dasar ini, diyakini ramai ibu bapa akan menyokongnya
kerana mereka sedar pengajian tingkatan enam ialah pengajian yang paling murah
sebenarnya berbanding dengan pengajian lain.
Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia
sama ada melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atau Bahagian Kokurikulum
(jika bahagian ini bertanggungjawab dalam menetapkan dasar pakaian sekolah)
harus memahami aspek psikologi pelajar jika ingin melihat lebih ramai pelajar
mengikuti pengajian di tingkatan enam.
Ubahlah dasar ini kepada dasar yang membolehkan pelajar tingkatan enam tidak
lagi berpakaian seragam sekolah seperti sekarang tetapi memadailah jika mereka
dibenarkan memakai seluar panjang berwarna gelap sama ada berwarna hitam atau
hitam biru, berbaju kemeja tanpa mengira warna, berstoking gelap, dan berkasut
kulit hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan sama sekali. Dengan
perubahan yang sedemikian diyakini lebih ramai pelajar akan mengikuti pengajian
di tingkatan enam.
Sumber : Utusan Malaysia, 17/04/2012
11 Mac 2012
Nafas baru bagi tingkatan enam
Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my
utusanterengganu@utusan.com.my
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, selama ini, ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk ke kolej matrikulasi serta kolej-kolej swasta untuk menyambung pengajian mereka.
Beliau memberitahu selama ini ramai yang terus memasuki kolej-kolej seumpama itu yang lazimnya menawarkan pelbagai bentuk pinjaman selain biasiswa serta kemudahan pembelajaran seperti komputer riba.
Jelasnya, sistem modular yang akan dilaksanakan menyediakan peperiksaan pada setiap penggal berbanding hanya satu peperiksaan pada penggal akhir sekarang. Ini akan membantu meringankan beban pelajar.
Ia memberi lebih banyak kelebihan kepada pelajar tingkatan enam termasuk membantu mereka mengulang semula subjek yang diambil pada peperiksaan sebelumnya.
Kita harap lebih ramai pelajar memasuki tingkatan enam mulai tahun ini berikutan pelaksanaan sistem pentaksiran baharu STPM ini.
Bagi tujuan itu, kita akan jemput wakil CA (Cambridge Assessment) bagi memantau pelaksanaan sistem baharu ini untuk mengekalkan standard antarabangsa, katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-6 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring dan majlis Anugerah Kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 di sekolah itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Din dan Pengetua SMKA Tok Jiring, Engku Mariah Syed Ahmad Al-Idrus.
Sumber : Utusan Malaysia, 09/03/2012
10 Mac 2012
Sistem modular untuk pelajar tingkatan enam mulai 2012
KUALA TERENGGANU 8 Mac Kerajaan berharap kemasukan pelajar ke tingkatan enam akan bertambah apabila sistem modular yang dilihat tidak membebankan pelajar diperkenalkan mulai tahun ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pelajar peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai tahun ini akan menggunakan kaedah baru menggantikan sistem terminal di mana pelajar tidak lagi mengambil peperiksaan di akhir tahun, sebaliknya akan mengguna pakai sistem mengikut penggal."Di bawah sistem modular, pelajar akan mengambil peperiksaan mengikut penggal dan keputusan tersebut akan digabungkan di penggal ketiga untuk menentukan indeks pencapaian mereka nanti.
"Mereka juga boleh mengulangi mana-mana mata pelajaran yang dirasa keputusannya tidak memuaskannya sehingga peperiksaan penggal ketiga, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Tok Jiring di sini hari ini.
Puad berkata, dengan adanya pendekatan sistem modular tersebut, pelajar diharap akan lebih berminat memasuki tingkatan enam kerana ia tidak membebankan pelajar dari segi pembelajaran dan juga kewangan. BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)